Showing posts with label kosher. Show all posts
Showing posts with label kosher. Show all posts

Tuesday, March 1, 2016

Aplikasi Scan Halal- Mudah Tapi Rujuk Juga Pada Senarai Halal

Apabila kita menggunakan scan halal, ada beberapa perkara yang mungkin membuat anda tertanya-tanya. Kenapa makanan ini boleh dimakan manakala makanan yang lain tidak. Apabila di nyatakan 'You can use this product', boleh lah kita anggap ia halal di makan atau digunakan. Apabila tertera 'You're avoiding this product' ini bermaksud produk itu haram dimakan atau digunakan. Manakala 'Unknown verification pending' ini bermakna produk itu perlu diselidik lebih lanjut lagi tentang status kehalalnya. Bahan kandungan (ingredients ) yang mungkin diragui ialah yang bergaris merah. Manakala yang bergaris hijau sudah dipastikan status kehalalannya. Antara bahan yang biasanya digariskan hijau atau merah termasuklah
  1. Whey- di scan halal ini hanya diletakkan kita boleh menggunakan/ memakan produk ini kerana ia dibuat daripada susu lembu. Dalam laman web Muslim Consumer Group, persoalan tentang whey diterangkan dengan agak panjang lebar. Secara kesimpulan daripada perbincangan dalam laman web ini, whey ini halal sekiranya  produk ini bertanda halal atau kosher. Sekiranya produk yang mempunyai bahan whey ini tiada simbol kosher atau halal, status kehalalan produk ini diragui.
  2. Enzymes- enzymes boleh didapati daripada tumbuhan dan juga binatang. Sekiranya tertera 'microbial enzymes',  bahan in diambil daripada sumber bijirin, tumbuhan ataupun yis.
  3. Niacin- bahan ini boleh bersumberkan daripada bijirin, tumbuhan ataupun daging. Sekiranya tidak dinyatakan sumber niacin ini, elok dijauhkan sebab ia mungkin bersumberkan binatang.
  4. Riboflavin- sama seperti niacin, riboflavin mungkin bersumber daripada bijirin, tumbuhan atau hati  binatang. Sekiranya di scan halal disahkan ia bersumberkan binatang,ia boleh di statuskan sebagai tidak halal.(sekiranya tiada simbol halal atau kosher)
  5. Natural flavor- ramai orang Malaysia beranggapan, sekiranya satu-satu produk itu bersumberkan bahan semulajadi, sumber produk ini semestinya daripada tumbuhan. Di Amerika Syarikat 'natural flavor' boleh bersumberkan  bijirin, tumbuhan mahupun binatang. Natural flavor yang berstatus kosher tidak bermakna ia halal sebab alkohol mungkin digunakan sebagai pelarut dalam prosesnya. Oleh itu kosher natural flavor tidak dianggap halal. Sekiranya natural flavor itu hanya melibatkan bahan mentah tumbuhan barulah orang Islam dibenarkan makan.(bahan mentah daripada daging halal jarang dinyatakan pada produk am kecuali yang bersimbol halal)
  6. Vanilla extract - vanilla in biasanya diproses bersama 35% alcohol. Oleh itu statusnya tidak halal. Walau bagaimanapun 100% pure vanilla beans statusnya halal. Vanillin alah sejenis perisa yang dibuat daripada tumbuhan atau diproses secara sintetik.Oleh itu vanillin halal di makan.







Banyak lagi tentang kandungan bahan-bahan ini yang perlu kita pelajari. Apa yang menguntungkan dengan adanya senarai halal ini dan juga scan halal kita akan mempelajari lebih banyak tentang nama-nama bahan ini  dan peka tentang kandungan makanan yang halal atau tidak untuk dimakan.

Jika di Malaysia ramai daripada kita kurang mengambil tahu tentang status kehalalan satu-satu produk dan banyak begantung kepada Jakim, di luar negara kita perlu tahu bermacam-macam perkataan yang pelik yang berkaitan bahan kandungan dan berusaha untuk mendapat barang yang halal untuk dimakan dan di guna. Insha Allah semua usaha kita ini mendapat balasan di akhirat kelak.

Bagaimana? Sudah cuba aplikasi scan halal ini? Silakan cuba.

Monday, January 11, 2016

Zabihah dan halal, kosher dan ayam katok! Nak pilih yang mana satu?

"Kesiannya kita semalam dah makan lauk telor, hari ni makan lauk telor, esok makan lauk telor lagi! Ikan bilis pun tinggal berapa ekor saja," keluh seorang pelajar. "Haah, sedihnya ...terasa begitu miskin." sahut kawannya, sugul juga. Mereka ini mungkin antara beberapa orang pelajar yang baru tiba di Amerika Syarikat. Nak beli ikan tak berapa mahir. Yang ada pun ikan yang disejuk beku aje. Tak ada ke daging ke atau ayam halal di Amerika Syarikat kat 'grocery store?'

Pernah dengar perkataan Zabihah?  Bagi orang Malaysia mungkin perkataan ini agak asing dan jarang di dengar. Zabihah ialah perkataan Arab yang bermaksud sembelih. Zabihah biasanya dirujuk kepada cara penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam. Binatang yang dagingnya halal dimakan sahaja boleh kita makan contohnya ayam, lembu, kambing, biri-biri dan bukannya anjing, babi atau harimau walaupun binatng ini disembelih.  Sebab itulah di Amerika Syarikat kadangkala kita terserempak dengan perkataan Halal dan Zabihah yang bermaksud haiwan yang halal dimakan dan telah disembelihkan.

Daging kosher ialah daging sembelihan orang Yahudi manakala ayam katok ialah istilah orang Melayu bagi ayam yang tidak disembelih.

Firman Allah yang bermaksud:
" Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang yang diberi Ahli Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.."
Al Maidah 5: 5

Di Amerika Syarikat ada 2 pendapat ulama tentang daging zabihah.
1.  Pandangan Alllahyarham Syed Abul A'la Maududi dan Al Phahim Jobe yang berpendapat daging yang boleh dimakan oleh orang Islam mesti daripada binatang yang disembelih mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Islam.

2.  Pandangan Dr Yusuf Al-Qaradawi, ulama terkenal yang mengatakan bahawa  orang Islam dibenarkan memakan daging sembelihan ahli kitab yakni orang Yahudi dan Kristian.(People of the book). Namun beliau menggalakkan orang Islam membeli daging sembelihan yang disembelih oleh orang Islam sendiri yang terdapat  dikedai halal sekiranya ada.

Namun ada juga yang berpendapat yang makanan orang Kristian tidak halal bagi orang Islam kerana mereka tidak lagi mengikuti ajaran The Old Testament. Juga ada yang berpendapat bahawa konsep Triniti yang dipercayai oleh orang Kristian menyebabkan haiwan sembelihan mereka(jika ada yang disembelih) tidak boleh dimakan. Berbeza dengan orang Yahudi yang mempercayai hanya satu Tuhan dan mempunyai cara tersendiri(yang sangat terperinci) untuk menyembelih haiwan.

Jadi yang mana satu yang kita nak pilih, daging halal dan zabihah, kosher atau katok?

Berada di Amerika Syarikat kini sangat berbeza dengan berada di sana awal tahun 80an dahulu. Jika dahulu kami yang belajar di California terpaksa memesan ayam halal dari Midwest atau East USA(bahagian tengah atau timur Amerika Syarikat), kini dalam tahun 2015, kedai daging halal begitu banyak di seluruh Amerika Syarikat. Mengikut zabihah.com di San Francisco,California  saja terdapat 38 buah kedai daging halal manakala di Chicago Illinois 51 buah. Sijil halal dikeluarkan oleh pihak mereka sendiri atau pertubuhan Islam di Amerika Syarikat seperti IFANCA dan Halal Food Council. Sebagai contoh sahabat kami, Amin Attia bertanggungjawab di bahagian daging halal di Syarikat Harris Ranch di California. Beliau juga antara yang menyembelih lembu-lembu bagi syarikat tersebut. Daging halal syarikat tersebut dipasarkan di banyak pasaraya di bahagian barat Amerika Syarikat. Daging halal syarikat ini juiga telah disahkan halal oleh Islamic Services of America. Alhamdulillah.

Tiada kedai daging halal di tempat anda belajar? Jangan risau, Insha Allah akan ada pelajar Malaysia yang menjadi pembekal daging lembu dan ayam halal khusus bagi pelajar-pelajar Malaysia di kawasan tersebut. Biasanya mereka akan menghubungi anda melalui telefon atau internet chatting. Pesan saja, daging tersebut akan sampai ke pintu rumah anda, Insha Allah!( Tidaklah begitu 'instant' hehe)

Bagaimana sekiranya andalah satu-satunya pelajar Malaysia dan tak ramai orang Islam di kawasan tempat anda belajar atau bekerja? Tahukah di Amerika Syarikat kita boleh membeli ayam dan daging secara online juga? Perniagaan online antara  perniagaan termudah di Amerika syarikat. Sistem penghantarannya pun sangat effektif dan canggih. Oleh itu banyak perniagaan daging halal menjalankan perniagaan online sekarang. Cuma dari segi memilih ada syarikat yang menjual daging halal  perlu juga kita berhati-hati kehalalan dagingnya dari masa ke semasa.

Jadi sekarang nak pilih daging halal dan zabihah, kosher atau yang katok?
Beli sajalah yang halal dan zabihah sebab sekarang ini terdapat pelbagai cara yang memudahkan kita mendapatkannya. Usaha...Insha Allah dapat.

Makanlah yang Hanya halal dan zabihah. Insha Allah usaha anda akan dipermudahkan Allah.

Bersambung.

Rujukan:
1. http://www.isahalal.org/Content/Halal-Information/Halal-Education/-Halal-or-Zabihah.aspx
2. http://zabihabites.com/what-is-zabiha/
 3. http://www.soundvision.com/article/zabiha-or-non-zabiha-3-scholarly-opinions
4. http://www.zabihah.com/man/us/QTO8E3h3Ah

Wednesday, January 6, 2016

Langkah-langkah Mudah Membeli Makanan dan Produk Halal di Amerika Syarikat

Masih Keliru tentang pemilihan makanan halal di Amerika Syarikat? Mungkin langkah-langkah ini boleh membantu anda.

Semasa sampai di 'grocery store'( ingat di sana supermarket berlainan daripada grocery store)

  1. Lihat barangan kosher samada bertanda Circle K atau Circle U. Bukan semua tempat mempunyai banyak barangan kosher yang banyak. Ini bergantung kepada permintaan semasa.di tempat tersebut.
  2.  Sekiranya ada label kosher, lihat kandungannya dan elakkan mengambil produk yang mengandungi bahan yang dilarang oleh Islam seperti alkohol, kosher gelatine, L cysteine dan sebagainya (telah saya bincangkan sebelum ini)
  3. Sekiranya tiada barangan yang dilarang dalam produk tersebut, insha Allah barang ini halal.
  4. Sekiranya tiada label kosher, bolehlah anda melihat senarai bahan kandungan pada bungkusan makanan atau barang yang anda ingin beli. Senarai yang terdapat dalam 'Halal Shopper's Quick Reference Guide  boleh membantu anda dengan cepat dan mudah. Sebenarnya lebih menjimatkan masa anda membeli barangan yang sedikit bahan kandungannya. Mana tahu silap-silap terbeli pula barangan yang mengandungi bahan yang terlarang.
  5. Sekiranya ada bahan kandungan yang anda tak pasti, seboleh-bolehnya elakkan membelinya. Bahan- bahan seperti sabun, pencuci muka dan kosmetik mempunyai banyak kandungan yang dinyatakan dalam istilah kimia. Biasanya senarai barangan halal yang terdapat dalam Muslim Consumer group boleh membantu anda memilih barangan tersebut. Bagi kita orang Malaysia lebih mudah membawa barangan kosmetik, sabun dan sebagainya daripada Malaysia saja sebab banyak barangan tersebut di Malaysia sudahpun berlabel halal Jakim.

Biasanya sebelum membeli belah, kita sudah merancang membeli beberapa barangan khususnya barangan harian am seperti roti, susu, dan biskut. Untuk menjimatkan masa adalah lebih mudah kita merujuk kepada senarai barangan halal yang terdapat dalam Muslim Consumer Group sebelum keluar membeli belah lagi.
 
Sekiranya ada lagi produk masih anda kurang pasti bahan kandungannya, bolehlah anda menanyakan soalan kepada pertubuhan-pertubuhan yang bertanggungjawab dalam makanan halal di Amerika Syarikat contohnya Muslim Consumer Group dan Ifanca. 

Semoga pencarian anda mencari barangan halal lebih mudah dan  diberkati Allah

Wednesday, December 23, 2015

Makanan Kosher Mudah Didapati di Amerika Syarikat


Pernahkah anda dengar tentang makanan 'kosher"?
Lihat simbol U pada label makanan in i



Berikut ialah sedikit penerangan tentang makanan tersebut.
Allah berfirman:
" ..dan makanan ahli kitab dihalalkan bagimu."
Surah al Maidah 5:5

Menurut ahli tafsir Al Quran, makanan dalam ayat ini maksudnya ialah haiwan sembelihan mereka. Justeru halal  bagi kita memakan haiwan sembelihan ahli kitab terutamanya Yahudi yang sangat ketat menjaga makanan mereka. 
Orang Yahudi memililki istilah khusus yang berfungsi seperti label halal dalam agama kita. Istilah itu dinamakan kosher. Setahu saya, tiada makanan haram yang mereka halalkan melainkan arak sahaja. 
Lihat simbol U pada peket makanan ini
Kesimpulannya, saudara boleh memakan masakan Yahudi melainkan jika saudara mengetahui mereka  memasukkan bahan berunsur arak ke dalam makanan tersebut. Semua ini tentu saja dibolehkan selagi mana ia tidak mengandungi aktiviti haram di sisi Islam.

 




Imam Ahmad berkata: 
Perkara yang dilarang hanyalah memasuki kuil dan gereja mereka. Adapun membeli makanannya, maka tidak haram."

Demikian diriwayatkan oleh Ibn Muflih dalam al Adab al Syar'iyyah.

Sumber: Al Ustaz Isu 20- Ustaz Umar M. Noor


Untuk memilih makanan kosher yang terdapat di kedai, seseorang harus memerhatikan label yang mempunyai simbol kosher. Antara simbol kosher ialah seperti yang tertera di bawah. Simbol ini terdapat di bahagian hadapan atau belakang label bungkusan atau pembalut bekas makanan. Simbol ini agak kecil, walau bagaimanapun biasanya ia boleh dilihat dengan jelas.



Tanda kosher yang disahkan oleh 
Chabad of Fresno, California

Tanda kosher yang disahkan oleh 
The Union of Orthodox Congregations, New York


Walau bagaimanapun bukan semua produk kosher di Amerika Syarikat halal bagi orang Islam  . Berdasarkan Muslim Consumer Group sekiranya produk kosher mengandungi bahan-bahan dibawah ini, produk ini dianggap tidak halal.
Antaranya
1. Gelatin- mungkin di buat daripada babi
2. kosher Gelatin
3. L Cystein-dibuat daripada rambut manusia atau bulu ayam atau itik
4. Segala jenis arak termasuk Rum.
5. Ethyl alcohol atau ethano
6. Carmine/cochineal- sejenis pewarna kuning dibuat daripada sejenis serangga
7. Vanilla extract- mengandungi alkohol
8. Kicap/ soy sauce naturally brewed- buasanya dicampur wheat dan prosesnya melibatkan ethanol.
9. Confectioneary glaze atau resionous glaze
10. Natural Vanilla atau Natural vanilla extract- alkohol digunakan dalam pemprosesannya.
11. Grape wine by product- grape seed oil, grape seed extract dan grape skin powder.

Berdasarkan pengalaman daripada pengembaraan saya di Amerika Syarikat, agak mudah mendapatkan barangan kosher terutama sekali di hypermarket Walmart dan Kroger. Hanya perlu melihat simbol-simbol ini dan cuba elakkan bahan-bahan di atas. Insha Allah pencarian makanan halal akan lebih mudah.
Bersambung.

Popular Posts