Showing posts with label USA. Show all posts
Showing posts with label USA. Show all posts

Monday, July 22, 2019

3 Pertemuan di Carbondale Muslim Center

Hari kedua kami berada di Carbondale ialah hari Jumaat, penghulu segala hari. Biasanya bila hari Jumaat kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau Islamic Center.
Carbondale Muslim Center hanya 10 minit perjalanan dari Southern Illinois University (SIU). Sangat mudah menjumpainya.
 
Tiba di masjid ini, kami dapati sudah ramai jemaah yang tiba. Masjid dua tingkat ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Bilik air dan bilik wudhu di bahagian bawah. Tempat solat kaum wanita di bahagian belakang di tingkat atas juga. Ramai juga wanita yang solat jumaat di sini. Tak dapat saya bayangkan betapa ramainya lagi jemaah bila pengajian semester di universiti bermula. 

Usai solat, seorang wanita menghampiri kami dan menanyakan samada kami orang Malaysia. Ooh rupanya masih ada orang Malaysia di Carbondale ini yang tidak balik bercuti ke Malaysia. Rupa-rupanya mereka sekeluarga. Kedua-dua Masita dan suaminya sedang belajar di peringkat Phd di SIU. Selepas bersembang panjang, Masita mengajak kami ke 'Bake Sale' di tingkat bawah masjid. Banyak juga makanan yang di jual di sini yg sesuai dijadikan juadah tengahari. Cara membelinya ialah dengan menggunakan tiket. Ramai para jemaah memilih untuk makan terus di sini memandangkan meja dan kerusi disediakan.
Di sini saya bersua pula dengan seorang 'senior' yang pernah belajar di sekolah yang sama  dengan saya satu ketika dahulu. 'Small world!'. Walaupun saya tidak mengenali beliau, sikap peramahnya menyebabkan saya dan suami mudah untuk bersembang dengannya. Rauzan(Awang) sudah lama menetap dan bekerja di negara ini. Sudah semestinya dia seronok berjumpa dengan rakan senegaranya. Khabarnya dia akan berpindah ke Chicago beberapa hari selepas itu.
Tak lama selepas itu, anak sulung saya sekeluarga tiba di masjid. Alhamdulillah Allah pertemukan kami setelah lebih 2 tahun mereka kembali ke negara ini. Itulah kali pertama juga kami bertemu Adam, cucu kedua kami. Oleh kerana sudah agak lewat, kami mengajak mereka merasa juadah yang dibeli dahulu sebelum ke tempat lain.
Tiga pertemuan yang di atur Allah. Mulanya kami  merancang untuk hanya solat Jumaat di situ. Namun Allah jua perancang terbaik sebab mentaqdirkan 3 pertemuan ini. Semuanya hanya dengan kehendaknya dan berlaku di rumahNya. Kami bertambah yakin dalam permusafiran ini sekiranya kita dekat dengan Allah, Allah akan tambahkan nikmatNya dengan tidak di sangka sangka.  Alhamdulillah.

Friday, January 12, 2018

Buah-buahan di Dunia Ada Yang Sama Dengan Di Syurga?

"Menarik bila dengar ustaz tafsirkan ayat tadi," kata saya sambil menyarungkan selipar yang terletak di atas anak tangga surau. Sahabat sekelas saya yang berdiri di tepi saya mengangguk tanda setuju. Kami baru sahaja menghadiri kelas tafsir harfiah di surau sebelum itu. Satu kelas yang menarik bagi saya sebab selain dari menterjemah, penafsiran bagi setiap perkataan  dalam ayat juga dibincangkan. Dulu perbincangan bagi semua ayat dalam surah Al Mulk pun mengambil masa setahun untuk dihabiskan. 

Kami meneruskan perbualan sebab arah perjalanan balik ke rumah masing-masing adalah sama. Balik berjalan kaki sahaja. Lebih mudah dan lebih mengeluarkan tenaga,disamping itu dapat juga menghirup udara petang yang segar selepas hujan renyai tadi. 

"Buah-buahan dalam bahasa Arab ialah Alfaakihatun, betul tak?" tanya sahabat saya, cuba mengingat. Kami juga mengambil kelas bahasa Arab bersama sekali seminggu. 

"Haah. Selain daripada al faakihatun ada juga dalam al Quran at thamaraatun sebagai buah-buahan. Tadi ustaz  bagi tau Alfakihatun juga makanan utama dalam syurga kelak.Tapi.. boleh kenyang kemakan buah-buahan saja? Hmm..Kan kita dah biasa makan nasi. " tanya saya, timbul pula kemusykilan selepas itu. 

"Kenyang sebenarnya ditentukan Allah. Macam di dunia ni, kadang sedikit makanan pun dah kenyang. Tanda keberkatan makanan itu. Walaupun berdasarkan sains,makanan ruji macam beras dan gandum ialah makanan yang mengenyangkan tapi itu semua juga ditentukan Allah." kata sahabat saya, memberi pendapat.
"Betul juga. Teringat tadi ustaz ada juga bercerita tentang buah-buahan yang biasa kita lihat di dunia ni nanti ada di akhirat kelak. Cuma mereka jauh lebih sedap dan kesedapan itu tak dapat kita bayangkan. Ini bermakna buahan buahan seperti betik, tembikai, manggis, rambutan semuanya ada di syurga lah ye. Semuanya pasti sedap dan manis lagi daripada yang ada di dunia ni."kata saya lagi.

"Subhanallah. Ini baru satu nikmat dunia. Tak sama macam kat dunia. Kadangkala beli buah pun ada yang tawar dan masam. Mahal pula tu. Cuba tengok harga durian sekarang. Dijual guna kilo. Lebih berat kulit daripada isi. Belum tentu isinya manis. " keluh sahabat sekelas saya ini. 

"Dulu sewaktu di belajar di California, saya  dan kawan kawan berpeluang memetik navel oranges bersama ibu bapa angkat kami. Buah oranges ni sebenarnya buah musim dingin.Saya masih ingat lagi  semasa kami memetik tu awal musim bunga. Disitu kami belajar cara nak pilih yang mana navel oranges yang betul-betul masak dan sedap di makan,"saya mula bercerita, mengimbau kenangan lama. 

"Wah, ye ke? California beriklim mediteranean kan? Tentu banyak ladang buah buahan. Mesti seronok dapat pergi ke ladang oranges tu. Dapat petik buah-buahan pula tu. Satu pengalaman yang bukan ramai dapat buat. Tapi macamana ye, nak tahu buah orange yang dah cukup masak ?" tanya sahabat saya, berminat untuk tahu lebih lagi.
"Bagi buah oranges kita bukannya tengok warnanya saja untuk tahu samada tahu dia elok atau tidak.Cuba tengok bahagian ekornya, bukan bahagian lekat dengan tangkainya. Bahagian ekor yang merekah (bukan isi terkeluar) menandakan limau tu dah cukup masak. InshaAllah sedap dan manis walaupun kulitnya masih keras," terang saya dengan yakin. 

"Ooh...macam tu. Nanti bila pergi beli buah, saya nak carilah buah oranges macam tu. Selain daripada oranges, buah lain pula macamana nak tahu dia manis dan sedap?' tanya sahabat saya lagi.

"Buah ceri ...yang 'fresh' tu biarlah kehitaman sikit tapi masih berkilat. Kalau beli kat sini memang tak boleh pilih. Semuanya sudah 'pack' dalam bekas. Saya berpeluang memetik ceri bersama keluarga di sana tahun 2009 dahulu. Seronok kami naik turun tangga memetik buah ceri," saya bercerita lagi.  

"Seronoknya dapat pergi dengan keluarga. Tapi...eh pokok ceri tinggi ke? Kena panjat tangga?" tanya sahabat saya, kehairanan

" Yang terjuntai ke bawah memang ada tapi biasanya tak banyak yang cantik dan 'fresh'. Bila panjat tangga dapat kita pilih ceri yang betul-betul masak tapi tak lembik. Tangga yang kecil aje digunakan. Tak tinggi pun" terang saya lagi.

"Nanti kalau ada rezeki lebih, nak jugalah saya bawa keluarga pergi memetik buah buahan di negara beriklim Mediteranean macam California. Saya kena belok ke sini. Jumpa lagi minggu depan, Insha Allah.,"bersemangat sahabat saya ini menyatakan keinginannya. 

."Ya memang seronok melancong bersama keluarga. Berbaloi. Semoga Allah murahkan rezeki awak sekeluarga," kata saya sambil bersalaman dengannya.  


Sungguh, apa yang diberitahu ustaz di kelas tersebut sebenarnya semua berdasarkan  ayat-ayat al Quran. Setakat ini saya telah menjumpai lebih 50 ayat berkenaan buah-buahan di dalam Al Quran. Pastinya ada maksud tersurat  atau tujuanAllah memberikan begitu banyak ayat berkenaan buah-buahan. Antara ayat berkenaan buah-buahan di syurga terdapat dalam surah Ar Rahman ayat 52,54 dan 68. Juga dalam surah al Insan ayat 14. 

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu.
(Mereka) berada di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang mengalir terus-menerus. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya. 
Al Waqiah 56:27-33

Subhanallah. Di syurga tiada buah-buahan bermusim. Tiada perlu berpenat lelah menanam, menuai dan memetik. Syurga tempat kita berehat. Insha Allah.semoga Allah pelihara perjalanan hidup kita agar sentiasa terarah ke tempat rehat yang terbaik ini, destinasi terakhir kita. 

Tuesday, January 26, 2016

Badlands-Tanah Gersang Yang Memukau


Angin kencang yang bertiup di sini dinginnnya hingga menusuk ke tulang. Terketar-ketar kami menggigil kesejukan. Di kiri dan kanan kami pemandangannya hanya bukit berbatu semata-mata. Tiada pemandangan pokok-pokok tinggi berdahan rendang mahupun bukit yang menghijau. Apa yang istimewanya tempat sebegini sehinggakan kami mengambil masa untuk sampai ke sini?

Badlands, satu nama yang agak menggerunkan bagi sesebuah tempat. Namanya diberikan oleh puak Lacota, salah satu puak American Indian yang pernah mendiami kawasan yang berhampiran sini. Memang, pada awalnya saya agak serba salah untuk ke sana. Terfikir juga mungkin ia satu tempat yang tidak baik bagi orang ramai. Sekiranya ia satu tempat mistik sudah tentu tempat sebegini tidak sesuai untuk orang Islam bagi kami.

Namun tempat yang terletak di South Dakota ini menarik perhatian saya bila melayari internet tentangnya. Suasana  dan pemandangan di sini amat berbeza daripada tempat-tempat yang pernah kami lawati sepanjang pengembaraan kami di Amerika Syarikat. Kami yakin, insha Allah  lawatan ke tempat ini akan memberikan pengalaman yang lain dari yang lain bagi kami sekeluarga.

Kawasan seluas 224,000 ekar ini dipenuhi dengan bukit-bukau berbatu yang gersang. Puncak-puncak bukit ada yang tajam dan ada yang mengondol seperti separa bola membuatkan kami seolah olah berada di satu planet yang lain. Ketiadaan tumbuhan dan bunga-bunga liar membuatkan lanskap ini agak janggal bagi kami. Namun jaluran pelbagai warna yang terdapat lereng bukit dan gondolan  berwarna kuning, coklat dan kelabu yang menghiasi lanskap berlatarbelakangkan langit biru  ini menghasilkan satu pemandangan yang memukau.

Bagaikan susah nak dipercayai yang kawasan Badlands ini sebenarnya dulunya sebuah laut yang cetek, kemudian bertukar menjadi hutan separa tropika setelah berlaku pergerakan tanah dan letusan gunung berapi. Fosil-fosil yang ditemui oleh pihak arkeologi membuktikan kesemuanya. Daripada haiwan laut ke haiwan darat yang besar-besar semuanya pernah menghuni di tanah yang kini gersang dan seroi. Namun iman harus meyakini bahawa Allah berkuasa menentukan segalanya. Dia yang menurunkan air hujan dan Dia jugalah yang berkuasa menghilangkannnya daripada tanah yang pernah dipenuhi flora dan fauna di sini.

Terlintas juga di hati ini. Apakah wujud tamadun di kaki-kaki bukit ini atau apakah ada turunnya azab Allah di kawasan ini seperti kaum Tsamud dan kaum Aad yang dimusnahkan Allah akibat keingkaran mereka menyembah Allah?

Firman Allah yang bermaksud:
"Maka ketika mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka , mereka berkata:" Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita." ( Bukan!) Tetapi itulah azab yang kamu minta agar disegerakan datangnya, (iaitu) angin yang mengandungi azab yang pedih,
Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, sehingga mereka (kaum 'Aad) menjadi tidak kelihatan lagi (di bumi) kecuali hanya (kesan) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa."
Al Ahqaf 46: 24-25

Kawasan Badlands  ini adakalanya sunyi tanpa penghuni, adakalanya  juga riuh dengan bunyi haiwan  kecil seperti prairie dogs. Makhluk ciptaan Allah ini bukannya anjing tetapi sejenis tupai tanah kecil yang comel-comel yang tinggal di kawasan berumput( dipanggil prairie). Prairie dogs sejenis haiwan herbivor yang juga memakan serangga kecil. Busut-busut kecil memenuhi kawasan prairie menandakan kehadiran haiwan-haiwan kecil seperti chipmunks dan paririe dogs ini. Namun bukan mudah menghampiri mereka. Lincahnya pergerakan mereka seperti tikus tanah, selangkah menghampiri mereka terus mereka menyerbu masuk ke dalam tanah.

Subhanallah! Kalaulah seseorang dapat menghayati suasana mempersonakan yang kami paparkan di sini, sudah tentu sedikit sebanyak dia dapat merasakan apa yang kami alami di sini.
Kata ahli motivasi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi
"Apabila hati kita tenang ketika melihat langit, bukanlah kerana langit itu yang memberi ketenangan. Tetapi  kerana langit itu "dekat dengan Allah yang menciptanya. Hati kita akan menjadi tenang apabila dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah.(ciptaan yang langsung daripada Allah)"
Sumber-Dimana DIA Di Hatiku

Alhamdulillah. Syukur ya Allah diberi peluang menikmati pemandangan sebegini indah.

Thursday, December 17, 2015

Bagaimana memilih makanan halal khususnya di Amerika Syarikat

 Sumber:http://www.ifanca.org/Assets/PopularLinks/Halal%20Shoppers%20Guid.pdf
Saban tahun ramai pelajar dari Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Amerika Syarikat merupakan negara yang luas yang meliputi 50 buah negeri, Wilayah Persekutuan dan pulau-pulau. Sejauh pengetahuan saya hampir semua negeri mempunyai penduduk beragama Islam.

Saya teringat sewaktu baru sampai di Amerika Syarikat dahulu perkataan 'mono n  diglycerides' dan 'lecithin' merupakan antara perkataan asing yang diperkenalkan kepada kami. Perkataan-perkataan ini sebenarnya antara bahan-bahan yang mungkin terdapat dalam makanan yang dijual di kedai atau di pasaraya di sana."Susah.leceh!" itulah rungutan kami pada mulanya. Tambahan lagi kami tiba dalam bulan Febuari dan cuaca yang sangat sejuk dan berangin di sana sering membuatkan perut cepat lapar. Makanan pula harus dipilih agar ia halal dimakan.

Awal tahun 80an dahulu tidak banyak panduan bagi mendapatkan makanan yang dibenarkan syari'ie dan juga produk halal di Amerika Syarikat.Yang ada hanyalah beberapa kepingan salinan fotostat yang diedarkan oleh  pelajar senior sebagai panduan bagi kami mendapatkan makanan dan produk halal. Waktu tu komputer pun belum wujud. Inikan pula telefon bimbit!

Kini dengan pertambahan umat Islam secara mendadak di Amerika Syarikat terutama selepas insiden  9/11 lebih banyak makanan halal yang boleh didapati di sana. Sebagai rujukan pantas semasa membeli makanan bolehlah kita merujuk pada jadual yang diberikan oleh pihak  IFANCA.

Sebagai contoh semasa kita membeli roti, kita harus meneliti kandungan dalam roti tersebut. Sekiranya terdapat 'mono n diglicerides' dan 'lecithin', eloklah kita elakkan daripada membelinya kecuali dinyatakan 'vegetable mono n diglycerides' dan 'vegetable lecithin'. Sumber kedua-dua bahan ini mungkin samada daripada binatang atau sayuran/ tumbuhan. Selain daripada 'lecithin' dan 'mono n diglycerides', 'glycerine', 'gelatine' dan 'stearate' juga mungkin bersumberkan binatang dan hal ini boleh mendatangkan syubhah(meragukan) pada orang Islam.

Memang agak leceh pada mulanya bagi kita yang sudah biasa dengan kebanyakan barangan di Malaysia yang sudah pun berlabel halal JAKIM. Namun itulah pengorbanan  yang harus kita ambil apabila merantau ke negara bukan Islam agar makanan yang haram tidak masuk dalam darah daging kita. Pun begitu, pelbagai hikmah yang boleh kita perolehi daripada susah payah kita ini terutama sekali mendapat pelbagai ilmu tentang bahan kandungan dalam makanan dan pelbagai produk lain. Insha Allah segala pengorbanan kita akan dibalas oleh Allah samada di dunia mahupun diakhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

Bersambung.



Friday, February 7, 2014

Kemarau di San Francisco- Hujan Setelah Setelah Solat Istisqa'


San Francisco merupakan satu bandar di  utara California yang terletak di satu teluk berhampiran dengan Lautan Pasifik. Kedudukannya berhampiran laut menyebabkan suhunya sentiasa sederhana dan berangin. Memang selesa berada di bandar ini terutama sekali di musim panas. 

San Francisco terkenal sebagai bandar  yang mempunyai  banyak tempat melancong seperti Fisherman's Wharf, Alcatraz Island, Golden Gate Bridge dan banyak taman-taman yang menarik. Walaubagaimanapun San Francisco juga terkenal dengan  ramai orang yang pelik -pelik dan pelbagai agama. Daripada orang yang berperangai pelik, berpakaian pelik , ada yang beragama dan ada yang tidak beragama. Sebab itulah tidak hairanlah apabila seseorang 
muslimat bertudung  berada di sana masih boleh disapa oleh orang San Franciscotanpa segan silu , dengan kata 'hi! How are you?' .

Iklim mediteranean yang di alaminya menyebabkan bandar ini mudah dihiasi dengan bunga bunga iklim sederhana yang berwarna warni. Tempat tempat menarik bagi pelancong sentiasa dihiasi dengan bunga bunga ros, daisy, crysanthemum.

San Francisco juga sebuah bandar yang mempunyai ramai orang Islam . Jangan terkejut bandar ini dan kawasan sekitarnya  mempunyai lebih 90  buah masjid atau Islamic center. Antara kawasan berhampiran ialah  termasuk bandar Berkeley , Oakland dan Richmond


Berkeley merupakan satu bandar yang terletak berhampiran San Francisco.Bandar ini bukan saja mempunyai salah universiti yang terkenal di dunia, Unversity of California(UC) Berkeley  malah ia juga mempunyai sebuah kolej Islam yang pertama di pantai barat Amerika. iaitu Kolej Zaytuna.  
  
Tahun 2012 aku berpeluang untuk melawat kolej ini seketika. Kedudukannya yang terletak di tengah- tengah bandar Berkeley agak menyulitkan kami untuk memarkirkan kenderaan kami. Sebenarnya kolej ini menyewa salah sebuah blok di UC Berkeley. Oleh itu kolej itu tidaklah begitu besar. Walaubagaimanapun ia merupakan satu langkah besar bagi umat Islam di sekitar San Francisco menubuhkan sebuah kolej  Islam di sini.


Awal tahun 2014 bahagian tengah Amerika syarikat dikejutkan dengan arus sejuk polar vortex yang telah menyebabkan banyak negeri mengalami musim sejuk yang ekstrim. Walaubagaimanapun bahagian barat pula menglami kemarau dan cuaca panas. Biasanya pada awal tahun utara California mengalami cuaca sejuk dan hujan.

Bersama beratus-ratus orang Islam di sekitar Teluk San Francisco pada 2 hb Februari mereka telah beramai ramai mengerjakan solat Istisqa' untuk memohon agar Allah turunkan hujan untuk mengurangkan kemarau di sana.  Imam bagi solat ini ialah salah seorang pengasas Kolej Zaytuna.  Alhamdulillah beberapa jam setelah menunaikan solat ini, hujan telah mula turun dengan lebat. Syukur, Allah mendengar permohonan hamba- hambanya secara jemaah.


A few hours after Muslims prayed for rain to relieve the drought affecting California, the Bay Area finally got some rain on Sunday, February 2, soaking parched parks, brown hillsides and thirsty gardens.
“Amazing coincidence? Muslims in the Bay Area went out for the Prayer for Rain, next day this happened…,” @mohamedghilan wrote on Twitter, posting an image for Muslims’ prayer for rain.
“Shaykh @hamzayusuf & @ImamZaidShakir renewing the Prophetic Sunnah. From the longest drought to the biggest rainfall!” @KQZinstitute added.
Calif. Muslims rejoice rain after prayers
With arms up and eyes glued to the sky, American Scholar and co-founder of Zaytuna College, Shaykh Hamza Yusuf, led Saturday’s Muslims prayer for rain.
The event was organized by the San Francisco Bay Area chapter of the Council of American-Islamic Relations (CAIR).
Governor Jerry Brown announced a drought emergency in January as the state went into its third year of dry weather.
Federal officials also declared counties in 11 western and central states as natural disaster areas because of the drought.
The prayer for rain is not the first this year.
Earlier in January, several events for the prayers for rain, called Salatul Istisqa, were organized by California Muslim in Sacramento and San Gabriel Valley.
Organizers have also encouraged people from different faiths to offer prayers according to their religious beliefs.
Muslims believe that Prophet Muhammad (peace be upon him) offered prayers during times of drought.
“Salatul-Istisqa’ is offered when seeking rain from Almighty Allah during times of drought.
The United States is home to a Muslim minority of between six to eight million.
A recent survey found that American Muslims are the most moderate around the world.
It also showed that US Muslims generally express strong commitment to their faith and tend not to see an inherent conflict between being devout and living in a modern society.

Tuesday, July 2, 2013

Sejenak di Friske Orchards- Pertemuan yang Istimewa

Nenek Olga(paling kanan)  bersama aku dan anak- anak
Niat kami hanya untuk singgah sebentar di Friske Orchards ialah  untuk membeli buah- buahan segar. Namun taqdir Allah telah menemukan kami dengan seorang yang sangat istimewa semasa sibuk memiih epal segar. "Hi, those apples are still hard and good. ", muncul seorang perempuan dari sebuah bilik di bahagian belakang bangunan tersebut. Ketika itu kami sedang sibuk memerhati  pelbagai buah- buahan  dan sayuran segar yang  didinginkan agar tidak layu.

Aku masih ingat lagi di tangannya terdapat sebilah pisau nipis dan sebiji epal  yang baru dikupasnya. Rupanya dia sedang mengupas epal ketika kami beramai- ramai masuk ke dalam kedainya.  

Olga atau kami gelarkannya Nenek Olga  sebenarnya tuan punya kedai dan ladang epal yang besar Friske Orchard. 

Kenapa kami gelarkannya 'nenek' dan bukan 'cik'? Sebenarnya beliau sudah berusia lebih  80 tahun dan masih tegap. Daripada keramahan Nenek Olga ternyata dia tidak janggal dengan cara kami berpakaian sebegitu serta bertudung. Nenek Olga memberikan panduan untuk memilih buah-  buahan segar dari ladangnya. Sambil mempromosikan produk produknya Nenek Olga menceritakan sejarah hidupnya mengusahakan Friske Orchards. Orchards bermaksud dusun buah- buahan. 
Bahagian tengah kedai Friske Orchards yang menjual produk selain makanan



Sebenarnya Nenek Olga berasal dari Poland. Akibat dari peperangan yang melanda negara tersebut, dia dan suaminya telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Kedatangan mereka hanya berbekalkan sebuah beg kecil seorang. Setelah menetap beberapa tahun di kawasan terpencil ini, Nenek Olga telah membeli sekeping tanah terbiar untuk mengusahakannya sebagai tanah pertanian.

Nenek Olga bersama suaminya bukan saja  bekerja keras menanam epal, bahkan pelbagai pokok buah buahan yang lain seperti peach, apricot dan ceri. Selain daripada itu pelbagai sayuran juga di tanam di kawasan tersebut. Kesemuanya diusahakan  untuk  menyara hidup mereka sekeluarga. 

Kini suaminya telah meningal dunia ( ternyata daripada nada Nenek Olga beliau masih bersedih dengan pemergian suaminya). Usianya yang semakin lanjut menyebabkan dia terpaksa menyerahkan sebahagian besar tugasnya kepada anak- anaknya. Dia bersyukur anak- anaknya sanggup mengusahakan ladang dan kedainya.

Bunga pokok epal yang sedang kembang mekar di Friske Orchards
Selesai memilih buah- buahan kami sempat bergambar  dan bersalaman dengannya sebagai tanda persahabatan. Walaupun kami berlainan agama, dia seorang Kristian dan kami Muslim, tidak salah kami berbaik dan mengkagumi dirinya yang sanggup berusaha begitu kuat menyara hidup keluarganya. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:" Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar- benar tawakal, maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung. Pagi-pagi burung keluar dari sarang dalam kelaparan, dan petang hari pulang ke sarang dalam kekenyangan" 
(Riwayay al Tarmizi)

Kami terus ke bahagian tengah kedai untuk membayar buahan- buah dan produk lain yang kami pilih. Kalau tidak silap aku, yang menjaga kaunter juruwang ialah anak perempuannya sendiri. Aku nampak peribadinya yang terserlah seperti ibunya, penuh sopan bila aku berbual sebentar dengannya dan memohon kebenaran  untuk menjengok ladang buah -buahan mereka yang betul betul  bersebelahan  kedai mereka. Aku berdoa dan berharap anak- anakku dapat menjagaku jika Allah panjangkan umurku seperti anak-anak  Nenek Olga menjaganya dikala usia menjangkau 80 tahun.

Besar ke ladang Nenek Olga? Apa yang menarik tentang ladang tersebut?
Ikuti sambungan pengembaraan kami. 
Ingin mengikuti pengembaraanku bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik di sini!

Tuesday, June 11, 2013

Islamic Heritage Museum, Washington DC- Usaha Dakwah Orang Islam Yang Patut di Puji.


Islamic Heritage Museum, Washington DC
Assalamualaikum" ucap seorang black American kepada kami sebaik sahaja kami tiba di perkarangan Islamic Heritage Museum tak jauh dari pusat  bandaraya Wasington Dc ini. Dengan senyuman kami menjawab salamnya, penyambung ukhuwah sesama muslim. Suami dan anak lelakiku  segera menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan beliau. 

Oleh kerana kedatangan kami ini tidak diberitahu lebih awal, orang yang terlibat untuk memberi penerangan di situ tidak dapat menghadirkan diri. Hanya penjaga dan peniaga gerai saja yang kelihatan. Maklumlah muzium ini terletak bukan di kawasan mewah. Kawasan ini kawasan blacks dan kebanyakan blacks hanya berpendapatan sederhana. Oleh itu kewangan bagi pengurusan muzium dan kemudahannya  agak terhad. Mengikut perangkaan terkini,  bilangan blacks yang memeluk agama Islam lebih kurang  64peratus berbanding golongan berkulit putih iaitu lebih 20 peratus. Oleh itu lebih ramai orang berkulit hitam yang beragama Islam berbanding orang berkulit putih.

Sebenarnya muzium ini hanyalah sebuah bangunan setingkat yang dari luar kelihatan agak kecil. Namun sebaik sahaja kami masuk ia dipenuhi dengan informasi yang sangat banyak dan berguna tentang sejarah kedatangan islam ke benua Amerika Utara.

Gambar di Mecca, Indiana dimana terdapatnya
batu nisan orang Islam di sana
Di bahagian hadapan muzium  terdapat gambar dan bukti Islam telah sampai ke benua ini sejak tahun 1527. Cara Islam dikatakan sampai ke sini ialah melalui penghambaan. Mengikut sejarah, seorang  berkulit hitam dari Morocco iaitu Estevanico telah ditangkap dan dijadikan hamba setelah tempatnya dijajah. Beliau bersama tuannya telah mengembara ke benua Amerika dan mendarat di Florida, Amerika Syarikat. Walaupun dikatakan beliau telah memeluk agama Kristian, ramai alim ulama percaya dia masih mengamalkan Islam sehingga belau meninggal dunia.

Zaman dahulu kaum Afrika telah ditangkap dan di jadikan hamba oleh orang berkulit putih. Perbincangan tentang bagaimana orang Afrika  dijadikan hamba tidak akan dibincangkan disini kerana apa yang ditekankan ialah bagaimana Islam sampai dan berkembang di benua ini. Walaubagaimanapun apa yang berlaku  sudah tentu mempunyai  hikmah tersendiri.








Bilal, penjaga muzium ini memberitahu kami sebahagian penyelidikan yang mereka buat adalah berdasarkan nama tempat di Amerika Syarikat  yang tampak ada unsur keislaman. Misalnya di Indiana terdapat sebuah tempat bernama  Mecca(Mekah). Setelah diselidik rupa- rupanya terdapat orang Islam di sini berdasarkan nama dan tulisan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah tertera pada beberapa buah batu nisan yang terdapat di sebuah perkuburan di sana.

Bergambar di hadapan replika besar Setem Eid Greetings yang
yang dikeluarkan oleh US Postal Service

Muzium ini terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut pembahagian abad, (kalau tak silap) yang  menunjukkan perkembangan Islam di sana. Misalnya pada bulan November tahun 2000 United States Postal Service, Amerika  Syarikat telah mula mengiktiraf Islam sebagai salah satu agama di negara mereka apabila setem Eidul Fitr dicetak semasa bulan Ramadhan dan Syawal. 

Juga pada bahagian ini dipamerkan gambar- gambar orang Islam Amerika  yang memegang  jawatan tinggi dalam pentadbiran Amerika Syarikat, askar, perniagaan dan lain- lain.  

Sesungguhnya kami berbangga melihat  orang Islam semakin diterima dalam kalangan rakyat Amerika. Kemungkinan besar inilah  hasil dakwah dan keperibadian orang Islam sendiri  di sana.



Melangkah keluar dari muzium ini memberi keazaman yang kuat  bagi kami sekeluarga untuk terus berdakwah tanpa mengira kaum. Orang  Islam di sini telah berusaha menunjukkan bahawa Islam itu agama yang  cintakan keamanan disebalik peristiwa 9/11 dan yang terkini peristiwa Boston Marathon 2013.

Ajaib sungguh kerja dakwah.

Ada manusia yang boleh tersentuh dan beriman kepada Allah dalam tempoh yang singkat. Ada manusia yang memerlukan masa yang lebih panjang

Allah memiliki semua hati makhlukNya dan memilih sesiapa yang Dia kehendaki untuk beriman.

Tanggungjawab kita hanyalah menyebarkan agama Allah serta memanafaatkan segala kesempatan yang ada. Berkemungkinan, berdasarkan usaha dakwah kita itu, mad'u akan menimbangkan dan memberikan kesan di hatinya, biarpun bukan sekarang.

Kerja dakwah tidak boleh mengharapkan kesan serta merta. Apa yang penting, kita perlu membuatkan komuniti non Muslim ini memahami isi ajaran Islam secara tepat dan jelas.

Mohd Al Adib Samuri - Solusi isu 39


Thursday, May 30, 2013

Mencari Asal Usul Kedatangan Islam ke Amerika Syarikat- Islamic Heritage Museum, Washington DC

Dua kuntum bunga raya di halaman sebuah rumah
di Washington DC
Mencari kawasan tempat letak kereta di kawasan bandar sememangnya sukar terutama sekali bandar besar seperti Washington DC. 

Di Amerika Syarikat terdapat dua tempat yang  namanya Washington, iaitu Washington state ( negeri Washington) dan bandaraya Washington yang terletak di District of Columbia,  atau ringkasnya Washington DC. 

Islamic Heritage Museum, Washington DC
Sebab itulah sesiapa yang mahu datang ke sini mesti memastikan tempat yang di tuju ialah sebuah negeri atau bandaraya apabila disebut Washington. Kedua- duanya terletak berpuluh ribu kilometer di antara satu sama lain. Satu di sebelah timur dan  satu di sebelah barat. 

Alhamdulillah tidak lama kami berpusing- pusing mencari  tempat parkir, akhirnya kami dapat meletakkan kenderaan mpv kami di hadapan sebuah rumah yang mempunyai  dua kuntum bunga raya merah  sedang kembang mekar di halaman rumah tersebut. Bangga juga melihat bunga kebangsaan di tanam disini. 

Kalau di Malaysia kita tidak ambil kisahpun  bila melihat bunga tersebut. Di sini, setiap apa yang terlihat berkaitan dengan negara samada bunga, bendera, pakaian, matawang atau makanan menjadikan sesiapa yang dilahirkan atau warnanegara Malaysia berasa bangga dan 'excited'.

Tempat yang kami tuju? Islamic Heritage Museum yang baru saja dibuka pada pertengahan 2011, lebih kurang setahun sebelum kami sampai ke sana. 

Kenapa kami pergi ke tempat sebegini sebagai tempat tuju yang utama? 

Pertama, tempat itu boleh dijadikan sebagai tempat rujukan bagaimana Islam mula- mula sampai ke benua Amerika. Ingat jumlah orang Islam di Amerika Syarikat  setakat ini danggarkan 6-7 juta orang. Agama Islam dikatakan antara agama yang paling cepat berkembang di negara ini berdasarkan ramainya orang yang memeluk Islam sekian hari. 

Ironinya negara inilah yang selalu dikutuk oleh orang Islam di negara lain.Setiap kali budaya negatif disebut, hampir setiap kali disebut ini budaya Amerika atau budaya barat tanpa mengambil kira  betapa ramainya orang Amerika dan orang barat yang memeluk agama Islam setiap hari. Mungkin penceramah atau ustaz- ustaz di sini perlu mengubah istilah budaya barat kepada budaya negatif atau budaya orientalis dan sebagainya. Daripada sinilah diharapkan rakyat negara ini dapat mengubah daripada menggunakan perkataan budaya barat kepada budaya  negatif atau budaya orientalis.

Kedua, sebagai umat Islam, kami ingin turut serta berbangga melawat apa saja yang berkaitan dengan Islam, tak kira samada terdapat  fahaman- fahaman Islam  yang berlainan. Misalnya ada fahaman yang tidak setuju dengan cara Nation of Islam yang banyak diwakili oleh Blacks.  Perkataan 'negro' jangan sekali- kali digunakan di sini kerana negro menngaitkan orang- orang berkulit hitam dengan hamba. Panggillah mereka dengan 'blacks' atau 'orang berkulit hitam' samada di Amerika mahupun di negara kita. Belajarlah untuk menghormati panggilan yang mereka lebih suka, Itulah yang dianjurkan oleh Islam, bukan?

Al Hujurat:11
Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak(dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh  dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.(Larangan- larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka amat buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang- orang yang zalim.

 Bersambung

Monday, May 20, 2013

Singgah bersolat di Islamic Center Milwaukee, Wisconsin

Perjalanan dari Dubuque ke Milwaukee yang merupakan bandar terbesar di Wisconsin hanya mengambil masa 3 jam. Cuaca begitu suram ketika itu seolah- olah musim dingin belum berakhir walaupun bulan Mei sudah tiba.  

Tujuan utama kami ke bandar besar ini ialah mencari Islamic Center untuk menunaikan tuntutan solat lima waktu kami. Berpandukan kepada GPS yang dibekalkan  dalam kereta, agak mudah kami mencari Islamic Center ini yang terletak tidak jauh dari pusat bandar.

Dari jauh bangunan Islamic Center ini tersergam indah. Bangunannya yang tinggi dan besar menunjukkan betapa  kuatnya pengaruh Islam di sini. 

Bersebelahan Islamic Center ini terdapat sebuah sekolah menengah yang agak besar. Kelihatan beberapa  orang pelajar dan ibubapa mereka sedang keluar masuk bangunan tersebut walaupun jam sudahpun mencecah pukul 6 petang. Biasanya waktu persekolahan di negara ini ialah dari pukul 9 pagi hingga 3 petang. Terdapat juga sebuah gym untuk kemudahan mereka untuk berekreasi.

Suhu pada ketika itu iaah 51 darjah Fahrenheit. Amat berbeza dengan suhu di Iowa yang begitu panas ketika kami bertolak ke Milwaukee ini. Angin dingin yang bertiup kencang menyebabkan kami terketar-ketar keluar daripada kereta yang diparkir di kawasan tersebut. 

Ruang solat lelaki dan wanita adalah di tempat yang berasingan.  Tempat solat lelaki terletak di bahagan bawah manakala tempat solat wanita adalah di bahagian atas.  Lega rasanya sebaik saja kami masuk ke dalam bangunan tersebut kerana ia dilengkapi alat pemanas. Malah air paip untuk berwudhu' juga berasa agak panas. Lebih selesalah kami bersolat di situ. 

Tatkala kami masuk,kedengaran sebuah ceramah yang disampaikan oleh seorang pemuda. Agak ramai yang sedang mendengar ceramah tersebut bukan saja di kalangan lelaki, malah juga terdapat kaum wanita.  Alhamdulillah, Islamic Center sentiasa diimarahkan oleh ahli- ahlinya berdasarkan poster- poster  yang terampang di papan kenyataan disini.

Selesai bersolat, kami menuju ke bahagian luar untuk bergambar supaya dapat diabadikan dalam travelog kami nanti. Alhamdulillah, kami bersyukur dapat sampai ke sini dan bertemu dengan orang orang Islam di sini meskipun tidak dapat berbual panjang dengan mereka. 

Monday, April 8, 2013

Syukurnya Dapat Bersolat 'Open Air'

Bersolat semasa pengembaraan biasanya mudah jika kita mengembara di negara sendiri atau di negara Islam kerana  biasanya surau dan masjid banyak didapati di sana. Namun jika kita mengembara di luar negara yang bukan Islam, kita hendaklah bersedia untuk solat di mana- mana sahaja sekiranya masjid atau Islamic Center tak sempat kita kunjungi atas alasan tertentu. 

Walaupun Islamic center semakin banyak di Amerika Syarikat, ada kalanya terdapat tempat- tempat yang dikunjungi tidak terdapat masjid atau ruang khas untuk solat. Keadaan ini ketara di tempat tempat peranginan terutama sekali kawasan pergunungan atau kawasan gurun. Almaklum tidak ramai pengusaha restoran makanan halal di tempat sebegini. Biasanya resoran halal di luar negara  menyediakan surau untuk pengusaha dan pekerjanya supaya mudah mereka menunaikan solat.

Namun semasa pengembaraan ke Amerika Syarikat pada tahun 2012, kami mengambil peluang ini untuk bersolat di tempat yang 'open air' sekali sekala. Salah satu tempat yang kami solat ialah di Sequioa Park, California. Sequoia Park ialah tempat dimana banyak pokok gergasi Sequoia yang tumbuh di kawasan pergunungan. Malah pokok yang terbesar di dunia yang digelar General Sherman juga terdapat di sini. 

Ketika kami sampai di sini, keadaan persekitaran masih bersalji. Kami memilih untuk bersolat di kawasan tempat letak kereta yang kurang salji dan tidak terdapat salji cair yang mengalir di situ supaya mudah kami meletakkan sejadah.  Air paip walaupun sangat sejuk namun ia tidak beku. Terketar- ketar juga kami mengambil wudhu di bilik air yang terdapat di sini. 

Aku sendiri yang mempunyai masalah untuk duduk tasyahud dan tahiyat (akibat  masalah tulang belakang) telah menggunakan bahagian belakang kereta untuk duduk semasa solat. Alhamdulillah,  tak sampai pun 20 minit pun kami gunakan untuk menunaikan solat jamak zuhur asar. Anak bongsuku begitu seronok solat dikelilingi salji. 

Udara dingin yang dikelilngi salji ciptaan Allah ini tiada bandingannya dengan udara sejuk yang keluar daripada pendingin hawa. Suasana hening dikelilingi pokok- pokok gergasi ini tiada bandingannya dengan suasana hening di dalam bangunan ciptaan manusia. Sesungguhnya alam semulajadi ciptaan Allah mempunyai kesan yang istimewa terhadap ketenangan jiwa dalam menghadap menyembah  Illahi.

"Sesungguhnya solat itu fardhu atas orang mukmin dengan kefardhuan yang berwaktu."Surah al Nisa':103

Alhamdulillah,  Syukur dan lega rasanya kerana kami sempat bersolat jamak zuhur asar. Motel seterus yang  hendak  kami tuju dianggarkan sampai hanya selepas hari gelap iaitu pada waktu isyak.

Friday, March 22, 2013

Ingat lagi ke Blackstone Ave, Fresno, California

Jika disebut Blackstone Avenue di Fresno semasa awal tahun 80an dulu, tentu ramai yang tahu jalan ini sangat popular untuk aktiviti 'shopping'.  Dulu disinilah terdapat K mart, Woolworth dan sebagainya yang sangat sesuai bagi kami golongan pelajar yang mempunyai bajet terhad. Hujung minggu jalan ini agak sibuk kerana kawasan ini tumpuan orang ramai untuk membeli belah . 

Tahun 2012 dahulu semasa melawat Fresno, kami telah menyewa salah sebuah hotel bajet di sini selama 2 malam.
Kini Blackstone Ave tidak lagi menjadi kawasan membeli belah yang popular kerana kebanyakannya aktiviti ini tertumpu di kawasan Clovis.  Kawasan Blackstone Avenue ini kini dipenuhi oleh pelbagai motel, iaitu hotel bajet.

Clovis yang dulunya hanya sebuah pekan kecil kini telah berkembang kerana wujudnya malls, supermarket dan   hypermarket seperti walmart dan Savemart. Walaubagaimanapun mereka telah mengekalkan satu bahagian daripada kawasan Clovis  ini untuk cowboy town. 

Ketika berada di Fresno  kami dijemput oleh seorang kenalan kami yang bermastautin di sana untuk menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran Arab Ya Hala di kawasan Blacsktone Avenue. Antara hidangannya ialah beef Shawarma dan kebab. Setiap hidangannya sangat banyak. Sesuai untuk satu hidangan orang Arab namun untuk kami setiap hidangan cukup untuk mengenyangkan 2 orang. 

Kenalan kami ini sebenarnya pembekal daging halal di restoran ini. Dia bertanggungjawab di bahagian daging halal di sebuah syarikat pembekal daging antarabangsa. Malah dia sendiri yang menyembelih lembu- lembu di syarikat tersebut. Oleh sebab itu kehalalan daging di restoran ini , insyaAllah terjamin.

Awal tahun 80 an dahulu restoran halal tidak wujud di Fresno. Kini semakin banyak restoran halal dan kedai halal di sini. Alhamdulillah.

Tawaran hebat: Travelog Pengembaraanku di USA- Putik PUtik Islam yang Kian Berkembang
Klik di sini untuk tahu apakah tawaran hebat itu.

Thursday, March 14, 2013

NASA dan Lapangan terbang di Gurun Mojave

image source-www.eecs.berkeley
Nasa di Gurun Mohave
Sejak mula heboh tentang meteorit, perkataan NASA mula kelihatan di sana sini. NASA yang bermaksud National Aeronautics and Space Administration merupakan sebuah agensi Amerika Syarikat yang bertanggungjawab tentang penyelidikan sains angkasa dan aeronautik. Samalah di Malaysia  perkataan yang sering kita dengar ialah  planetarium dan. Agensi Angkasa Negara. Setiap kali berlaku gerhana atau  objek yang pelik kelihatan di langit  malam kita akan teringat dengan badan ini atau planetarium. 

Salah satu tempat yang agak terkenal dengan NASA ialah kawasan Gurun Mojave(cara menyebutnya ialah mohavi) yang terletak di sempadan California Nevada. Sewaktu mengembara di USA pada tahun 2012 kami telah melalui tempat ini untuk sampai ke tempat yang dituju iaitu Red Rock Canyon. Di kawasan ini kami ternampak sebuah lapangan terbang yang mempunyai banyak kapalterbang kecil. Mulanya terasa agak pelik memikirkan kenapa perlunya lapangan terbang di tempat terpencil sebegini. Namun setelah di layari internet, barulah aku tahu ia adalah tempat berlepasnya space shutlle iaitu sebuah kenderaan yang menggantikan roket ke angkasa lepas.

Tak jauh dari situ juga terdapat pusat penyelidikan NASA dimana disitulah terdapat antena setinggi70 meter digunakan  untuk menyelidik asteroid 2012 DA14 selepas terjatuhnya meteorit di Rusia baru baru ini. Namun kami tidak berpeluang ke sana kerana tumpuan dan tempat yang hendak di tuju ialah Red Rock Canyon.
Walaubagaimanapun aku bersyukur dapat sampai ke tempat ini kerana  kini aku dapat bayangkan bagaimana keadaan persekitaran yang dipiih oleh NASa agar penyelidikan mereka lebih mudah tanpa kesibukan darat dan udara.

Popular Posts