Showing posts with label cleveland. Show all posts
Showing posts with label cleveland. Show all posts

Monday, August 26, 2013

Sejenak di Perkampungan Amish, Cleveland, Ohio- Bahagian 2

Kereta kuda sedang menunggu penumpang di Mesopotamia


"Orang Amish ni tak suka ambil gambar" aku mengingatkan anak- anakku sebaik saja sampai ke perkampungan Amish. " Jadi hati- hati bila ambil gambar nanti," sambungku lagi. Sememangnya kaum Amish tidak suka berposing depan kamera. Demikianlah apa yang aku baca dalam brosur  yang aku ambil semasa dalam perjalanan ke perkampungan Mesopotamia, Cleveland. 

Kaum Amish ini yang sebenarnya  berasal dari Eropah dikenali  sebagai kaum Menonite. Tetapi mereka  berpecah dan salah satu daripadanya ialah kaum Amish. Kaum Amish yang berada di Ohio ini merupakan kelompok yang keempat terbesar di dunia. 

Kaum Amish ini berugama Kristian (biblicist) dan berpegang kepada prinsip  agama mesti dipisahkan daripada politik (Separation of Church and State).  Dalam Islam, kehidupan sehari- hari mahupun politik tidak boleh dipisahkan dari agama  kerana Islam adaah satu cara hidup . Alhamdulillah, syukur kita dilahirkan  sebagai orang Islam, dengan itu mudahlah kita berpendapat sedemikian. Namun sejauh mana kita mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari- hari kita?
Patung kuda bersama kereta kuda terbesar di Cleveland
Di sepanjang perjalanan dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok- pokok gandum tumbuh subur di ladang- ladang  yang agak besar. Sekiranya di Malaysia kawasan kampung terutama sekali di Kedah dan Kelantan, dipenuhi dengan sawah padi di sini ia dipenuhi ladang gandum kerana makanan ruji mereka di sini ialah gandum. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan dan mesin-mesin yang ringkas. 

Di sepanjang perjalanan kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Kereta tidak banyak di sini dan berdasarkan brosur,  orang luar mesti menghormati dan memberi ruang kepada kereta kuda di jalan raya.  Orang Amish yang kuat kepada pegangan mereka tidak dibenarkan memiliki kereta. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan.

 Kenderaan utama disini juga ialah kereta kuda. "Perasan tak? Kebanyakan rumah orang Amish ni ada kereta kuda.," kata ku  apabila kereta kami meluncur melepasi beberapa buah rumah yang berjauhan antara satu sama lain kerana adanya ladang- ladang gandum di situ. Terlintas pula dalam fikiranku  kalau di Malaysia memiliki kereta kuda melambangkan satu kemewahan, di sini pula  ia hanya  merupakan kenderaan biasa! 

"Tengok, orang Amish tu guna mesin rumput tanpa  elektrik!" kata anak bongsuku. Orang Amish yang kuat kepada agama mereka .tidak menggunakan elektrik dalam kehidupan sehari- hari. Oleh itu peralatan yang mereka gunakan adalah amat terhad. Namun terdapat golongan Amish yang berfikiran moden menerima perlunya tenaga elektrik sebagai satu sumber tenaga. Contohnya, kedai runcit yang kami singgah di satu simpang perkampungan ini mempunyai peti sejuk dan peralatan lain untuk menjalankan perniagaannya. 
Ladang Gandum di perkampungan Amish, Mesopotamia

Namun disebalik pengamatan kami, kami bersyukur kerana beragama Islam, agama yang tidak menghalang teknologi asalkan ia digunakan mengikut syariah dan tujuan. Meskipun negara kita hebat dengan teknologi, banyak penyelewengan dalam  agama yang dilakukan oleh orang Islam di Malaysia ini  terutama sekali dengan teknologi ICT, teknologi dunia kini tanpa sempadan .

Bersambung.


Monday, July 29, 2013

Bersemuka dengan Amish di Cleveland,Ohio

Mesopotamia biasanya di kaitkan dengan kerajaan Babylon yang sekarang ini di dalam negara Iraq. Namun begitu Mesopotamia yang kami singgah di Cleveland ini sangat berlainan daripada biasanya yang kita gambarkan tentang Mesopotamia, sebuah taman tergantung Babylon yang dikatakan menjadi salah satu taman keajaiban dunia. 

Ketika kami singgah di sini tidak pula kami ambil kisah tentang nama perkampungan ini kerana target kami hanyalah sampai ke sebuah perkampungan Amish. Terasa pelik bagaimana nama Mesopotamia disini. Mungkin ada sejarah tersendiri. 

Kami berhenti di sebuah persimpangan di perkampungan tersebut. Di sini terdapat sebuah stesen minyak, sebuah kedai runcit dan beberapa buah kedai lain. Keadaan di sini sangat sunyi walaupun ia hari bekerja. 
Kami memilih untuk masuk ke dalam sebuah kedai runcit yang kami kira dapat bersemuka dengan orang Amish sendiri.

 Kedai yang berlantaikan kayu ini agak besar. Sekilas pandang kedai ini mengingatkan aku tentang ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular satu ketika dahulu  tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. Cashier kedai tersebut berpakian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skarf kecil. 

Kedai yang kami singgah ini 'End of the Commons General Store' rupa- rupanya kedai runcit yang tertua  di Ohio. Ia dibuka pada tahun 1840. Walaupun tertua, kedai ini mempunyai website di internet yang boleh kita pesan secara online  www.endofthecommons.com

Kedai ini terbahagi kepada beberapa bahagian seperti sebuah pasar mini yang besar. Antaranya  bahagian makanan basah, makanan kering, produk rempah dan sos, peralatan masak dan juga yang agak pelik ialah bahagian  pakaian. 

Pakaian orang Amish hanya mempunyi beberapa tona warna dan tidak bercorak. Di kedai ini dijual dari  pakaian 'simple' yang mereka pakai dirumah atau di ladang  hinggalah pakaian rasmi dan juga topi dan skarf yang biasanya mereka pakai semasa menghadiri upacara rasmi.  Orang Amish juga mempunyai kepakaran membuat krafangan yang berkualiti tinggi seperti membuat quilt dan pertukangan kayu.


Salah satu daripada barang yang kami beli di sini selain  daripada pemegang kunci dan gelas  kecil ialah gula- gula buatan sendiri. Ya, orang Amish masih membuat gula-gula sendiri yang mempunyai pelbagai perisa!

Melangkah keluar daripada kedai yang begitu unik ini , kami bersyukur kerana diberi peluang untuk bersemuka dengan orang Amish dan memahami cara hidup mereka. Walaupun berbeza dengan cara hidup yang dikehendaki oleh Islam dari segi penerimaan teknologi dan pendidikan., mereka mempunyai ciri-ciri positif yang boleh diikuti terutama sekali dari segi pergaulan yang terjaga  dan kegigihan bekerja.

Popular Posts