Showing posts with label Muslim. Show all posts
Showing posts with label Muslim. Show all posts

Saturday, September 22, 2018

Muslim di Chicagoland


Chicagoland seolah-olah nama satu taman tema. Sebenarnya Chicagoland ialah nama tidak rasmi bagi Chicago Metropolitan Area. Kawasan ini meliputi bandaraya Chicago dan pinggir bandar tersebut termasuklah sebahagian daerah Illinois, Indiana dan Wisconsin. Ini bermakna Chicagoland meliputi sebahagian daerah dalam tiga negeri di Amerika Syarikat.
 
Chicago antara kawasan yang ramai orang Islam di Amerika Syarikat. Bilangan umat Islam di sekitar Chicago menurut 'The Council on American Islamic Relations (CAIR) ialah diantara 300 000 hingga 500 000 orang. Dengan bilangan orang Islam sebegini ramai sudah semestinya bilangan masjid juga banyak. Berdasarkan laman web Salatomatic.com terdapat lebih daripada 100 buah masjid di kawasan Chicagoland. Banyak!

Lebih selesa rasanya saya memulakan cerita tentang pengembaraan saya ini dengan persinggahan di rumah Allah. Dalam pemusafiran terutama di tempat yang jauh dari negara asal, lebih tenang hati ini  sekiranya rumah Allah dijadikan tempat utama persinggahan. Memohon agar dipermudahkan Allah dan dijauhkan segala bencana semasa perjalanan.

Benar seperti apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya, Tenang Ada Di Sini.

'Solat itu hakikatnya zikir. Bahkan ia sebesar-besar zikir. Solat akan memberi ketenangan pada jiwa kerana dalam solat orang beriman akan mengingati, mengadu, memohon, menyerah seluruh dirinya kepada Allah. Apabila hati manusia telah berjaya berhubung dengan Allah Yang Maha Perkasa, Maha Kaya, Maha Pengasih dan Penyayang, maka ketika itulah hati akan menjadi tenang. 

Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Surah al Ra'd 13: 28

Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memberi kerehatan pada fizikal, mental, emosi dan jiwa. Ia suatu kerehatan buat jiwa. Bayangkan dalam solat, orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Penyayang dan Maha Mendengar. '

Masjid yang pertama kami  singgah ini terletak  di satu kawasan perumahan pinggir bandar Chicago. Dari jauh kompleks Muslim Education Center ini tampak gah, luas dan moden.Kawasan parkir yang agak luas memudahkan kami meletakkan kenderaan kami. 

Selain daripada Masjid, kompleks MEC  ini menempatkan sebuah pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah Menengah  Islam di bawah satu bumbung. Kompleks MEC ini dibawah kelolaan Muslim Community Center. Berdasarkan laman web MEC, sekolah ini mengikuti kurikulum standard yang sama dengan sekolah biasa di Illinois dan ditambah dengan mata pelajaran Islam, Al Quran dan bahasa Arab.  Bilangan pelajar di sini mengikut perangkaan 2017  sudah hampir menjangkau 700 orang. 

Jumlah ini belum termasuk pelajar daripada sekolah biasa yang menghadiri kelas agama tambahan untuk kelas hari Sabtu dan hari Ahad. Ramai! Belum juga ditambah dengan aktiviti masjid untuk para muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, kompleks ini seperti aktif hampir setiap hari!
Bersambung.

Rujukan:
1.  https://mccchicago.org/mcc-past-and-present/
2. https://chicago.suntimes.com/politics/growing-muslim-population-means-more-services-to-keep-up/








Friday, March 4, 2016

Islam Telah Lama Bertapak di Mountain West

Dari jauh kami cuba mencari kot-kot ternampak bentuk kubah atau bangunan besar yang boleh kami anggap sebagai masjid. Namun agak susah kami berjumpa bangunan sedemikian di kawasan 'Mountain West' ini. Islamic Center di sini tidak sebanyak di kawasan barat dan timur Amerika Syarikat. Juga tidak sebesar Islamic Center atau masjid yang terdapat di sana . Mungkin juga sebab bilangan orang Islam di sini tidak ramai. Sumber kewangan pula agak terhad. Walau bagaimanapun Islam telah lama bertapak di sana. Ternyata orang Islam masih bertahan di sana.

Islam of the Mountain West, itulah antara tema pengembaraan kami di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Sambil kami mengembara kami mencari jejak-jejak Islam dan muslim di kawasan 'Mountain West'.  Daripada 6 negeri  Mountain West ini kami telah sempat menjelajah 3 daripadanya iaiatu Colorado, Utah dan Wyoming.

Sejarah menceritakan Islam telah sampai ke kawasan "Mountain West' ini  sejak tahun 1538 lagi menerusi seorang hamba dari Morocco yang bernama  Estevanico (aka. Mustafa Zemmouri) semasa menyusuri Sungai Colorado dalam ekspedisi orang Sepanyol. Kebolehan Estevanico merawat pesakit menyebabkan dia dihormati dalam kalangan puak India Amerika.

Satu laporan menyatakan  seorang Islam dari Syria, Haji Ali diupah oleh tentera Amerika untuk membuka laluan jalan unta dari Fort Defiance di New Mexico dan Fort Mohave di Arizona hingga ke California. Mungkin kerana kesukaran menyebut Haji Ali ini menyebabkan masyarakat di sana  menggelarnya Hi Jolly. Haji Ali akhirnya menetap di Quarzite, Arizona dan meninggal dunia di situ. Bandar Quarzite ini terkenal dengan syarikat Hi Jolly and the Camel Corps.  Kewujudan syaikat ini menandakan Islam telah lama tiba di kawasan tersebut.

Setakat ini tidak ada perangkaan tentang bilangan orang Islam di Mountain west ini. Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center dikatakan tidak melibatkan orang Islam di 'Mountain West' ini sebab taburan penduduk Islam di sini tidak padat di satu-satu tempat. Mengikut laman web http://muslimsinmountainwest.org/  bilangan umat Islam di sini jumlahnya di antara 85 000 hingga 120 000 orang! 

Jika di Colorado, terdapat banyak masjid di kawasan Denver, berbeza pula di Utah. Di kawasan Salt Lake city, ibu negeri Utah dan sekitarnya bilangan masjidnya agak sedikit. Adanya laman web Zabihah.com memudahkan kami mencari masjid-masjid yang tidak jauh daripada lebuhraya yang kami lalui. Maklumlah sebagai pengembara kami kesuntukan masa. Biarlah sekurang-kurangnya kami dapat singgah di Islamic Center atau masjid yang berdekatan perjalalanan kami. Dapat juga kami bersua dengan orang-orang Islam di sana.

Rasulullah bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada di sisinya." (Riwayat Ahmad)

Sampainya kami di Masjid Al Farooq, kawasannya kelihatan agak sunyi.  Masjid yang kelihatan seperti sebuah rumah kedai setingkat ini seolah-olah tiada orang di dalamnya. Pintunya berkunci. Hampa harapan kami untuk singgah menunaikan solat. Namun kami akur dengan keadaan begitu sebab banyak Islamic Center  di negara ini di kunci sebaik saja selesai solat fardhu berjemaah. Mungkin gusar dengan pengaruh  Islamophobia atau anti Islam di sana. Walau bagaimanapun kami bersyukur meskipun kecil, wujudnya Islamic Center di sini memudahkan umat Islam berkumpul dan mengerjakan solat jemaah serta solat Jumaat. Juga mengerjakan aktiviti-aktiviti lain yang bermanafaat.

Mungkin betul juga apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi,
"Kekuatan masjid bukan pada hiasan, peralatan atau kecanggihan yang ada padanya. Kekuatan masjid terletak kepada roh manusia yang mengimarahkannya. Semakin ramai yang bersolat, berzikir, berdoa dan melakukan amal kebaikan di dalam sebuah masjid, maka semakin hebat 'aura' yang dipancarkan untuk menarik hati-hati yang lain untuk kembali kepadanya."
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi  Solusi Isu 74
Harapan kami semoga masjid ini sentiasa diimarahkan oleh para jemaahnya, Insha Allah.


Oleh kerana tidak dapat bersolat di sini, cadangan alternatif untuk menunaikan solat jamak zuhur asar segera dibincang. Agak- agaknya dimana kami menunaikan solat fardhu tersebut?

Bersambung.




Monday, November 23, 2015

National Mall- Sedikit Sejarah Black Americans dan Black American Muslims

Ketika sampai,kelihatan ribuan pengunjung yang sedang menikmati pemandangan unik di sini. Amat payah mencari tempat memarkir kereta sebab yang datang ke sini bukan saja dengan berkereta bahkan juga dengan bas-bas yang besar. Tempat ini bukannya sebuah taman tema, juga bukannya satu gedung perniagaan yang besar.

National Mall merupakan satu taman yang besar yang mengandungi banyak memorial sempena mengingati orang-orang yang berjasa dalam sejarah Amerika Syarikat. Biarpun pada asalnya ribuan yang hadir ke sini tidak berminat atau peka tentang sejarah , pelbagai memorial yang didirikan di sini memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang sejarah The New World ini.

" I still have a dream, a dream deeply rooted in the American dream - one day this nation will rise up and live up to its creed, We hold these truths to be self evident:  that all men are created equal."

"I have a dream that my four children will one day live in a nation where they will not be judged by the color of their skin, but by the content of their character. I have a dream today."

Itu ucapan yang kami dengar sewaktu melangkah masuk ke Memorial Martin Luther King Jr . Memorial ini seolah-olah membawa kita ke zaman 1960an sewaktu hebatnya perjuangan African American Civil Rights Movement. Khabarnya dia berucap di hadapan 250 000 orang penyokongnya.

Martin Luther King Jr sebenarnya ialah seorang paderi dan  pejuang kemanusiaan berkulit hitam serta ketua African American Civil Right's Movement 1960an dahulu. Berdasarkan sejarah, kaum Afrika telah dibawa oleh kaum kulit putih sebagai hamba ke benua ini. Zaman berlalu, perhambaan telah diharamkan. Namun perbezaan taraf antara kaum begitu ketara. Kaum berkult hitam atau black Americans ini telah dianggap berstatus rendah dan ramai yang miskin. Mereka berjuang agar diberikan persamaan status tanpa mengira warna kulit.

Martin Luther King Jr ini telah di tembak mati pada tahun 1968 sejurus sebelum perarakan aman  ke Wasington DC untuk menuntut diadakan bantuan kepada komuniti miskin di Amerika. Pembunuhannya telah menyebabkan rusuhan di banyak tempat diseluruh Amerika Syarikat.

Namun kita tidak boleh ketepikan terdapat blacks American yang memainkan peranan besar dalam perjuangannya terhadap Islam. Meskipun Islam telah bertapak di Amerika Syarikat sejak 1527 lagi,  orang yang paling berpengaruh yang berjuang untuk blacks American Muslim  ialah Malcolm X.  Atau nama Islamnya Malik Shabazz. Pada asalnya beliau ialah pengikut Nation of Islam, namun beliau telah membuat keputusan untuk mengikut aliran sunni (ahli sunnah wal jamaah) setelah mempelajari  lebih banyak tentang Islam yang sebenarnya.

Pengaruh Malcolm X ini sangat besar. Malcolm  X sendiri pernah pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Di sana dia mendapati orang Islam terdiri daripada pelbagai bangsa, bukan saja dari kalangan bangsa Arab. Allah telah menentukan orang sehebat ini tidak panjang umurnya. Pada tahun 1965, sewaktu berumur 40 tahun dia telah di tembak mati  sewaktu berucap  di Manhattan New York. Semoga rohnya termasuk di kalangan orang orang yang bertakwa.

Meneliti antara wasiat terakhir Rasulullah di bumi Arafah mengingatkan kita bahawa janganlah kita memandang rendah terhadap orang Islam yang lain meskipun mereka bukan dari bangsa kita mahupun bangsa Arab.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab atau bangsa lain kecuali dengan takwa.
 Sumber: Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Walaupun niat asal kami hanya untuk melancong ke sini, namun ia memberi 'ibrah yang menyentuh hati kami sebagai orang Islam. Alhamdulillah.

Friday, September 27, 2013

Jangan tersalah niat dalam hidup

Madrasah di Pulau Mabul. Sabah
Orang yang tersalah niat dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang  dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga dibayangi kefakiran dan takut miskin.

Orang yang tersalah niat dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia- sia. Ia membuang energi untuk mengejar ijazah , bukan untuk menimba ilmu. Kaum muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

Orang yang tersalah niat dalam berdakwah akan hidup dalm kebencian. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebenaran, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Dan yang paling rosak adalah orang yang tersalah niat bahkan tidak mempunyai niat dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah dan tujuan hidup.

Manusia seperti ini sangat pandai dalam urusan dunia namun sangat jahil tentang urusan akhirat. 
" Mereka mengetahui yang lahir daripada kehidupan dunia; sedang tentang akhirat mereka sangat lalai." 
Surah al Rum 30:7

Ayat ini sebenarnya berbicara tentang sifat orang kafir, namun sayangnya ayat ni juga untuk sebahagian profesional Muslim pada masa ini. Mereka sangat pakar dalam politik, sains, muzik, ekonmi dan pelbagai  ilmu sekular yang lainnya, namun tidak mengetahui apa apa yang berkaitan hukum halal  haram dalam keluarga, fardhu ain, muamalat dan ibadahnya.

Imam Hassan al Basri menggambarkan keadaan ini seperti berikut:
" Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar."( disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.)
sumber: Umar M Noor- solusi isu 27

Wednesday, August 28, 2013

Bilakah kita berbangga melihat berkibarnya bendera Malaysia kita?

Bendera Malaysia berkibar
di hadapan Islamic Center, Washington DC
Biasanya rakyat Malaysia lebih menyanjungi negara mereka sendiri apabila berada di luar negara. Sesuatu yang dikaitkan dengan Malaysia dari sekecil- kecil duit syiling hinggalah kepada bangunan Kedutaan Malaysia menjadi kebanggaan setiap rakyat yang berkunjung di luar negara.

Washington DC merupakan bandar yang mempunyai  pusat pentadbiran Amerika Syarikat. Banyak bangunan penting terdapat di sini seperti White house, Pentagon dan Washington Monument . Kami berpeluang untuk singgah di sebuah Islamic Center di sini semasa berkunjung di sini.

Selesai bersolat kami terus ke bahagian perkarangan masjd untuk menikmati pemandangan di sekitarnya. Di satu sudut halaman bangunan ini di naikkan beberapa bendera negara yang mempunyai ramai Islam yang kebanyakannya terdiri daripada negara- negara Arab.

Alangkah bangganya kami melihat bendera Malaysia berkibar di sebalik bendera- bendera tersebut. Ini menandakan umat Islam di sana mengiktiraf dan tahu Malaysia sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat Islam. Berbanding dengan 30 tahun dahulu, rakyat di sini langsung tidak tahu langsung kewujudan Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara.

Perasaan bangga dan gembira melihat bendera Malaysia ini  hanya rakyat Malaysia yang akan merasai. Turun dan naiknya sesebuah bendera merupakan peristiwa penting bagi sesebuah negara  mahupun suatu agama. Contohnya kita berbangga apabila bendera Malayan Union diturunkan dan bendera Persekutuan  Tanah Melayu dinaikkan pada 31 Ogos 1957. 

Rasulullah juga menekankan kepentingan  bendera atau panji perang  semasa peperangan. Kisah yang paling menyentuh hati ialah dalam perang Mu'tah dimana terdapat 3 pemegang panji perang yang mati syahid dalam perang tersebut iaitu  Zaid b. Harithsah, Jaafar b. Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah. 

Perang Mu'tah diketuai pada mulanya oleh Zaid b. Harithsah. Selepas  Zaid syahid dibunuh, Jaafar mengambil alih kepimpinan dalam perang tersebut. Semasa Jaafar memegang bendera dengan tangan kanannya, tangannya itu telah ditetak hingga putus. Menyedari betapa pentingnya bendera tersebut,  Jaafar tidak membiarkan bendera itu jatuh ke tanah. Dia memegangnya pula dengan tangan kirinya. Tak lama selepas itu tangan kirinya pula ditetak hingga putus. Jaafar tidak berputus asa lalu menyandarkan bendera itu ke dadanya. Akhirnya pedang musuh membelah  badan Jaafar lalu beliau mayi syahid. Allahuakbar.  Kemenangan akhirnya berpihak kepada Islam setelah Khalid al Walid mengambil alih panji perang daripada Abdullah b. Rawahah.

Oleh itu berbanggalah dengan bendera kita dan kibarkanlahnya samada dirumah, kedai dan pejabat.
 Salam kemerdekaan. Be a proud  Malaysian Muslim .


Saturday, July 27, 2013

Sufyan bin Said al Thawri,



Sufyan bin Said al Thawri Abu Abdillah dilahirkan di Kufah tahun 97 H. Beliau terkenal sempurna dalam semua aspek. Dalam bidang hadis beliau digelar Amirul Mukminin fi al Hadith, sebuah gelaran tertinggi bagi penghafal hadith. Dalam fiqah, beliau mujtahid mutlak yang memiliki mazhab tersendiri. Dari segi zuhud, kesolehan beliau tidak mampu ditandingi. Majlis ilmunya sentiasa dihadiri oleh ribuan manusia.

Namun begitu, apabila bulan Ramadhan tiba, Sufyan al Thawri meninggalkan semua aktiviti dakwah dan ilmiahnya. Beliau mengkhususkan bulan suci ini  hanya untuk membaca al Quran. Murid beliau bernama Abdul Razzaq al - San'ani berkata:" Setiap kali tiba bulan Ramadhan, Al Thawri meninggalkan semua ibadah hanya untuk membaca Al Quran. 

Umar M. Noor- Solusi isu 34

Thursday, May 30, 2013

Mencari Asal Usul Kedatangan Islam ke Amerika Syarikat- Islamic Heritage Museum, Washington DC

Dua kuntum bunga raya di halaman sebuah rumah
di Washington DC
Mencari kawasan tempat letak kereta di kawasan bandar sememangnya sukar terutama sekali bandar besar seperti Washington DC. 

Di Amerika Syarikat terdapat dua tempat yang  namanya Washington, iaitu Washington state ( negeri Washington) dan bandaraya Washington yang terletak di District of Columbia,  atau ringkasnya Washington DC. 

Islamic Heritage Museum, Washington DC
Sebab itulah sesiapa yang mahu datang ke sini mesti memastikan tempat yang di tuju ialah sebuah negeri atau bandaraya apabila disebut Washington. Kedua- duanya terletak berpuluh ribu kilometer di antara satu sama lain. Satu di sebelah timur dan  satu di sebelah barat. 

Alhamdulillah tidak lama kami berpusing- pusing mencari  tempat parkir, akhirnya kami dapat meletakkan kenderaan mpv kami di hadapan sebuah rumah yang mempunyai  dua kuntum bunga raya merah  sedang kembang mekar di halaman rumah tersebut. Bangga juga melihat bunga kebangsaan di tanam disini. 

Kalau di Malaysia kita tidak ambil kisahpun  bila melihat bunga tersebut. Di sini, setiap apa yang terlihat berkaitan dengan negara samada bunga, bendera, pakaian, matawang atau makanan menjadikan sesiapa yang dilahirkan atau warnanegara Malaysia berasa bangga dan 'excited'.

Tempat yang kami tuju? Islamic Heritage Museum yang baru saja dibuka pada pertengahan 2011, lebih kurang setahun sebelum kami sampai ke sana. 

Kenapa kami pergi ke tempat sebegini sebagai tempat tuju yang utama? 

Pertama, tempat itu boleh dijadikan sebagai tempat rujukan bagaimana Islam mula- mula sampai ke benua Amerika. Ingat jumlah orang Islam di Amerika Syarikat  setakat ini danggarkan 6-7 juta orang. Agama Islam dikatakan antara agama yang paling cepat berkembang di negara ini berdasarkan ramainya orang yang memeluk Islam sekian hari. 

Ironinya negara inilah yang selalu dikutuk oleh orang Islam di negara lain.Setiap kali budaya negatif disebut, hampir setiap kali disebut ini budaya Amerika atau budaya barat tanpa mengambil kira  betapa ramainya orang Amerika dan orang barat yang memeluk agama Islam setiap hari. Mungkin penceramah atau ustaz- ustaz di sini perlu mengubah istilah budaya barat kepada budaya negatif atau budaya orientalis dan sebagainya. Daripada sinilah diharapkan rakyat negara ini dapat mengubah daripada menggunakan perkataan budaya barat kepada budaya  negatif atau budaya orientalis.

Kedua, sebagai umat Islam, kami ingin turut serta berbangga melawat apa saja yang berkaitan dengan Islam, tak kira samada terdapat  fahaman- fahaman Islam  yang berlainan. Misalnya ada fahaman yang tidak setuju dengan cara Nation of Islam yang banyak diwakili oleh Blacks.  Perkataan 'negro' jangan sekali- kali digunakan di sini kerana negro menngaitkan orang- orang berkulit hitam dengan hamba. Panggillah mereka dengan 'blacks' atau 'orang berkulit hitam' samada di Amerika mahupun di negara kita. Belajarlah untuk menghormati panggilan yang mereka lebih suka, Itulah yang dianjurkan oleh Islam, bukan?

Al Hujurat:11
Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak(dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh  dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.(Larangan- larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka amat buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang- orang yang zalim.

 Bersambung

Thursday, March 21, 2013

Syaitan Menyuntik Keraguan


Aisyah r.h.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:" Sesungguhnya syaitan datang kepada seseorang daripada kamu, dia akan membisikkan dengan berkata: 'Siapakah yang menciptakan langit?

' Maka dia pun berkata:'Allah'. 

Syaitan berkata lagi :' Siapakah yang mencipta bumi?'

Maka dia berkata:'Allah'. 

Syaitan seterusnya bertanya lagi:' Siapa pula yang mencipta Allah?' 

Apabila terjadi demikian, maka hendaklah dia berkata:' Saya beriman kepada Allah dan rasulNya."


Riwayat Ahmad

Sumber-Mohd Wahid Abd Hamid- Solusi Isu 39

Wednesday, January 23, 2013

Kelahiran yang Indah....Nabi Muhammad s.a.w

"Aku teringatkan cerita Almarhum suamiku," kata Aminah sambil tersenyum sedikit." Mudah- mudahan semuanya benar"

"Cerita apa?" tanya Ummu Uthman , mengesat peluh di dahi Aminah.

"Kata Abdullah, beberapa orang wanita memberitahunya, mereka melihat cahaya pada wajah Abdullah. Tetapi selepas menikahiku, mereka tidak lagi melihat cahaya itu."

"Kenapa? Ke mana perginya cahaya itu?" Ummu Aiman turut tertarik ingin mengetahui.

" Kata mereka, cahaya itu sudah berpindah kepadaku," jawab Aminah.


"Cahaya apa, puan?" tanya Ummu Aiman lagi.

"Entahlah, Abdullah tidak tahu dan aku juga tidak tahu."

"Aku percaya, tentu ada maksudnya yang tersendiri," ulas Ummu Uthman pula.

Aminah berkata lagi, " Aku pernah bermimpi melihat seolah- olah ada cahaya halus keluar dari tubuhku. Cahaya itu menerangi seluruh alam, hingga terlihat bangunan di Syam dan Basrah. Dan aku mendengar suara berkata," Wahai Aminah, engkau teah mengandungkan seorang pemimpin seluruh umat manusia."

"Barangkali itulah cahaya yang diceritakan oleh suamimu dulu, Aminah," Ummu Uthman membuat telahan.


Semasa kelahiran itu, bergegar istana Kaisar Rom menyebabkan 14 buah menaranya runtuh. Terpadam api sembahan penganut agama majusi di Parsi yang tidak pernah padam sejak ratusan tahun sebelumnya.

Sumber: Zuraimi Ismail-Anis May 2009

Wednesday, July 4, 2012

Mengucap Assalamualaikum Bukan Lagi Amalan Kita?

Senario masa kini - Dua orang pelajar muslim  sedang berjalan menuju ke kantin di sebuah universiti atau di sebuah sekolah Islam. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan dua orang pelajar lagi yang tidak mereka kenali atau kenal tapi tak berapa rapat. Masing masing asyik bersembang dengan sahabat mereka meskipun  dua kumpulan ini hampir berselisih bahu. Tiada senyuman mahupun ucapan salam diberi. Masing masing meneruskan perjalanan ke destinasi yang hendak dituju. Adakah ini senario yang biasa kita lihat? 

Bagi saya yang sering berkunjung ke universiti dan juga sekolah islam, ia merupakan sebuah senario yang biasa. Mengucap salam bukan lagi satu kebiasaan yang diamalkan di universiti dan sekolah yang berunsurkan islamik.

Mengucapkan salam kepada sesama muslim hukumnya sunat dan ia merupakan amalan yang sangat dituntut dalam islam. Daripada Amru al Ashr, beliau berkata:" Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w., " Apakah ( pelaksanaan ajaran) Islam yang paling baik? Nabi menjawab:" Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kau kenal dan tidak kenal." -Hadith riwayat Bukhari dan Muslim- sumber Aniqah Nov 2011

Bagi saya yang biasa ke luar negara, bertemu dengan orang Islam dan mengucapkansalam merupakan satu perasaan syukur yang susah nak gambarkan. Ini berlaku terutama sekali sekiranya saya melancong ke negara yang umat Islamnya adalah golongan minoriti. Sebagai contoh, saya pernah sampai ke Mei Sai, sebuah daerah di sempadan Thai Myanmar. Sewaktu kami melintas sebuah jalan kami terserempak dengan seorang muslimah bertudung. Dengan segera muslimah itu memberi salam kepada kami walaupun ketika itu dia dalam keadaan tergesa- gesa melintas jalan. Demikian juga di China. Sewaktu kami berkunjung ke masjid, meskipun kami mempunyai masalah komunikasi, memberi salam dapat melahirkan ukhuwwah dan seterusnya terukirnya senyuman di bibir kedua- dua belah pihak. 

Sewaktu berkunjung ke Amerika Syarikat, bertemu sesama muslim merupakan satu kesempatan yang sangat berharga. Kami dapat bertemu ramai umat Islam terutama sekali di Masijd dan Islamic Center. Umat Islam di Amerika Syarikat kini mencecah  6 milion. Walaupun ramai, setiap kali beremu ucapan salam tdak pernah dilepaskan begitu sahaja. Setiap kali menerima dan memberi salam kami dapat merasakan persaudaraan sesama muslim meskipun berlainan bangsa dan keturunan. 

Mungkinkah kita dapat kembalikan adat memberi salam dalam masyarakat Islam di Malaysia?

Ingin mengikuti kisah pengembaraan saya bersama keluarga di Amerika Syarikat? Klik disini!

Wednesday, December 7, 2011

Belajar Ibadah Korban Di Usia Muda di Michigan, USA

Kanak- kanak muslim di Akademi Islam, Ann Arbor Michigan sedang mempelajari ibadah korban dan cara mengerjakan haji.

111810_haji6.jpg

Maryam Jamil, 4, waits to give up her dollar bill to a cardboard sheep as part of the Michigan Islamic Academy's annual Haji program on Nov. 11. The Haji program gives students the chance to re-enact the pilgrimage rites at the various sites in and around Mecca.

Students at the Michigan Islamic Academy in Ann Arbor participated in the school's annual Haji program on Nov. 11. The Haji program gives students the chance to re-enact the pilgrimage rites at the various sites in and around Mecca.

http://annarbor.com/faith/michigan-islamic-academy-students-take-a-pilgrimage-to-mecca-without-leaving-class/ 

Popular Posts