Showing posts with label Kedai Halal. Show all posts
Showing posts with label Kedai Halal. Show all posts

Tuesday, September 24, 2019

Azadi-Istimewa daripada Arab Kurdish

Kedai Azadi di Nashville yang kami kunjungi ini milik sebuah keluarga Kurdish yang berhijrah ke 
negara ini akibat pergolakan politik di tempat mereka. Dugaan Allah yang terlalu berat untuk ditanggung menyebabkan mereka mengambil langkah yang sukar untuk sampai ke sini. Namun ini semua ketentuan Allah, yang sudah pastinya lebih baik bagi mereka sekeluarga. Orang Kurdish berasal daripada wilayah pergunungan Kurdistan, satu wilayah autonomi yang termasuk dalam 4 buah negara iaitu Turki, Iraq,Iran dan Syria. Pergolakan politik di sana menyebabkan ramai yang menjadi pelarian. Amerika Syarikat merupakan antara tempat pilihan kaum Kurdish untuk membina hidup baru. Mengikut Wikipedia, terdapat lebih kurang 17 000 orang Kurdish di Amerika Syarikat pada tahun 2014.  
Kebanyakan kaum Kurdish ini beragama Islam dan mengikut ajaran sunni(ahli sunnah wal jamaah).  Kenapa mereka memilih negara ini, tidak akan saya bincangkan. Namun semua perancangan dan ketetapan Allah pasti ada hikmah dan pengajaran buat mereka dan kita. Kedai Azadi ini menyediakan pelbagai jenis daging halal seperti ayam, kambing,biri-biri dan lembu. Makanan dalam tin dan dalam bentuk pek daripada negara Arab, India dan Pakistan begitu banyak tersusun di rak-rak di dalam kedai. Rempah ratus yang biasa digunakan untuk masakan Asia pun banyak di sini. Alhamdulillah amat mudah bagi mereka yang menggemari makanan Arab dan Asia mendapat bekalan di sini. Dijual pula oleh orang Islam sendiri. Lebih meyakinkan!
Istimewanya kedai ini mempunyai satu bakeri di bahagian belakang yang membolehkan kita membeli roti sebaik saja dikeluarkan daripada ketuhar batu mereka. 'Fresh from the oven!' Menarik! Kami mengambil peluang untuk melihat dan menunggu  mereka membuat roti Arab(flat bread). Rotinya terlalu panas nak dimakan terus ketika itu. Semasa bermusafir, ada diantara kita yang kurang mengambil berat tentang makanan halal. Selalunya yang hanya dititik beratkan ialah daging halal. Sedangkan banyak lagi kandungan bahan makanan yang perlu diteliti sebelum di makan. Contohnya, di dalam roti biasanya terdapat bahan mono and diglycerides dan whey yang mungkin bersumberkan binatang yang tidak disembelih.

Benar, sewaktu saya mula-mula belajar di Amerika Syarikat, ini adalah perkara yang paling sukar. Terpaksa teliti kandungan setiap makanan yang dijual. Tambah pula kebanyakan makanan yang kelihatan lazat tidak boleh di makan. Namun kami terpaksa ketepikan keinginan kami itu demi memastikan apa yang masuk ke dalam perut benar-benar halal.

Namun kini di Amerika Syarikat lebih mudah untuk mengenal makanan yang mana halal dimakan. Antara caranya ialah memerhatikan simbol U pada pek makanan tersebut.Selain itu senarai barang-barang yang halal dimakan amat mudah dilayari di internet.  Banyak lagi cara-cara untuk tahu samada makanan di sini halal dimakan atau tidak telah pernah saya bincangkan satu ketika dahulu. 
Tidak sempat untuk menunaikan solat  bila berada di sini? Tiada masalah. Sebenarnya terdapat sebuah masjid hanya beberapa langkah dari sini. Salahadeen Center yang merupakan sebuah pusat Islam mempunyai ruang solat yang besar. Selain daripada itu, mereka juga mempunyai bangunan-bangunan lain yang menempatkan kelas-kelas pengajian agama, perpustakaan dan kedai. Kami sempat untuk menunaikan solat zuhur di sini  sebelum pergi ke Azadi.
Alhamdulillah, dapatlah masyarakat Islam yang tinggal di kawasan ini menunaikan solat lima waktu dengan selesa. Para peniaga pula tidak perlu menyediakan ruang solat untuk pekerja muslim mereka. Sememangnya kami yang bermusafir ini lebih bersyukur dengan kewujudan masjid di kawasan kedai ini sebab ia memudahkan kami solat dengan selesa. Semoga Allah memberkati orang Islam yang menyediakan masjid ini buat kemudahan pengunjung dan pekerja.

Monday, January 11, 2016

Zabihah dan halal, kosher dan ayam katok! Nak pilih yang mana satu?

"Kesiannya kita semalam dah makan lauk telor, hari ni makan lauk telor, esok makan lauk telor lagi! Ikan bilis pun tinggal berapa ekor saja," keluh seorang pelajar. "Haah, sedihnya ...terasa begitu miskin." sahut kawannya, sugul juga. Mereka ini mungkin antara beberapa orang pelajar yang baru tiba di Amerika Syarikat. Nak beli ikan tak berapa mahir. Yang ada pun ikan yang disejuk beku aje. Tak ada ke daging ke atau ayam halal di Amerika Syarikat kat 'grocery store?'

Pernah dengar perkataan Zabihah?  Bagi orang Malaysia mungkin perkataan ini agak asing dan jarang di dengar. Zabihah ialah perkataan Arab yang bermaksud sembelih. Zabihah biasanya dirujuk kepada cara penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam. Binatang yang dagingnya halal dimakan sahaja boleh kita makan contohnya ayam, lembu, kambing, biri-biri dan bukannya anjing, babi atau harimau walaupun binatng ini disembelih.  Sebab itulah di Amerika Syarikat kadangkala kita terserempak dengan perkataan Halal dan Zabihah yang bermaksud haiwan yang halal dimakan dan telah disembelihkan.

Daging kosher ialah daging sembelihan orang Yahudi manakala ayam katok ialah istilah orang Melayu bagi ayam yang tidak disembelih.

Firman Allah yang bermaksud:
" Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang yang diberi Ahli Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.."
Al Maidah 5: 5

Di Amerika Syarikat ada 2 pendapat ulama tentang daging zabihah.
1.  Pandangan Alllahyarham Syed Abul A'la Maududi dan Al Phahim Jobe yang berpendapat daging yang boleh dimakan oleh orang Islam mesti daripada binatang yang disembelih mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Islam.

2.  Pandangan Dr Yusuf Al-Qaradawi, ulama terkenal yang mengatakan bahawa  orang Islam dibenarkan memakan daging sembelihan ahli kitab yakni orang Yahudi dan Kristian.(People of the book). Namun beliau menggalakkan orang Islam membeli daging sembelihan yang disembelih oleh orang Islam sendiri yang terdapat  dikedai halal sekiranya ada.

Namun ada juga yang berpendapat yang makanan orang Kristian tidak halal bagi orang Islam kerana mereka tidak lagi mengikuti ajaran The Old Testament. Juga ada yang berpendapat bahawa konsep Triniti yang dipercayai oleh orang Kristian menyebabkan haiwan sembelihan mereka(jika ada yang disembelih) tidak boleh dimakan. Berbeza dengan orang Yahudi yang mempercayai hanya satu Tuhan dan mempunyai cara tersendiri(yang sangat terperinci) untuk menyembelih haiwan.

Jadi yang mana satu yang kita nak pilih, daging halal dan zabihah, kosher atau katok?

Berada di Amerika Syarikat kini sangat berbeza dengan berada di sana awal tahun 80an dahulu. Jika dahulu kami yang belajar di California terpaksa memesan ayam halal dari Midwest atau East USA(bahagian tengah atau timur Amerika Syarikat), kini dalam tahun 2015, kedai daging halal begitu banyak di seluruh Amerika Syarikat. Mengikut zabihah.com di San Francisco,California  saja terdapat 38 buah kedai daging halal manakala di Chicago Illinois 51 buah. Sijil halal dikeluarkan oleh pihak mereka sendiri atau pertubuhan Islam di Amerika Syarikat seperti IFANCA dan Halal Food Council. Sebagai contoh sahabat kami, Amin Attia bertanggungjawab di bahagian daging halal di Syarikat Harris Ranch di California. Beliau juga antara yang menyembelih lembu-lembu bagi syarikat tersebut. Daging halal syarikat tersebut dipasarkan di banyak pasaraya di bahagian barat Amerika Syarikat. Daging halal syarikat ini juiga telah disahkan halal oleh Islamic Services of America. Alhamdulillah.

Tiada kedai daging halal di tempat anda belajar? Jangan risau, Insha Allah akan ada pelajar Malaysia yang menjadi pembekal daging lembu dan ayam halal khusus bagi pelajar-pelajar Malaysia di kawasan tersebut. Biasanya mereka akan menghubungi anda melalui telefon atau internet chatting. Pesan saja, daging tersebut akan sampai ke pintu rumah anda, Insha Allah!( Tidaklah begitu 'instant' hehe)

Bagaimana sekiranya andalah satu-satunya pelajar Malaysia dan tak ramai orang Islam di kawasan tempat anda belajar atau bekerja? Tahukah di Amerika Syarikat kita boleh membeli ayam dan daging secara online juga? Perniagaan online antara  perniagaan termudah di Amerika syarikat. Sistem penghantarannya pun sangat effektif dan canggih. Oleh itu banyak perniagaan daging halal menjalankan perniagaan online sekarang. Cuma dari segi memilih ada syarikat yang menjual daging halal  perlu juga kita berhati-hati kehalalan dagingnya dari masa ke semasa.

Jadi sekarang nak pilih daging halal dan zabihah, kosher atau yang katok?
Beli sajalah yang halal dan zabihah sebab sekarang ini terdapat pelbagai cara yang memudahkan kita mendapatkannya. Usaha...Insha Allah dapat.

Makanlah yang Hanya halal dan zabihah. Insha Allah usaha anda akan dipermudahkan Allah.

Bersambung.

Rujukan:
1. http://www.isahalal.org/Content/Halal-Information/Halal-Education/-Halal-or-Zabihah.aspx
2. http://zabihabites.com/what-is-zabiha/
 3. http://www.soundvision.com/article/zabiha-or-non-zabiha-3-scholarly-opinions
4. http://www.zabihah.com/man/us/QTO8E3h3Ah

Tuesday, June 9, 2015

Perlukah Belajar Berkomunikasi Dalam Bahasa Inggeris?

"Yep, they call me Mat Saleh, and ya orang Putih!" ujar seorang kenalan anakku sewaktu kami makan tengahari bersama. Sebenarnya ketika itu kami dalam pengembaraan selama 3 minggu di negeri 'mat saleh' ini. Kenalan anakku ini sebenarnya pernah berkhidmat di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Ia tahu berbahasa Malaysia. Malah dia pernah berkhidmat di salah sebuah negara Arab. Oleh itu dia juga memahami bahasa Arab!

Dalam pengembaraan ini kami bepeluang bersua dan berkomunikasi dalam bahasa 'orang putih' ini samada dalam keadaan terpaksa (hendak bertanyakan sesuatu) atau tidak (sekadar perbualan). Semuanya perlu diucapkan dalam bahasa Inggeris. Jika tidak, kami seperti ayam bercakap dengan itik atau  hanya menggunakan 'sign language'!

Kami juga harus berbicara dalam bahasa Inggeris dengan umat Islam di sana juga. Tak kiralah samada imam atau makmum di Islamic Center ataupun di kedai menjual barangan halal! Biasanya ketika inilah kita tahu sejauh mana santainya kita berbicara. Saya sendiri agak kekok pada mulanya untuk berbicara dalam bahasa Inggeris tapi dalam keadaan terpaksa, sememangnya kita perlu membuka mulut dan berinteraksi!

Dalam kelas English Communication, biasanya kita boleh mewujudkan keadaan terpaksa ini walaupun hanya sebentar. Yang penting wujudkan situasi, letakkan poster yang menggambarkan keadaaan di negara 'orang putih' ini untuk menambahkan setting yang agak realistik. Seelok-eloknya ia adalah gambar pemandangan samada  di bandar atau di kawasan tempat perlancongan. Awas! jangan ada poster yang menghairahkan atau menggambarkan sesuatu yang lucah. Setiap apa yang kita ajar atau mesti berlandaskan agama agar ia dijadikan satu ibadah.

Zaman mengajar bagi saya sudah lama berlalu. Tenaga yang semakin berkurangan  dan penyakit yang dialami menyebabkan saya tak mampu untuk meneruskan usaha saya dalam mengendalikan kelas sebegini. Atas sebab-sebab inilah saya perturunkan ilmu  dan tips yang saya ada ini kepada umum agar kelas yang dikendalikan tidak 'boring'.

Harapan saya  generasi yang seterusnya meneruskan usaha saya agar kelas bahasa bukannya satu kelas yang membosankan namun boleh menarik pelajar-pelajar mengetahui lebih banyak tentang Islam.
Ilmu duniawi dapat ilmu akhirat juga dapat.  Selitkan walaupun sebentar sedikit ilmu aqidah, fiqah akhlak dan seerah setiap kali anda mengendalikan kelas anda. InsyaaAllah segala usaha anda akan mendapat ganjarannya.

Selamat mencuba!

Popular Posts