Showing posts with label Nashville. Show all posts
Showing posts with label Nashville. Show all posts

Wednesday, March 1, 2017

Kejayaan Trump Ada Hikmahnya

4 bulan berlalu. Demonstrasi jalanan masih hebat berlaku. Rakyat Amerika berterusan marah dengan keputusan pilihanraya di negara mereka. Rakyat Islam khususnya yang berada di negara ini resah...takut... bingung. Resah dengan tindakan yang akan diarah oleh Trump. Takut dikejar oleh pihak berkuasa. Bingung ke mana mereka harus tuju.
Namun jika difikirkan dari satu sudut kejayaan Trump memegang tampuk sebagai presiden Amerika punya pelbagai hikmah. Rakyat dunia kini tahu betapa ramainya umat Islam di Amerika Syarikat. Bukan saja sebagai imigran(pendatang), penduduk tetap (permanent resident) tetapi juga sebagai rakyat Amerika yang berkulit hitam dan berkulit putih. Berdasarkan Pew Research Center, terdapat 3.3 million orang umat Islam di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Dan angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Pengembaraan saya sekeluarga di bumi Uncle Sam ini  beberapa kali juga membuktikan betapa ramainya umat Islam khususnya di bandar-bandar besar seperti Los Angeles, San Francisco,  New York dan Chicago. Bahkan orang Islam bukan hanya terdapat di bandar-bandar ini sahaja, malah juga di bandar- bandar di bahagian utara dari Sioux Falls di South Dakota hingga ke Nashville di Tennessee. Ini hanya sebahagian daripada masjid-masjid  yang saya sekeluarga sempat singgah. Tahu tak, masjid juga terdapat nun di utara sehingga  ke Alaska!

Allahuakbar! Memang orang Islam hadir di hampir setiap pelusuk di bumi Uncle Sam ini. Bagi kami yang pernah mengembara ke sana, kadangkala kami disapa dengan ucapan salam dengan tiba-tiba. Terkejut juga sebab tidak menyangka orang berkulit putih mahupun hitam di hadapan kami sebenarnya seorang Islam.

Selama ini ramai daripada kita hanya memandang sebelah mata sahaja kehadiran orang Islam di bumi yang kontroversi ini. Mungkin disebabkan media hanya memaparkan suasana keganasan mahupun tindakan pemimpin di sana. Maklumlah berita dari negara ini memang sepantas kilat tiba dengan teknologi terkini dan mendapat liputan luas berbanding negara-negara lain. 

Anehnya ramai yang tertarik dengan Islam dengan melihat cara hidup orang Islam di sana. Seterusnya mereka banyak menyelidik sendiri tentang Islam. Allah telah membantu mereka setelah mencari-cari ketenangan dek jiwa yang kosong. Bantulah mereka dan doakanlah untuk mereka....Insha Allah Islam akan membawa ketenangan kepada mereka di sana.

Jika difikirkan lebih jauh dan berbalik kepada keadaan kita di Malaysia, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada keadaan pasca pilihanraya Amerika Syarikat. Usahlah kita berpeluk tubuh dan berbangga dengan Islam yang ada pada diri kita. Umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menarik ramai jiwa yang kosong di sana dengan menunjukkkan contoh akhlak yang baik dengan pelbagai aktiviti interfaith mereka. Bagaimana pula kita disini dengan orang bukan Islam di sekeliling kita. Jom kita berusaha berakhlak baik sebagai permulaan.

'Islam mengajar umatnya agar buta warna kulit dan latar bangsa. Keadilan dalam layanan terhadap sesama Muslim itu dibuktikan dengan jelas dalam hadith Nabi:" Wahai manusia ! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama( Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab  ke atas ' ajam' ( yang bukan Arab), atau 'ajam' ke atas Arab, atau yang berkulit merah  ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkuit merah melainkan ketakwaan."
(Riwayat Ahmad)'
Ezry Fahmy Eddy Yusof- Solusi Isu 98


Rujukan tambahan:https://www.salatomatic.com

Wednesday, September 18, 2013

Parthenon, Nashville - Bangunan Tarikan Pelancong dan Penuh Bersejarah

Parthenon, Nashville.
Bandingkan saiz kami dengan  saiz replika Parthenon ini. 
Sebelum aku merancang untuk ke Nashville buat kali ketiga ini aku tidak pernah mendengar nama Parthenon. Hanya selepas aku melayari internet, barulah aku tahu kewujudan replika Parthenon di Nashville.

Apakah sebenarnya Parthenon? Parthenon ini ialah sebuah  kuil di Acropolis, Greece yang dibina oleh orang Athens.  Ia dibuat untuk didedikasikan kepada dewa Athena, kepercayaan orang Greece dahulu. Pada asalnya ia adalah sebuah kuil dan perbendaharaan negara.  

Selepas merehatkan diri beberapa jam di sebuah motel di Nashville, kami melawat Centennial Park, sebuah taman yang tidak  jauh daripada Vanderbilt University, tempat anakku pernah belajar dahulu. Taman in hanyalah sebuah taman awam. Tapi yang menjadikannya istimewa ialah terdapatnya sebuah replika Parthenon bersaiz sama dengan Parthenon yang asal  di sini. 

Dari jauh, bangunan ini kelihatan kecil sahaja dan seperti bangunan biasa. Namun apabila mendekatinya, barulah  kami nampak keunikkannya. Tiang tiangnya yang tinggi  berbentuk roman dan ukiran yang terdapat pada bangunan ini menyebabkan kami berasa seolah- olah kami  berada di zaman dahulu.

Sebenarnya Parthenon ini merupakan satu bangunan yang istimewa kerana ia dicipta mengikut ukuran  Golden Ratio. Golden Ratio merupakan dua nombor yang apabila dinisbahkan nilainya menjadi 1.618. Golden Ratio ini juga  di perkenalkan oleh Phidias yang juga dikatakan terlibat dalam pembinaan Parthenon ini. 

Sebenarnya banyak makhluk dan alam sekitar dalam alam semulajadi  ciptaan Allah ini yang dijadikanNya mempunyai sukatan 'Golden Ratio'.Bahkan jarak Kaabah di antara kutub selatan dan kutub utara juga apabila dinisbahkan mempunyai nilai yangb hampir kepada Golden Ratio.   Manusia pula setelah mengkaji tentang nombor ini menggunakannya semasa mencipta bangunan dan alat- alat yang lebih canggih dan tampak eksklusif..

Bangunan replika Parthenon ini rupanya sangat besar. Lenguh juga kaki nak mengelilinginya. Di satu sudut terdapat satu pintu menghala ke bawah seolah- olah ia mempunyai satu muzium. Setelah memikirkan tidaklah berbaloi bagi kami menghabiskan wang sebegitu banyak untuk memasuki muzium,  kami memgambil keputusan untuk bersiar- siar sahaja di taman.

Balik ke Malaysia aku melayari internet tentang The Parthenon, Nashville ini. Rupa- rupanya di dalamnya terdapat sebuah patung dewa yang setinggi bangunan tersebut di dalamnya. Syukur Alhamdulillah kami dilindungi Allah daripada melawat patung tersebut  walaupun ia sekadar replika.  

Islam melarang keras umatnya menyembah berhala kerana ini perbuatan syirik. Dalam sejarah islam peristiwa tentang  berhala  yang biasa kita dengar ialah semasa Nabi ibrahim memecahkan patung berhala yang besar diMakkah. Juga semasa semasa Fathul Makkah dimana Rasulullah menyuruh semua berhala di kawasan Kaabah di hapuskan.

Melayari internet seterusnya menemukan aku dengan satu perkara menarik tentang Parthenon yang asal  di Acropolis. Mengikut Wikipedia, Parthenon  sebenarnya pernah di tukarkan menjadi gereja Kristian. Dan yang paling mengejutkan aku ialah ianya pernah juga ditukarkan menjadi sebuah masjid sebelum diletupkan oleh orang Athens. Dikatakan orang yang bertanggungjawab menukarkan Parthenon ini kepada sebuah masjid ialah Sultan Muhammad Al Fatih daripada Empayar Uthmaniyah. Sultan ini jugalah yang telah menakluk Konstantinople pada tahun 1435 daripada Maharaja Konstantin,

 Nabi saw bersabda: "Kota Constantinople akan jatuh ke tangan Islam. Pemerintah ketika itu sebaik- baik pemerintah dan tenteranya sebaik- baik tentera."(Riwayat Ahmad)
 Allahhuakbar.

Popular Posts