Wednesday, October 1, 2014

Bahagian 4: Sejarah ZamZam


Nabi Ibrahim telah membawa Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang masih menyusu ke lembah berdekatan tapak Kaabah. Baginda meninggalkan mereka di bawah pohon yang merupakan tempat telaga zamzam( pada hari ini).


Bukit Marwah
Makkah bukanlah sebuah kawasan yang subur. Ia tdak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ dengan berbekalkan beberapa biji tamar dan sebekas air sahaja. 

Tatkala tiba waktu Ibrahim akan meninggalkan Hajar dan Ismail a.s., baginda berhenti di suatu tempat bernama Thaniyyah lantas menghadap ke arah Kaabah dan berdoa:

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada sebarang tanaman tetapi dekat dengan rumahMu(Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian bukanlah atas tujuan lain) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia sentiasa cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim 14:37)

Hajar menyoal Nabi Ibrahim tentang tindakan Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ tetapi tidak mendapat jawapan apa-apa dari baginda. Akhirnya dengan iman yang kuat, Hajar menanyakan Nabi Ibrahim," Apakah ini merupakan perintah Allah?" Ibrahim menjawab,"Ya." Lalu Hajar menyambung ," Jika begitu, pasti Allah tidak akan membiarkan kami."

Hajar terus menyusukan Ismail dan meminum bekalan mereka setelah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka. Hinggalah ke satu masa bekalan itupun habis dan kedua-duanya merasa haus.

Tangisan Ismail semakin kuat. Lantas Hajar mendaki Bukit Safa yang terdekat dengannya,mana tahu kelihatan kelibat manusia di situ. Namun tiada. Hajar turun dari Bukit Safa dan berjalan dengan cemas. Bila sampai di tengah lembah ( kini di tandakan dengan kawasan lampu hijau), Hajar menyinsing kainnya lalu berlari-lari anak. Kemudian dia terus berjalan ke bukit Marwah dengan harapan yang sama namun hajatnya tidak kesampaian. Hajar mengulangi perbuatan naik dan turun antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.  Jarak di antara bukit Safa dan Marwah lebih dari 400 m. Bagi seorang ibu yang sedang menyusu berjalan dan berlari dalam keadaan panas sebegini sangat meletihkan.

Setelah sampai di puncak bukit Marwah, Hajar terdengar satu suara berhampiran tempat dia meletakkan Ismail. Bila dia berpaling, dia terkejut  melihat malaikat sedang menggali tanah( dengan sayapnya) di tepi kaki Ismail yang terhentak-hentak bila ia menangis. Tiba-tiba diperhatikannya terpancar keluar air dari tempat itu. 

Hajar terus berlari ke tempat tersebut dan membuat batas disekeliling mata air tersebut agar air dapat berkumpul di situ. Lantas dia mengisi bekas minuman yang sudah kosong agar dapat ia dapat melegakan  tekaknya yang sangat haus itu.

Begitulah sejarah asalnya telaga zam zam.

Sumber:  Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman - bayu Kerinduan di Bumi Haramain

1 comment:

  1. Menangis saya baca post ni. Terasa betapa mengerjakan ibadah umrah & haji membawa kita sangat dekat dengan jejak Nabi terdahulu. Kita berada di tempat yang sama & melakukan perbuatan yang sama

    ReplyDelete

Popular Posts