Showing posts with label English. Show all posts
Showing posts with label English. Show all posts

Tuesday, May 5, 2015

Kelas Bahasa Inggeris Boleh Mengajar Nilai-Nilai Islam?


Cuba tengok poem di bawah

Kali pertama saya dengar 'Poem' ini  dalam radio IKIM pun saya sudah tersentuh dengan nilai-nilai aqidah atau kesyukuran kepada Allah yang diketengahkan di dalamnya. Kemudian saya layari internet untuk mendapatkan keseluruhan 'stanza poem' tersebut. Mungkin terdapat perkataan yang agak susah difahami tapi tidak mengapa. Pastinya kita ada kamus sebagai rujukan di rumah, bukan ?

Poem ialah salah satu bentuk persembahan berunsurkan Islamik di dalam English Communication kelas saya. Sebelum menyuruh pelajar membuat persembahan, mereka perlu faham sedikit sebanyak apa yang mereka akan persembahkan. Sebagai guru saya akan menerangkannya dalam Bahasa Malaysia agar mereka dapat menghayatinya kelak semasa persembahan. Di sini unsur dakwah memainkan peranan. Disebalik tahu maksud perkataan bahasa Inggeris, saya menengahkan perlunya kepercayaan kepada qadha dan qadar Allah dan yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Selepas memahami dan menghayatinya, barulah mereka berlatih. Saya akan membantu mereka dari segi 'pronunciation', intonasi dan pause. Biasanya mereka tidak mengambil masa yang lama untuk berlatih persembahan ini.

Saya teringat seorang guru yang pernah mengajar saya Kimia di sekolah menengah. Setiap kali sebelum habis kelas dia akan mengambil beberapa minit untuk membaca dan membincangkan hadith atau apa-apa saja yang berkaitan dengan Islam. Walaupun kami mengeluh (maklumlah kelas itu biasanya betul-betul sebelum waktu makan tengahari), dia teruskan juga dengan perbincangannya agar kami mendapat sedikit ilmu tentang Islam. Alhamdulillah, akhirnya dengan berkat perbincangan ilmu yang sedikit ini dan ditambah  dengan ceramah-ceramah yang dia sendiri usahakan di sekolah, banyak perubahan positif berlaku bukan saja kepada para pelajar bahkan pada rakan sekerjanya juga.

Guru  saya ini telah meninggal dunia ketika saya masih belajar di peringkat universiti. Dia ditembak mati di Selatan Filipina semasa berdakwah di sana. Semoga Allah memberkati arwah Cikgu Zaki dan memasukkannya ke dalam Jannatul Firdaus dengan usaha beliau yang sebegitu banyak kepada kami, seluruh warga sekolah. Usaha inilah saya cuba ketengahkan dalam mana-mana kelas yang saya ajar suatu ketika dahulu. Sampaikan ilmu tentang Islam walaupun sedikit namun sentiasa istiqamah.

Persembahan 'Poem' biasanya hanya mengambil beberapa minit sahaja dalam kelas ini untuk mengelakkan rasa bosan. Maklumlah tidak banyak aktiviti dapat di jalankan di sini.Objektif utama di sini ialah menyelitkan kesedaran tentang akhlak dan akidah tentang Islam.

Bagaimana para guru dan pensyarah? Selalukah anda menyelitkan unsur-unsur aqidah dan akhlak dalam pengajaran anda? Sekiranya anda istiqamah melakukan demikian, InsyaaAllah, pelajar anda akan berubah kepada pelajar muslim yang taat kepada perintah Allah.

Bersambung. InsyaaAllah.  

Friday, May 1, 2015

Aktiviti apa yang menarik dalam kelas 'English Communication'

"Help! Help! Somebody help me!"
"Oh no! My shoes got stuck in the mud!"

Pernah terdengar pelajar membacakan satu petikan cerita sebegitu  dalam kelas bahasa Inggeris? Adakah mereka membacanya terus sahaja tanpa apa-apa intonasi atau menggunakan intonasi cemas!

Cuba dengar anak anda membacanya sekiranya anda bukan seorang guru. Mungkin mereka akan membacanya tanpa apa-apa intonasi. (Saya kerap mendengar para pelajar membaca dengan berlagu petikan cerita bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di sekolah yang terletak di hadapan rumah saya!)

Cuba anda bayangkan sekiranya saat-saat cemas ini berlaku pada anda dan anda menggunakan intonasi mendatar sebegitu. Siapalah yang akan tolong anda, bukan? Malah anda akan mungkin akan menjadi bahan ketawa orang jika meminta tolong sebegitu.

Dalam berkomunikasi  apa-apa bahasa sekali pun, intonasi dan 'pause' memainkan peranan penting supaya apa yang kita cuba cakap dapat difahami. Ia memerlukan masa untuk mempelajarinya namun sudah tertentu berbaloi jika orang memahami apa yang cuba kita ungkapkan.

Dalam kelas English komunikasi, antara aktiviti kami ialah berlakon di dalam cerita fabel yang mudah, menunjuk arah(asking for directions) dan menjual dan membeli( buying and selling).

Semasa bercerita , contohnya 'The Ginger Bread Man atau The Wizard of Oz, para pelajar menggunakan poster-poster besar agar penonton memahami apakah watak yang dipegang oleh mereka.Maklumlah sebutan dan intonasi mereka kadangkala belum agak betul lagi. Jadi untuk mengelakkkan daripada penonton (ahli kelas itu sendiri) bosan dan terpinga-pinga pastinya gambar berwarna-warni itu menyumbang sedikit sebanyak berkenaan watak tersebut. Gambar-gambar itu diwarnakan oleh mereka sendiri supaya menjadi lebih menarik.

Sebenarnya saya sendiri pernah mengambil satu kursus teater kanak-kanak semasa di peringkat universiti. Dalam kelas ini kesemua pelajar (mengikut kumpulan) dikehendaki berlakon dalam cerita -cerita yang kami pilih sendiri. Cerita bagi kumpulan saya ialah berkenaan kanak-kanak yang cuba membuat roket sendirisupaya dapat pergi ke bulan.

Kelakar juga bila difikirkan kami yang sudah dewasa ini berlakon menjadi kanak kanak, bukan? Tapi bak kata pepatah 'there's always a child inside each one of us'. Dalam diri kita sentiasa ada bahagian kita yang masih kanak kanak. Oleh itu seronoklah juga kami berlakon ketika itu.  Kelas ini antara kelas yang paling relaks, menarik dan penuh dengan gelak ketawa yang pernah saya hadiri di  universiti.

Bahagian 'buying n selling'  saya menggunakan 'flyers' lama yang biasanya diberikan  oleh hypermarket kepada pelanggan. Flyers itu berwarna warni dan menarik. Daripada 'flyers' itu dapatlah mereka melakonkan apa yang mereka ingin beli berdasarkan ayat-ayat yang mudah. Buatkan duit kertas jika ada masa terluang atau gunakan duit daripada mainan monopoli untuk menjadikan aktiviti ini lebih realistitik.

Dalam menunjuk arah jalan(showing directions) ke satu-satu tempat, saya  menggunakan poster dan kereta mainan yang dilekatkan dengan magnet. Poster nipis ini saya letakkan di atas whiteboard supaya pelajar yang berlakon  dapat menunjuk arah kereta mereka perlu pergi. Sudah tentu perkataan ' first then next finally mesti digunakan. Bukannya 'you go left, left, left, right, right, straight, straight atau no turn just kona left!'  seperti yang biasa kita dengar, bukan?,

Semasa menjayakan lakonan ini, nilai-nilai akhlak keislaman seharusnya diambil berat. Dalam kelas saya percampuran lelaki perempuan adalah terhad. Walaupun ada kalanya berlaku pertengkaran sekali sekala antara mereka , perkataan yang terhambur keluar dari mulut mereka juga harus dijaga. Biasa dengar perkataan "Bodoh! Dengki! Penipu! dan maki-makian yang di hambur keluar oleh para pelajar sekolah apabila mereka marah, namun tiada siapa yang menegurnya?

Pelajar perempuan dan lelaki tidak berada dalam satu kumpulan walaupun ruang sangat terhad. Mereka  tidak berkongsi meja. Saya menggnakan meja lipat di dalam kelas saya dan apabila ada aktiviti berkumpulan, hanya sedikit saja meja digunakan dan meja yang lain akan di lipat. Oleh itu ruang pemisah antara pelajar lelaki dan perempuan lebih luas. Walaupun kelas ini biasanya relaks, aspek keugamaan harus dijaga agar apa yang dipelajari mendapat keberkatan Allah

Kesimpulannya untuk membolehkan pelajar-pelajar berkomunikasi dalam kelas ini perlu ada aktiviti sebegini dan props supaya kesemua pelajar terlibat dan tidak bosan. Jadi bagaimana para guru dan pensyarah? Lakukan perubahan agar kelas anda tidak selalu 'monotonous' sehinggakan anda sendiri pun terasa boring!

Semoga artikel ini dapat membantu para guru dan pensyarah. InsyaAllah saya akan ceritakan lebih banyak lagi tentang aktiiviti lain.

Tuesday, April 21, 2015

Kelas Bahasa Inggeris -Gunakanlah Barang-barang Sehari-Hari Agar Kelas lebih Menarik

"Lepas ni kelas English. Boringlah. Dok asyik asyik belajar tenses, tenses, tenses... kita yang naik tension."
Itu mungkin rungutan yang biasa kita dengar daripada murid-murid sekolah bahkan pelajar kolej juga. Malah ia juga apa yang saya pernah alami semasa mengambil kursus Bahasa Inggeris di sebuah institusi di Fresno, California dahulu.

Apa yang kami belajar ketika itu mungkin sudah dipelajari bertahun-tahun di sekolah rendah dan menengah. Tak banyak perbezaan. Cuma antara yang berbeza ialah belajar cara membuat 'research paper'.

Tidak banyak aktiviti yang dijalankan, cuma yang menyeronokkan mungkin lawatan ke San Francisco, Yosemite Park  dan Disneyland. Kesannya ramai yang ponteng kelas-kelas tesebut. Namun keputusan peperiksaan Toefl tidak pula rendah sangat sebab asasnya sudah dipelajari di Malaysia. Mungkin ramai sahabat satu kumpulan dengan saya tersenyum bila perkataan 'ponteng' saya ketengahkan di sini. Namun jangan terkejut cara yang membosankan ini juga di ajar di kolej di Malaysia. Kesannya, masih sama ..boring, no activities.


Popular Posts