Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Friday, September 27, 2013

Jangan tersalah niat dalam hidup

Madrasah di Pulau Mabul. Sabah
Orang yang tersalah niat dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang  dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga dibayangi kefakiran dan takut miskin.

Orang yang tersalah niat dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia- sia. Ia membuang energi untuk mengejar ijazah , bukan untuk menimba ilmu. Kaum muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

Orang yang tersalah niat dalam berdakwah akan hidup dalm kebencian. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebenaran, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Dan yang paling rosak adalah orang yang tersalah niat bahkan tidak mempunyai niat dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah dan tujuan hidup.

Manusia seperti ini sangat pandai dalam urusan dunia namun sangat jahil tentang urusan akhirat. 
" Mereka mengetahui yang lahir daripada kehidupan dunia; sedang tentang akhirat mereka sangat lalai." 
Surah al Rum 30:7

Ayat ini sebenarnya berbicara tentang sifat orang kafir, namun sayangnya ayat ni juga untuk sebahagian profesional Muslim pada masa ini. Mereka sangat pakar dalam politik, sains, muzik, ekonmi dan pelbagai  ilmu sekular yang lainnya, namun tidak mengetahui apa apa yang berkaitan hukum halal  haram dalam keluarga, fardhu ain, muamalat dan ibadahnya.

Imam Hassan al Basri menggambarkan keadaan ini seperti berikut:
" Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar."( disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.)
sumber: Umar M Noor- solusi isu 27

Tuesday, June 11, 2013

Islamic Heritage Museum, Washington DC- Usaha Dakwah Orang Islam Yang Patut di Puji.


Islamic Heritage Museum, Washington DC
Assalamualaikum" ucap seorang black American kepada kami sebaik sahaja kami tiba di perkarangan Islamic Heritage Museum tak jauh dari pusat  bandaraya Wasington Dc ini. Dengan senyuman kami menjawab salamnya, penyambung ukhuwah sesama muslim. Suami dan anak lelakiku  segera menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan beliau. 

Oleh kerana kedatangan kami ini tidak diberitahu lebih awal, orang yang terlibat untuk memberi penerangan di situ tidak dapat menghadirkan diri. Hanya penjaga dan peniaga gerai saja yang kelihatan. Maklumlah muzium ini terletak bukan di kawasan mewah. Kawasan ini kawasan blacks dan kebanyakan blacks hanya berpendapatan sederhana. Oleh itu kewangan bagi pengurusan muzium dan kemudahannya  agak terhad. Mengikut perangkaan terkini,  bilangan blacks yang memeluk agama Islam lebih kurang  64peratus berbanding golongan berkulit putih iaitu lebih 20 peratus. Oleh itu lebih ramai orang berkulit hitam yang beragama Islam berbanding orang berkulit putih.

Sebenarnya muzium ini hanyalah sebuah bangunan setingkat yang dari luar kelihatan agak kecil. Namun sebaik sahaja kami masuk ia dipenuhi dengan informasi yang sangat banyak dan berguna tentang sejarah kedatangan islam ke benua Amerika Utara.

Gambar di Mecca, Indiana dimana terdapatnya
batu nisan orang Islam di sana
Di bahagian hadapan muzium  terdapat gambar dan bukti Islam telah sampai ke benua ini sejak tahun 1527. Cara Islam dikatakan sampai ke sini ialah melalui penghambaan. Mengikut sejarah, seorang  berkulit hitam dari Morocco iaitu Estevanico telah ditangkap dan dijadikan hamba setelah tempatnya dijajah. Beliau bersama tuannya telah mengembara ke benua Amerika dan mendarat di Florida, Amerika Syarikat. Walaupun dikatakan beliau telah memeluk agama Kristian, ramai alim ulama percaya dia masih mengamalkan Islam sehingga belau meninggal dunia.

Zaman dahulu kaum Afrika telah ditangkap dan di jadikan hamba oleh orang berkulit putih. Perbincangan tentang bagaimana orang Afrika  dijadikan hamba tidak akan dibincangkan disini kerana apa yang ditekankan ialah bagaimana Islam sampai dan berkembang di benua ini. Walaubagaimanapun apa yang berlaku  sudah tentu mempunyai  hikmah tersendiri.








Bilal, penjaga muzium ini memberitahu kami sebahagian penyelidikan yang mereka buat adalah berdasarkan nama tempat di Amerika Syarikat  yang tampak ada unsur keislaman. Misalnya di Indiana terdapat sebuah tempat bernama  Mecca(Mekah). Setelah diselidik rupa- rupanya terdapat orang Islam di sini berdasarkan nama dan tulisan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah tertera pada beberapa buah batu nisan yang terdapat di sebuah perkuburan di sana.

Bergambar di hadapan replika besar Setem Eid Greetings yang
yang dikeluarkan oleh US Postal Service

Muzium ini terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut pembahagian abad, (kalau tak silap) yang  menunjukkan perkembangan Islam di sana. Misalnya pada bulan November tahun 2000 United States Postal Service, Amerika  Syarikat telah mula mengiktiraf Islam sebagai salah satu agama di negara mereka apabila setem Eidul Fitr dicetak semasa bulan Ramadhan dan Syawal. 

Juga pada bahagian ini dipamerkan gambar- gambar orang Islam Amerika  yang memegang  jawatan tinggi dalam pentadbiran Amerika Syarikat, askar, perniagaan dan lain- lain.  

Sesungguhnya kami berbangga melihat  orang Islam semakin diterima dalam kalangan rakyat Amerika. Kemungkinan besar inilah  hasil dakwah dan keperibadian orang Islam sendiri  di sana.



Melangkah keluar dari muzium ini memberi keazaman yang kuat  bagi kami sekeluarga untuk terus berdakwah tanpa mengira kaum. Orang  Islam di sini telah berusaha menunjukkan bahawa Islam itu agama yang  cintakan keamanan disebalik peristiwa 9/11 dan yang terkini peristiwa Boston Marathon 2013.

Ajaib sungguh kerja dakwah.

Ada manusia yang boleh tersentuh dan beriman kepada Allah dalam tempoh yang singkat. Ada manusia yang memerlukan masa yang lebih panjang

Allah memiliki semua hati makhlukNya dan memilih sesiapa yang Dia kehendaki untuk beriman.

Tanggungjawab kita hanyalah menyebarkan agama Allah serta memanafaatkan segala kesempatan yang ada. Berkemungkinan, berdasarkan usaha dakwah kita itu, mad'u akan menimbangkan dan memberikan kesan di hatinya, biarpun bukan sekarang.

Kerja dakwah tidak boleh mengharapkan kesan serta merta. Apa yang penting, kita perlu membuatkan komuniti non Muslim ini memahami isi ajaran Islam secara tepat dan jelas.

Mohd Al Adib Samuri - Solusi isu 39


Tuesday, August 7, 2012

Sebatang Pen Fountain- Gaya Penulisan yang Kreatif dan Cantik

Kata orang mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Namun aku kurang pasti samada golongan muda sekarang faham apa yang di maksudkan dengan mata pena mahupunmata pedang. Sejarah telah menyaksikan betapa mata pena memainkan peranan penting semasa rakyat bangkit menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan.

Aku masih teringat sewaktu kali pertama kami diwajibkan membeli pen untuk latihan menulis 'cursive' di sekolah. Kami dikehendaki membeli atau mendapatkan pen fountain atau pen berdakwat basah. Bapaku telah membeli sebuah pen fountain berwarna hijau lalu di hadiahkan kepadaku. Aku sangat teruja menerima pen tersebut kerana bagiku ia merupakan satu hadiah yang sangat istimewa bagiku. Pen ini mempunyai alat pengepam yang membolehkan dakwat basah dari botol dakwat masuk ke dalamnya sebelum ditulis. Memang comot habis tanganku setiap kali mengisi dakwat tersebut. Namun itulah antara keseronokan memiliki sebatang pen fountain. Seminggu sekali aku aku akan membasuhnya dengan air biasa untuk memastikan mata penanya tidak tersumbat supaya pengaliran dakwat boleh berterusan keluar. Selepas itu pen itu perlu dikeringkan. Nampak remeh tapi masyarakat zaman itu memang menghargai sebatang pen berlainan daripada sekarang ini.  

Menulis dengan fountain pen ini sangat selesa kerana kita tak perlu tekan atau memerlukan tenaga yang banyak. Lebih cantik lagi jika ditulis cara 'cursive'. Sudah tentu sewaktu baru-baru menggunakannya samalah seperti kita baru belajar menulis, comot sana sini. Tambah tambah lagi tangan kita yang melekat penuh dengan dakwat. Bertambah comotlah lagi kertas yang kita hendak menulis.

Walaupun pen itu mungkin hanya berharga RM2 - RM3 bagiku ia suatu benda yang berharga. Maklumlah setiap hari aku hanya menerima paling banyak hanya 20 sen sahaja untuk belanja sekolah. Membelanjakan sesuatu yang berharga lebih daripada seringgit samalah seperti kita hendak membelanjakan lebih daripada RM100 sekarang ini. 

Dengan memperolehi sebatang pen fountain, kita akan lebih menghargai gaya penulisan yang pelbagai bentuk kreatif. Jika dibandingkan dengan orang dahulu zaman pra kemerdekaan dengan generasi terkini, generasi terdahulu mempunyai tulisan tangan yang sangat cantik berbanding generasi sekarang. Contohnya arwah bapaku mempunyai tulisan yang sangat cantik walaupun ia hanya coretan kecil di diarinya. Sebab itulah orang zaman terdahulu pada pendapat saya berjiwa seni dan boleh melahirkan penulisan dan poster yang begitu cantik untuk membuat orang berhenti seketika untuk memandang,membaca dan menghayati sebuah poster kecil walaupun ia semata-mata untuk menaikkan semangat kebangsaan atau kemerdekaan.

Ia juga telah dijadikan medium untuk menyebarkan dakwah di nusantara ini. Atas sebab inilah aku berpendapat untuk menyebarkan dakwah, sesuatu poster yang bermesej perlu kemas, menarik dan kreatif.

Popular Posts