Showing posts with label pengembaraan 2018. Show all posts
Showing posts with label pengembaraan 2018. Show all posts

Tuesday, September 24, 2019

Azadi-Istimewa daripada Arab Kurdish

Kedai Azadi di Nashville yang kami kunjungi ini milik sebuah keluarga Kurdish yang berhijrah ke 
negara ini akibat pergolakan politik di tempat mereka. Dugaan Allah yang terlalu berat untuk ditanggung menyebabkan mereka mengambil langkah yang sukar untuk sampai ke sini. Namun ini semua ketentuan Allah, yang sudah pastinya lebih baik bagi mereka sekeluarga. Orang Kurdish berasal daripada wilayah pergunungan Kurdistan, satu wilayah autonomi yang termasuk dalam 4 buah negara iaitu Turki, Iraq,Iran dan Syria. Pergolakan politik di sana menyebabkan ramai yang menjadi pelarian. Amerika Syarikat merupakan antara tempat pilihan kaum Kurdish untuk membina hidup baru. Mengikut Wikipedia, terdapat lebih kurang 17 000 orang Kurdish di Amerika Syarikat pada tahun 2014.  
Kebanyakan kaum Kurdish ini beragama Islam dan mengikut ajaran sunni(ahli sunnah wal jamaah).  Kenapa mereka memilih negara ini, tidak akan saya bincangkan. Namun semua perancangan dan ketetapan Allah pasti ada hikmah dan pengajaran buat mereka dan kita. Kedai Azadi ini menyediakan pelbagai jenis daging halal seperti ayam, kambing,biri-biri dan lembu. Makanan dalam tin dan dalam bentuk pek daripada negara Arab, India dan Pakistan begitu banyak tersusun di rak-rak di dalam kedai. Rempah ratus yang biasa digunakan untuk masakan Asia pun banyak di sini. Alhamdulillah amat mudah bagi mereka yang menggemari makanan Arab dan Asia mendapat bekalan di sini. Dijual pula oleh orang Islam sendiri. Lebih meyakinkan!
Istimewanya kedai ini mempunyai satu bakeri di bahagian belakang yang membolehkan kita membeli roti sebaik saja dikeluarkan daripada ketuhar batu mereka. 'Fresh from the oven!' Menarik! Kami mengambil peluang untuk melihat dan menunggu  mereka membuat roti Arab(flat bread). Rotinya terlalu panas nak dimakan terus ketika itu. Semasa bermusafir, ada diantara kita yang kurang mengambil berat tentang makanan halal. Selalunya yang hanya dititik beratkan ialah daging halal. Sedangkan banyak lagi kandungan bahan makanan yang perlu diteliti sebelum di makan. Contohnya, di dalam roti biasanya terdapat bahan mono and diglycerides dan whey yang mungkin bersumberkan binatang yang tidak disembelih.

Benar, sewaktu saya mula-mula belajar di Amerika Syarikat, ini adalah perkara yang paling sukar. Terpaksa teliti kandungan setiap makanan yang dijual. Tambah pula kebanyakan makanan yang kelihatan lazat tidak boleh di makan. Namun kami terpaksa ketepikan keinginan kami itu demi memastikan apa yang masuk ke dalam perut benar-benar halal.

Namun kini di Amerika Syarikat lebih mudah untuk mengenal makanan yang mana halal dimakan. Antara caranya ialah memerhatikan simbol U pada pek makanan tersebut.Selain itu senarai barang-barang yang halal dimakan amat mudah dilayari di internet.  Banyak lagi cara-cara untuk tahu samada makanan di sini halal dimakan atau tidak telah pernah saya bincangkan satu ketika dahulu. 
Tidak sempat untuk menunaikan solat  bila berada di sini? Tiada masalah. Sebenarnya terdapat sebuah masjid hanya beberapa langkah dari sini. Salahadeen Center yang merupakan sebuah pusat Islam mempunyai ruang solat yang besar. Selain daripada itu, mereka juga mempunyai bangunan-bangunan lain yang menempatkan kelas-kelas pengajian agama, perpustakaan dan kedai. Kami sempat untuk menunaikan solat zuhur di sini  sebelum pergi ke Azadi.
Alhamdulillah, dapatlah masyarakat Islam yang tinggal di kawasan ini menunaikan solat lima waktu dengan selesa. Para peniaga pula tidak perlu menyediakan ruang solat untuk pekerja muslim mereka. Sememangnya kami yang bermusafir ini lebih bersyukur dengan kewujudan masjid di kawasan kedai ini sebab ia memudahkan kami solat dengan selesa. Semoga Allah memberkati orang Islam yang menyediakan masjid ini buat kemudahan pengunjung dan pekerja.

Monday, July 22, 2019

3 Pertemuan di Carbondale Muslim Center

Hari kedua kami berada di Carbondale ialah hari Jumaat, penghulu segala hari. Biasanya bila hari Jumaat kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau Islamic Center.
Carbondale Muslim Center hanya 10 minit perjalanan dari Southern Illinois University (SIU). Sangat mudah menjumpainya.
 
Tiba di masjid ini, kami dapati sudah ramai jemaah yang tiba. Masjid dua tingkat ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Bilik air dan bilik wudhu di bahagian bawah. Tempat solat kaum wanita di bahagian belakang di tingkat atas juga. Ramai juga wanita yang solat jumaat di sini. Tak dapat saya bayangkan betapa ramainya lagi jemaah bila pengajian semester di universiti bermula. 

Usai solat, seorang wanita menghampiri kami dan menanyakan samada kami orang Malaysia. Ooh rupanya masih ada orang Malaysia di Carbondale ini yang tidak balik bercuti ke Malaysia. Rupa-rupanya mereka sekeluarga. Kedua-dua Masita dan suaminya sedang belajar di peringkat Phd di SIU. Selepas bersembang panjang, Masita mengajak kami ke 'Bake Sale' di tingkat bawah masjid. Banyak juga makanan yang di jual di sini yg sesuai dijadikan juadah tengahari. Cara membelinya ialah dengan menggunakan tiket. Ramai para jemaah memilih untuk makan terus di sini memandangkan meja dan kerusi disediakan.
Di sini saya bersua pula dengan seorang 'senior' yang pernah belajar di sekolah yang sama  dengan saya satu ketika dahulu. 'Small world!'. Walaupun saya tidak mengenali beliau, sikap peramahnya menyebabkan saya dan suami mudah untuk bersembang dengannya. Rauzan(Awang) sudah lama menetap dan bekerja di negara ini. Sudah semestinya dia seronok berjumpa dengan rakan senegaranya. Khabarnya dia akan berpindah ke Chicago beberapa hari selepas itu.
Tak lama selepas itu, anak sulung saya sekeluarga tiba di masjid. Alhamdulillah Allah pertemukan kami setelah lebih 2 tahun mereka kembali ke negara ini. Itulah kali pertama juga kami bertemu Adam, cucu kedua kami. Oleh kerana sudah agak lewat, kami mengajak mereka merasa juadah yang dibeli dahulu sebelum ke tempat lain.
Tiga pertemuan yang di atur Allah. Mulanya kami  merancang untuk hanya solat Jumaat di situ. Namun Allah jua perancang terbaik sebab mentaqdirkan 3 pertemuan ini. Semuanya hanya dengan kehendaknya dan berlaku di rumahNya. Kami bertambah yakin dalam permusafiran ini sekiranya kita dekat dengan Allah, Allah akan tambahkan nikmatNya dengan tidak di sangka sangka.  Alhamdulillah.

Thursday, February 21, 2019

Sejenak di Restoran halal dan Taman di Columbus

Dari jauh restoran halal ini kelihatan  kecil dan lama. Namun bahagian dalamannnya kelihatan kemas dan 'homely'. Restoran Durbo,sebuah restoran Somalia antara tumpuan pelajar muslim di Columbus. Kami singgah di sini sebelum menuju ke rumah anak kami tidak jauh daripada Ohio State University. 
Kami hanya memesan hanya 3 hidangan di sini memandangkan jumlah setiap hidangan sangat banyak. Bahkan ada hidangan di sajikan terus dalam talam!Alhamdulillah, sedap juga makanan yang disediakan di sini.
 
Tuttle Park hanya terletak tidak jauh dari apartment anak kami




. Taman ini merentasi Sungai Olentangy Pemandangan air sungai yang  mengalir perlahan menyejukkan mata bagi orang yang bersiar-siar. Ramai pelajar pelajar universiti yang tinggal berhampiran taman ini mengambil peluang berjogging dalam cuaca yang panas ini. Bagus juga melakukan aktiviti sebegini terutama di waktu petang.
Sungguh, Allah mengurniakan anggota badan kepada kita dan mengamanahkan kita menjaganya. Setiap anggota badan punya hak untuk dijaga agar ia sentiasa sihat. Sebagai orang Islam kita harus percaya hak anggota badan itu harus dijaga samada yang fizikal mahupun rohani. Ini sebab kedua-duanya saling berkait. Benar apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Tenang Ada Di Sini
 
'Anggota badan umpama  anak sungai yang mengalirkan air ke hati. Sekiranya pancaindera dan anggota badan terlibat dengan maksiat seperti mengumpat, mengadu domba, memandang yang haram dan bercakap kotor, maka itu umpama air berkeladak yang akan mencemarkan kejernihan hati. 

Sebaliknya jika pancaindera membuat banyak kebaikan seperti memakan makanan yang halal, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya, maka anak sungai yang mengalir ke hati ialah air yang jernih dan bersih. Hati akan bersinar dan bercahaya jadinya.' 
Semoga kita bersama-sama menjaga pancaindera kita. 

Popular Posts