Showing posts with label hadith. Show all posts
Showing posts with label hadith. Show all posts

Friday, November 23, 2018

Secekak Bunga Lavender

Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?

Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
 Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English  Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu. 
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor  lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas. 
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga.  Kaedah U pick  ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan 
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?

Pengaruh Belanda di Michigan

Sebut saja Holland, mesti ada yang teringat tentang Belanda. Negara yang terkenal dengan bunga tulips dan kasut kayu yang digelar clogs. Holland yang kami singgah ini tidak terletak di Belanda. Holland ini sebuah bandar yang terletak di tepinTasik Macatawa dan tidak jauh dari Tasik  Michigan.
Nama Holland sudah pasti memberi gambaran tentang pengaruh budaya Belanda di sini. Kawasan mula di diami secara besar besaran oleh imigran Belanda sekitar tahun 1880an. Asalnya kawasan ini di didiami oleh kaum native Americans.

Kemuncak tempat ini ialah sewaktu Tulip Time Festival. Tulip festival difokuskan kepada pameran budaya orang Belanda dan hiasan beribu-ribu  bunga tulip di satu kawasan yang sangat besar,  hampir sama dengan floria fest yang diadakan di negara kita. Biasanya Tulip Festival di Holland ini ialah pada bulan Mei, sedangkan kami tiba di sana pada bulan July. Saya berkesempatan ke Tulip Time Festival di Pella, Iowa pada tahun 2012. Ketika itu sebahagian besar  bandar itu dihias istimewa bagi acara tersebut. 

 Tempat yang kami tuju ialah sebuah kawasan pelacongan. Takdir Allah kami terlewat sampai ke Windmill Island Gardens. Tempat ini  telah ditutup pada pukul 5 petang. Walau bagaimanapun pelawat dibenarkan bersiar-siar di kawasan persekitarannya. 

Meskipun bunga tulips tidak kelihatan di sini sebab musimnya sudah habis, bunga-bunga lain yang pelbagai warna n mekar kembang menghiasi sebahagian besar taman ini. Sungguh, fitrah manusia suka kepada pelbagai warna. Bunga-bunga yang terhasil daripada  makhluk ciptaan Allah ini memberi ketenangan setiap kali memandang.  

Rasulullah s..a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Satu petikan yang sering mengingatkan diri:
'Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang yang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. 

Laut,  gunung, bukit, hutan ialah alam "semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah(alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'
 Tenang Ada di sini - Pahrol Mohd Juoi

Tuesday, December 26, 2017

Kapal dan 'The Soo'- Kaitkan Dengan Strategi Al Fateh

Tempat ini sungguh istimewa. Bukan kerana keindahannya. Bukan kerana bangunan yang mencakar langit. Ia istimewa sebab tempat inilah tempat laluan dan pelabuhann kapal kapal besar. Saban hari banyak kapal-kapal besar melalui tempat ini. 

Walaupun tempat ini satu laluan kapal dan pelabuhan,ia  bukan terletak di tepi laut  tetapi di tepi sebuah sungai! Sungai ini sebenarnya menghubungkan tasik Superior dengan  tasik-tasik besar yang lain (The Great Lakes); Tasik Michigan, Tasik Huron, Tasik Erie dan Tasik Ontario. 

Tempat ini  yang dikenali sebagai 'The Soo', ialah pelabuhan Sault Ste Marie. Pelabuhan ini juga istimewa sebab  punya satu nama tapi terletak di dua buah negara; Amerika Syarikat dan Kanada. Daripada Tasik Superior di Kanada kapal-kapal boleh melalui pelabuhan Sault Ste Marie untuk ke Tasik Michigan dan Tasik Huron. Dua terusan dan beberapa kunci air lebih dikenali sebagai 'The Soo Locks' dibina agar kedalaman air dapat ditinggikan ketika kapal-kapal besar melalui sungai St Mary. Dengan teknologi begini kapal-kapal dapat meneruskan perjalanan tanpa perlu risau dengan kedalaman air yang rendah.  

Oleh kerana pelabuhan ini terletak di bahagian utara benua Amerika, ia tidak dapat berfungsi sepanjang tahun. Saban tahun bila tiba bulan Oktober, pelabuhan ini akan ditutup sebab sungai St Mary akan mula membeku dengan ketibaan musim dingin. Meskipun  demikian pelabuhan ini sangat sibuk dan penting  kerana ia menghubungkan perjalanan air antara tasik-tasik besar. Lebih kurang 10 000 kapal melalui Soo Locks ini dalam setahun! Dengan teknologi dan pengetahuan yang dimiliki, tempat yang sebegini dapat diguna pakai sepenuhnya walaupun hanya beberapa bulan setahun. Mereka menggunakan ruang masa dan peluang yang ada supaya pengangkutan dan perdagangan dapat dijalankan menerusi tasik-tasik besar.

Sejarah juga membuktikan penaklukan kota Constatinople oleh Sultan Muhamammad Al Fateh bersama tenteranya  dilakukan dengan kapal. Lebih kurang 72 buah kapal perang digunakan untuk menyerang tentera Byzantium. Strategi menggunakan ruang masa dan peluang yang ada dengan efisien ialah antara kejayaan mereka menakluk Konstatinople. Al Fateh telah merujuk kepada strategi daripada kejayaan peperangan Rasulullah s.a.w. dan juga Salahuddin al Ayubi.  

"Sabdanya Rasullulah saw ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq: 

".... Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...." 
(Hadith Riwayat Imam Ahmad) 

"Perairan Teluk Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah (tentera Islam)". Keesokkannya mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di Teluk Perairan Golden Horn. Ini adalah kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui antara peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. Kapal-kapal ini membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar terkenal bedilan meriam Uthmaniyyah. "


Biasanya kta hanya mendengar kapal belayar di  air, namun dengan ketabahan Al Fateh dan tenteranya serta pertolongan Allah mereka  berjaya menolak kapal-kapal mereka ke atas gunung. Pelik, namun itu strategi mereka yang terbaik!

Selalunya kita hanya membaca teknik dan strategi peperangan Al Fateh lantas  mengaguminya. Tidak dinafikan Al Fateh juga telah menggunakan senjata terkini untuk menakluk Konstatinaople. Namun yang lebih penting, untuk mencapai kejayaan ni bukan mudah. Mereka sentiasa mengekalkan hubungan mereka dengan Allah.  Solat fardhu dan solat solat sunat  dan ibadah-ibadah lain sentiasa dijaga. Selain daripada itu latihan mengekalkan ketakwaan kepada Allah dilakukan keatas 250,000 orang tentera  ini sebelum dilancarkan peperangan . Agar mereka  tidak mudah berputus asa dan sentiasa yakin dengan pertolongan Allah.  Allahuakbar. 

Hidup kita yang merupakan satu perjalanan menuju akhirat juga memerlukan strategi penggunaan ruang masa dan peluang. Banyak simpang siur dalam perjalanan ini  yang memerlukan petunjuk daripada Allah. Namun ramai daripada kita masih mengenepikan atau leka hubungan kita dengan Allah. Kesannya bila ruang masa dan peluang itu tertutup, destinasi akhirnya pasti mengecewakan dan menakutkan. Nauzubillah min zalik.  Jom kita pertingkatkan hubungan kita dengan Allah. Insha Allah. .

Thursday, October 9, 2014

Bahagian 6: Sejarah Hijir Ismail

Hijir Ismail ialah tempat Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isterinya, Hajar dan anaknya Ismail di kawasan Kaabah. Ia dijadikan oleh Nabi Ibrahim sebagai tempat bangsal kawasan berteduh  dan juga menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail a.s. kemudiannya
Riwayat ini menunjukkan pada asalnya Hijir Ismail tidak termasuk dalam binaan Kaabah. Sebaliknya merupakan kawasan kandang yang terletak di luar kawasan Kaabah. 


Namun begitu semasa kaum Quraisy membina semula Kaabah, mereka telah mengecilkannya di bahagian utara kerana kekurangan perbelanjaan. Mereka mengurangkannya sebanyak enam hasta sejengkal (3 meter) menurut riwayat yang Shahih dan memasukkannya  ke dalam Hijir Ismail. 

Abdullah bin Zubair r.a. pada zaman pemerintahannya telah meruntuhkan Kaabah dan memasukkan semua bahagiannya dalam pembinaan Kaabah. Walaubagaimanapun semasa Hajjaj memerintah, beliau telah membinanya semula mengikut binaan Quraisy dan demikianlah keadaannya hingga kini. 

Hijir Ismail pada hari ini merupakan satu binaan berbentuk separa bulatan di bahagian utara Kaabah. Tempat ini  antara tempat yang disunatkan bersolat dan mustajab doa. Oleh itu kawasan ini sentiasa dipenuhi para jemaah. Namun, biasanya orang tidak duduk lama di situ , sekadar untuk solat dan berdoa sahaja. Janganlah kita takut untuk memasukinya kerana insyaAlah dengan berdoa pasti ada tempat untuk kita bersolat dan bermunajat di situ.  

Seseorang yang bertawaf tidak sah sekiranya mengambil jalan pintas masuk menerusi Hijir Ismail kerana sebahagian daripadanya  dikira bahagian Kaabah yang asal .


Pernah Rasulullah s.a,w. bersabda kepada Aisyah r.a.  yang bermaksud;" Solatlah kamu di dalam Hijir ini kalau kamu ingin memasuki ke dalam Kaabah kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.
Namun kaummu(Quraisy) kekurangan perbelanjaan ketika membinanya. Maka mengambil keputusan mengeluarkannya daripada binaan Kaabah."
(At Tarmizi no 876 ( Shahih), Shahih At Tarmizi 1/261 no 693)

Sumber: Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahamad Husni Abd Rahman

Sunday, September 28, 2014

Sedikit Sejarah Hajarul Aswad

Sedikit Sejarah Hajarul Aswad
Tatkala Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah bersama- sama anaknya Ismail a.s., proses pembinaan sampai ke tempat Hajarul Aswad. Lalu Nabi Ibrahim a.s. meminta agar Ismail a.s. mencari seketul batu yang boleh dibuat penanda tempat permulaan dan berakhirnya tawaf. 


Setelah Ismail a.s. berlalu pergi, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s. membawa Hajarul Aswad kepada Nabi Ibrahim a.s. Allah Ta 'ala mengarahkan  agar batu itu disimpan di Bukit Abi Qubais tatkala berlakunya taufan pada zaman Nabi Nuh a.s. lalu berfirman kepada Jibrail:" Apabila engkau lihat khalili( kekasihku) membina rumahKu maka keluarkanlah  ia kepadanya."
Setelah Nabi Ismail a.s. pulang dan membawa bersamanya seketul batu, didapati Hajarul Aswad sudah berada ditempatnya. Ismail a.s. terus bertanya," Wahai bapa, siapa yang membawa batu itu kepadamu?" 

Jawab Ibrahim a.s.," Batu itu dibawa oleh sesuatu yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu. Ia dibawa oleh malaikat Jibrail a.s."

Hajarul Aswad merupakan batu yang tertanam di penjuru Kaabah yang sangat penting. Ia  merupakan tempat mula dan akhir tawaf.


Sesiapa yang beriman menyalaminya atau mengucup Hajarul Aswad, ia akan menjadi saksi pada hari Akhirat kelak. 

Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya:
" Demi Allah , Allah Taala akan membangkitkannya pada hari Kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya dan baginya lidah yang mampu berkata-kata menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran." 
( At Tarmizi no 961)

Sumber: ust Ahmad Husni abd Rahman- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Dimanakah letaknya Bukit abi Qubais ini?Ketika menunaikan umrah baru-baru ini kami difahamkan bukit Abi Qubais berdekatan  dengan  Masjidil Haram yang kini dalam proses perluasan kawasan. Namun kami kurang pasti kedudukan yang berul betul bukit Abi Qubais.

Allah maha berkuasa sehingga dapat menyimpan Hajarul Aswad begitu lama sebelum dikeluarkan semula oleh malaikat Jibril dari dalam bukit Abi Qubais ini. Wallahualam.

Friday, September 26, 2014

Masjidil Haram- Masjid Yang Pertama Di Muka Bumi

Tidak ramai yang tahu dan ingat sejarah pembinaan Masjidil Haram, masjid yang paling penting bagi umat Islam dan wajib dikunjungi  oleh setiap jemmah haji bagi menunaikan tawaf dan sa'ei. Tahukah anda masjidil haram ialah  masjid pertama di muka bumi ini?

Abu Zar Al Ghifari bertanya:" Wahai Rasulullah, apakah masjid yang pertama dibina di muka bumi?"
Baginda menjawab:" Masjidil Haram."
Abu Zar bertanya lagi: " Kemudian masjid apa?"
Baginda menjawab:" Masjidil Aqsa."
" Berapa  tahunkah perbezaan masa antara kedua-duanya?" tanya Abu Zar lagi.
Rasulullah menjawab:" Empat puluh tahun."
( Riwayat al Bukhari dan Muslim)
Menurut Al Qurtubi, hadis ini tidak menunjukkan bahawa Ibrahim dan Ishak ialah orang pertama membangunkan kedua-da bahawa masjid ini. Tetapi mereka memperbaharui binaannya sahaja. 

Ibn al Jawzi berpendapat :" Orang perama yang membina masjidil haram ialah Nabi Adam. Selepas itu, anak cucunya tersebar ke seluruh ceruk bumi. Boleh jadi salah seorang daripada mereka telah meletakkan asas bagi Baitulmuqaddis. Selepas itu barulah Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran.
Pandangan ini dikuatkan oleh Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari.
Sumber: Ust Umar Muhammad Noor- Al Ustaz No 27

Kedudukan dan binaan Masjidil Haram telah ditentukan Allah sejak dulu lagi. Allah juga telah menentukan masjid ini masjid yang teragung buat umat Islam dan sentiasa dipeliharaNya. Begitu lama masjid ini berdiri teguh, oleh itu wajarlah kita umat Islam memeliharanya supaya ia sentiasa bersih dan suci dari kotoran dan perbuatan yang dilarang oleh agama, InsyaAllah.

Thursday, May 8, 2014

Menziarahi Bumi Haramain- Umrah 2014

Masjidil Haram dan Menara Jam
Bumi Haramain...Nama yang di berikan kepada Makkah al Mukaramah dan Madinah al Munawarah. Saban tahun begitu ramai orang Malaysia ke sana. Dari pandangan mata kasar, mudahnya bagi sesetengah orang sampai ke sana. Mungkin itulah yang dikatakan dijemput sebagai tetamu Allah untuk menziarahi rumahNya yang paling istimewa. 

Bagi aku dan suamiku, ia mengambil masa lebih 20 tahun untuk menjadi tetamu sekali lagi di kedua- dua tanah haram ini. Tentunya suasananya amat berbeza sekali daripada 20 tahun lalu. Bukan saja pemandangan dan kemudahan di sekeliling berbeza tetapi penghayatan kami terhadap rumah Allah ini juga berbeza. 

Bagi diriku, oleh kerana begitu sukar untuk sampai ke sana, aku bertekad untuk 'make the most of it' sewaktu berada di sana. 

Apa yang kami persiapkan bukannya semata-mata bekalan pakaian tapi yang lebih utama ialah ilmu berkenaan ibadah umrah dan Bumi Haramain. Sungguhpun kami pernah ke sana, sedikit sebanyak ulangkaji mengenai ibadah umrah perlu dibuat. Aku juga bertekad untuk melawat seberapa banyak yang boleh tempat-tempat berkaitan sejarah islam di sana. Memang benar, ilmu tentang sejarah membolehkan kita menghayati sesuatu perkara lebih-lebih lagi apabila tempat itu berada di hadapan kita.


Dengan merujuk kepada buku 'Bayu Kerinduan di Bumi Haramain' oleh Ust Ahmad Husni, sedikit sebanyak aku dapat menjejaki tempat-tempat yang dilalui oleh Rasulullah sebelum berhijrah, masjid-masjid yang dibina berdasarkan peristiwa bersejarah, menyaksikan dengan sendiri kesan daripada usaha Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta Siti Hajar dalam membina kaabah dan membangunkan Makkah Al-Mukarramah dengan pertolongan Allah. InsyaAllah akanku ceritakan nanti dalam artikel seterusnya.


Target ibadah umrah yang paling penting ialah adanya perubahan diri dari segi peningkatan iman. Amat rugi sekiranya ibadah umrah yang dijalankan berkali-kali tidak mengubah akhlak dan akidah seseorang. Buku '50 tips Motivasi Haji' oleh Prof Muhd Kamil dan isterinya Roza Roslan yang aku bawa bersama  memberi sedikit sebanyak panduan agar kita berusaha untuk berubah apabila berada di Makkah dan Madinah. Keikhlasan diri dalam beribadah dan tidak membuang masa semasa berada di sana adalah kunci untuk mengubah diri agar menjadi muslim yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan. Perubahan positif pada diri inilah yang sepatutnya kita bawa balik ke Malaysia agar dapat kita praktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. 
Bahagian Luar Maqam Rasulullah di Masjid Nabawi

Orang kata, untuk berdakwah, pelbagai cara boleh dibuat. Pegawai umrah yang ditugaskan membantu kaum hawa di Madinah menunjukkan contoh peribadi yang terpuji. Disamping menggalakkan sedekah dan wakaf dia sentiasa hadir semasa jemaah umrah berada di dewan makan. Maklumlah wanita mempunyai pelbagai masalah ibadah dari segi kesucian diri. Dia juga menunjukkan secara praktikal cara bersedekah di Masjid Nabawi. 

Ramai yang pernah mendengar hadith ini. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Pahala solat di masjidku(Masjid Nabawi) adalah digandakan seribu kali solat daripada lain-lain masjid kecuali Masjidilharam(Makkah). Solat di Masjidilharam adalah lebih afdhal daripada seratus ribu kali solat." (Riwayat Imam Ahmad)
Imam al Muhibb al Tabariyy menyatakan dalam analogi yang dilakukannya, hadis-hadis  yang diriwayatkan mengenai pahala ibadah solat di Masjidilharam juga adalah dalil kepada gandaan ganjaran pahala melakukan sebarang bentuk kebajikan di Tanah Haram.

Imam Hassan Al Basri pula menambah, 
'bahawasanya puasa sehari di Makkah adalah seumpama berpuasa 100 000 hari. Manakala bersedekah dengan hanya satu dirham bersamaan pahala bersedekah 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan 100 000 pahala.' (Sumber- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ust Husni)

Kesan daripada berebut-rebut mendapat pahala di Bumi Haramain sudah tentunya memberi kesan kepada sesiapa saja termasuk aku tentang perlunya kita sentiasa beribadah, bersedekah dan berbuat kebaikan sekembalinya pulang ke tanah air. Alangkah hebatnya kesan menziarahi Bumi Haramain ini.

Bersama-samalah kita berebut peluang untuk mendapat pahala semasa mengerjakan umrah atau haji dan seterusnya melakukan perubahan diri sekembalinya kita kembali ke tanah air.

Friday, January 24, 2014

Umat Islam Dahulu dan Sekarang Umpama Air Hujan

Rasulullah s.a.w. bersabda:
 "Perumpamaan umatku adalah seperti air hujan, tidak diketahui sama ada awalnya lebih baik atau akhirnya."
( Riwayat al Tarmizi)

Menurut al Mubarakfuri dalam Tuhfah al Ahwazo, air hujan itu sendiri menjadi simbol kepada hidayah dan ilmu. Umat Nabi Muhammad yang diumpamakan sebagai air hujan itu ialah ulama- ulama yang saling melengkapi antara satu sama lain yang terdiri daripada mereka yang terdahulu dan yang terkemudian.

Sesungguhnya golongan terdahulu telah beriman dengan apa- apa yang mereka saksikan daripada mukjizat dan dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah. Manakala mereka yang terkemudian pula meneruskan keimanan dan keyakinan mereka berdasarkan pegangan yang kuat terhadap al Quran dan sunnah
Kebaikan yang terdapat pada umat Islam tersebut diumpamakan seperti kebaikan dan kenikmatan yang terdapat pada air hujan yang sentiasa turun mencurah-curah yang mendatangkan  kesuburan pada tanaman dan menjadi sumber air yang berfaedah pada manusia. .

Dr Mohd Sukki Othman- Solusi isu 62

Thursday, October 31, 2013

Tutuplah tempat minum selalu. Jangan biarkannya terdedah lama.

Tutuplah tempat minum dan jangan biarkannya terdedah lama

Friday, October 25, 2013

Keunikan dan Khasiat Surah Al Kahfi

Dalam surah al Kahfi terdapat empat kisah unik yang tidak berulang 
dalam surah- surah lain

Gua tempurung- Gambar sekadar hiasan
1. Pemuda Kahfi.
2. Perguruan Nabi Musa dengan Khidir
3. Zulkarnain
4. Dua pemilik kebun

Khasiat Surah Al Kahfi
" Sesiapa yang membaca 
surah al Kahfi 
pada hari Jumaat 
maka ia akan mendapat 
pancaran cahaya antara 
dua Jumaat yang dilaluinya."

Riwayat al Hakim

Solusi isu 59

Tuesday, October 22, 2013

Aidil Adha - Perlunya Balik Kampung

 Melihat raut wajah ibuku dan bapa saudaraku yang sudah berusia sewaktu meraikan Aidil Adha baru- baru ini memberiku pelbagai kesedaran. Dalam usia sebegini sudah tentu mereka berasa sunyi dek kesibukan anak -anak yang berada jauh dari mereka. Kekangan kerja dan keluarga menyebabkan anak- anak susah hendak balik berjumpa mereka selalu.  Meskipun ibuku tidak pernah menyuarakan isi hatinya tapi satu frasa ' tak ada mood' yang dikeluarkan oleh pakcikku sudah cukup memberi kami 'clue'  bahawa golongan usia sebegini  sedang mengalami  kesunyian yang mendalam. 

Aidil Adha merupakan antara dua hari perayaan yang terpenting bagi umat Islam. Kita tak menafikan Aidilfitri disambut begitu meriah di negara kita. Tapi usah kita lupa, Aidil Adha juga perayaan yang penting bagi kita. Bagi si ibu atau si bapa yang anak-anaknya sudah meningkat dewasa dan berkeluarga, dua perayaan inilah  peluang bagi mereka berkumpul sebagai satu keluarga secara  beramai- ramai. Hari perayaan ini jugalah digunakan untuk ziarah- menziarahi di kalangan sanak saudara. 

Namun senario ini semakin berubah. Duduk berkumpul sebagai satu keluarga bukannya perkara utama semasa perayaan. Apa lagi aktiviti masak memasak atau mengemas rumah di kampung dianggap perkara yang membebankan.  Ziarah menziarahi sanak saudara di anggap satu perkara yang melecehkan. Lebih baik buka computer, I pad atau smart phone untuk melayari internet atau berchatting sesama kawan.

Rasulullah saw bersabda:  Sesiapa yang menziarahi saudaranyanya yang sakit atau mengunjungi saudaranya semata mata kerana Allah, maka malaikat akan membuat seruan bahawa kamu bertuah dan angkah langkah kamu membawa keberkatan dan kamu telah menyediakan sebuah mahligai dalam syurga." Riwayat al Tarmizi

Itu dari segi menzarahi sahabat atau saudara mara. Apatah lagi menziarahi ibu dan bapa, sudah tentu pahalanya berganda. 
Mungkin kita punya pelbagai alasan untuk tidak dapat balik kampung. Tapi eloklah kita pertimbang yang mana lebih diberatkan. Sekiranya kita punya anak- anak yang bersekoah, bagi saya tidak ada salahnya anak kita ponteng sehari dua jika mereka tidak terlibat dengan peeriksaan yang utama. Ini pandanganku sebagai seorang bekas guru. 

Jika kita tidak mempunyai tugas yang penting sehari dua selepas hari raya, eloklah diambil cuti. Hari Raya Aidil Adha merupakan perayaan hasil daripada pengorbanan kita, Oleh itu anak- anak berkorbanlah demi ibu bapa anda yang sentasa menunggu kepulangan anda di kampung. InsyaAllah pengorbanan anda akan diberi pahala berganda kerana anda berkorban tenaga dan wang  demi ibubapa tercinta. Jangan biarkan ibubapa tertunggu - tunggu kepulangan anda dan jangan biarkan mereka kecewa terutama di hari perayaan.

Wednesday, October 9, 2013

Jadilah Ejen Perubahan yang Sering Mengucapkan Terima Kasih.

Ucapkan terima kasih apabila seseorang melakukan kebaikan dan pengorbanan.
Ia akan menggalakkan orang lain untuk lebih bertimbang rasa 
Terdapat ramai orang yang kurang ajar dan tidak bertimbang rasa di dunia, tetapi kita boleh menjadi ejen perubahan yang sering mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan walaupun kecil.

Nabi saw bersabda:
" Sesiapa menerima kebaikan daripada orang lain, maka balaslah perbuatannya itu dengan ucapan : 'Jazakallah khairan.' Ucapan itu cukup untuk menyatakan kesyukuran." 
Riwayat al Tarmizi

Sesetengah orang begitu sibuk memikirkan tentang orang yang tidak suka kepadanya tetapi mereka lupa untuk  menghargai dan meluangkan masa untuk orang yang menyayanginya. Kita patut menerima kekurangan orang lain kerana kita harus sedar bahawa kita sendiripun banyak kekurangan. 

Penghargaan akan membakar semangat untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik. Jika semua orang dapat menerima galakan yang mereka perlukan, pasti dunia kita dikelilingi oleh orang yang positif, bijak bermotivasi dan seumpamanya.

Ingat, orang yang paling bahagia bukanlah golongan yang mempunyai hidup yang sempurna segala- galanya, mereka ialah orang yang berterima kasih untuk segala- galanya yang mereka miliki. Jika kita tidak suka menghargai orang lain, diri kita juga tidak akan dihargai.

 Hj Zainuddin Ali- Solusi Isu 59

Friday, September 27, 2013

Jangan tersalah niat dalam hidup

Madrasah di Pulau Mabul. Sabah
Orang yang tersalah niat dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang  dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga dibayangi kefakiran dan takut miskin.

Orang yang tersalah niat dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia- sia. Ia membuang energi untuk mengejar ijazah , bukan untuk menimba ilmu. Kaum muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

Orang yang tersalah niat dalam berdakwah akan hidup dalm kebencian. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati seseorang lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebenaran, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Dan yang paling rosak adalah orang yang tersalah niat bahkan tidak mempunyai niat dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah dan tujuan hidup.

Manusia seperti ini sangat pandai dalam urusan dunia namun sangat jahil tentang urusan akhirat. 
" Mereka mengetahui yang lahir daripada kehidupan dunia; sedang tentang akhirat mereka sangat lalai." 
Surah al Rum 30:7

Ayat ini sebenarnya berbicara tentang sifat orang kafir, namun sayangnya ayat ni juga untuk sebahagian profesional Muslim pada masa ini. Mereka sangat pakar dalam politik, sains, muzik, ekonmi dan pelbagai  ilmu sekular yang lainnya, namun tidak mengetahui apa apa yang berkaitan hukum halal  haram dalam keluarga, fardhu ain, muamalat dan ibadahnya.

Imam Hassan al Basri menggambarkan keadaan ini seperti berikut:
" Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar."( disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.)
sumber: Umar M Noor- solusi isu 27

Wednesday, August 28, 2013

Bilakah kita berbangga melihat berkibarnya bendera Malaysia kita?

Bendera Malaysia berkibar
di hadapan Islamic Center, Washington DC
Biasanya rakyat Malaysia lebih menyanjungi negara mereka sendiri apabila berada di luar negara. Sesuatu yang dikaitkan dengan Malaysia dari sekecil- kecil duit syiling hinggalah kepada bangunan Kedutaan Malaysia menjadi kebanggaan setiap rakyat yang berkunjung di luar negara.

Washington DC merupakan bandar yang mempunyai  pusat pentadbiran Amerika Syarikat. Banyak bangunan penting terdapat di sini seperti White house, Pentagon dan Washington Monument . Kami berpeluang untuk singgah di sebuah Islamic Center di sini semasa berkunjung di sini.

Selesai bersolat kami terus ke bahagian perkarangan masjd untuk menikmati pemandangan di sekitarnya. Di satu sudut halaman bangunan ini di naikkan beberapa bendera negara yang mempunyai ramai Islam yang kebanyakannya terdiri daripada negara- negara Arab.

Alangkah bangganya kami melihat bendera Malaysia berkibar di sebalik bendera- bendera tersebut. Ini menandakan umat Islam di sana mengiktiraf dan tahu Malaysia sebuah negara yang mempunyai ramai rakyat Islam. Berbanding dengan 30 tahun dahulu, rakyat di sini langsung tidak tahu langsung kewujudan Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara.

Perasaan bangga dan gembira melihat bendera Malaysia ini  hanya rakyat Malaysia yang akan merasai. Turun dan naiknya sesebuah bendera merupakan peristiwa penting bagi sesebuah negara  mahupun suatu agama. Contohnya kita berbangga apabila bendera Malayan Union diturunkan dan bendera Persekutuan  Tanah Melayu dinaikkan pada 31 Ogos 1957. 

Rasulullah juga menekankan kepentingan  bendera atau panji perang  semasa peperangan. Kisah yang paling menyentuh hati ialah dalam perang Mu'tah dimana terdapat 3 pemegang panji perang yang mati syahid dalam perang tersebut iaitu  Zaid b. Harithsah, Jaafar b. Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah. 

Perang Mu'tah diketuai pada mulanya oleh Zaid b. Harithsah. Selepas  Zaid syahid dibunuh, Jaafar mengambil alih kepimpinan dalam perang tersebut. Semasa Jaafar memegang bendera dengan tangan kanannya, tangannya itu telah ditetak hingga putus. Menyedari betapa pentingnya bendera tersebut,  Jaafar tidak membiarkan bendera itu jatuh ke tanah. Dia memegangnya pula dengan tangan kirinya. Tak lama selepas itu tangan kirinya pula ditetak hingga putus. Jaafar tidak berputus asa lalu menyandarkan bendera itu ke dadanya. Akhirnya pedang musuh membelah  badan Jaafar lalu beliau mayi syahid. Allahuakbar.  Kemenangan akhirnya berpihak kepada Islam setelah Khalid al Walid mengambil alih panji perang daripada Abdullah b. Rawahah.

Oleh itu berbanggalah dengan bendera kita dan kibarkanlahnya samada dirumah, kedai dan pejabat.
 Salam kemerdekaan. Be a proud  Malaysian Muslim .


Saturday, July 27, 2013

Sufyan bin Said al Thawri,



Sufyan bin Said al Thawri Abu Abdillah dilahirkan di Kufah tahun 97 H. Beliau terkenal sempurna dalam semua aspek. Dalam bidang hadis beliau digelar Amirul Mukminin fi al Hadith, sebuah gelaran tertinggi bagi penghafal hadith. Dalam fiqah, beliau mujtahid mutlak yang memiliki mazhab tersendiri. Dari segi zuhud, kesolehan beliau tidak mampu ditandingi. Majlis ilmunya sentiasa dihadiri oleh ribuan manusia.

Namun begitu, apabila bulan Ramadhan tiba, Sufyan al Thawri meninggalkan semua aktiviti dakwah dan ilmiahnya. Beliau mengkhususkan bulan suci ini  hanya untuk membaca al Quran. Murid beliau bernama Abdul Razzaq al - San'ani berkata:" Setiap kali tiba bulan Ramadhan, Al Thawri meninggalkan semua ibadah hanya untuk membaca Al Quran. 

Umar M. Noor- Solusi isu 34

Tuesday, April 9, 2013

Makan Secara Berjemaah- Berkat dan Kenyang

Wahsyi bin Harb menceritakan bahawa pada suatu hari, para sahabat mengadu kepada Nabi : "wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak kenyang- kenyang."
Lalu Baginda menjawab, maksudnya: "Boleh jadi kamu makan secara tidak berjemaah?"
"Ya, benar!"
Nabi bersabda:" Kamu hendaklah makan bersama dan sebutlah nama Allah, maka makanan kamu akan diberkati." (Riwayat Abu Daud)

Jadi, antara tanda makanan itu diberkati adalah kita rasa mencukupi walaupun sedikit. 

Sumber Pahrol Mohd Juoi solusi isu 54

Friday, April 5, 2013

Jantung mempunyai Sel untuk Berfikir?

Image source-couleeregionbootcamps.com

Sejak 30 tahun lalu , para pengkaji membuat penelitian tentang kaitan antara jantung dan otak. 
Mereka mendapati jantung berperanan dalam memahami perubahan persekitaran dan mampu memberi kesan  bagi setiap aktiviti pada otak.
Sebab itulah ia di gelar oleh pakar saraf dan jantung sebagai otak kelima (otak pertama hingga keempat terletak di otak).

Kajian mereka mendapati 60- 65 peratus komposisi jantung ialah sel- sel saraf seperti otak, bukannya otot - otot.

Prof  Gary Swatchz dan Prof Linda Russek, pakar psikiatri di University Arizona merumuskan bahawa jantung mempunyai satu kuasa isitmewa yang boleh menyimpan dan memproses sesuatu maklumat. Maka daya ingatan bukan sahaja disimpan oleh otak tetapi turut disimpan oleh jantung. Satu kajian ke atas 300 pesakit yang telah menjalani pemindahan jantung menunjukkan hasil yang agak mengejutkan kerana didapati semua pesakit mengalami perubahan emosi dan psikologi selepas menerima jantung baru.


Al Quran telah menyebut mengenai jantung sebanyak 110 kali. Bahkan ia menjelaskan mengenai kemampuan hati untuk berfikir seperti firman Nya yang bermaksud:" Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati(jantung) yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati di dalam dada.

Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya: " Di dalam badan terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota badan. Ia adalah hati(jantung).- ( Muttafaq'alaih)

Sumber- Dr Farhan Hadi Mohd Taib- Solusi isu 40

Thursday, March 21, 2013

Syaitan Menyuntik Keraguan


Aisyah r.h.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:" Sesungguhnya syaitan datang kepada seseorang daripada kamu, dia akan membisikkan dengan berkata: 'Siapakah yang menciptakan langit?

' Maka dia pun berkata:'Allah'. 

Syaitan berkata lagi :' Siapakah yang mencipta bumi?'

Maka dia berkata:'Allah'. 

Syaitan seterusnya bertanya lagi:' Siapa pula yang mencipta Allah?' 

Apabila terjadi demikian, maka hendaklah dia berkata:' Saya beriman kepada Allah dan rasulNya."


Riwayat Ahmad

Sumber-Mohd Wahid Abd Hamid- Solusi Isu 39

Tuesday, July 10, 2012

Antara Kelebihan Ibadat Puasa



Sabda Nabi s.a.w. maksudnya
"Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu namanya 'al Rayyan.' Orang yang berpuasa  masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya." (Riwayat Bukhari)

Popular Posts