Showing posts with label Bukit Marwah. Show all posts
Showing posts with label Bukit Marwah. Show all posts

Wednesday, October 1, 2014

Bahagian 5: Hikmah Air Zamzam dan Keadaan Kawasan Saie Dulu dan Kini

Antara hikmah air zamzam ialah
Paip Zam zam dalam Masjidil Haram

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: " Sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi ialah air zam zam. Terdapat di dalamnya zat makanan( orang yang meminumnya berasa kenyang) dan penyembuh penyakit."
(Shahih al Jami', no 3322)

Namun kita jangan lupa berniat setiap kali kita meminumnya berdasarkan hadith ini
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Air zam zam itu untuk sebarang tujuan( niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah)."
( Riwayat Ibn Majah)

Sumber- Ust Ahmad Husni Abd Rahman- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain.


Teringat sewaktu menunaikan haji tahun 1990an dahulu, untuk sampai ke tempat berhampiran telaga zam zam, kita hanya perlu menuruni tangga yang  terletak tidak jauh dari Kaabah. Kawasan ini terbahagi kepada bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berwuduk atau menyimbah air zam zam ke seluruh badan  (dengan berpakaian). Maklumlah air zam zam ini boleh dijadikan ubat pelbagai penyakit.

Sewaktu mengerjakan umrah April 2014, Masjidil haram masih dalam peringkat perluasan. Bahagian telaga zam zam telah di tutup. Oleh itu kami tidak dapat pergi ke bahagian ini. Air zam zam masih mudah didapati di kawasan Masjidil Haram ini. Paip- paip air zam zam banyak dipasang untuk memudahkan jemaah menikmati sepuas puasnya air ini tatkala mengerjakan tawaf, bersaie mahupun bersolat di sini. Alhamdulillah.

Pada tahun 1990an dulu ruang saei' hanya setingkat.Bukit Safa dan Marwah dapat diperhatikan dengan jelas dari kaki bukit hingga ke puncak. Tak dapat kami bayangkan bagaimana Siti Hajar dapat mendaki bukit sebegini. Bukit ini bukan bukit berpasir seperti di padang pasir ataupun bertanah dan berpokok seperti di Malaysia. Safa dan Marwah merupakan bukit berbatu. Semata- mata batu tanpa pokok mahupun tumbuhan renek. Tabah sungguh Siti Hajar memanjat bukit sebegini.

Tahun 2014, sewaktu mengerjakan umrah, kawasan Saie telah dijadikan 3 tingkat. Kebanyakan jemaah bersaie di tingkat 2.  Tingkat atas disediakan untuk kenderaan seperti motor yang disediakan khas untuk saie.Bagi sesiapa yang tidak berupaya untuk mengerjakan saie dengan berjalan kaki, kerusi roda disediakan dengan percuma( jika ditolak sendiri) atau boleh juga di upah tolak( agak mahal bayarannya)  Bukit Safa dan Marwah kini  dapat kita amati secara dekat  dari kaki bukit hingga ke puncaknya jika kita pergi setingkat demi setingkat. Tempat bersaie juga sekarang berhawa dingin keseluruhannya. Alhamdulillah, kini  ibadah saie lebih selesa bagi para jemaah.



Kawasan Saie Masjidil Haram

Bahagian 4: Sejarah ZamZam


Nabi Ibrahim telah membawa Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang masih menyusu ke lembah berdekatan tapak Kaabah. Baginda meninggalkan mereka di bawah pohon yang merupakan tempat telaga zamzam( pada hari ini).


Bukit Marwah
Makkah bukanlah sebuah kawasan yang subur. Ia tdak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ dengan berbekalkan beberapa biji tamar dan sebekas air sahaja. 

Tatkala tiba waktu Ibrahim akan meninggalkan Hajar dan Ismail a.s., baginda berhenti di suatu tempat bernama Thaniyyah lantas menghadap ke arah Kaabah dan berdoa:

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada sebarang tanaman tetapi dekat dengan rumahMu(Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian bukanlah atas tujuan lain) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia sentiasa cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim 14:37)

Hajar menyoal Nabi Ibrahim tentang tindakan Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ tetapi tidak mendapat jawapan apa-apa dari baginda. Akhirnya dengan iman yang kuat, Hajar menanyakan Nabi Ibrahim," Apakah ini merupakan perintah Allah?" Ibrahim menjawab,"Ya." Lalu Hajar menyambung ," Jika begitu, pasti Allah tidak akan membiarkan kami."

Hajar terus menyusukan Ismail dan meminum bekalan mereka setelah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka. Hinggalah ke satu masa bekalan itupun habis dan kedua-duanya merasa haus.

Tangisan Ismail semakin kuat. Lantas Hajar mendaki Bukit Safa yang terdekat dengannya,mana tahu kelihatan kelibat manusia di situ. Namun tiada. Hajar turun dari Bukit Safa dan berjalan dengan cemas. Bila sampai di tengah lembah ( kini di tandakan dengan kawasan lampu hijau), Hajar menyinsing kainnya lalu berlari-lari anak. Kemudian dia terus berjalan ke bukit Marwah dengan harapan yang sama namun hajatnya tidak kesampaian. Hajar mengulangi perbuatan naik dan turun antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.  Jarak di antara bukit Safa dan Marwah lebih dari 400 m. Bagi seorang ibu yang sedang menyusu berjalan dan berlari dalam keadaan panas sebegini sangat meletihkan.

Setelah sampai di puncak bukit Marwah, Hajar terdengar satu suara berhampiran tempat dia meletakkan Ismail. Bila dia berpaling, dia terkejut  melihat malaikat sedang menggali tanah( dengan sayapnya) di tepi kaki Ismail yang terhentak-hentak bila ia menangis. Tiba-tiba diperhatikannya terpancar keluar air dari tempat itu. 

Hajar terus berlari ke tempat tersebut dan membuat batas disekeliling mata air tersebut agar air dapat berkumpul di situ. Lantas dia mengisi bekas minuman yang sudah kosong agar dapat ia dapat melegakan  tekaknya yang sangat haus itu.

Begitulah sejarah asalnya telaga zam zam.

Sumber:  Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman - bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Popular Posts