
Dari jauh kami cuba mencari kot-kot ternampak bentuk kubah atau
bangunan besar yang boleh kami anggap sebagai masjid. Namun agak susah kami berjumpa bangunan sedemikian di kawasan 'Mountain West' ini.
Islamic Center di sini tidak sebanyak di kawasan barat dan timur Amerika Syarikat. Juga tidak sebesar
Islamic Center atau masjid yang terdapat di sana .
Mungkin juga sebab bilangan orang Islam di sini tidak ramai. Sumber
kewangan pula agak terhad. Walau bagaimanapun Islam telah lama bertapak
di sana. Ternyata orang Islam masih bertahan di sana.
Islam of the Mountain West, itulah antara tema pengembaraan kami di Amerika Syarikat
pada tahun 2015. Sambil kami mengembara kami mencari jejak-jejak Islam
dan muslim di kawasan 'Mountain West'. Daripada 6 negeri Mountain West
ini kami telah sempat menjelajah 3 daripadanya iaiatu Colorado, Utah
dan Wyoming.
Sejarah menceritakan Islam telah sampai ke
kawasan "Mountain West' ini sejak tahun 1538 lagi menerusi seorang hamba dari
Morocco yang bernama Estevanico (aka. Mustafa Zemmouri) semasa menyusuri Sungai
Colorado dalam ekspedisi orang Sepanyol. Kebolehan Estevanico merawat pesakit
menyebabkan dia dihormati dalam kalangan puak India Amerika.

Satu laporan
menyatakan seorang Islam dari Syria, Haji Ali diupah oleh
tentera Amerika untuk membuka laluan jalan unta dari Fort Defiance di New
Mexico dan Fort Mohave di Arizona hingga ke California. Mungkin
kerana kesukaran menyebut Haji Ali ini menyebabkan masyarakat di sana menggelarnya
Hi Jolly. Haji Ali akhirnya menetap di Quarzite, Arizona dan meninggal
dunia di situ. Bandar Quarzite ini terkenal dengan syarikat Hi Jolly and
the Camel Corps. Kewujudan syaikat ini menandakan Islam telah lama tiba di kawasan tersebut.
Setakat ini tidak ada perangkaan
tentang bilangan orang Islam di Mountain west ini. Kajian yang
dijalankan oleh Pew Research Center dikatakan tidak melibatkan orang
Islam di 'Mountain West' ini sebab taburan penduduk Islam di sini tidak
padat di satu-satu tempat. Mengikut laman web http://muslimsinmountainwest.org/ bilangan umat Islam
di sini jumlahnya di antara 85 000 hingga 120 000 orang!
Jika di Colorado, terdapat
banyak masjid di kawasan Denver, berbeza pula di Utah. Di kawasan Salt Lake city, ibu negeri Utah dan sekitarnya bilangan masjidnya
agak sedikit. Adanya laman web Zabihah.com memudahkan kami mencari
masjid-masjid yang tidak jauh daripada lebuhraya yang kami lalui.
Maklumlah sebagai pengembara kami kesuntukan masa. Biarlah sekurang-kurangnya kami dapat singgah di
Islamic Center atau masjid yang
berdekatan perjalalanan kami. Dapat juga kami bersua dengan orang-orang Islam di
sana.
Rasulullah
bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya
sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh
rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada
di sisinya." (Riwayat Ahmad)
Sampainya kami di Masjid Al Farooq, kawasannya
kelihatan agak sunyi. Masjid yang kelihatan seperti sebuah rumah kedai
setingkat ini seolah-olah tiada orang di dalamnya. Pintunya berkunci. Hampa
harapan kami untuk singgah menunaikan solat. Namun kami akur dengan
keadaan begitu sebab banyak
Islamic Center di negara ini di kunci sebaik saja selesai solat
fardhu berjemaah. Mungkin gusar dengan pengaruh
Islamophobia atau anti Islam di sana. Walau bagaimanapun kami bersyukur meskipun
kecil, wujudnya
Islamic Center di sini memudahkan umat Islam
berkumpul dan mengerjakan solat jemaah serta solat Jumaat. Juga
mengerjakan aktiviti-aktiviti lain yang bermanafaat.
Mungkin betul juga apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi,
"Kekuatan
masjid bukan pada hiasan, peralatan atau kecanggihan yang ada padanya.
Kekuatan masjid terletak kepada roh manusia yang mengimarahkannya.
Semakin ramai yang bersolat, berzikir, berdoa dan melakukan amal
kebaikan di dalam sebuah masjid, maka semakin hebat 'aura' yang
dipancarkan untuk menarik hati-hati yang lain untuk kembali kepadanya."
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi Solusi Isu 74
Harapan kami semoga masjid ini sentiasa diimarahkan oleh para jemaahnya, Insha Allah.
Oleh kerana tidak dapat bersolat di sini, cadangan
alternatif untuk menunaikan solat jamak zuhur asar segera dibincang.
Agak- agaknya dimana kami menunaikan solat fardhu tersebut?
Bersambung.