Showing posts with label Solat Jumaat. Show all posts
Showing posts with label Solat Jumaat. Show all posts

Friday, November 23, 2018

Islamic Center di Ibu Negeri Michigan

Bangunan ini sangat mudah dicari sebab lokasinya di tepi jalan dan tidak jauh dari kawasan universiti. Islamic Center of Greater Lansing ini merupakan Islamic Center yang ke dua  kami kunjungi selepas Muslim Education Center di Chicago.

Walaupun hanya bangunan setingkat, Islamic Center ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembangunan Islam di sini. Asalnya orang Islam di sini hanya menumpang sebuah bilik di kawasan universiti untuk solat fardhu dan solat Jumaat. 

Hasil sumbangan orang ramai dan daripada negara-negara Islam, terbangunlah sebuah bangunan yang memuatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah Islam sepenuh masa di sini. Pahit maung dugaan ditempuhi oleh penduduk Islam di sini dengan menyaksikan pembinaannya pernah tergendala beberapa kali terutama sekali selepas kejadian 11 September 2001. Alhamdulillah  tahun 2005 bangunan ini siap sepenuhnya lengkap dengan tempat parkir kenderaan untuk kemudahan sekolah dan masjid.

Islamic Center ini memainkan peranan penting dalam kemaslahatan umat Islam di sini. Daripada urusan aqad nikah, cerai, pengkebumian hinggalah zakat dan sedekah semuanya boleh dibantu oleh pengurusan masjid ini. Bahkan masjid ini juga memiliki tanah perkuburan orang Islam sendiri. 
Bangunan sekolah yang terletak bersebelahan masjid menempatkan sekolah sepenuh masa, sekolah tambahan(Sunday School) untuk kanak-kanak dari umur 5 tahun hingga 13 tahun(Pre 
K hingga Middle School). Juga Dar Al Quran yang dikhususkan untuk golongan dewasa untuk mempelajari Al Quran dan mendalami agama Islam. 

Subhanallah,besar sungguh peranan Islamic Center ini. Walaupun dari luar mungkin ia tidak kelihatan gah seperti masjid besar yang bertingkat-tingkat, ia di imarahkan dengan begitu banyak aktiviti oleh komuniti Islam di sini. Tahukah anda lebih kurang berapa bilangan umat Islam yang menunaikan setiap kali solat Jumaat di sini? 1500 orang. Alhamdulillah.  

Thursday, November 17, 2011

Peristiwa Yang Bukannnya Kebetulan, Tapi di Tentukan Allah

Islamic Center Anaheim
 "Semua perkara yang berlaku di dunia ini tidak berlaku secara kebetulan. Semuanya ditentukan Allah." Kerap kali aku mendengar ayat tersebut dalam beberapa siri ceramah di TV atau di You tube  dan aku bersetuju dengan pendapat tersebut. 

Satu peristiwa mengingatkan aku tentang  pendapat ini ialah semasa kehadiranku  bersama keluarga di Islamic Center, Anaheim, tak jauh dari Bandaraya Los Angeles. Kami ke sana untuk menunaikan solat Jumaat di sana semasa pengembaraan kami di Amerika Syarikat pada tahun 2009. 

Sebagaimana kebiasaan orang Islam di sini , kaum wanita juga bersama- sama menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah selepas itu. Mereka sangat serius dalam usaha mendengar khutbah dan tidak menggemari bersembang-sembang semasa khutbah di perdengarkan.Khutbah di sampaikan dalam bahasa Arab.

Sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam dewan solat dan duduk di bahagian belakang, seorang muslimat memberi isyarat supaya aku mengambil headphone yang terdapat di sana. Oleh aku tidak memahami  tujuan menggunakan headphone itu aku hanya mengatakan,"It's okay'. Rupa rupanya dengan menggunakan  headphone itu kami boleh mendengar terjemahan khutbah yang disampaikan dalam bahasa Inggeris di Islamic center tersebut.

Selesai solat jumaat wanita tersebut datang menghampiriku untuk berkenalan dengan aku dan anak-anak. Agak lama juga kami bersembang, tambahan lagi bila aku mendapat tahu di berasal dari Indonesia, negara serumpun dengan Malaysia. Meskipun begitu semua perbualan kami adalah dalam bahasa Inggeris. 

Semasa berjabat salam dengannya sebelum beredar, aku baru teringat untuk bertanya siapakah namanya. 
"Salwa", jawabnya yang membuatkan aku betul-betul terkejut kerana namanya sama dengan namaku. Adakah ini berlaku secara kebetulan atau ini memang di tentukan Allah. Aku percaya Allah menemukan kami di tempat yang penuh keberkatan ini dan ini ketentuannya. Bukannya satu kebetulan!


Ingin mengikuti kisah pengembaraan saya di Amerika Syarikat dan orang Islam di sana? Klik di sini.

Popular Posts