Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Wednesday, March 1, 2017

Kejayaan Trump Ada Hikmahnya

4 bulan berlalu. Demonstrasi jalanan masih hebat berlaku. Rakyat Amerika berterusan marah dengan keputusan pilihanraya di negara mereka. Rakyat Islam khususnya yang berada di negara ini resah...takut... bingung. Resah dengan tindakan yang akan diarah oleh Trump. Takut dikejar oleh pihak berkuasa. Bingung ke mana mereka harus tuju.
Namun jika difikirkan dari satu sudut kejayaan Trump memegang tampuk sebagai presiden Amerika punya pelbagai hikmah. Rakyat dunia kini tahu betapa ramainya umat Islam di Amerika Syarikat. Bukan saja sebagai imigran(pendatang), penduduk tetap (permanent resident) tetapi juga sebagai rakyat Amerika yang berkulit hitam dan berkulit putih. Berdasarkan Pew Research Center, terdapat 3.3 million orang umat Islam di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Dan angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Pengembaraan saya sekeluarga di bumi Uncle Sam ini  beberapa kali juga membuktikan betapa ramainya umat Islam khususnya di bandar-bandar besar seperti Los Angeles, San Francisco,  New York dan Chicago. Bahkan orang Islam bukan hanya terdapat di bandar-bandar ini sahaja, malah juga di bandar- bandar di bahagian utara dari Sioux Falls di South Dakota hingga ke Nashville di Tennessee. Ini hanya sebahagian daripada masjid-masjid  yang saya sekeluarga sempat singgah. Tahu tak, masjid juga terdapat nun di utara sehingga  ke Alaska!

Allahuakbar! Memang orang Islam hadir di hampir setiap pelusuk di bumi Uncle Sam ini. Bagi kami yang pernah mengembara ke sana, kadangkala kami disapa dengan ucapan salam dengan tiba-tiba. Terkejut juga sebab tidak menyangka orang berkulit putih mahupun hitam di hadapan kami sebenarnya seorang Islam.

Selama ini ramai daripada kita hanya memandang sebelah mata sahaja kehadiran orang Islam di bumi yang kontroversi ini. Mungkin disebabkan media hanya memaparkan suasana keganasan mahupun tindakan pemimpin di sana. Maklumlah berita dari negara ini memang sepantas kilat tiba dengan teknologi terkini dan mendapat liputan luas berbanding negara-negara lain. 

Anehnya ramai yang tertarik dengan Islam dengan melihat cara hidup orang Islam di sana. Seterusnya mereka banyak menyelidik sendiri tentang Islam. Allah telah membantu mereka setelah mencari-cari ketenangan dek jiwa yang kosong. Bantulah mereka dan doakanlah untuk mereka....Insha Allah Islam akan membawa ketenangan kepada mereka di sana.

Jika difikirkan lebih jauh dan berbalik kepada keadaan kita di Malaysia, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada keadaan pasca pilihanraya Amerika Syarikat. Usahlah kita berpeluk tubuh dan berbangga dengan Islam yang ada pada diri kita. Umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menarik ramai jiwa yang kosong di sana dengan menunjukkkan contoh akhlak yang baik dengan pelbagai aktiviti interfaith mereka. Bagaimana pula kita disini dengan orang bukan Islam di sekeliling kita. Jom kita berusaha berakhlak baik sebagai permulaan.

'Islam mengajar umatnya agar buta warna kulit dan latar bangsa. Keadilan dalam layanan terhadap sesama Muslim itu dibuktikan dengan jelas dalam hadith Nabi:" Wahai manusia ! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama( Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab  ke atas ' ajam' ( yang bukan Arab), atau 'ajam' ke atas Arab, atau yang berkulit merah  ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkuit merah melainkan ketakwaan."
(Riwayat Ahmad)'
Ezry Fahmy Eddy Yusof- Solusi Isu 98


Rujukan tambahan:https://www.salatomatic.com

Tuesday, March 29, 2016

Mulakan Berbuat Kebaikan

Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang tentang memberi pertolongan boleh merupakan satu proses yang memberi kesinambungan. Video yang dilakonkan oleh orang Barat itu memperlihatkan betapa dengan satu pertolongan yang sangat kecil walaupun sekadar menolong orang melintas jalan atau menolong mengangkat barang boleh menjadi motivasi bagi seseorang menolong orang lain pula.

Saya kurang ingat susunan pertolongan atau perbuatan baik dalam video tersebut. Ia mungkin bermula daripada seseorang buruh yang hanya membantu seorang budak yang jatuh semasa berbasikal. Kemudian, insaf dengan pertolongan tersebut, budak itu ternampak seorang tua sedang melintas jalan dan mengangkat barang yang berat. Lantas, dia cepat-cepat membantunya dengan mengangkat barang tersebut. Tak lama selepas itu, orang tua itu pula ternampak seorang perempuan sedang mencari-cari duit syiling di dalam beg tangannya untuk bayaran parkir kereta. Terus dia menghulurkan duit syilingnya. Terkejut lalu tersenyum perempuan tersebut menerima wang itu dengan syukur walaupun jumlahnya hanya beberapa sen.

Kemudian, perempuan itu ternampak seorang pemuda tampak lemah meminta sedekah, duduk tak jauh dari situ lalu dibelikannya frankfurter daripada sebuah gerai tidak jauh dari situ. Terkejut pemuda tersebut namun diterimanya dengan penuh kesyukuran. Pemuda itu ternampak pula seorang lelaki terjatuh sekeping kad sewaktu dia keluar dari sebuah kedai lalu dia berlari memulangkannya. Lelaki  itu begitu gembira mendapat semula kadnya. Seketika, dia ternampak seorang pelayan perempuan dimarahi oleh bosnya lalu dia kelihatan sedih. Lantas sewaktu lalu di tepi sebuah gerai bunga dia membeli sejambak bunga dan menghadiahkan bunga tersebut kepada pelayan tersebut. Pelayan tersebut tersentak namun menerimanya dengan gembira. Semangat untuk bekerja kembali pulih.. Pelayan itu kemudiannya memerhatikan seorang buruh sedang bekerja dalam terik panas lalu menghadiahkan sebotol air kepadanya. Dan sungguh tidak sangka buruh itu ialah orang yang mula-mula sekali membuat kebaikan.

What goes around comes around. Hidup ini seperti putaran roda. Setiap kebaikan yang kita mulakan, Insha Allah akan dibalas oleh Allah sejak di dunia lagi. Sebagai orang Islam kita lebih beruntung kerana semua kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan di akhirat kelak, biar sekecil atom sekali pun. Bahkan kita disuruh berlumba lumba berbuat kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalang (menerima pahalanya) dan Allah Maha mengetahui orang yang bertakwa." [Ali 'Imran 3: 115]

Mungkin benar apa yang dintakan oleh Ust Umar Muhammad Noor dalam majalah Solusi isu 85
'Muslim yang terbaik bukanlah orang yang paling pandai berceramah, tetapi yang paling besar khidmatnya kepada manusia. Seorang muslim tidak mendiamkan kesusahan orang lain. Jiwanya selalu tergerak untuk membantu. Bahkan tidak sesekali dia menghampakan harapan orang lain kepadanya. Paling kurang memberi kata-kata semangat untuk meringankan kepedihan orang yang meminta pertolongannya.'
Ibn Abbas berkata:" berbuat baik kepada manusia ialah suatu ibadah kepada Allah, menarik cinta manusia dan tanda kesyukuran yang kekal."

Contohilah tindakan Said bin Jubair. Tokoh tafsir yang merupakan anak murid Ibn Abbas ini sangat aktif dalam kerja-kerja sosial dan membela nasib umat. Umar bin Ziadah berkata: "Setiap kali melihat Said bin Jubair, aku melihat beliau bak rahib. Beliau selalu berpusing ke rumah orang  tua-tua dan bertanya: 'Adakah hajat yang boleh saya belikan? Adakah kamu memerlukan bantuan?"'

Bersama-samalah kita berbuat kebaikan!

Friday, March 4, 2016

Islam Telah Lama Bertapak di Mountain West

Dari jauh kami cuba mencari kot-kot ternampak bentuk kubah atau bangunan besar yang boleh kami anggap sebagai masjid. Namun agak susah kami berjumpa bangunan sedemikian di kawasan 'Mountain West' ini. Islamic Center di sini tidak sebanyak di kawasan barat dan timur Amerika Syarikat. Juga tidak sebesar Islamic Center atau masjid yang terdapat di sana . Mungkin juga sebab bilangan orang Islam di sini tidak ramai. Sumber kewangan pula agak terhad. Walau bagaimanapun Islam telah lama bertapak di sana. Ternyata orang Islam masih bertahan di sana.

Islam of the Mountain West, itulah antara tema pengembaraan kami di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Sambil kami mengembara kami mencari jejak-jejak Islam dan muslim di kawasan 'Mountain West'.  Daripada 6 negeri  Mountain West ini kami telah sempat menjelajah 3 daripadanya iaiatu Colorado, Utah dan Wyoming.

Sejarah menceritakan Islam telah sampai ke kawasan "Mountain West' ini  sejak tahun 1538 lagi menerusi seorang hamba dari Morocco yang bernama  Estevanico (aka. Mustafa Zemmouri) semasa menyusuri Sungai Colorado dalam ekspedisi orang Sepanyol. Kebolehan Estevanico merawat pesakit menyebabkan dia dihormati dalam kalangan puak India Amerika.

Satu laporan menyatakan  seorang Islam dari Syria, Haji Ali diupah oleh tentera Amerika untuk membuka laluan jalan unta dari Fort Defiance di New Mexico dan Fort Mohave di Arizona hingga ke California. Mungkin kerana kesukaran menyebut Haji Ali ini menyebabkan masyarakat di sana  menggelarnya Hi Jolly. Haji Ali akhirnya menetap di Quarzite, Arizona dan meninggal dunia di situ. Bandar Quarzite ini terkenal dengan syarikat Hi Jolly and the Camel Corps.  Kewujudan syaikat ini menandakan Islam telah lama tiba di kawasan tersebut.

Setakat ini tidak ada perangkaan tentang bilangan orang Islam di Mountain west ini. Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center dikatakan tidak melibatkan orang Islam di 'Mountain West' ini sebab taburan penduduk Islam di sini tidak padat di satu-satu tempat. Mengikut laman web http://muslimsinmountainwest.org/  bilangan umat Islam di sini jumlahnya di antara 85 000 hingga 120 000 orang! 

Jika di Colorado, terdapat banyak masjid di kawasan Denver, berbeza pula di Utah. Di kawasan Salt Lake city, ibu negeri Utah dan sekitarnya bilangan masjidnya agak sedikit. Adanya laman web Zabihah.com memudahkan kami mencari masjid-masjid yang tidak jauh daripada lebuhraya yang kami lalui. Maklumlah sebagai pengembara kami kesuntukan masa. Biarlah sekurang-kurangnya kami dapat singgah di Islamic Center atau masjid yang berdekatan perjalalanan kami. Dapat juga kami bersua dengan orang-orang Islam di sana.

Rasulullah bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada di sisinya." (Riwayat Ahmad)

Sampainya kami di Masjid Al Farooq, kawasannya kelihatan agak sunyi.  Masjid yang kelihatan seperti sebuah rumah kedai setingkat ini seolah-olah tiada orang di dalamnya. Pintunya berkunci. Hampa harapan kami untuk singgah menunaikan solat. Namun kami akur dengan keadaan begitu sebab banyak Islamic Center  di negara ini di kunci sebaik saja selesai solat fardhu berjemaah. Mungkin gusar dengan pengaruh  Islamophobia atau anti Islam di sana. Walau bagaimanapun kami bersyukur meskipun kecil, wujudnya Islamic Center di sini memudahkan umat Islam berkumpul dan mengerjakan solat jemaah serta solat Jumaat. Juga mengerjakan aktiviti-aktiviti lain yang bermanafaat.

Mungkin betul juga apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi,
"Kekuatan masjid bukan pada hiasan, peralatan atau kecanggihan yang ada padanya. Kekuatan masjid terletak kepada roh manusia yang mengimarahkannya. Semakin ramai yang bersolat, berzikir, berdoa dan melakukan amal kebaikan di dalam sebuah masjid, maka semakin hebat 'aura' yang dipancarkan untuk menarik hati-hati yang lain untuk kembali kepadanya."
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi  Solusi Isu 74
Harapan kami semoga masjid ini sentiasa diimarahkan oleh para jemaahnya, Insha Allah.


Oleh kerana tidak dapat bersolat di sini, cadangan alternatif untuk menunaikan solat jamak zuhur asar segera dibincang. Agak- agaknya dimana kami menunaikan solat fardhu tersebut?

Bersambung.




Wednesday, December 23, 2015

Makanan Kosher Mudah Didapati di Amerika Syarikat


Pernahkah anda dengar tentang makanan 'kosher"?
Lihat simbol U pada label makanan in i



Berikut ialah sedikit penerangan tentang makanan tersebut.
Allah berfirman:
" ..dan makanan ahli kitab dihalalkan bagimu."
Surah al Maidah 5:5

Menurut ahli tafsir Al Quran, makanan dalam ayat ini maksudnya ialah haiwan sembelihan mereka. Justeru halal  bagi kita memakan haiwan sembelihan ahli kitab terutamanya Yahudi yang sangat ketat menjaga makanan mereka. 
Orang Yahudi memililki istilah khusus yang berfungsi seperti label halal dalam agama kita. Istilah itu dinamakan kosher. Setahu saya, tiada makanan haram yang mereka halalkan melainkan arak sahaja. 
Lihat simbol U pada peket makanan ini
Kesimpulannya, saudara boleh memakan masakan Yahudi melainkan jika saudara mengetahui mereka  memasukkan bahan berunsur arak ke dalam makanan tersebut. Semua ini tentu saja dibolehkan selagi mana ia tidak mengandungi aktiviti haram di sisi Islam.

 




Imam Ahmad berkata: 
Perkara yang dilarang hanyalah memasuki kuil dan gereja mereka. Adapun membeli makanannya, maka tidak haram."

Demikian diriwayatkan oleh Ibn Muflih dalam al Adab al Syar'iyyah.

Sumber: Al Ustaz Isu 20- Ustaz Umar M. Noor


Untuk memilih makanan kosher yang terdapat di kedai, seseorang harus memerhatikan label yang mempunyai simbol kosher. Antara simbol kosher ialah seperti yang tertera di bawah. Simbol ini terdapat di bahagian hadapan atau belakang label bungkusan atau pembalut bekas makanan. Simbol ini agak kecil, walau bagaimanapun biasanya ia boleh dilihat dengan jelas.



Tanda kosher yang disahkan oleh 
Chabad of Fresno, California

Tanda kosher yang disahkan oleh 
The Union of Orthodox Congregations, New York


Walau bagaimanapun bukan semua produk kosher di Amerika Syarikat halal bagi orang Islam  . Berdasarkan Muslim Consumer Group sekiranya produk kosher mengandungi bahan-bahan dibawah ini, produk ini dianggap tidak halal.
Antaranya
1. Gelatin- mungkin di buat daripada babi
2. kosher Gelatin
3. L Cystein-dibuat daripada rambut manusia atau bulu ayam atau itik
4. Segala jenis arak termasuk Rum.
5. Ethyl alcohol atau ethano
6. Carmine/cochineal- sejenis pewarna kuning dibuat daripada sejenis serangga
7. Vanilla extract- mengandungi alkohol
8. Kicap/ soy sauce naturally brewed- buasanya dicampur wheat dan prosesnya melibatkan ethanol.
9. Confectioneary glaze atau resionous glaze
10. Natural Vanilla atau Natural vanilla extract- alkohol digunakan dalam pemprosesannya.
11. Grape wine by product- grape seed oil, grape seed extract dan grape skin powder.

Berdasarkan pengalaman daripada pengembaraan saya di Amerika Syarikat, agak mudah mendapatkan barangan kosher terutama sekali di hypermarket Walmart dan Kroger. Hanya perlu melihat simbol-simbol ini dan cuba elakkan bahan-bahan di atas. Insha Allah pencarian makanan halal akan lebih mudah.
Bersambung.

Monday, November 23, 2015

National Mall- Sedikit Sejarah Black Americans dan Black American Muslims

Ketika sampai,kelihatan ribuan pengunjung yang sedang menikmati pemandangan unik di sini. Amat payah mencari tempat memarkir kereta sebab yang datang ke sini bukan saja dengan berkereta bahkan juga dengan bas-bas yang besar. Tempat ini bukannya sebuah taman tema, juga bukannya satu gedung perniagaan yang besar.

National Mall merupakan satu taman yang besar yang mengandungi banyak memorial sempena mengingati orang-orang yang berjasa dalam sejarah Amerika Syarikat. Biarpun pada asalnya ribuan yang hadir ke sini tidak berminat atau peka tentang sejarah , pelbagai memorial yang didirikan di sini memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang sejarah The New World ini.

" I still have a dream, a dream deeply rooted in the American dream - one day this nation will rise up and live up to its creed, We hold these truths to be self evident:  that all men are created equal."

"I have a dream that my four children will one day live in a nation where they will not be judged by the color of their skin, but by the content of their character. I have a dream today."

Itu ucapan yang kami dengar sewaktu melangkah masuk ke Memorial Martin Luther King Jr . Memorial ini seolah-olah membawa kita ke zaman 1960an sewaktu hebatnya perjuangan African American Civil Rights Movement. Khabarnya dia berucap di hadapan 250 000 orang penyokongnya.

Martin Luther King Jr sebenarnya ialah seorang paderi dan  pejuang kemanusiaan berkulit hitam serta ketua African American Civil Right's Movement 1960an dahulu. Berdasarkan sejarah, kaum Afrika telah dibawa oleh kaum kulit putih sebagai hamba ke benua ini. Zaman berlalu, perhambaan telah diharamkan. Namun perbezaan taraf antara kaum begitu ketara. Kaum berkult hitam atau black Americans ini telah dianggap berstatus rendah dan ramai yang miskin. Mereka berjuang agar diberikan persamaan status tanpa mengira warna kulit.

Martin Luther King Jr ini telah di tembak mati pada tahun 1968 sejurus sebelum perarakan aman  ke Wasington DC untuk menuntut diadakan bantuan kepada komuniti miskin di Amerika. Pembunuhannya telah menyebabkan rusuhan di banyak tempat diseluruh Amerika Syarikat.

Namun kita tidak boleh ketepikan terdapat blacks American yang memainkan peranan besar dalam perjuangannya terhadap Islam. Meskipun Islam telah bertapak di Amerika Syarikat sejak 1527 lagi,  orang yang paling berpengaruh yang berjuang untuk blacks American Muslim  ialah Malcolm X.  Atau nama Islamnya Malik Shabazz. Pada asalnya beliau ialah pengikut Nation of Islam, namun beliau telah membuat keputusan untuk mengikut aliran sunni (ahli sunnah wal jamaah) setelah mempelajari  lebih banyak tentang Islam yang sebenarnya.

Pengaruh Malcolm X ini sangat besar. Malcolm  X sendiri pernah pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Di sana dia mendapati orang Islam terdiri daripada pelbagai bangsa, bukan saja dari kalangan bangsa Arab. Allah telah menentukan orang sehebat ini tidak panjang umurnya. Pada tahun 1965, sewaktu berumur 40 tahun dia telah di tembak mati  sewaktu berucap  di Manhattan New York. Semoga rohnya termasuk di kalangan orang orang yang bertakwa.

Meneliti antara wasiat terakhir Rasulullah di bumi Arafah mengingatkan kita bahawa janganlah kita memandang rendah terhadap orang Islam yang lain meskipun mereka bukan dari bangsa kita mahupun bangsa Arab.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab atau bangsa lain kecuali dengan takwa.
 Sumber: Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Walaupun niat asal kami hanya untuk melancong ke sini, namun ia memberi 'ibrah yang menyentuh hati kami sebagai orang Islam. Alhamdulillah.

Tuesday, October 27, 2015

Pasangan Ayah dan Anak yang Beriadhah di Park Point,Tasik Superior


Cuaca pagi  itu memang cerah. Kelihatan ramai orang begitu seronok melakukan aktiviti, bermain bola, berbasikal, jogging. Namun bagi kami yang baru sampai ke situ  kaki ini terasa agak berat untuk melangkah keluar daripada kereta yang mempunyai pemanas udara.Masakan tidak, suhu ketika itu 7-9 darjah Celsius. Sangat sejuk! Kenapa orang di sini begitu teruja melakukan riadhah dalam suhu begini rendah? Pemandangan tasik yang membiru di kawasan taman ini sungguh menenangkan. Kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan usia 20an bersama-sama seorang lelaki yang agak berumur sedang berhenti berehat seketika selepas berbasikal. "Hi, Nice weather, huh?" Sapaku. "Yeah, we've been waiting for this sunny day for so long," kata perempuan itu dengan tersenyum."It had been a long winter for us here," katanya lagi.

Perempuan muda itu sebenarnya berbasikal  bersama bapanya yang sudah berusia namun masih kuat untuk berbasikal. Rumah mereka tidak jauh dari kawasan taman itu.
Seronok saya melihat dua beranak ini mengambil kesempatan beriadah bersama.

Zaman ini jarang kelihatan anak-anak remaja mahupun sudah dewasa yang sama-sama beriadhah dengan ibu bapa mereka yang dah berusia. Tidak ramai juga yang mengambil kesempatan  untuk membawa ibu bapa mereka ke taman-taman untuk menghirup udara segar. Ya, mungkin ibu bapa mereka tak mampu berjalan laju ataupun terpaksa bertongkat untuk ke sana ke mari. Namun itulah sedikit sebanyak pengorbanan anak-anak kepada ibu bapa. Kadangkala ibu bapa juga perlu keluar daripada rumah untuk menenangkan diri, sama seperti kita semua.

Memang fitrah manusia, keluar beriadah atau bersiar-siar memerhati alam ciptaan Allah ini boleh menenangkan jiwa insan yang berkecamuk. Rebutlah peluang sebegini untuk bersama ibu dan ayah selagi kudrat anda masih kuat.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah  berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika salah seorang  atau kedua-duanya telah lanjut usia dalam jagaanmu, maka jangan sekali-kali engkau mengatakan 'ah' dan janganlah engkau membentak kedua- duanya, dan ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang baik. Rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah ,' Wahai Tuhanku, sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua mendidikku semasa aku kecil."
(Al Isra' 17: 23-24)
Peringatan bagi diriku sendiri agar tidak terlupa.

Oh ya, tahukah di mana kami ketika itu? Sebenarnya kami berada di satu anak tanjung di Park Point, Tasik Superior, salah satu tasik besar (The Great lakes) yang paling utara di benua Amerika. Setiap kali musim dingin keseluruhan tasik ini akan membeku. Musim dingin 2015 agak panjang bagi penduduk di kawasan ini. Kami tiba di sana pada bulan Mei 2015 dan ketika itu suhu baru meningkat sedikit . Cuaca terang  inilah yang  menyebabkan penduduk di sana begitu teruja dapat keluar beriadah. Keadaan cuaca terang ini hanya di alami beberapa bulan sahaja. Selepas itu cuaca akan mula kelam menjelang musim luruh.


Syukur tak terkira bila mengenangkan cuaca Malaysia tidak sebegini dan keadaan ini membolehkan kita selalu keluar beriadah (sekiranya tidak hujan atau berjerebu). Namun adakah orang di Malaysia mengambil kesempatan melakukan aktiviti menyihatkan badan dalam cuaca  baik sebegitu?Bila agaknya kali terakhir anda bersiar-siar bersama ibu dan ayah anda?

Tuesday, October 6, 2015

Rumah Allah di Negara bukan Islam- Islamic Center Of Greater Kansas City


Entahlah  kenapa ...kini bila mengembara, hati ini lebih tertarik mendekatkan diri kepada rumah Allah. Mungkin kerana terasa selamat dan ingin sentiasa memohon perlindungan Allah. Atau mungkin juga teringin melihat tertegaknya rumah Allah di bumi itu walaupun umat Islam hanya kaum minoriti di sana. Biarpun masjidnya hanya sebuah apartment yang kecil, hati kecil saya tetap bangga dengan kewujudan masijd di sana.

Sekiranya di negara-negara Islam masjid yang didirikan oleh pihak pemerintah begitu besar, namun masjid yang kecil yang di dirikan dari kutipan sedekah dan waqaf  terasa lebih auranya dan lebih bermakna. Begitulah kebanyakan masjid-masjid di negara bukan Islam.

Pun begitu, kebanyakan Islamic Center di Amerika syarikat yang sempat kami kunjungi sedang diubah suai supaya ruang solatnya lebih besar. Islamic Center Of Greater Kansas City yang terletak di Missouri ialah antara Islamic Center yang sempat kami kunjungi baru-baru ini. Terletak di kawasan tanah yang sangat luas, Islamic Center setinggi 2 tingkat ini sedang diubah suai lebih separuh daripada bangunannya.

Alhamdulillah, biasanya pengubahsuaian dijalankan disebabkan kerana ruang solat yang tidak mencukupi untuk menampung jemaah yang ramai. Ini menunjukkan orang Islam di sana semakin ramai. Selain daripada bangunan masjid, terdapat juga sebuah sekolah Islam bersebelahan dengannya bagi anak-anak orang Islam di sana mendapat ilmu akhirat selain mendapat ilmu duniwai di sekolah biasa. Begitulah usaha umat Islam di sana. walaupun pernah mengalami pelbagai ancaman kesan daripada peristiwa Sept 11, 2001 yakni pengeboman World Trade Center di New York. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Semakin ramai yang memeluk Islam di sana.

Perasaan kami? Amat bersyukur bila berpeluang untuk singgah dan melihat pembangunan rumah Allah di bumi yang penuh kontroversi ini disamping seronok dapat bersua dengan American Muslim di sana. Bagaimana perasaan anda pula sekiranya berkesempatan singgah di rumah Allah di negara non Muslim?

Mungkin juga benar apa yang dikatakan oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman:
Suasana ketenangan dan rahmat masjid seolah-olah punya kuasa 'membebaskan' manusia daripada kebanggaaan, kemegahan, kekalutan dan kesesakan dunia dan isinya. Zikrullah yang dibisikkan dalam keinsafan, sujud yang dimurnikan kepada al Rahman mendidik, menyusun atur dan mengembalikan trek kehidupan manusia dalam perjalanan kezuhudannya menuju akhirat.
Sumber: Solusi isu 76

Wednesday, September 9, 2015

The Great Salt Lake- Tasik Bergaram di Kawasan Pergunungan

Jika di amati dari jauh, tasik ini tidak ubah seperti tasik-tasik besar yang saya pernah saya lawati. Air nya yang adakalanya tenang adakalanya berombak tidak memberikan apa-apa ciri istimewa untuk di llihat. Tatkala sampai di tepi pantai, airnya sangat surut. Untuk sampai ke gigi air rasanya terpaksa berjalan hampir setengah kilometer! Terdetik di hati ini," Ish...kenapalah kami ke sini...tempat yang bukannya pun menjadi tumpuan pelancong!"

Kami sebenarnya berada di sebuah pulau yang terletak di sebuah tasik di kawasan pergunungan. Mungkin ramai yang pernah mendengar nama bandar Salt Lake City tapi tak ramai yang ambil tahu kenapa ia dinamakan sedemikian. Salt Lake City sebenarnya sebuah banndaraya yang terletak di sebuah tasik yang besar yang bergaram iaitu The Great Salt Lake. Sebab itulah istilah salt atau pun garam terdapat dalam nama bandaraya i
ni dan nama tasik ini. Saiz tasik ini sangat besar, meliputi 1700 batu persegi atau 4402 km persegi. Saiz ini lebih kurang 16 kali ganda saiz Pulau Pinang!

Betulke tasik ini masin? 'Curiosity' menyebabkan saya nak mengesahkan sendiri tasik ini masin. Sampai saja di gigi air yang berselut itu, saya cuitkan sikit air tasik ini dan merasanya. Ya! Memang masin tapi memualkan sebab hanyir bercampur dengan selut! Berdekah dekah ketawa ahli keluarga lain melihat reaksi saya. Mujurlah air botol mineral kami bawa bersama. Dapatlah juga berkumur-kumur untuk menghilangkan bau hanyir air tersebut!

Pulau Antelope yang terletak di  tasik ini merupakan antara pulau yang terbesar di sini dan diwartakan sebagai taman negara Amerika Syarikat. Disebalik kemasinan tasik ini sebenarnya pelbagai hidupan liar yang hidup di sini dengan wujudnya mata air di beberapa tempat dalam pulau ini. Dari sebesar besar bison( haiwan seperti badak sumbu) sehinggalah sekecil-kecil siput di pantai. Kuasa Allah yang menentukan bagaimana haiwan yang besar ini dapat sampai dan hidup di sini walaupun dikelilingi tasik yang masin.

Berbeza dengan Laut Mati di Jordan, laut ini masih boleh menampung hidupan kecil di dalamnya . Namun disebabkan kemasinan yang tinggi, ikan tidak dapat hidup di sini. The Great Salt Lake mempunyai hidupan laut seperti udang kecil dan alga laut yang menngundang ratusan burung layang -layang utuk hidup bersama flora dan fauna di pulau pulau sekitarnya.

Teringat saya seketika tentang sejarah tentang  kaum nabi lut yang diturunkan bala oleh Allah disebabkan kegiatan homoseksualnya.

'Firman Allah yang bermaksud:
"Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu  serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang)."
Surah al Hijr: 73-76

Salah satu ciri tasik Nabi Lut ialah kandungan garamnya yang sungguh tinggi dengan isipadu garam hampir 30% . Oleh kerana itu, tiada sebarang organisme boeh hidup termasuk ikan dan lumut, sebab itulah di dalam penulisan-penulisan barat, tasik Nabi Lut dikenali sebagai " Laut Mati".

Berasaskan kajian geografi dan arkeologinya, penyelidik Jerman, Werner Keller telah mencatatkan bahawa bandar-bandar Sodom dan Gomorrah memang sebenarnya terletak di wilayah paling jauh dan paling rendah di Tasik Nabi Lut.'
Sumber- kaum- kaum yang pupus- Harun Yahya

Sejarah tentang penduduk The Great Salt lake ini tak banyak saya ketahui..Namun disebalik hembusan kuat angin dingin yang menyengat hingga ke tulang,kami bersyukur dapat menghayati kekuasaan Allah  di sebuah pulau yang terletak di tasik bergaram di kawasan pergunungan Amerika Syarikat ini. Allahu Akbar.

Wednesday, August 26, 2015

Ada manfaat ke membaca cerita fables, cerita kancil dan cerita fantasi?

Sesekali ketika mengemas buku-buku kecil dan nipis di rak buku yang kecil ini, saat-saat menyeronokkan bercerita bersama anak-anak menyapa kembali. Waktu itu mereka masih kecil dan saya menggunakan masa sebelum tidur untuk bercerita dengan menggunakan buku-buku tersebut. Walaupun adakalanya meletihkan dan langsung tertidur di katil anak, bagi diri seorang ibu masa sedikit yang digunakan ini sangat bermakna. Bukan saja mengeratkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak, malah pelbagai ilmu dapat diselitkan.

Kerap kali cerita yang dipilih ialah cerita fables, cerita rakyat,Islamik dan cerita fantasi, Saya tidak ingat siapa yang memilih cerita-ceritanya sebab buku cerita sedemikian sangat banyak kami beli. Setiap kali pameran buku antarabangsa dan lain-lain pameran buku, tempat-tempat inilah yang kami tuju. Gamaknya sebab itulah anakku menjadikan membaca buku antara hobi utama mereka.

Dengan meluangkan masa sedemikian, ia membentuk ikatan antara anak dengan ibu serta ayah walaupun hanya seketika. Sepanjang ingatan saya aktiviti ini mengambil masa tak sampai pun setengah jam. Namun disebabkan kami seronok menghayati cerita-cerita tersebut kesannya dapat saya lihat sewaktu mereka belajar di sekolah rendah lagi. Alhamdulillah anak- anak saya jarang mengalami masalah dalam pelajaran mereka, baik dari segi bahasa mahu pun dari subjek-subjek lain.

Pernah saya dengar tak payahlah nak baca buku fables barat atau fantasi dari barat. Takut syiriklah. Disebalik menceritakan bahayanya syirik kepada aqidah orang Islam, eloklah kita berfikiran terbuka ketika bercerita. Kadangkala dunia fantasi ini juga boleh memotivasikan kita atau boleh membawa kepada penciptaan alat moden yang memudahkan manusia. Sebagai contoh, cerita Rapunzel yang  menceritakan tentang rambutnya yang sangat panjang sehingga boleh mengangkat ibu angkatnya (seorang ahli sihir) ke atas menara. Mungkin daripada cerita ini juga timbul idea untuk menghasilkan lif bagi golongan OKU di rumah, bukan saja di pejabat dan pusat membeli belah. Ataupun cerita berkenaan The Pied Piper of Hamelin yang berjaya mengeluarkan tikus-tikus daripada sebuah pekan membolehkan penciptaan satu alat yang menggunakan satu bunyi yang boleh mengurangkan serangga perosak. Bukankah kata bijak pandai 'invention comes from a lot of imaginations'.

Cerita-cerita Fables, kepahlawanan melayu  dan Islamik banyak memberi pengajaran yang baik. Usahlah kita mengharapkan anak-anak saja membaca dengan sendiri tanpa kehadiran kita di sisinya kerana  aspek pengajaran daripada cerita tersebut jarang berkesan. Anak-anak akan hanya seronok dengan jalan penceritaannya sahaja.

Kata seorang ustaz di radio baru-baru ini, kita ini sering menyalahkan orang lain sekiranya berlaku yang tidak baik kepada kita. Sekiranya tidak ada orang, kita salahkan kepada syaitan pulak. Seringkali kita menyalahkan pihak barat bagi apa saja masalah akhlak tanpa menuding jari ke arah diri kita sendiri.

Betullah apa yang disebutkan oleh Imam Global dalam majalah Solusi iaitu dengan mengamalkan Islam dahulu barulah kita boleh bahagia, maju dan berjaya. Bukan sebaliknya. Bukankah  agama Islam itu syumul yang merangkumi setiap aspek kehidupan?
 Tanpa mendahulukan hak Allah, belum tentu kita akan memperolehi apa-apa kejayaan.

'Pesan Rasulullah lepada Abdullah bin Abbas:
"Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat, nescaya Dia akan menjagamu.
Jagalah Allah , nescaya engkau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu , maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan  untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering."
Riwayat al Tarmizi)'
(sumber- Agama Orang Agama- Solusi isu 82)

Buku buku ini walaupun ada yg lusuh dek dimakan usia saya berharap dapat menjadi khazanah ilmu buat generasi seterusnya samada cucu-cicit saya, saudara atau sesiapa saja. Namun bila dikenang dunia digital kini yang kian berkembang pesat, apakah mungkin lembaran buku-buku ini diselak-selak  kembali untuk dibaca oleh generasi kemudian hari. Wallahualam

Tuesday, August 25, 2015

Wednesday, August 19, 2015

Jom Perlihatkan Akhlak Yang Terpuji Kepada Non Muslims!

"Sewaktu bulan Ramadhan yang lalu kami telah membuat persembahan 'flash mob' di Jalan TAR untuk memberi kesedaran tentang perjuangan Palestine. Sehubungan dengan itu  kami mengambil kesempatan untuk mengutip sumbangan  bagi rakyat Palestine yang mengalami pelbagai dugaan di sana. Kami tak menyangka antara penyumbang yang memberi jumlah wang yang agak banyak ialah tuan punya kedai yang berbangsa Cina. Menariknya mereka mengatakan bahawa mereka ingin membantu Palestin tetapi tak tahu bagaimana caranya atau kepada siapa bantuan harus disalurkan." itulah yang lebih kurang penerangan yang saya dengar daripada seorang ahli nasyid dalam satu temuramah di Radio tidak lama dahulu.

Kadangkala kita terlalu banyak berperasangka terhadap golongan bangsa dan ugama lain sehinggakan kita terlupa peranan kita sebagai orang Islam supaya berakhlak baik dan berdakwah kepada orang lain.

Semua yang dilakukan oleh orang bukan Islam adalah salah. Ataupun kebaikan yang dilakukan oleh mereka pastinya ada udang di sebalik batu. Pasti ada helah, samada hendak menipu atau memurtadkan kita. Sifat paranoid kita  menyebabkan  kita susah hendak berdepan dengan mereka yang bukan Islam atau membuat perjanjan dengan mereka.. Akhirnya yang kalah ialah kita atau dalam kata lain, Islam .



Biasa dengar perbualan sebegini?
"Eh... Orang tu Cinalah. Cina kaki tipu!"
"Eh India tu Kristian tau. Nanti anak awak murtad bila berkawan dengan dia orang tau!
"Tengok mat saleh tu. jangan dok percaya. Yahudi! Nanti dia ingat kita pengganas. Tok sahlah dok kawan rapat dengan dia.

Firman Allah yang bermaksud:
" Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang adil.

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang yang memerangi kerana agamamu, mengeluarkan kamu dari kampung halaman dan membantu orang untuk mengusir kamu sebagai teman rapat."
(al Mumtahanah 60: 8-9)

Kata seorang ustaz dalam satu rancangan tv, akhlak itu ialah tindakbalas secara spontan. Sekiranya kita lihat orang yang susah hendak melintas, dengan segera kita menolongnya, tanpa berfikir panjang. Adakalanya ketika dalam kesusahan, datang orang bukan Islam menolong kita, maka berterima kasihlah dan bermesralah dengan mereka dengan spontan, tanpa berperasangka negatif. InsyaaAllah dengan akhlak yang baik, mereka akan tertarik dengan cara kita, akhlak orang Islam. InsyaaAllah mereka akan tertarik dengan keindahan Islam dalam akhlak kita.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
" Serulah ke jalan Tuhanmu( wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat peringatan yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalanNya. Dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang mendapat petunjuk."
(an Nahl  16: 125)



Wednesday, July 15, 2015

Berubahlah..walaupun sedikit

Dulu tempat inilah yang sering menjadi tumpuan, baik di malam raya  mahupun di pagi keesokkannya. Biar sekecil manapun rumah tersebut, beranda tetap di terangi. Tak kira samada lampu kelip-kelip mahupun sekadar lampu minyak tanah . Teringat pula sewaktu kecil  saya pernah menyalakan lilin di tepi anak-anak tangga dek teringin menerangi jalan menaiki ke beranda . Ketika itu membeli dan menyalakan lampu kelip-kelip hanya bagi golongan berada.


Popular Posts