Showing posts with label Al Quran. Show all posts
Showing posts with label Al Quran. Show all posts

Friday, January 12, 2018

Buah-buahan di Dunia Ada Yang Sama Dengan Di Syurga?

"Menarik bila dengar ustaz tafsirkan ayat tadi," kata saya sambil menyarungkan selipar yang terletak di atas anak tangga surau. Sahabat sekelas saya yang berdiri di tepi saya mengangguk tanda setuju. Kami baru sahaja menghadiri kelas tafsir harfiah di surau sebelum itu. Satu kelas yang menarik bagi saya sebab selain dari menterjemah, penafsiran bagi setiap perkataan  dalam ayat juga dibincangkan. Dulu perbincangan bagi semua ayat dalam surah Al Mulk pun mengambil masa setahun untuk dihabiskan. 

Kami meneruskan perbualan sebab arah perjalanan balik ke rumah masing-masing adalah sama. Balik berjalan kaki sahaja. Lebih mudah dan lebih mengeluarkan tenaga,disamping itu dapat juga menghirup udara petang yang segar selepas hujan renyai tadi. 

"Buah-buahan dalam bahasa Arab ialah Alfaakihatun, betul tak?" tanya sahabat saya, cuba mengingat. Kami juga mengambil kelas bahasa Arab bersama sekali seminggu. 

"Haah. Selain daripada al faakihatun ada juga dalam al Quran at thamaraatun sebagai buah-buahan. Tadi ustaz  bagi tau Alfakihatun juga makanan utama dalam syurga kelak.Tapi.. boleh kenyang kemakan buah-buahan saja? Hmm..Kan kita dah biasa makan nasi. " tanya saya, timbul pula kemusykilan selepas itu. 

"Kenyang sebenarnya ditentukan Allah. Macam di dunia ni, kadang sedikit makanan pun dah kenyang. Tanda keberkatan makanan itu. Walaupun berdasarkan sains,makanan ruji macam beras dan gandum ialah makanan yang mengenyangkan tapi itu semua juga ditentukan Allah." kata sahabat saya, memberi pendapat.
"Betul juga. Teringat tadi ustaz ada juga bercerita tentang buah-buahan yang biasa kita lihat di dunia ni nanti ada di akhirat kelak. Cuma mereka jauh lebih sedap dan kesedapan itu tak dapat kita bayangkan. Ini bermakna buahan buahan seperti betik, tembikai, manggis, rambutan semuanya ada di syurga lah ye. Semuanya pasti sedap dan manis lagi daripada yang ada di dunia ni."kata saya lagi.

"Subhanallah. Ini baru satu nikmat dunia. Tak sama macam kat dunia. Kadangkala beli buah pun ada yang tawar dan masam. Mahal pula tu. Cuba tengok harga durian sekarang. Dijual guna kilo. Lebih berat kulit daripada isi. Belum tentu isinya manis. " keluh sahabat sekelas saya ini. 

"Dulu sewaktu di belajar di California, saya  dan kawan kawan berpeluang memetik navel oranges bersama ibu bapa angkat kami. Buah oranges ni sebenarnya buah musim dingin.Saya masih ingat lagi  semasa kami memetik tu awal musim bunga. Disitu kami belajar cara nak pilih yang mana navel oranges yang betul-betul masak dan sedap di makan,"saya mula bercerita, mengimbau kenangan lama. 

"Wah, ye ke? California beriklim mediteranean kan? Tentu banyak ladang buah buahan. Mesti seronok dapat pergi ke ladang oranges tu. Dapat petik buah-buahan pula tu. Satu pengalaman yang bukan ramai dapat buat. Tapi macamana ye, nak tahu buah orange yang dah cukup masak ?" tanya sahabat saya, berminat untuk tahu lebih lagi.
"Bagi buah oranges kita bukannya tengok warnanya saja untuk tahu samada tahu dia elok atau tidak.Cuba tengok bahagian ekornya, bukan bahagian lekat dengan tangkainya. Bahagian ekor yang merekah (bukan isi terkeluar) menandakan limau tu dah cukup masak. InshaAllah sedap dan manis walaupun kulitnya masih keras," terang saya dengan yakin. 

"Ooh...macam tu. Nanti bila pergi beli buah, saya nak carilah buah oranges macam tu. Selain daripada oranges, buah lain pula macamana nak tahu dia manis dan sedap?' tanya sahabat saya lagi.

"Buah ceri ...yang 'fresh' tu biarlah kehitaman sikit tapi masih berkilat. Kalau beli kat sini memang tak boleh pilih. Semuanya sudah 'pack' dalam bekas. Saya berpeluang memetik ceri bersama keluarga di sana tahun 2009 dahulu. Seronok kami naik turun tangga memetik buah ceri," saya bercerita lagi.  

"Seronoknya dapat pergi dengan keluarga. Tapi...eh pokok ceri tinggi ke? Kena panjat tangga?" tanya sahabat saya, kehairanan

" Yang terjuntai ke bawah memang ada tapi biasanya tak banyak yang cantik dan 'fresh'. Bila panjat tangga dapat kita pilih ceri yang betul-betul masak tapi tak lembik. Tangga yang kecil aje digunakan. Tak tinggi pun" terang saya lagi.

"Nanti kalau ada rezeki lebih, nak jugalah saya bawa keluarga pergi memetik buah buahan di negara beriklim Mediteranean macam California. Saya kena belok ke sini. Jumpa lagi minggu depan, Insha Allah.,"bersemangat sahabat saya ini menyatakan keinginannya. 

."Ya memang seronok melancong bersama keluarga. Berbaloi. Semoga Allah murahkan rezeki awak sekeluarga," kata saya sambil bersalaman dengannya.  


Sungguh, apa yang diberitahu ustaz di kelas tersebut sebenarnya semua berdasarkan  ayat-ayat al Quran. Setakat ini saya telah menjumpai lebih 50 ayat berkenaan buah-buahan di dalam Al Quran. Pastinya ada maksud tersurat  atau tujuanAllah memberikan begitu banyak ayat berkenaan buah-buahan. Antara ayat berkenaan buah-buahan di syurga terdapat dalam surah Ar Rahman ayat 52,54 dan 68. Juga dalam surah al Insan ayat 14. 

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu.
(Mereka) berada di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang mengalir terus-menerus. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya. 
Al Waqiah 56:27-33

Subhanallah. Di syurga tiada buah-buahan bermusim. Tiada perlu berpenat lelah menanam, menuai dan memetik. Syurga tempat kita berehat. Insha Allah.semoga Allah pelihara perjalanan hidup kita agar sentiasa terarah ke tempat rehat yang terbaik ini, destinasi terakhir kita. 

Friday, May 12, 2017

Suatu Pengalaman Baru..Penguins

"Allah...sempat ke ni? Berbaloi ke kita kalut-kalut ni," kata saya kepada suami. Kami harus sampai ke tempat itu pukul 5.15 pm.Walhal jam ketika itu sudahpun 5.30 pm. Kami ada 6 km lagi perjalanan untuk sampai.

Matahari hampir terbenam.Hari sudah mula melabuhkan tirainya. Bukan sengaja kami mahu keluar dalam waktu yang kurang digalakkan sebegini. Namun waktu itu sajalah kami dapat menyaksikan makhluk-makhluk kecil ciptaan Allah ini keluar dari laut menuju ke sarangnya di pantai. Dan mereka hanya keluar ke laut semula sebelum waktu subuh. Keadaan yang normal bagi haiwan nokturnal (haiwan yang aktif pada waktu malam).

Sampai di tempat tersebut kami terus menapak dengan laju.Sudah lewat. Tempat yang dituju agak jauh. Angin dingin laut selat Bass di selatan Australia ini mula terasa sejuknya, menggigit hingga ke tulang  walaupun berpakaian sampai 3 lapis. "Ramainya orang!" terkejut  saya melihat begitu ramai orang sanggup pergi tempat sebegini jauh dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk.  Kelihatan bangku-bangku panjang  disediakan bertingkat-tingkat menghadap ke pantai. Seolah-olah satu pertunjukan poentas. Tangan terasa membeku. Terus saya capai sarung tangan yang memang saya selitkan di dalam beg.

'Penguin parade', itulah istilah yang diberikan kepada perarakan 'little penguins'  dari laut ke sarangnya. Bukan satu perarakan yang perlu disiapkan seperti manusia tetapi  ia berlaku setiap malam tetapi oleh burung-burung penguin yang berlainan. Bukan burung-burung yang sama. Perarakan ini hanyalah daripada laut hingga ke pesisiran pantai. Tanpa perlu apa-apa persiapan sebab Allah telah mengatur segalanya.

Tidak lama selepas kami duduk, kelihatan burung-burung yang tompok putih di dadanya muncul keluar daripada celah-celah ombak memecah ke pantai. Mula-mula seekor dua. Kemudian makin lama makin banyak.  Mereka berdiri tegak berkumpul, mengikut kelompok. Subhanallah....itulah 'little penguins' yang ditunggu-tunggu. Dalam kumpulan 6-10 ekor mereka mula berjalan kemudian melangkah laju menuju ke semak semak di tepi pantai. Comel...langkahnya terkedek-kedek. Bukan terbongkok-bongkok seperti burung biasa. Aneh..namun itulah sunatullah. Diajar Allah kepada makhluknya.'Sunnatullah', peraturan atau sistem atau ketentuan Tuhan untuk hamba-Nya di dunia ini, samada hamba-Nya yang bernyawa mahupun hamba-Nya yang tidak bernyawa.

Tak lama selepas itu ,kelihatan banyak kelompok-kelompok burung penguins di pantai. Baru keluar dalam kedaaan masih basah dengan air laut. Masing masing  berdiri tegak seolah menunggu arahan dahulu untuk berkumpul. Lepas itu barulah menapak laju ke arah sarang. Memang menarik bila melihat begitu banyak kelompok kelompok burung ini berkumpul. Namun kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Takut burung itu terganggu dan tidak mahu datang lagi ke pantai tersebut. Semuanya diperhatikan daripada atas pentas yang disediakan.

Kebiasaannya begitulah pengalaman yang diceritakan oleh orang yang begitu teruja melihat sesuatu yang baru. Namun penglihatan hasil daripada deria mata, anugerah Allah ini punya beberapa tingkatan. Jika dilihat oleh orang biasa biasa, ia hanya satu pemandangan dan pengalaman yang mengujakan. Jika dilhat dengan menggunakan akal, akan tercungkillah ilmu disebalik penciptaannya. Bagaimana burung penguin ini boleh hidup dilaut begitu lama didalam laut. 80% kehidupannya di laut. Hanya 20% di darat. Dari segi sains, terbit soalan bagaimana keadaan bulunya.?Apa makanannya? Tidurnya bagaimana? Semua persoalan akan timbul di pemikiran kita dan bagi sesetengah orang, mereka akan cuba mencari jawapan bagi sunatullah ini.

Namun yang lebih baik, kita dapat melihatnya dengan mata hati. Jika dilihat dengan mata hati, kita bukan sahaja memperolehi ilmu, malah kita memperolehi iman. Dengan memerhati, mengkaji dan memikirkan tentang apa yang berlaku, contohnya, mengapa burung-burung ini diciptakan, siapa penciptanya membuatkan kita semakin hampir kepada Sang Pencipta, yakni Allah. Betapa terpericinya ciptaan Allah pada burung sebegini kecil.

Inilah yang Allah nyatakan dalam firmannya yang bermaksud:
" Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir tentang kejadian langit dan bumi(sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."
(Surah Ali Imran 3: 191)

Bersambung.
Rujukan:
2.Lihat alam melalui mata hati-pahrol mohamad Juoi-Solusi isu 20

Tuesday, March 29, 2016

Mulakan Berbuat Kebaikan

Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang tentang memberi pertolongan boleh merupakan satu proses yang memberi kesinambungan. Video yang dilakonkan oleh orang Barat itu memperlihatkan betapa dengan satu pertolongan yang sangat kecil walaupun sekadar menolong orang melintas jalan atau menolong mengangkat barang boleh menjadi motivasi bagi seseorang menolong orang lain pula.

Saya kurang ingat susunan pertolongan atau perbuatan baik dalam video tersebut. Ia mungkin bermula daripada seseorang buruh yang hanya membantu seorang budak yang jatuh semasa berbasikal. Kemudian, insaf dengan pertolongan tersebut, budak itu ternampak seorang tua sedang melintas jalan dan mengangkat barang yang berat. Lantas, dia cepat-cepat membantunya dengan mengangkat barang tersebut. Tak lama selepas itu, orang tua itu pula ternampak seorang perempuan sedang mencari-cari duit syiling di dalam beg tangannya untuk bayaran parkir kereta. Terus dia menghulurkan duit syilingnya. Terkejut lalu tersenyum perempuan tersebut menerima wang itu dengan syukur walaupun jumlahnya hanya beberapa sen.

Kemudian, perempuan itu ternampak seorang pemuda tampak lemah meminta sedekah, duduk tak jauh dari situ lalu dibelikannya frankfurter daripada sebuah gerai tidak jauh dari situ. Terkejut pemuda tersebut namun diterimanya dengan penuh kesyukuran. Pemuda itu ternampak pula seorang lelaki terjatuh sekeping kad sewaktu dia keluar dari sebuah kedai lalu dia berlari memulangkannya. Lelaki  itu begitu gembira mendapat semula kadnya. Seketika, dia ternampak seorang pelayan perempuan dimarahi oleh bosnya lalu dia kelihatan sedih. Lantas sewaktu lalu di tepi sebuah gerai bunga dia membeli sejambak bunga dan menghadiahkan bunga tersebut kepada pelayan tersebut. Pelayan tersebut tersentak namun menerimanya dengan gembira. Semangat untuk bekerja kembali pulih.. Pelayan itu kemudiannya memerhatikan seorang buruh sedang bekerja dalam terik panas lalu menghadiahkan sebotol air kepadanya. Dan sungguh tidak sangka buruh itu ialah orang yang mula-mula sekali membuat kebaikan.

What goes around comes around. Hidup ini seperti putaran roda. Setiap kebaikan yang kita mulakan, Insha Allah akan dibalas oleh Allah sejak di dunia lagi. Sebagai orang Islam kita lebih beruntung kerana semua kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan di akhirat kelak, biar sekecil atom sekali pun. Bahkan kita disuruh berlumba lumba berbuat kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalang (menerima pahalanya) dan Allah Maha mengetahui orang yang bertakwa." [Ali 'Imran 3: 115]

Mungkin benar apa yang dintakan oleh Ust Umar Muhammad Noor dalam majalah Solusi isu 85
'Muslim yang terbaik bukanlah orang yang paling pandai berceramah, tetapi yang paling besar khidmatnya kepada manusia. Seorang muslim tidak mendiamkan kesusahan orang lain. Jiwanya selalu tergerak untuk membantu. Bahkan tidak sesekali dia menghampakan harapan orang lain kepadanya. Paling kurang memberi kata-kata semangat untuk meringankan kepedihan orang yang meminta pertolongannya.'
Ibn Abbas berkata:" berbuat baik kepada manusia ialah suatu ibadah kepada Allah, menarik cinta manusia dan tanda kesyukuran yang kekal."

Contohilah tindakan Said bin Jubair. Tokoh tafsir yang merupakan anak murid Ibn Abbas ini sangat aktif dalam kerja-kerja sosial dan membela nasib umat. Umar bin Ziadah berkata: "Setiap kali melihat Said bin Jubair, aku melihat beliau bak rahib. Beliau selalu berpusing ke rumah orang  tua-tua dan bertanya: 'Adakah hajat yang boleh saya belikan? Adakah kamu memerlukan bantuan?"'

Bersama-samalah kita berbuat kebaikan!

Friday, February 19, 2016

KIsah Zulkarnain- Salah Satu Kisah dalam Surah Al Kahfi

Sudah baca surah Al Kahfi hari ini?

Kisah Zulkarnain ialah salah satu kisah yang diceritakan dalam  Al Quran. Zulkarnain ialah seorang raja yang soleh dan kuat imannya. Ketika beliau sampai ke sebuah tempat di antara dua buah gunung, kaum di situ telah meminta pertolongannya supaya dibuat dinding/benteng agar tidak di kacau oleh Yakjuj dan Makjuj. Selepas selesai membuat benteng tersebut, kaum tersebut ingin membayar upah kepadanya. Ayat ini ialah jawapan Zulqarnain kepada mereka. Zulqarnain yakin balasan yang dianugerah Allah lebih baik daripada imbalan yang ingin diberikan oleh kaum tersebut. Ayat ini boleh memotivasikan kita agar membuat kerja dengan bersungguh-sungguh dan yakin balasan Allah itu lebih baik daripada segala-galanya.Cuba lihat ayat ini ayat yang mana dalam Al Quran anda.

Friday, February 12, 2016

Jom Lihat Terjemahan Ayat 17 dalam Surah Al Kahfi

Dah baca surah Al Kahfi hari ni?
Dalam surah ini terdapat kisah Ashabul Kahfi, pemuda-pemuda yang berlindung di sebuah gua dan ditidurkan Allah selama 309 tahun. Ayat di bawah menerangkan tentang bagaimana Allah menjaga dan menentukan arah cahaya masuk ke dalam gua itu agar keadaan dan suasana yang dialami oleh pemuda-pemuda tersebut selamat dan selesa. Cahaya itu tidak terkena tubuh badan mereka secara 'direct' agar tidak terbakar. Berdasarkan ayat ini juga. kita boleh simpulkan Allah telah tempatkan mereka di tengah-tengah gua.Apabila matahari terbit, bayang-bayang akan berada di sebelah kanan gua. Dan apabila matahari terbenam di sebelah barat, bayang-bayang akan berada di sebelah kiri gua. Daripada terjemahan ayat di bawah, kita boleh simpulkan kedudukan pintu gua terletak di sebelah utara. Allahu Akbar!Allah yang menentukan segala-galanya.
Sumber:
1.http://tafsirsunnah.me/2013/05/11/tafsir-surah-al-kahfi-ayat-1-31/
2.https://alquranmulia.wordpress.com/2015/07/17/tafsir-ibnu-katsir-surah-al-kahfi-ayat-17/

Wednesday, February 3, 2016

Jom Baca dan Hayati!

Ramai yang tahu membaca surah Yaasiin. Malah ramai juga yang sudah menghafalnya sedikit sebanyak ayat-ayat dalam surah tersebut. .
Bila membaca surah Yaasiin, cuba teliti yang mana satu ayat-ayat dibawah ini. Jom baca terjemah dan tadabbur 2 ayat ini.

Monday, November 2, 2015

Berhubunglah Bukan Sekadar Melalui Sms, Whatsapp, Twitter dan Facebook

'Engage in real life conversations - not just sms, email or whatsapp - while you can still hear the voices and observe the body language.-Ewe Jin'
Itu satu petikan daripada satu satu artikel dalam sebuah surat khabar. Bila terbaca artikel ini,terasa seolah-olah terkena batang hidung sendiri. Kadangkala diri ini berasa malas untuk keluar dan berjumpa orang ramai. Alasan... Tak ada masa, sakit lutut, batuk, jerebu ...

Hebatnya kita  manusia dianugerahkan Allah pancaindera yang nembolehkan kita merasa, mendengar, melihat, menghidu, menyentuh dan lain-lain. Menjengah usia lebih separuh abad diri ini sudah terasa kecekapan pancaindera tidak sehebat di usia remaja. Bangun pagi, teruja hendak melakukan begitu banyak tugasan namun kudrat tidak menyebelahi apa yang ingin dilakukan. Meskipun masa dijaga agar tidak sentiasa berlengah-lengah namun tugasan yang di rancang tidak semua terlaksana. Itulah hakikat yang terpaksa diterima bila usia semakin bertambah.

Namun, pancaindera istimewa anugerah Allah ini harus dijaga dan diguna sebaiknya sampai ia ditaqdirkan berhenti fungsinya. Kerana iman mempercayai setiap satu anggota di tubuh ini akan disoal di akhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud:
"Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi  atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka dan mereka tahu bahawa Allah Maha Benar, Maha Menjelaskan.
An Nur 24: 24-25

Jika direnungi lebih teliti, berapa ramai yang menggunakan keseluruhan pancaindera anugerah Allah ini untuk berhubung dengan orang yang rapat dan orang tersayang. Berhubunglah dengan cara yang lebih semulajadi, bukannya hanya dengan whatsapp, facebook ataupun twitter. Satu teguran diri saya sendiri juga.

Ziarahlah ibu bapa, kakak dan abang juga saudara mara untuk mengeratkan siratul rahim antara anda dan mereka. Ambil masa untuk berjumpa dan berbual bersama kawan-kawan dan binalah ukhuwwah sesama Islam.

Lihatlah riak wajah gembira.dan senyuman mereka yang boleh menjadikan satu terapi bagi diri anda yang gusar. Ataupun tepuklah bahu mereka bagi memberi semangat kepada mereka yang lemah. Ia juga akan memberi sinergi bagi diri anda yang sering menghadapi masalah.

Lakukanlah! Biar sekejap pada permulaan tapi lebih lama kemudian nanti. Agar perhubungan anda dengan mereka bukan hanya sekadar menggunakan hujung jari di alam maya.

Friday, October 23, 2015

Hargai Apa Yang Kita Miliki

Baru- baru ini saya terbaca satu artikel dalam The Star yang ditulis oleh Soo Ewe Jin yang bertajuk ' Never take things for granted'. Artikelnya hanya 1/3 mukasurat saiz sekeping suratkhabar namun banyak menyedarkan  kita tentang betapa kita selalunya tak menghargai apa yang telah ada dalam genggaman kita. Siapa yang berikannya? Sudah tentu Allah Maha Mengasihani dan Maha Berkuasa.

Berapa ramai daripada kita menghargai langit yang cerah dan membiru hanya setelah langit ini tidak kelihatan lagi, sebaliknya diselubungi  habuk dan asap yang menyesakkan pernafasan dan memedihkan mata. Berapa ramai pula yang selalu bersyukur dapat menikmati makanan yang sedap sehinggalah pada suatu hari mereka tidak dapat menjamah makanan tersebut dek kerana penyakit yang dialami. Berapa ramai lagi yang menghargai dan merindui bunyi-bunyi indah dan pemandangan ciptaan Allah yang menenangkan jiwa hanya setelah pendengaran mereka bermasalah dan mata mereka kian kabur. Malangnya, kata Ewe Jin, kita biasanya merindui dan mula menghargainya setelah keadaan ini sudah tiada lagi bersama kita.

Wednesday, October 7, 2015

Hijrah Rasulullah- Dari Rumah Abu Bakar ke Misfalah, kemudian ke Gua Thur (bahagian 4)

Kata pakar ' Untuk berjaya, setiap malam sebelum tidur, senaraikanlah rancangan untuk hari seterusnya." Perancangan ialah tindakan yang penting sebelum diri bergerak melakukan sesuatu yang penting. Adakah anda selalu membuat perancangan sebelum mulakan aktiviti anda?

Jika dikaji sirah hijrah Rasulullah ke Madinah, semua perancangan telah dilakukan oleh baginda sejak awal-awal lagi. Tentang masa untuk mula bergerak ke Madinah, orang yang terlibat dalam menjayakan penghijrahan ini dan pelbagai perkara lagi yang dirancang baginda. Ceramah demi ceramah kita hadiri tentang penghijrahan Rasulullah. Namun jarang kita ambil iktibar daripada segala perlakuan dan perancangan Rasulullah dalam peristiwa tersebut.

Jom kita telusuri sedikit bahagian ke 4 daripada peristiwa hijrah Rasulullah ini.

Dari rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah bersama sahabatnya melewati  jalan ke arah selatan di bahagian al Misfalah. Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha mencarinya dan jalan utama ke Madinah ialah jalan ke utara. Oleh itu baginda melalui jalan yang terletak diselatan Mekah menuju ke Yaman.

Antara jalan yang dilalui Baginda s.a.w. ialah berhampiran Masjid Saydina Hamzah yang terletak di Misfalah. Masjid Sayidina Hamzah di Misfalah ini terletak di Jalan Ibrahim Al Khalili. Hotel yang pernah kami tinggal semasa mengerjakan umrah terletak di kawasan Misfalah. Ianya lebih kurang 800 m dari  Masjidil Haram. Oleh itu bolehlah kita anggarkan jarak dari Makkah ke kawasan Misfalah  lebih kurang 1 km.

Dalam keadaan yang masih gelap, baginda dan sahabat karibnya meneruskan perjalanan ke Jabal Thur. Jabal thur terletak lebih kurang 6 km  dari Makkah. Ini bermakna Rasulullah telah berjalan kaki  lebih 6 km untuk ke Jabal Thur. Sanggupkah kita berjalan dan mendaki sebegini jauh dalam keadaan gelap gulita tanpa mengetahui bahaya yang mungkin muncul di hadapan. Namun mereka berdua menyerahkan hal keselamatan mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan berkat keyakinan itu dan keadaan yang berjaga-jaga akhirnya mereka berjaya juga sampai di tempat yang dirancangkan.

Bila mengerjakan umrah, kita akan dibawa dengan bas yang akan mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dari bandar Makkah. Namun Rasulullah terpaksa berjalan kaki dan mendaki Jabal Thur yang tinggi dan berbatu. Mungkin terlintas di fikiran kita tentang betapa kuatnya stamina baginda Rasulullah dan sahabatnya berjalan kaki sebegini jauh, namun tanpa keazaman yang kuat dan keyakinan kepada Allah, mungkin perjalanan ini juga tidak akan berjaya.

Sekiranya ada yang berkesempatan ke Makkah, carilah kawasan Misfalah dan anggarkan berapa lama yang anda akan ambil sekiranya anda berjalan dari Misfalah ke Gua Thur.




Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."
Al Baqarah 2:155

Sumber :
Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Friday, October 2, 2015

Hijrah Rasulullah (Bahagian 4) Rumah Abu Bakar As Siddiq


Hijrah Rasulullah bukannya mudah namun telah dirancang dengan telti agar tidak dapat dikesan oleh orang Quraisy. Bermula dari rumah Siti Khadijah, Rasulullah telah pergi kawasan al Nadwah, tempat pembesar Quraisy berkumpul dan berbincang.

Seterusnya Rasulullah bergerak ke rumah Saidina Abu Bakar. Waktu tengahari sebelum itu Baginda telah pun menyatakan rancangan tentang penghijrahan itu. Oleh itu Abu Bakar memang sudah bersedia ketika menunggu sahabat karibnya.

Mungkin  ramai yang berada di Makkah tidak menyedari mereka selalu lalu berhampiran rumah Abu Bakar. Dimanakah letaknya rumah Abu Bakar? Sebenarnya ia terletak dalam bangunan Hilton Makkah yang betul-betul di hadapan Masjidil Haram ,cuma lokasi yang dibenarkan sebagai petanda rumahnya ialah di tingkat 4. Sebagai mengingati letaknya rumah Abu Bakar di sini, sebuah masjid dibina di dalam hotel ini dan dinamakan Masjid Abu Bakar al Siddiq r.a.

Sekiranya anda berada di Makkah , jangan lepaskan kesempatan ini untuk menjejaki tempat-tempat yang disinggahi Rasulullah semasa berhijrah.Setiap tempat yang disinggahi baginda pastinya ada signifikannya.



Sumber:
1. Sirah Nabawiah s.a.w.-Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri(terjemahan YADIM)
2. Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Popular Posts