Showing posts with label musafir. Show all posts
Showing posts with label musafir. Show all posts

Thursday, November 9, 2017

Pertemuan Dengan Sahabat....Bermusafir

Pertemuan saya dengan seorang teman agak hambar. Berjumpa setelah lebih 30 tahun berpisah. Sewaktu berbual dengannya tempohari saya dapat merasakan dia kurang mengenali saya.

Tahun 80an dulu saya pernah bermusafir bersamanya ke konvensyen MISG  di bahagian tengah Amerika Syarikat. Perjalanan pergi saja mengambil masa beberapa hari. Kembara yang agak lama. Sudah semestinya timbul bibit-bibit persahabatan

Namun, selepas itu kami terputus hubungan. Maklumlah ketika itu saya masih bujang dan dia sudahpun berkeluarga, Punya anak seorang. Pastinya dia sibuk mengurus keluarga ketika itu. 

source: Google maps
Mungkin juga dugaan hidup selepas tamat pengajian di sana membuatkan dia ingin melupakan pengalaman pahit yang dilaluinya." Sorry, akak ni pernah memory loss," katanya ketika bersalam sebelum keluar dewan. Patutlah saya dapat rasakan dia tidak mengenali saya. Memang saya tidak tahu langsung dia telah mengalami liku-liku hidup sebegitu. Semoga Allah memberi ketenangan dalam meniti usia emasnya kini. 

Dalam menyusuri lebuhraya kehidupan ini, dugaan dan cabaran pastinya perlu ditempuhi oleh kita sebagai makhluk Allah. Adakalanya kita berjaya mengatasinya adakalanya tidak. Namun yang penting ialah apakah usaha kita lakukan untuk menempuhi segala dugaan dan halangan. Jerit perih, usaha yang istiqamah dan bersungguh-sungguh tetap ada ganjaran di akhirat kelak.

'Hidup ialah siri ujian yang berterusan dan berkesinambungan. Selagi hidup, selagi itulah diuji. Ini sangat memenatkan. Bukan sahaja anggota fizikal tetapi elemen dalaman kita juga . Jiwa fikiran dan emosi perlu direhatkan dan dirawat. Justeru, musafir kehidupan yang penuh ujian ini perlukan R n R( Rehat dan Rawat) 
Bagaimana jiwa, fikiran, emosi dan fizikal kita direhatkan dan dirawat? Jawabnya, dengan solat. Solat, kaedah yang paling efektif untuk merawat diri kita. Solat itu rehat. 

Dalam solat ada kerehatan kerana itulah masa hamba 'berkomunikasi' dengan Tuhannya, Yang Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Bayangkan seorang kekasih sedang berbisik dengan kekasihnya. Bukankah itu satu keindahan dan kemanisan? 
Firman Allah:" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Al Ra'd 13: 28)

Dalam kehidupan yang sangat meletihkan ini, jangan sekali-kali mengabaikan solat. Solat ialah saat yang paling intim antara hamba dengan Tuhan. 
Jangan gopoh  dan tergesa-gesa dalam hidup, bertenang dan berehatlah selalu dengan solat.'
Ust. Pahrol Mohd Juoi- Solusi isu 68

Seketika, saya teringat perjalanan bermusafir ke Illinois yang pernah kami tempuhi bersama satu ketika dahulu. Melalui kawasan gurun berbatu yang pelbagai bentuk di New Mexico. Juga kawasan yang dipenuhi salji di Illinois. Dua keadaan alam yang yang amat berbeza. Subhanallah, amat unik dan indahnya ciptaan yang Maha Berkuasa. 

Monday, January 20, 2014

Menyapu khuf- Satu Keringanan Buat Umat Islam Semasa Berwuduk

'Now everyone can fly' itulah yang menjadi slogan sebuah syarikat penerbangan. Begitu popular dengan tambang murahnya menyebabkan ramai orang di Malaysia semakin berminat untuk melancong ke serta pelusuk dunia. 

Sememangnya dalam Islam dianjurkan untuk melawat sesuatu tempat atau bermusafir dan menghayati alam ciptaan Allah. Namun untuk berkunjung ke luar negara kadangkala mengambil masa yang lama untuk sampai. Mungkin terdapat penerbangan yang memakan masa melebihi 20 jam!

Walaupun kini ramai yang sudah mampu berkunjung ke luar negara namun tak semua yang tahu atau peka tentang perlunya menunaikan solat semasa pengembaraan. Ataupun adanya keringanan diberikan dalam menunaikan solat semasa pengembaraaan.

Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya bersolat semasa pengembaraan. Saya mulakan dengan solat semasa penerbangan dahulu.


Biasanya sebelum bertolak ke satu perjalanan jauh, kami akan berwuduk terlebih dahulu. Dengan wuduk tersebut dan kami pastikan kaki kami bersih kami terus menyarungkan stokin dan kasut. Ini membolehkan kami menyapu atas khuf(kasut) sebagai ganti membasuh kaki ketika berwuduk dalam penerbangan kelak. Menyapu atas khuf merupakan satu rukhsah atau keringanan yang dibenarkan dalam syarak. 

Baru- baru ini saya terbaca dalam Majalah Al Ustaz berkenaan 'Khuf'. Berikut ialah sedikit penerangan yang saya dapati daripada Ust muhammad Raji Musa dalam majalah Al Ustaz-Isu 20

Mengikut ulama Syafii, syarat untuk menyapu khuf adalah seperti berikut:

  1. Memakainya selepas sempurna bersuci daripada hadas kecil dan besar.
  2. Khuf yang dipakai mestilah mampu untuk digunakan berjalan. Adapun khuf yang dibuat daripada kulit yang nipis yang mudah terkoyak apabila dbawa berjalan, maka ia tidak boleh digunakan untuk menyapu di atasnya ketika berwuduk.
  3. Khuf tersebut mestilah menutupi anggota yang wajib dicuci ketika berwuduk iaitu sehingga kedua dua buku lali.
  4. Khuf mestilah mampu menahan air daripada masuk ke dalamnya melainkan dari celah jahitan
  5. Khuf tersebut mestilah suci.
  6. Menyapu di atasnya hanya dalam masalah wuduk dan bukan mandi wajib.


Menyapu di atas stokin juga dibenarkan. 
Sekiranya stokin itu tebal dan memenuhi syarat khuf di atas , maka dibolehkan untuk menyapu diatasnya. 
Namun ada pandangan seperti Sheikh Ahmad Syakir dan Dr Yusuf Al Qardawi telah  memberi fatwa menyapu di atas stokin nipis dan mudah ditembusi air dibolehkan. AlQardawi juga mengatakan bahawa membuka stokin adalah sesuatu yang sukar  sekiranya seseorang berada dalam cuaca yang sangat sejuk

Cara yang sempurna dalam menyapu pada khuf

  1. Letakkan tangan kiri di bawah tumit, tangan kanan pada hujung jari sebelah atas kaki.
  2. Lalukan tangan kanan(yang basah) menuju ke pangkal betis.
  3. Lalukan tangan kiri (yang basah) menuju ke hujung jari bahagian bawah kaki. 
  4. Disunatkan agar jari kedua-dua tangan direnggangkan dan cara sapuan adalah secara melurus(seperti membuat garisn dengan jari tangan).

Semoga dapat dijadikan panduan bagi sesiapa saja yang ingin bermusafir atau melancong ke luar negara. Dengan ini mudahlah kita menunaikan solat fardhu di mana saja kita berada.

Popular Posts