Showing posts with label Kaabah. Show all posts
Showing posts with label Kaabah. Show all posts

Thursday, October 9, 2014

Bahagian 6: Sejarah Hijir Ismail

Hijir Ismail ialah tempat Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isterinya, Hajar dan anaknya Ismail di kawasan Kaabah. Ia dijadikan oleh Nabi Ibrahim sebagai tempat bangsal kawasan berteduh  dan juga menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail a.s. kemudiannya
Riwayat ini menunjukkan pada asalnya Hijir Ismail tidak termasuk dalam binaan Kaabah. Sebaliknya merupakan kawasan kandang yang terletak di luar kawasan Kaabah. 


Namun begitu semasa kaum Quraisy membina semula Kaabah, mereka telah mengecilkannya di bahagian utara kerana kekurangan perbelanjaan. Mereka mengurangkannya sebanyak enam hasta sejengkal (3 meter) menurut riwayat yang Shahih dan memasukkannya  ke dalam Hijir Ismail. 

Abdullah bin Zubair r.a. pada zaman pemerintahannya telah meruntuhkan Kaabah dan memasukkan semua bahagiannya dalam pembinaan Kaabah. Walaubagaimanapun semasa Hajjaj memerintah, beliau telah membinanya semula mengikut binaan Quraisy dan demikianlah keadaannya hingga kini. 

Hijir Ismail pada hari ini merupakan satu binaan berbentuk separa bulatan di bahagian utara Kaabah. Tempat ini  antara tempat yang disunatkan bersolat dan mustajab doa. Oleh itu kawasan ini sentiasa dipenuhi para jemaah. Namun, biasanya orang tidak duduk lama di situ , sekadar untuk solat dan berdoa sahaja. Janganlah kita takut untuk memasukinya kerana insyaAlah dengan berdoa pasti ada tempat untuk kita bersolat dan bermunajat di situ.  

Seseorang yang bertawaf tidak sah sekiranya mengambil jalan pintas masuk menerusi Hijir Ismail kerana sebahagian daripadanya  dikira bahagian Kaabah yang asal .


Pernah Rasulullah s.a,w. bersabda kepada Aisyah r.a.  yang bermaksud;" Solatlah kamu di dalam Hijir ini kalau kamu ingin memasuki ke dalam Kaabah kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.
Namun kaummu(Quraisy) kekurangan perbelanjaan ketika membinanya. Maka mengambil keputusan mengeluarkannya daripada binaan Kaabah."
(At Tarmizi no 876 ( Shahih), Shahih At Tarmizi 1/261 no 693)

Sumber: Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahamad Husni Abd Rahman

Wednesday, October 1, 2014

Bahagian 3- SEJARAH MAQAM IBRAHIM


Ruginya kita apabila berada di masjidil haram kita tidak mengetahui tentang adanya sesuatu dari syurga berada di depan mata kita iaitu Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Meskipun ia tidak termasuk dalam rukun umrah, kedua duanya ialah sesuatu yang Allah turunkan dari syurga ke bumi ini dan Allah kekalkan kewujudannya hingga ke hari ini. Inilah bukti kekuasaan Allah dan bukti adanya syurga yang pernah didiami oleh Nabi Adam a.s.

Antara bukti batu-batu  ini berasal dari syurga ialah

Sabda Nabi SAW yang bermaksud," Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim merupakan dua biji batu daripada batu Syurga. Allah Swt telah menghilangkan cahaya pada kedua duanya. Jika tidak, pasti akan cerah menerangi segenap pelusuk timur dan barat."

(Sunan at Tarmizi no 877, Shahih Ibn Hibban, Al Ihsan 9/24)

Bagi yang belum pernah mengerjakan haji atau umrah mungkin mereka terkeliru dengan apakah sebenarnya Maqam Ibrahim.

'Makam dari aspek bahasa Arab bererti tempat berpijak. Makam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan tempat bapanya memijak ketika proses pembinaan Kaabah. 

Diriwayatkan oleh Said bin Jubair bahawasanya beliau berkata," Batu Makam Ibrahim ini, Allah Taala telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat." Oleh sebab itu, walaupun lama Nabi Ibrahim a.s. berpijak di atasnya, baginda tidak terasa sakit mahupun penat. Maka, disebabkan itu juga masih kekal kesan tenggelamnya tapak kaki Ibrahim a.s. sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. 

Sungguh ajaib kerana di atas  batu inilah baginda membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu batu yang dihulurkan oleh Ismail a.s.  Walaupun tidak mempunyai ilmu pembinaan khusus, Nabi Ibrahim tdak memberi sebarang alasan tatkala diperintah Allah SWT untuk membina Kaabah. 

Syeikh Tahir al Kudi mencatatkan kesan tapak kaki di Makam Ibrahim sebenarnya sedalam 10 cm dan sebelah lain sedalam 9 cm. Panjangnya 22 cm  dan lebar 11 cm. 

Maka ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim mempunyai ketinggian yang yang lebih kurang sama dengan kebanyakan lelaki pada zaman sekarang.'

Sumber:Ust Ahmad Husni Abd Rahman: Bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Sesungguhnya Allah Maha  Berkuasa memerintahkan batu tersebut menjadi lembut agar kaki Nabi Ibrahim tidak terasa sakit sewaktu membina Masjidil Haram.  Dengan menyaksikan batu-batu tersebut, kita dapat menghayati betapa maha kuasanya Allah terhadap makhluk-makhluk di bumi ini. 

Makam Ibrahim pula antara tempat yang paling mustajabnya doa di Baitullah selain daripada Multazam, Mizab , Hijir Ismail, Bukit Safa dan Marwah.

Mohonlah keampunan Allah dan berdoalah kepada Allh kerana Dia Maha berkuasa mengampunkan dan memperkenankan doa-doa kita. Dia juga Maha Berkuasa menjadikan segala-galanya.

Bahagian 5: Hikmah Air Zamzam dan Keadaan Kawasan Saie Dulu dan Kini

Antara hikmah air zamzam ialah
Paip Zam zam dalam Masjidil Haram

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: " Sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi ialah air zam zam. Terdapat di dalamnya zat makanan( orang yang meminumnya berasa kenyang) dan penyembuh penyakit."
(Shahih al Jami', no 3322)

Namun kita jangan lupa berniat setiap kali kita meminumnya berdasarkan hadith ini
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Air zam zam itu untuk sebarang tujuan( niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah)."
( Riwayat Ibn Majah)

Sumber- Ust Ahmad Husni Abd Rahman- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain.


Teringat sewaktu menunaikan haji tahun 1990an dahulu, untuk sampai ke tempat berhampiran telaga zam zam, kita hanya perlu menuruni tangga yang  terletak tidak jauh dari Kaabah. Kawasan ini terbahagi kepada bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berwuduk atau menyimbah air zam zam ke seluruh badan  (dengan berpakaian). Maklumlah air zam zam ini boleh dijadikan ubat pelbagai penyakit.

Sewaktu mengerjakan umrah April 2014, Masjidil haram masih dalam peringkat perluasan. Bahagian telaga zam zam telah di tutup. Oleh itu kami tidak dapat pergi ke bahagian ini. Air zam zam masih mudah didapati di kawasan Masjidil Haram ini. Paip- paip air zam zam banyak dipasang untuk memudahkan jemaah menikmati sepuas puasnya air ini tatkala mengerjakan tawaf, bersaie mahupun bersolat di sini. Alhamdulillah.

Pada tahun 1990an dulu ruang saei' hanya setingkat.Bukit Safa dan Marwah dapat diperhatikan dengan jelas dari kaki bukit hingga ke puncak. Tak dapat kami bayangkan bagaimana Siti Hajar dapat mendaki bukit sebegini. Bukit ini bukan bukit berpasir seperti di padang pasir ataupun bertanah dan berpokok seperti di Malaysia. Safa dan Marwah merupakan bukit berbatu. Semata- mata batu tanpa pokok mahupun tumbuhan renek. Tabah sungguh Siti Hajar memanjat bukit sebegini.

Tahun 2014, sewaktu mengerjakan umrah, kawasan Saie telah dijadikan 3 tingkat. Kebanyakan jemaah bersaie di tingkat 2.  Tingkat atas disediakan untuk kenderaan seperti motor yang disediakan khas untuk saie.Bagi sesiapa yang tidak berupaya untuk mengerjakan saie dengan berjalan kaki, kerusi roda disediakan dengan percuma( jika ditolak sendiri) atau boleh juga di upah tolak( agak mahal bayarannya)  Bukit Safa dan Marwah kini  dapat kita amati secara dekat  dari kaki bukit hingga ke puncaknya jika kita pergi setingkat demi setingkat. Tempat bersaie juga sekarang berhawa dingin keseluruhannya. Alhamdulillah, kini  ibadah saie lebih selesa bagi para jemaah.



Kawasan Saie Masjidil Haram

Bahagian 4: Sejarah ZamZam


Nabi Ibrahim telah membawa Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang masih menyusu ke lembah berdekatan tapak Kaabah. Baginda meninggalkan mereka di bawah pohon yang merupakan tempat telaga zamzam( pada hari ini).


Bukit Marwah
Makkah bukanlah sebuah kawasan yang subur. Ia tdak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ dengan berbekalkan beberapa biji tamar dan sebekas air sahaja. 

Tatkala tiba waktu Ibrahim akan meninggalkan Hajar dan Ismail a.s., baginda berhenti di suatu tempat bernama Thaniyyah lantas menghadap ke arah Kaabah dan berdoa:

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada sebarang tanaman tetapi dekat dengan rumahMu(Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian bukanlah atas tujuan lain) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia sentiasa cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim 14:37)

Hajar menyoal Nabi Ibrahim tentang tindakan Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ tetapi tidak mendapat jawapan apa-apa dari baginda. Akhirnya dengan iman yang kuat, Hajar menanyakan Nabi Ibrahim," Apakah ini merupakan perintah Allah?" Ibrahim menjawab,"Ya." Lalu Hajar menyambung ," Jika begitu, pasti Allah tidak akan membiarkan kami."

Hajar terus menyusukan Ismail dan meminum bekalan mereka setelah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka. Hinggalah ke satu masa bekalan itupun habis dan kedua-duanya merasa haus.

Tangisan Ismail semakin kuat. Lantas Hajar mendaki Bukit Safa yang terdekat dengannya,mana tahu kelihatan kelibat manusia di situ. Namun tiada. Hajar turun dari Bukit Safa dan berjalan dengan cemas. Bila sampai di tengah lembah ( kini di tandakan dengan kawasan lampu hijau), Hajar menyinsing kainnya lalu berlari-lari anak. Kemudian dia terus berjalan ke bukit Marwah dengan harapan yang sama namun hajatnya tidak kesampaian. Hajar mengulangi perbuatan naik dan turun antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.  Jarak di antara bukit Safa dan Marwah lebih dari 400 m. Bagi seorang ibu yang sedang menyusu berjalan dan berlari dalam keadaan panas sebegini sangat meletihkan.

Setelah sampai di puncak bukit Marwah, Hajar terdengar satu suara berhampiran tempat dia meletakkan Ismail. Bila dia berpaling, dia terkejut  melihat malaikat sedang menggali tanah( dengan sayapnya) di tepi kaki Ismail yang terhentak-hentak bila ia menangis. Tiba-tiba diperhatikannya terpancar keluar air dari tempat itu. 

Hajar terus berlari ke tempat tersebut dan membuat batas disekeliling mata air tersebut agar air dapat berkumpul di situ. Lantas dia mengisi bekas minuman yang sudah kosong agar dapat ia dapat melegakan  tekaknya yang sangat haus itu.

Begitulah sejarah asalnya telaga zam zam.

Sumber:  Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman - bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Sunday, September 28, 2014

Sedikit Sejarah Hajarul Aswad

Sedikit Sejarah Hajarul Aswad
Tatkala Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah bersama- sama anaknya Ismail a.s., proses pembinaan sampai ke tempat Hajarul Aswad. Lalu Nabi Ibrahim a.s. meminta agar Ismail a.s. mencari seketul batu yang boleh dibuat penanda tempat permulaan dan berakhirnya tawaf. 


Setelah Ismail a.s. berlalu pergi, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s. membawa Hajarul Aswad kepada Nabi Ibrahim a.s. Allah Ta 'ala mengarahkan  agar batu itu disimpan di Bukit Abi Qubais tatkala berlakunya taufan pada zaman Nabi Nuh a.s. lalu berfirman kepada Jibrail:" Apabila engkau lihat khalili( kekasihku) membina rumahKu maka keluarkanlah  ia kepadanya."
Setelah Nabi Ismail a.s. pulang dan membawa bersamanya seketul batu, didapati Hajarul Aswad sudah berada ditempatnya. Ismail a.s. terus bertanya," Wahai bapa, siapa yang membawa batu itu kepadamu?" 

Jawab Ibrahim a.s.," Batu itu dibawa oleh sesuatu yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu. Ia dibawa oleh malaikat Jibrail a.s."

Hajarul Aswad merupakan batu yang tertanam di penjuru Kaabah yang sangat penting. Ia  merupakan tempat mula dan akhir tawaf.


Sesiapa yang beriman menyalaminya atau mengucup Hajarul Aswad, ia akan menjadi saksi pada hari Akhirat kelak. 

Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya:
" Demi Allah , Allah Taala akan membangkitkannya pada hari Kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya dan baginya lidah yang mampu berkata-kata menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran." 
( At Tarmizi no 961)

Sumber: ust Ahmad Husni abd Rahman- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Dimanakah letaknya Bukit abi Qubais ini?Ketika menunaikan umrah baru-baru ini kami difahamkan bukit Abi Qubais berdekatan  dengan  Masjidil Haram yang kini dalam proses perluasan kawasan. Namun kami kurang pasti kedudukan yang berul betul bukit Abi Qubais.

Allah maha berkuasa sehingga dapat menyimpan Hajarul Aswad begitu lama sebelum dikeluarkan semula oleh malaikat Jibril dari dalam bukit Abi Qubais ini. Wallahualam.

Popular Posts