Showing posts with label Hijrah. Show all posts
Showing posts with label Hijrah. Show all posts

Wednesday, October 7, 2015

Hijrah Rasulullah- Dari Rumah Abu Bakar ke Misfalah, kemudian ke Gua Thur (bahagian 4)

Kata pakar ' Untuk berjaya, setiap malam sebelum tidur, senaraikanlah rancangan untuk hari seterusnya." Perancangan ialah tindakan yang penting sebelum diri bergerak melakukan sesuatu yang penting. Adakah anda selalu membuat perancangan sebelum mulakan aktiviti anda?

Jika dikaji sirah hijrah Rasulullah ke Madinah, semua perancangan telah dilakukan oleh baginda sejak awal-awal lagi. Tentang masa untuk mula bergerak ke Madinah, orang yang terlibat dalam menjayakan penghijrahan ini dan pelbagai perkara lagi yang dirancang baginda. Ceramah demi ceramah kita hadiri tentang penghijrahan Rasulullah. Namun jarang kita ambil iktibar daripada segala perlakuan dan perancangan Rasulullah dalam peristiwa tersebut.

Jom kita telusuri sedikit bahagian ke 4 daripada peristiwa hijrah Rasulullah ini.

Dari rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah bersama sahabatnya melewati  jalan ke arah selatan di bahagian al Misfalah. Nabi saw menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha mencarinya dan jalan utama ke Madinah ialah jalan ke utara. Oleh itu baginda melalui jalan yang terletak diselatan Mekah menuju ke Yaman.

Antara jalan yang dilalui Baginda s.a.w. ialah berhampiran Masjid Saydina Hamzah yang terletak di Misfalah. Masjid Sayidina Hamzah di Misfalah ini terletak di Jalan Ibrahim Al Khalili. Hotel yang pernah kami tinggal semasa mengerjakan umrah terletak di kawasan Misfalah. Ianya lebih kurang 800 m dari  Masjidil Haram. Oleh itu bolehlah kita anggarkan jarak dari Makkah ke kawasan Misfalah  lebih kurang 1 km.

Dalam keadaan yang masih gelap, baginda dan sahabat karibnya meneruskan perjalanan ke Jabal Thur. Jabal thur terletak lebih kurang 6 km  dari Makkah. Ini bermakna Rasulullah telah berjalan kaki  lebih 6 km untuk ke Jabal Thur. Sanggupkah kita berjalan dan mendaki sebegini jauh dalam keadaan gelap gulita tanpa mengetahui bahaya yang mungkin muncul di hadapan. Namun mereka berdua menyerahkan hal keselamatan mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan berkat keyakinan itu dan keadaan yang berjaga-jaga akhirnya mereka berjaya juga sampai di tempat yang dirancangkan.

Bila mengerjakan umrah, kita akan dibawa dengan bas yang akan mengambil masa hanya beberapa minit sahaja dari bandar Makkah. Namun Rasulullah terpaksa berjalan kaki dan mendaki Jabal Thur yang tinggi dan berbatu. Mungkin terlintas di fikiran kita tentang betapa kuatnya stamina baginda Rasulullah dan sahabatnya berjalan kaki sebegini jauh, namun tanpa keazaman yang kuat dan keyakinan kepada Allah, mungkin perjalanan ini juga tidak akan berjaya.

Sekiranya ada yang berkesempatan ke Makkah, carilah kawasan Misfalah dan anggarkan berapa lama yang anda akan ambil sekiranya anda berjalan dari Misfalah ke Gua Thur.




Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."
Al Baqarah 2:155

Sumber :
Sirah Nabawiyyah - Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri
Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Friday, October 2, 2015

Hijrah Rasulullah (Bahagian 4) Rumah Abu Bakar As Siddiq


Hijrah Rasulullah bukannya mudah namun telah dirancang dengan telti agar tidak dapat dikesan oleh orang Quraisy. Bermula dari rumah Siti Khadijah, Rasulullah telah pergi kawasan al Nadwah, tempat pembesar Quraisy berkumpul dan berbincang.

Seterusnya Rasulullah bergerak ke rumah Saidina Abu Bakar. Waktu tengahari sebelum itu Baginda telah pun menyatakan rancangan tentang penghijrahan itu. Oleh itu Abu Bakar memang sudah bersedia ketika menunggu sahabat karibnya.

Mungkin  ramai yang berada di Makkah tidak menyedari mereka selalu lalu berhampiran rumah Abu Bakar. Dimanakah letaknya rumah Abu Bakar? Sebenarnya ia terletak dalam bangunan Hilton Makkah yang betul-betul di hadapan Masjidil Haram ,cuma lokasi yang dibenarkan sebagai petanda rumahnya ialah di tingkat 4. Sebagai mengingati letaknya rumah Abu Bakar di sini, sebuah masjid dibina di dalam hotel ini dan dinamakan Masjid Abu Bakar al Siddiq r.a.

Sekiranya anda berada di Makkah , jangan lepaskan kesempatan ini untuk menjejaki tempat-tempat yang disinggahi Rasulullah semasa berhijrah.Setiap tempat yang disinggahi baginda pastinya ada signifikannya.



Sumber:
1. Sirah Nabawiah s.a.w.-Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri(terjemahan YADIM)
2. Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Friday, September 18, 2015

Hijrah Rasulullah (Bahagian 3)- Dari Al Nadwah ke Hazwarah

Dari al Nadwah, Rasulullah telah pergi ke kawasan bukit Safa  dan melalui satu kawasan yang disebut 'Hazwarah' berhampiran rumah sepupunya Ummu Hani.
'..langkah baginda terhenti, sebak tatkala mata memandang Makkah dari kejauhan. Sebak hati baginda melihat bumi tanah tumpahnya yang terpaksa ditinggalkan. Lalu baginda berkata:
Demi Allah, ( Wahai Makkah), engkaulah bumi Allah yang terbaik dan engkaulah bumi Allah yang paling dicintaiNya. Jikalaulah bukan kerana aku diusir keluar darimu, aku tidak akan keluar.
(Sunan at Tarmizi, Musnad Ahmad)

Allah s.w.t kemudiannya memujuk kesedihan hati Rasulullah s.a.w. itu dengan ayat-Nya(Tafsir Al-Jalalain):
"Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal, berhijrah meninggalkan Makkah, dan menyampaikan Al Quran ( wahai Muhammad)), sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (bumi Makkah dalam peristiwa pembukaannya pada tahun 8 hijrah). Katakanlah kepada kaum yang menentangmu, Tuhanku mengetahui akan sesiapa yang membawa petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Al Qasas, ayat 85)'

Lokasi bagi Hazwarah ini terletak berhampiran Bab Ajyad( pintu no 6).
Lawatilah tempat ini sambil menghayati kesedihan Rasulullah meninggalkan bumi Makkah ketika itu serta firman Allah dalam  ayat Al Quran di atas.

Sumber:
1. Sirah Nabawiah s.a.w.-Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri(terjemahan YADIM)
2. Berjalan..Melihat...Mentafsir- Ust Abdullah Bukhari
3. Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Monday, September 14, 2015

Hijrah Rasulullah- rumah Khadijah


Penghijrahan Rasulullah bukannya mudah, penuh halangan dan cabaran. Masih ingat lagikah daripada pembacaan dan ceramah yang kita dengar tentang malam sebelum Rasulullah keluar daripada rumahnya sebelum hijrah?
Disaat rumah Rasulullah dikepung oleh pihak Quraisy, Rasulullah s.a.w. telah  menyuruh Ali bin Abi Talib supaya tidur di tempatnya dengan selimut al Hadrami berwarna  hijau.
'Kemudian Rasulullah s.a.w. keluar dan memecah barisan mereka. Baginda mengambil tanah daripada pasir yang ada di situ dan menaburkannya di atas kepala mereka. Allah telah menutup penglihatan mereka, sehinggakan mereka tidak dapat melihat baginda. Sambil melakukan begitu Rasulullah s.a.w. membaca ayat al Quran.
Firman Allah yang bermaksud:
" Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka, lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat ( jalan yang benar)"
Yaasin 36: 9

Rasulullah meninggalkan rumahnya pada 27 Safar tahun 14 kenabian, bersamaan 12/13 September 622 M.'

Apabila ditanya tentang hijrah Rasulullah, tak ramai yang tahu secara mendalam bibit-bibit  peristiwa yang sebenarnya berlaku. Secara amnya bila ditanya tentang hijrah Rasulullah, mereka hanya mengatakan hijrah ialah berpindahnya Rasulullah dari bumi Makkah ke Madinatul Munawarah.

Dengan berada di Makkah semasa mengerjakan umrah  atau haji, sebenarnya peristiwa bersejarah ini dapat kita hayati dengan lebih dekat. Kenapa? Kerana kita  boleh hayati dimana lokasinya baginda berada dan bergerak sebelum betul-betul bertolak ke Madinah. Ibrah daripada melawat lokasi-lokasi ini membuatkan kita kagum dengan perancangan teliti Allah sehingga Rasulullah dapat mengelakkan diri daripada dibunuh puak Quraisy.


Dalam peristiwa hijrah Rasulullah mula bertolak dari rumahnya iaitu rumah Siti Khadijah. Dimana sebenarnya rumah Khadijah? Ia terletak di kawasan bukit Marwah tidak jauh dari pintu yang bernama Bab al Mudda'a. Pintu ini merupakan pintu masuk ke dalam kawasan Saie tapi bukan tempat permulaan bagi Saei kerana tempat bermuanya Saei ialah bukt Safa.

Ambillah peluang untuk menziarahi tempat ini dan menghayati perjalanan hijrah Rasulullah.

Sumber:
  1.  Sirah Nabawiah s.a.w. -Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri                                                     (terjemahan YADIM)
  2. Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad
    Husni Abd Rahman

Tuesday, October 21, 2014

Hijrah Rasulullah(Bahagian 2)- Hazwarah ke Rumah Abu Bakar

Dalam peristiwa hijrah Rasulullah mula bertolak dari rumah Khadijah dan kemudiannya ke Dar Al Nadwah.
Dari Al Nadwah, Rasulullah telah pergi ke kawasan Bukit Safa  dan melalui satu kawasan yang disebut Hazwarah berhampiran rumah sepupunya Ummu Hani. Di sini  Baginda s.a.w berpaling ke arah Kaabah  dan berkata:

" Demi Allah! Jika tidak kerana pendudukmu ( Makkah) menghalauku keluar nescaya  aku tidak sekali- kali keluar meninggalkanmu. ". 
( Setakat ini semua tempat yang saya nyatakan  masih dalam terletak kawasan Masjidil Haram sekarang ini) . Lokasi bagi Hazwarah ini sempat kami rakamkan kerana ia terletak berhampiran Bab Ajyad( pintu no 6). 

Seterusnya Rasulullah bergerak ke rumah Saidina Abu Bakar. Waktu tengahari  sebelum itu Baginda telahpun menyatakan rancangan tentang penghijrahan itu. Oleh itu Abu Bakar memang sudah bersiap sedia  menunggu baginda. Mungkin  ramai yang berada di Makkah tidak menyedari mereka selalu melewati jalan  berhampiran rumah Abu Bakar.



Dimanakah letaknya rumah Abu Bakar? Sebenarnya ia terletak dalam bangunan Hilton Makkah yang betul-betul di hadapan Masjidil Haram, cuma lokasi  yang dibenarkan sebagai petanda rumahnya ialah di tingkat 4. Sebagai mengingati letaknya rumah Abu Bakar di sini, sebuah masjid dibina di dalam hotel ini dan dinamakan Masjid Abu Bakar al Siddiq r.a.

Mulanya agak segan juga bagi kami ke masjid ini kerana kami bukan penghuni hotel ini. Walaubagaimanapun setelah melihat lokasi ini dibuka untuk orang ramai, kami berkesempatan juga untuk bergambar di bahagian hadapannya, Alhamdulillah. 

Semua tempat tempat yang dilewati baginda jika dihayati punya signifikan tertentu. semasa hijrah Baginda tidak terus  keluar dari Makkah namun singgah di tempat-tempat tertentu sebelum pergi ke Madinah.  Jika kita berkesempatan eloklah kita singgah di tempat- tempat ini agar kita  lebih menghayati penghijrahan Rasulullah.

Bersambung. 

Friday, October 17, 2014

Masjidil Haram dan Peristiwa Hijrah.


Semua orang perlu berhijrah. Tidak semestinya dari satu tempat ke satu tempat yang baru.
Bukit Marwah
Mungkin dari akhlak yang buruk ke akhlak yang baik. Atau dari kurang beramal kepada lebih beramal. Semuanya tertakluk kepada diri sendiri yang berazam untuk menjadi seorang Islam yang lebih baik.

Apabila ditanya tentang hijrah Rasulullah, tak ramai yang tahu secara mendalam bibit bibit  peristiwa yang sebenarnya berlaku. Secara amnya bila ditanya tentang hijrah Rasulullah mereka hanya mengatakan hijrah ialah berpindahnya Rasulullah dari bumi Makkah ke Madinatul Munawarah.

Sekiranya kita berada di Makkah semasa mengerjakan umrah  atau haji, kita sebenarnya berpeluang menghayati peristiwa bersejarah ini dengan lebih dekat. Kenapa? Kerana kita melihat dengan sendirinya dimana lokasinya baginda berada dan bergerak sebelum betul-betul bertolak ke Madinah. Biasanya kita akan teruja bila berada ditempat-tempat yang dahulunya kita pernah tinggal misalnya sekolah asrama, kampung halaman yang dah lama kita tinggalkan dan tempat-tempat lain yang membawa seribu kenangan manis kepada kita. Sepatutnya kita juga
Bab al Mudda'a
teruja bila melawat tempat-tempat yang mempunyai kaitan dengan baginda Rasulullah SAW. Ibrah daripada melawat lokasi-lokasi ini membuatkan kita kagum dengan perancangan teliti Allah sehingga Rasulullah dapat mengelakkan diri daripada dibunuh oleh puak Quraisy. Walaubagaimanapun Rasululllah tidak dapat mengelakkan diri daripada kesukaran dan cabaran yang ditempuhinya sebelum bertolak dari Makkah lagi.Kita juga boleh mendapat pengajaran daripada cabaran yang ditempuhi Rasulullah dan belajar cara baginda mengatasinya. 

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah mula bertolak dari rumahnya iaitu rumah Siti Khadijah. Dimana sebenarnya rumah Khadijah? Ia terletak di kawasan bukit Marwah tidak jauh dari pintu yang bernama Bab al Mudda'a. Pintu ini merupakan pintu masuk ke dalam kawasan Saie tapi bukan tempat permulaan bagi Saei. Tempat bermulanya Saei ialah Bukit Safa. 

Seterusnya Baginda Rasulullah s.a.w pergi ke kawasan Dar Al Nadwah.  Tempat ini boleh dianggap sebagai parlimen Quraisy kerana di sini orang Quraisy berbincang tentang strategi menggagalkan hijrah Rasulullah s.a.w.  Dalam perbincangan itu Iblis telah menyamar sebagai seorang tua terhormat dari oenduduk Najd. Abu Jahal telah mencadangkan agar seorang anak muda dari setiap kabilah dipilih untuk menikam Rasululah secara serentak. Cadangan Abu Jahal telah dipersetujui oleh semua ahli dalam parlimen tersebut termasuk iblis yang tidak menyetujui 2 cadangan sebelum itu.. 

Walaupun mereka telah merancang dengan teliti dan mengepung rumah Rasulullah , namun Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Malam itu Rasulullah berjaya juga keluar dari rumahnya dengan pertolngan Allah dengan membaca ayat Yasin:9  yang bermaksud:
" Dan Kami jadikan sekatan  dihadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka, lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)"


Dar al Nadwah ini terletak  tidak jauh dari di pintu no 51 dan ia dipanggil Bab Al Nadwah. Sewaktu kami pergi umrah dulu,kami tidak dapat pergi ke tempat ini kerana ia terletak dalam kawasan pembinaan perluasan masjid. 

Sumber:


  1. 1. Sirah Nabawiah s.a.w. -Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri                                                     (terjemahan YADIM)
  2. Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad
    Husni Abd Rahman

Thursday, May 8, 2014

Menziarahi Bumi Haramain- Umrah 2014

Masjidil Haram dan Menara Jam
Bumi Haramain...Nama yang di berikan kepada Makkah al Mukaramah dan Madinah al Munawarah. Saban tahun begitu ramai orang Malaysia ke sana. Dari pandangan mata kasar, mudahnya bagi sesetengah orang sampai ke sana. Mungkin itulah yang dikatakan dijemput sebagai tetamu Allah untuk menziarahi rumahNya yang paling istimewa. 

Bagi aku dan suamiku, ia mengambil masa lebih 20 tahun untuk menjadi tetamu sekali lagi di kedua- dua tanah haram ini. Tentunya suasananya amat berbeza sekali daripada 20 tahun lalu. Bukan saja pemandangan dan kemudahan di sekeliling berbeza tetapi penghayatan kami terhadap rumah Allah ini juga berbeza. 

Bagi diriku, oleh kerana begitu sukar untuk sampai ke sana, aku bertekad untuk 'make the most of it' sewaktu berada di sana. 

Apa yang kami persiapkan bukannya semata-mata bekalan pakaian tapi yang lebih utama ialah ilmu berkenaan ibadah umrah dan Bumi Haramain. Sungguhpun kami pernah ke sana, sedikit sebanyak ulangkaji mengenai ibadah umrah perlu dibuat. Aku juga bertekad untuk melawat seberapa banyak yang boleh tempat-tempat berkaitan sejarah islam di sana. Memang benar, ilmu tentang sejarah membolehkan kita menghayati sesuatu perkara lebih-lebih lagi apabila tempat itu berada di hadapan kita.


Dengan merujuk kepada buku 'Bayu Kerinduan di Bumi Haramain' oleh Ust Ahmad Husni, sedikit sebanyak aku dapat menjejaki tempat-tempat yang dilalui oleh Rasulullah sebelum berhijrah, masjid-masjid yang dibina berdasarkan peristiwa bersejarah, menyaksikan dengan sendiri kesan daripada usaha Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta Siti Hajar dalam membina kaabah dan membangunkan Makkah Al-Mukarramah dengan pertolongan Allah. InsyaAllah akanku ceritakan nanti dalam artikel seterusnya.


Target ibadah umrah yang paling penting ialah adanya perubahan diri dari segi peningkatan iman. Amat rugi sekiranya ibadah umrah yang dijalankan berkali-kali tidak mengubah akhlak dan akidah seseorang. Buku '50 tips Motivasi Haji' oleh Prof Muhd Kamil dan isterinya Roza Roslan yang aku bawa bersama  memberi sedikit sebanyak panduan agar kita berusaha untuk berubah apabila berada di Makkah dan Madinah. Keikhlasan diri dalam beribadah dan tidak membuang masa semasa berada di sana adalah kunci untuk mengubah diri agar menjadi muslim yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan. Perubahan positif pada diri inilah yang sepatutnya kita bawa balik ke Malaysia agar dapat kita praktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. 
Bahagian Luar Maqam Rasulullah di Masjid Nabawi

Orang kata, untuk berdakwah, pelbagai cara boleh dibuat. Pegawai umrah yang ditugaskan membantu kaum hawa di Madinah menunjukkan contoh peribadi yang terpuji. Disamping menggalakkan sedekah dan wakaf dia sentiasa hadir semasa jemaah umrah berada di dewan makan. Maklumlah wanita mempunyai pelbagai masalah ibadah dari segi kesucian diri. Dia juga menunjukkan secara praktikal cara bersedekah di Masjid Nabawi. 

Ramai yang pernah mendengar hadith ini. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Pahala solat di masjidku(Masjid Nabawi) adalah digandakan seribu kali solat daripada lain-lain masjid kecuali Masjidilharam(Makkah). Solat di Masjidilharam adalah lebih afdhal daripada seratus ribu kali solat." (Riwayat Imam Ahmad)
Imam al Muhibb al Tabariyy menyatakan dalam analogi yang dilakukannya, hadis-hadis  yang diriwayatkan mengenai pahala ibadah solat di Masjidilharam juga adalah dalil kepada gandaan ganjaran pahala melakukan sebarang bentuk kebajikan di Tanah Haram.

Imam Hassan Al Basri pula menambah, 
'bahawasanya puasa sehari di Makkah adalah seumpama berpuasa 100 000 hari. Manakala bersedekah dengan hanya satu dirham bersamaan pahala bersedekah 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan 100 000 pahala.' (Sumber- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ust Husni)

Kesan daripada berebut-rebut mendapat pahala di Bumi Haramain sudah tentunya memberi kesan kepada sesiapa saja termasuk aku tentang perlunya kita sentiasa beribadah, bersedekah dan berbuat kebaikan sekembalinya pulang ke tanah air. Alangkah hebatnya kesan menziarahi Bumi Haramain ini.

Bersama-samalah kita berebut peluang untuk mendapat pahala semasa mengerjakan umrah atau haji dan seterusnya melakukan perubahan diri sekembalinya kita kembali ke tanah air.

Thursday, January 16, 2014

Suraqah bin Malik- Kisah dan Iktibar Daripada Penghijrahan Rasulullah



Hijrah Rasulullah bukannya mudah. Banyak halangan dan dugaan yang dilalui oleh Rasulullah bersama Abu Bakar dalam perjalanan mereka ke Madinah. Salah satu dugaannya ialah dikejar oleh Suraqah bin Malik. Siapakah Suraqah bin Malik? Hayati nasyid di atas dan kisah di bawah dan ambil iktibar daripada kedua- duanya. 
Sabar dan yakinlah  dengan pertolongan Allah setiap kali diuji. Sesungguhnya pertolongan Allah itu benar....




Lelaki yang mengejar semakin hampir lalu berteriak" Wahai Muhammad! Saya Suraqah bin Malik, ketua bani Mudlij. Saya mahu membunuhmu!"


Namun Nabi Muhammad tidak menghiraukan kata-kata Suraqah itu. Mereka meneruskan juga perjalanan. Suraqah memecutkan kudanya bagi mendekati Nabi Muhammad. 


Nabi Muhammad pun berdoa," Ya Allah, lindungi kami daripada lelaki itu."


Tiba tiba kuda yang ditunggangi Suraqah tergelincir dan dia terpelanting jatuh ke tanah. Dia segera bangun lalu menunggang semula kudanya bagi mengejar Nabi Muhammad. Apabila semakin hampir, sekali lagi Nabi Muhammad berdoa.Tiba-tiba kuda itu tergelincir lagi dan Suraqah terpelanting sekali lagi lalu jatuh ke tanah hingga kepalanya berdarah. Namun Suraqah masih tidak mahu mengalah. Dia menunggang kudanya semula lalu mengejar Nabi Muhammad.


Nabi Muhammad berdoa sekali lagi . Tiba-tiba kaki kuda yang ditunggangi Suraqah terbenam ke dalam pasir. Suraqah menyebat kuda itu dengan cemeti sekuat hatinya lalu kuda itu pun menarik kakinya. Tetapi sebaik sahaja kuda itu menarik kakinya dari dalam tanah, keluar asap hitam. Barulah Suraqah berasa takut.

" Wahai Muhammad, saya tidak akan bunuh kamu! " teriak Suraqah. Barulah kuda itu dapat berjalan seperti biasa.

Suraqah terus mengejar Nabi Muhammad yang sudah jauh di hadapan. Tetapi kali ini dia tidak berniat hendak membunuh Nabi Muhammad tetapi mahu meminta maaf. 
" Saya bukan lagi musuh kamu!" teriak Suraqah sekuat hatinya. Mendengar jeritan itu barulah Nabi Muhammad, Abu Bakar ,Abdullah dan Amir berhenti tetapi masih curiga.


" Tulislah surat perjanjian yang saya mengaku tidak akan membunuh Muhammad." kata Suraqah. 


Nabi Muhammad menyuruh Amir bin Fuhairah menulis pada pelepah tamar kemudian di tandatangani oleh Suraqah bin Malik.
" Wahai Muhammad, perjalanan kamu ke Madinah tidak akan diganggu sesiapa lagi......." kata Suraqah.


Sumber-  Abu Bakar Sahabat Sejati 
Abd Latip Talib

Popular Posts