Showing posts with label Amerika Syarikat. Show all posts
Showing posts with label Amerika Syarikat. Show all posts

Tuesday, March 26, 2019

Pengembaraan di Indiana, Ibrah Antara Kematian dan Berkejar Membuat Kebaikan



Indiana sebuah negeri yang besar dan ke barat Ohio. Sekitar tahun 1980an dahulu ramai pelajar Malaysia yang belajar di negeri ini, khususnya di Bloomington dan Terra Haute Kami pernah singgah solat di Islamic center Bloomington dan Indianapolis beberapa tahun lepas.
Kali ini pengembaraan kami di Indiana hanya sebentar.  Indianapolis, ibu negeri Indiana, hanya tempat kami melepaskan lelah. Berehat semalam untuk mengumpul tenaga bagi hari seterusnya. Tanpa disangka keesokkan harinya kami dikunjungi oleh sekeluarga sepupu saya yang kini menetap di Bloomington. Rasa sedih menyelubungi kami bila kami saling menceritakan ibunya yang baru meninggal ketika itu. Sebenarnya ibu beliau meninggal selepas beberapa hari  kami tiba di Amerika Syarikat. Alhamdulillah dia sempat pulang ke Malaysia dan menatap wajah ibunya sebelum meninggal. Kami juga sempat menziarahi ibunya sebelum berlepas ke sini. Allah sediakan pelbagai hikmah disebalik ujian yang Dia berikan. Setelah puluhan tahun inilah kali pertama kami bertemunya sekeluarga. Alhamdulillah.

Satu tempat yang sempat kami kunjungi  di Fairfield,Indiana ialah ibu pejabat ISNA(Islamic Society of North America).  ISNA ialah salah sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Amerika Syarikat. Di bawahnya terdapat pelbagai pertubuhan Islam yang lebih  kecil seperti Muslim Students Association, American Muslim Scientists and Engineers dan Islamic Teaching Center. ISNA  juga memberi bantuan kepada penduduk Islam dan para imigran muslim di Amerika Syarikat. Pelbagai dialog interfaith di adakan agar gejala Islamophobia dpt dikurangkan. 
Walau bagaimanapun kunjungan kami ke sana agak mengecewakan sebab bangunan ini tutup. Mungkin Cuti musim panas menyebabkan kebanyakan pekerja mengambil cuti. Oleh itu kami tidak berpeluang untuk masuk dan bersua dengan para pekerja di sana untuk mendapat maklumat terkini daripada mereka. Silap kami juga sebab tidak pastikan terlebih dahulu tentang waktu tempat ini dibuka untuk lawatan ketika itu. Namun, Alhamdulillah kami sampai juga ke tempat pertubuhan istimewa bagi orang Islam ini. 
Antara kematian dan ISNA mungkin tidak ramai yang dapat melihat perkaitannya. Yang pertama berkenaan kembli ke alam barzakh. Yang kedua berkenaan dengan usaha membantu orang Islam. Namun petikan daripada sebuah artikel majalah Solusi ini mungkin akan membuat kita berfikir yang kedua-duanya berkait. Mungkin artikel ini panjang sedikit namun membacanya membuat kita berfikir lebih mendalam. 'Siapa manusia yang paling jahat? Jika soalan ini di tujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab ;"Firaun!" Benar, tidak ada sesiapa yang dapat menandingi kejahatan Firaun. Dia bukan sahaja derhaka kepada Tuhan, bahkan mengaku sebagai Tuhan. Itulah puncak segala kejahatan. Ya, secara sinis kita boleh berkata:" Sesiapa yang tidak menganggap Firaun jahat, dia juga orang jahat." Namun sejahat-jahat Firaun, dia tetap percaya akan adanya hari akhirat(kehidupan selepas akhirat). Buktinya, Firaun membina piramid dan disediakan di dalamnya semua bekalan untuk menghadapi kehidupan selepas mati. Walaupun caranya salah, namun dia yakin dan melakukan persiapan untuk menghadapi akhirat dengan caranya sendiri.  Kita pula bagaimana? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap hari akhirat  dan apa pula persediaan kita untuk menghadapinya? Ah! ironinya, kita yang mengaku  lebih baik daripada Firaun, namun tidak pula 'seserius' dia di dalam persediaan menghadapi hari akhirat yang pasti datang itu! Mungkin sesetengah kita beranggapan bahawa keyakinan kepada hari akhirat hanya berguna untuk "kehidupan" di akhirat sahaja. Atas keyakinan itu, iman kita di kira sah dan kita menjadi seorang muslim. Sekiranya keyakinan itu tidak terjejas hngga ke akhir hayat, kita berpeluang memasuki syurga. Namun keyakinan kepada hari akhirat sebenarnya sangat memberi kesan kepada kehidupan kita di dunia. Dalam erti kata lain, beriman dengan hari akhirat akan memberikan manfaat yang sangat besar semasa hidup di dunia lagi.  Apabila manusia yakin akan adanya nikmat kekal abadi di dalam syurga, maka itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa apa jua kesusahan di dunia. Dia rela susah ketika melakukan ketika melakukan kebaikan. Dia akan sabar menempuh ujian-ujian dalam kehidupan. Tegasnya dia rela menerima penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia demi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat,  Apabila manusia yakin akan adanya azab neraka , maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan dalam kehidupan walaupun kejahatan itu kelihatan seronok, indah dan mengiurkan. Segala kesusahan, ketidak selesaan ketika meninggalkan kejahatan sanggup diredahnya kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan. Prinsip hidupnya, biarlah bersakit-sakit dahulu di dunia, agar tidak bersakit-sakit di akhirat. ' Kenang akhirat, tenang di Dunia - Pahrol Mohd Juoi - Solusi  isu 101


Semoga menjadi panduan bagi kita semua untuk berkejar-kejar melakukan kebaikan menuju alam akhirat.

Wednesday, February 21, 2018

Dua masyarakat, satu konservatif, satu lagi moden, Islam tetap punya kelebihan.


Mulanya saya agak kurang percaya dengan kewujudan kaum ini di negara yang sudah maju. "Eh...macam Little House on the Prairie pula",hati saya berbisik kali pertama ternampak gambar mereka di brosur. Namun bila melihat banyak gambar-gambar mereka di internet, saya berasa 'curious'. Betul ke wujud kaum ini yang sangat konservatif ini sehingga kini.

Atas sebab 'curiosity' atau perasaan ingin tahu inilah yang menyebabkan saya memasukkan perkampungan Amish dalam itinerari pengembaraan kami.

Mesopotamia, hanya sebuah perkampungan Amish yang terletak di timur laut Ohio, lebih kurang 30 batu  jaraknya dari Cleveland. Meskipun namanya sehebat satu tempat yang satu masa dahulu hebat dengan tamaddun awal dunia dan tempat letaknya taman tergantung Babylon yang istimewa, namun  tempat ini seolah-olah satu kampung yang sangat sunyi.

Di sepanjang perjalanan kami dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok-pokok gandum tumbuh subur menghijau. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan (kuda) dan mesin-mesin yang ringkas yang menggunakan tenaga 4 kerat manusia sendiri. Berbeza dengan traktor-traktor elektrik besar yang biasa kelihatan di ladang-ladang sekitar  Amerika Syarikat ini. Daripada brosur saya mendapat tahu fahaman mereka sangat menghadkan penggunaan tenaga elektrik samada dalam pekerjaan mahupun kehidupan sehari hari. 
Kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Jangan terkejut! Kereta kuda merupakan  kenderaan utama kawasan ini. Orang Amish berpegang kuat kepada fahaman mereka yang tidak menggalakkan mereka memiliki  kereta mahupun kenderaan bermotor yang lain. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan. Namun ada juga orang Amish memiliki kereta sebagai kenderaan tambahan. 

Kami mengambil kesempatan untuk singgah di sebuah kedai  ''End of the Commons General Store' yang merupakan kedai runcit yang tertua  di Ohio. Kedai ini mula dibuka pada tahun 1840. Memang tepat jangkaan saya pemandangan luaran dan dalaman kedai ini betul-betul seperti  dalam siri ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular tahun 1970an  dahulu, yang mengisahkan tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. 

Juruwang  kedai  End Of Commons ini , seorang wanita  berpakaian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skaf kecil. Kehadiran kami disambut mesra oleh mereka , jurujual Amish  di kedai tersebut, Alhamdulillah. 

Berdasarkan brosur dan internet, tata cara berpakaian orang Amish juga agak ketat. pakaian mereka tidak boleh  menarik perhatan umum. Kain bagi pakaian mereka hanya terdiri beberapa tona warna sahaja dan tidak bercorak. Kebanyakannya bertona suram dan putih.  orang Amish tidak digalakkan mengikut fesyen dunia luar. Orang perempun dewasa berpakaian gaun labuh manakala anak-anak perempuan bergaun melebihi  lutut. Semua wanita  dan kanak-kanak p erempuan dwajibkan  menutup rambut dengan tudung (bonnet) yang khas. Lelaki  pula berpakaian kemeja dan seluar hitam dan kadangkala dilengkapi vest dan suspenders. 

Kaum  Amish ini beragama  Kristian (biblicist) dan berpegang kuat kepada ajaran dalam kitab Injil mereka. Gereja mereka bersaiz kecil. Sekali pun fahaman mereka ketat dan  kehidupan mereka sangat 'simple', bilangan mereka semakin bertambah dari hari sehari. Kenapa agknya boleh terjadi sedemikian?

Saya teringat tentang satu artikel yang membincangkan perkara yang amat berbeza dengan kaum Amish yakni tentang masyarakat Jepun' yang memang kita tahu secara amnya maju dalam pelbagai bidang. 

'Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?
Puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Jepun lebih baik dari segi kecanggihan teknologi, ekonomi  dan juga keperibadian. Para pelajar mereka di ajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.
Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana- mana bandar Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti Lapangan Terbang Karachi dan Jeddah. 

Kebanyakan masyarkat mereka sangat menghormati hak orang lain. Barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg dan lain-lain yang tertinggal atau tercicir di stesen keretapi, di pusat membeli belah atau di tempat-tempat awam akan dapat di temui semula. 

Orang Jepun sangat menepati dan pandai mengurus masa. Mereka sangat rajin dan berdisiplin. Orang Jepun  sangat berpegang kepada etika kerja dan budaya bangsa. Kedua-duanya dihayati dan diamalkan secara bersepadu. Mutu kerja mereka yang baik dibentuk oleh etika kerja mereka. Apabila etika kerja dipatuhi maka terhasillah kerja yang efektif dan efisien. 

Meskipun sudah maju, orang Jepun masih punya kelemahan. Lemah kerohaniannya. Lemah pergantungan kepada Tuhan. Apabila kecewa dan putus asa, mereka mudah membunuh diri. Sebab itu, kadar bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan mereka. Sama ada pada orang dewasa juga kepada kanak-kanak.

Kenapa orang Jepun tidak minat dengan Islam untuk memenuhi jiwa mereka yang kosong? Masalahnya bukan mereka tidak minat dengan Islam tetapi orang Islam yang lemah memasarkannya. 

Islam mementingkan kebersihan, pengurusan masa, kejujuran, menepati janji. Dengan mengamalkannya, keindahan Islam akan terserlah. Insha Allah hanya dengan itu bangsa Jepun akan terbuka mata. 

Betapa selama ini dunia menjadi kacau apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam. Kita tidak menjadi teladan. Tidak menjadi penyelamat. Sedangkan tabiat Islam itu selamat dan menyelamatkan. 
Orang Jepun lebih memerlukan sikap Islam bukan sekadar cakap-cakap tentang  Islam. Sikap boleh dilihat oleh mata tetapi cakap hanya boleh didengar oleh telinga. Dengan cara beginilah islam boleh 'dipasarkan'. 

Sumber:Islam lebih hebat daripada Samurai- Pahrol Mohd Juoi-Solusi isu 88

Benar, setiap kali mengembara di bumi Amerika Syarikat kami lebih banyak dapat melihat bagaimana Islam dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh orang Islam di sana,  lebih-lebih lagi dari segi akhlak . Dengan cara begini non Muslim dapat melihat dengan jelas keindahan agama Islam. Namun bila balik ke Malaysia, orang bukan Islam lebih kerap mendapat tahu tentang  keindahan Islam melalui pembacaan  dan melalui internet. Tanya saja mualallaf di sini dan anda akan mendapat jawapan yang hampir serupa. Mereka agak kurang tertarik dengan akhlak orang Islam di sini. Agaknya kenapa? 

Elok juga kita renungkan bersama petikan ini.

'Sesungguhnya keunggulan tamaddun Islam terletak kepada kejayaannya melahirkan generasi yang sempurna akhlaknya. Keadaan ini terserlah pada keperibadian para sahabat Rasulullah. Generasi para sahabat Rasulullah yang merupakan ialah golngan terbaik dalam kalangan manusia . 

Allah sendiri mengakui dalam Al Quran 
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dalam kalangan manusia. Kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kejahatan."
Surah Ali 'Imran 3:110'
 Sumber:Tenang ada di sini- Pahrol Mohd Juoi

Sama-sama kita berubah dan berusaha mengikut akhlak Rasulullah dan para sahabat baginda, Insha Allah

Thursday, November 9, 2017

Pertemuan Dengan Sahabat....Bermusafir

Pertemuan saya dengan seorang teman agak hambar. Berjumpa setelah lebih 30 tahun berpisah. Sewaktu berbual dengannya tempohari saya dapat merasakan dia kurang mengenali saya.

Tahun 80an dulu saya pernah bermusafir bersamanya ke konvensyen MISG  di bahagian tengah Amerika Syarikat. Perjalanan pergi saja mengambil masa beberapa hari. Kembara yang agak lama. Sudah semestinya timbul bibit-bibit persahabatan

Namun, selepas itu kami terputus hubungan. Maklumlah ketika itu saya masih bujang dan dia sudahpun berkeluarga, Punya anak seorang. Pastinya dia sibuk mengurus keluarga ketika itu. 

source: Google maps
Mungkin juga dugaan hidup selepas tamat pengajian di sana membuatkan dia ingin melupakan pengalaman pahit yang dilaluinya." Sorry, akak ni pernah memory loss," katanya ketika bersalam sebelum keluar dewan. Patutlah saya dapat rasakan dia tidak mengenali saya. Memang saya tidak tahu langsung dia telah mengalami liku-liku hidup sebegitu. Semoga Allah memberi ketenangan dalam meniti usia emasnya kini. 

Dalam menyusuri lebuhraya kehidupan ini, dugaan dan cabaran pastinya perlu ditempuhi oleh kita sebagai makhluk Allah. Adakalanya kita berjaya mengatasinya adakalanya tidak. Namun yang penting ialah apakah usaha kita lakukan untuk menempuhi segala dugaan dan halangan. Jerit perih, usaha yang istiqamah dan bersungguh-sungguh tetap ada ganjaran di akhirat kelak.

'Hidup ialah siri ujian yang berterusan dan berkesinambungan. Selagi hidup, selagi itulah diuji. Ini sangat memenatkan. Bukan sahaja anggota fizikal tetapi elemen dalaman kita juga . Jiwa fikiran dan emosi perlu direhatkan dan dirawat. Justeru, musafir kehidupan yang penuh ujian ini perlukan R n R( Rehat dan Rawat) 
Bagaimana jiwa, fikiran, emosi dan fizikal kita direhatkan dan dirawat? Jawabnya, dengan solat. Solat, kaedah yang paling efektif untuk merawat diri kita. Solat itu rehat. 

Dalam solat ada kerehatan kerana itulah masa hamba 'berkomunikasi' dengan Tuhannya, Yang Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Bayangkan seorang kekasih sedang berbisik dengan kekasihnya. Bukankah itu satu keindahan dan kemanisan? 
Firman Allah:" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Al Ra'd 13: 28)

Dalam kehidupan yang sangat meletihkan ini, jangan sekali-kali mengabaikan solat. Solat ialah saat yang paling intim antara hamba dengan Tuhan. 
Jangan gopoh  dan tergesa-gesa dalam hidup, bertenang dan berehatlah selalu dengan solat.'
Ust. Pahrol Mohd Juoi- Solusi isu 68

Seketika, saya teringat perjalanan bermusafir ke Illinois yang pernah kami tempuhi bersama satu ketika dahulu. Melalui kawasan gurun berbatu yang pelbagai bentuk di New Mexico. Juga kawasan yang dipenuhi salji di Illinois. Dua keadaan alam yang yang amat berbeza. Subhanallah, amat unik dan indahnya ciptaan yang Maha Berkuasa. 

Tuesday, March 21, 2017

Malcolm X- Daripada Nation Of Islam Kepada Iktikad Sunni

Melangkah masuk ke dalam bangunan kecil ini membawa kita menyulusuri sejarah kedatangan orang Islam ke bumi Amerika Syarikat. Ramai daripada kita hanya tahu Amerika Syarikat ialah negara barat, negara orang Yahudi. Namun ramai yang tidak tahu Islam telah hadir di bumi Amerika ini 500 tahun sebelum Columbus datang ke sini  lagi yakni sebelum abad ke 2. Orang Islam yang pertama mendarat di bumi Red Indian ini ialah Estevanico (a.k.a Mustafa Zemmouri, seorang hamba dari Morocco yang belayar dan mendarat di Florida bersama tuannnya. Namun Islam kurang menyerlah  di bumi 'Land Of Opportunity' ini sehinggalah kaum berkulit hitam bangkit beramai-ramai memeluk agama Islam. Salah seorang ketua yang paling berpengaruh ialah Malcolm X.

Berbalik saya ke cerita Malcom X
1952....
Semuanya berlaku begitu pantas. Malcolm berubah menjadi seorang islam yang berwatak begitu berbeza sekali daraiada sebelum dia masuk penjara. Islam dan penjara, akidah dan suasana  yang membolehkan ia meluangkan masa untuk bertafakkur tentang matlamat hidup. Malcolm banyakkan menghabiskan masanya membaca buku tentang keagamaan dan Nation Of Islam. Perwatakannya juga berubah  menjadi seorang yang lebih baik dan santun. Akhirnya Malcolm dibebaskan hanya 7 tahun selepas dipenjarakan.
1963..
Sikap berkaliber Malcolm


berjaya menarik puluhan ribu orang ke arah Nation Of Islam. Ceramahnya dihadiri  beribu ribu orang  berkulit hitam. Suasana Seolah-olah satunpesta namun ia  satu ceramah agama dan motivasi. Menaikkan semangat or ang berkult hitam yang sekian lama tertindas dan dipaksa ditikarkan agama asal mereka.

1964.....
Allah telah memberi hidayah kepada hambanya. Sedikit demi sedikit Malcolm mula sedar tentang wujudnya kesalahan pengangan kumpulan Nation Of Islam terutama sekali tentang ketuanya dan idolanya, Elijah Mohamad. Malcolm bertindak keluar daripada kumpulan ini dan menubuhkan kumpulan Muslim Mosque, Inc.  Pergeseran juga berlaku antara Malcolm dan Elijah serta orang- orang kanan Elijah.

Malcolm mengamabil  iktikad ahli sunnah wal jaamaah sebagai pegangannnya. Tak lama selepas itu. Allah  telah menjemputnya sebagai tetamu di Baitullah. Pernah sewaktu berada di sana, dia telah menulis surat kepada rakannya yang berada di New York. Antara kandungan suratnya:
"Belum pernah saya saksikan layanan yang sebegitu iklhas dan semangat persaudaraan yang diamalkan oleh orang daripada pelbagai warna dan bangsa sebagaimana wujudnya di sini, Tanah Suci ini, tempat tinggal Nabi Ibrahim, Muhammad dan lain-lain Nabi dalam kitab-kitab suci. ....

Terdapat puluhan ribu jemaah haji dari segala pelusuk dunia. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit, daripada yang bermata biru, rambut putih hingga ke yang berkulit hitam orang Afrika. Akan tetapi kami menjalankan ibadah yang sama, memperlihatkan semangat penyatuan dan persaudaraan, satu pengalaman yang tak pernah saya percayai boleh wujud di Amerika antara golongan berkulit putih dan tidak berkulit putih.
Daripada sini saya perhatikan, mungkin sekiranya bangsa berkulit putih dapat menerima Tuhan itu Satu, mungkin juga mereka dapat menerima secara realiti manusia itu satu, dan menghentikan mengelak dan mencedera yang lain, daripada bangsa yang berlainan warna kulit daripada mereka....."

1965...
Allah telah menentukan hamba Nya yang mempunyai pengikut puluhan ribu ini hidupnya singkat. Pada umur 39 tahun,  Haji Malik Shabbazz  (nama Islam Malcolm X) ditembak mati  sewaktu berceramah di Manhattan’s Audubon Ballroom.Isteri dan anak- anaknya ketika itu berada di hadapannya, menyaksikan peristiwa yang sangat mengerikan dan traumatik itu. Perjalanan hidup duniawi Malik Shabbazz terhenti ketika itu. 4 orang anak perempuannya menjadi anak-anak yatim.Tak lama kemudian anak kembarnya lahir tanpa ayah di sisi mereka. Ų„ِنَّŲ§ Ł„ِŁ„ّهِ وَŲ„ِنَّŁ€Ų§ Ų„ِŁ„َيْهِ Ų±َŲ§Ų¬ِŲ¹ŁˆŁ†َ

Namun, apa yang dibawa oleh Malcolm X ini telah memberi kesan yang besar kepada orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Anak Elijah, Warith Deen Muhammad  bertindak keluar daripada kumpulan Nation Of Islam selepas bapanya meninggal dunia. Clara Muhammad ialah ibu Warith Deen Muhammad. Ibunya pernah menubuhkan beberapa sekolah, antaranya ialah sekolah untuk kaum wanita berkulit hitam. Warith Deen kemudiannya telah menubuhkan sekolah Islam mengikut pegangan ahli sunnah wal Jamaah dan menamakan sekolah-sekolah tersebut berdasarkan nama ibunya. Bangunan 'America's Islamic Heritage Museum' ialah bangunan bekas sekolah Clara Muhammad.

Warith Deen juga telah meninggal dunia. Pengikutnya menyambung usaha-usaha Warith Deen dalam menegakkan iktikad ahli sunnah wal jamaah (sunni) dalam kalangan bangsa berkulit hitam di sana.  Perjuangan mereka  masih panjang di bumi Amerika Syarikat ini. Namun Islam telah berjaya menyatukan dan mengembalikan mereka kepada agama fitrah, agama asal mereka.

 https://noorslist.wordpress.com/tag/dr-youssef-mroueh/
 http://malcolmx.com/biography/
http://islam.uga.edu/malcomx.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Inna_Lillahi_wa_inna_ilaihi_raji%27un

Tuesday, March 14, 2017

Seorang Berkulit hitam....seorang muslim

Terasa lama tidak menonton video. Kali terakhir menonton bersama anak-anak. Video " Bug's Life" kalau tak silap. Video yang baru saya pinjam daripada seorang sahabat ini agak istimewa. Di Malaysia mungkin jarang orang akan meminjam atau membeli video sejarah atau autobiografi sebegini. Tambahan lagi video ini bukannya berkenaan orang Malaysia mahupun berlaku di sini. Video ini ialah berkenaan  Malcolm X.

"Saya ialah seorang muslim dan akan selamanya menjadi seorang Muslim. Agama saya ialah Islam.
Saya bukan seorang rasis dalam bentuk apa sekali pun.  Saya tidak mempercayai diskriminasi atau pengasingan(segregation). Saya mempercayai Islam. Saya seorang muslim dan tidak ada apa-apa kesalahan menjadi seorang Islam, tiada apa-apa kesalahan dalam agama Islam. Agama ini mengajar kita mempercayai Allah ialah tuhan kita. ........"
Sumber: http://www.malcolm-x.org/islam.htm

Itulah antara ucapan Malcolm X, seorang pejuang kulit hitam yang telah berjaya  menarik lebih 30 000 orang menjadi pengikutnya sebagai orang-orang Islam berkulit hitam di Amerika Syarikat.

Mungkin di Malaysia tidak ramai yang mengenalinya. Yang kita tahu ialah orang berkulit hitam semakin ramai berada di negara kita. Mereka mungkin dari Nigeria, Sudan atau pun Somalia. Sering juga kita memandang rendah terhadap mereka yang berkulit hitam ini. Maklumlah apa yang disiarkan di media, penyalahgunaan dadah mahupun kegiatan yang tidak bermoral sering dikaitkan dengan mereka.

Namun apabila berada di Amerika Syarikat, janganlah terkejut dengan kehadiran begitu ramai orang-orang berkulit hitam ini. Mereka ini tampil dengan pelbagai  watak dan peranan yang begitu berbeza sekali daripada apa yang kita perhatikan di negara kita. Malah bangsa berkulit hitam sendiri sudah pernah menjadi presiden yang disegani dan disukai oleh rakyat Amerika Syarikat.

Perjuangan bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat sudah begitu lama. Bangsa mereka dahulunya dibawa dari Afrika sebagai hamba. Perlu diingatkan kisah penghambaan ini wujud di merata-rata tempat  di dunia termasuklah di tanah Arab dan negara kita. Oleh itu saya tak akan bincangkan topik penghambaan di sini.

Terus terang saya  mengaku nama Malcolm X ini lebih saya kenali sewaktu saya mengembara bersama keluarga di Amerika Syarikat dan bukan sewaktu saya belajar di sana tahun 1980an dahulu. Nama pejuang kulit hitam yang lebih dikenali di Amerika syarikat ialah Martin Luther King. Tugu peringatan Martin Luther King juga terdapat di National Mall,Washington DC. National Mall ialah sebuah taman yang besar yang dibina berdasarkan sejarah Amerika Syarikat. Namun Malcolm X diingati di sebuah muzium Islam yang kecil, di Washington DC atas usaha orang Islam berkulit hitam sendiri . Pernah ke anda yang melancong atau belajar di Amerika Syarikat berkunjung ke muzium ini?
Bersambung.

Tuesday, February 16, 2016

Applikasi Scan Halal- Langkah Mudah Untuk Mengetahui Status Kehalalan Produk

Sumber- Scan Halal
Sumber- Scan Halal
 Biasa dengar tentang scan halal ini? Di Malaysia mungkin kita berasa kurang perlu menggunakan apps seperti ini kecuali terdapat barangan yang kita was was dengan isi kandungannya, terutama sekali yang melibatkan nama saintifik. Oleh kerana banyaknya barangan halal di Malaysia lebih mudah kita menggunakan barangan yang berlabel Jakim sahaja.Walau bagaimanapun saya pasti ada diantara kita teringin menggunakan barang-barang import sekali sekala.Oleh itu, aplikasi ini boleh memudahkan kita.

Sekiranya berada di Amerika Syarikat, antara cara yang paling mudah mengetahui barangan itu dibenarkan syarak ialah menggunakan aplikasi scan halal ini . Apa yang pelu dibuat ialah scan dan anda akan mendapat maklumat tentang satus halal barang tersebut.

Selepas anda scan, di skrin itu mungkin akan terpapar 'You can use this product', 'doubtful(mencurigakan) atau 'You're avoiding this product'.
'You can use this product' maksudnya semua isi kandungannya halal dan anda boleh menggunakannya tanpa was was. 'Doubtful' menandakan terdapat bahan bahan mencurigakan (tak pasti halal atau tidak) dalam produk tersebut. 'You're avoiding this product' menandakan terdapat bahan yang haram dalam produk ini. Oleh itu elakkan memakan atau menggunakan produk ini.

Sekiranya bahan itu 'doubtful'  sila sentuh bahagian 'Ingredients' dan akan di paparkan bahan-bahan di dalamnya. Perkataan yang bergaris itulah yang menyebabkan barangan itu mencurigakan. Kemudian sentuh bahagian bergaris itu dan akan dipaparkan kenapa bahan kandungan itu dikatakan mencurigakan. Dengan itu anda tidak akan tertanya-tanya kenapa barangan itu lebih baik dijauhkan.
Sumber Scan-halal

Sekiranya anda scan satu barang dan dipaparkan 'You're avoiding this product' ia bermakna barang ini haram digunakan. Sentuhlah bahagian 'Ingredients' dan anda akan diberikan senarai bahan-bahan didalamnya. Kemudian bila sentuh perkataan bergaris dalam bahagian 'Ingredients' itu, akan dipaparkan kenapa bahan itu haram dimakan dan digunakan.

Anda akan lihat ada satu lagi bahagianiaitu 'Alternatives' pada skrin tersebut. Di sini disenaraikan barangan alternatif yang boleh digunakan sekiranya anda tidak boleh menggunakan barangan yang anda scan. Sekiranya barangan itu boleh digunakan pun disenaraikan juga cadangan barangan altenatif yang boleh digunakan. Mana tahu entah-entah produk itu lebih baik daripada produk yang anda scan.

Anda juga akan dapat perhatikan produk-produk yang sedang di scan oleh pengguna-pengguna lain di seluruh dunia. Selain daripada Amerika Syarikat, ada pengguna scan halal ini daripada Dubai dan Saudi Arabia. Saya sendiri pernah mencuba halal scan ini untuk mengesahkan scan ini berjaya atau tidak di gunakan di Malaysia. Alhamdulillah ia berjaya setelah saya taip barcode produk tersebut. Malangnya barangan yang dibeli 4-5 tahun lepas di Amerika Syarikat tidak dapat lagi saya scan dan perolehi maklumat berkenaannya.Mungkin sebab barcode tersebut sudahpun ditukar.

 Ingin diingatkan bahawa aplikasi ini ada beberapa kelemahan juga. Oleh itu kita perlu merujuk pada senarai barangan halal yang lain juga semasa membeli.

Bagaimana dengan anda yang berada di Amerika Syarikat, sudah cuba aplikasi.ini?

Bersambung.








Wednesday, January 6, 2016

Langkah-langkah Mudah Membeli Makanan dan Produk Halal di Amerika Syarikat

Masih Keliru tentang pemilihan makanan halal di Amerika Syarikat? Mungkin langkah-langkah ini boleh membantu anda.

Semasa sampai di 'grocery store'( ingat di sana supermarket berlainan daripada grocery store)

  1. Lihat barangan kosher samada bertanda Circle K atau Circle U. Bukan semua tempat mempunyai banyak barangan kosher yang banyak. Ini bergantung kepada permintaan semasa.di tempat tersebut.
  2.  Sekiranya ada label kosher, lihat kandungannya dan elakkan mengambil produk yang mengandungi bahan yang dilarang oleh Islam seperti alkohol, kosher gelatine, L cysteine dan sebagainya (telah saya bincangkan sebelum ini)
  3. Sekiranya tiada barangan yang dilarang dalam produk tersebut, insha Allah barang ini halal.
  4. Sekiranya tiada label kosher, bolehlah anda melihat senarai bahan kandungan pada bungkusan makanan atau barang yang anda ingin beli. Senarai yang terdapat dalam 'Halal Shopper's Quick Reference Guide  boleh membantu anda dengan cepat dan mudah. Sebenarnya lebih menjimatkan masa anda membeli barangan yang sedikit bahan kandungannya. Mana tahu silap-silap terbeli pula barangan yang mengandungi bahan yang terlarang.
  5. Sekiranya ada bahan kandungan yang anda tak pasti, seboleh-bolehnya elakkan membelinya. Bahan- bahan seperti sabun, pencuci muka dan kosmetik mempunyai banyak kandungan yang dinyatakan dalam istilah kimia. Biasanya senarai barangan halal yang terdapat dalam Muslim Consumer group boleh membantu anda memilih barangan tersebut. Bagi kita orang Malaysia lebih mudah membawa barangan kosmetik, sabun dan sebagainya daripada Malaysia saja sebab banyak barangan tersebut di Malaysia sudahpun berlabel halal Jakim.

Biasanya sebelum membeli belah, kita sudah merancang membeli beberapa barangan khususnya barangan harian am seperti roti, susu, dan biskut. Untuk menjimatkan masa adalah lebih mudah kita merujuk kepada senarai barangan halal yang terdapat dalam Muslim Consumer Group sebelum keluar membeli belah lagi.
 
Sekiranya ada lagi produk masih anda kurang pasti bahan kandungannya, bolehlah anda menanyakan soalan kepada pertubuhan-pertubuhan yang bertanggungjawab dalam makanan halal di Amerika Syarikat contohnya Muslim Consumer Group dan Ifanca. 

Semoga pencarian anda mencari barangan halal lebih mudah dan  diberkati Allah

Wednesday, December 23, 2015

Makanan Kosher Mudah Didapati di Amerika Syarikat


Pernahkah anda dengar tentang makanan 'kosher"?
Lihat simbol U pada label makanan in i



Berikut ialah sedikit penerangan tentang makanan tersebut.
Allah berfirman:
" ..dan makanan ahli kitab dihalalkan bagimu."
Surah al Maidah 5:5

Menurut ahli tafsir Al Quran, makanan dalam ayat ini maksudnya ialah haiwan sembelihan mereka. Justeru halal  bagi kita memakan haiwan sembelihan ahli kitab terutamanya Yahudi yang sangat ketat menjaga makanan mereka. 
Orang Yahudi memililki istilah khusus yang berfungsi seperti label halal dalam agama kita. Istilah itu dinamakan kosher. Setahu saya, tiada makanan haram yang mereka halalkan melainkan arak sahaja. 
Lihat simbol U pada peket makanan ini
Kesimpulannya, saudara boleh memakan masakan Yahudi melainkan jika saudara mengetahui mereka  memasukkan bahan berunsur arak ke dalam makanan tersebut. Semua ini tentu saja dibolehkan selagi mana ia tidak mengandungi aktiviti haram di sisi Islam.

 




Imam Ahmad berkata: 
Perkara yang dilarang hanyalah memasuki kuil dan gereja mereka. Adapun membeli makanannya, maka tidak haram."

Demikian diriwayatkan oleh Ibn Muflih dalam al Adab al Syar'iyyah.

Sumber: Al Ustaz Isu 20- Ustaz Umar M. Noor


Untuk memilih makanan kosher yang terdapat di kedai, seseorang harus memerhatikan label yang mempunyai simbol kosher. Antara simbol kosher ialah seperti yang tertera di bawah. Simbol ini terdapat di bahagian hadapan atau belakang label bungkusan atau pembalut bekas makanan. Simbol ini agak kecil, walau bagaimanapun biasanya ia boleh dilihat dengan jelas.



Tanda kosher yang disahkan oleh 
Chabad of Fresno, California

Tanda kosher yang disahkan oleh 
The Union of Orthodox Congregations, New York


Walau bagaimanapun bukan semua produk kosher di Amerika Syarikat halal bagi orang Islam  . Berdasarkan Muslim Consumer Group sekiranya produk kosher mengandungi bahan-bahan dibawah ini, produk ini dianggap tidak halal.
Antaranya
1. Gelatin- mungkin di buat daripada babi
2. kosher Gelatin
3. L Cystein-dibuat daripada rambut manusia atau bulu ayam atau itik
4. Segala jenis arak termasuk Rum.
5. Ethyl alcohol atau ethano
6. Carmine/cochineal- sejenis pewarna kuning dibuat daripada sejenis serangga
7. Vanilla extract- mengandungi alkohol
8. Kicap/ soy sauce naturally brewed- buasanya dicampur wheat dan prosesnya melibatkan ethanol.
9. Confectioneary glaze atau resionous glaze
10. Natural Vanilla atau Natural vanilla extract- alkohol digunakan dalam pemprosesannya.
11. Grape wine by product- grape seed oil, grape seed extract dan grape skin powder.

Berdasarkan pengalaman daripada pengembaraan saya di Amerika Syarikat, agak mudah mendapatkan barangan kosher terutama sekali di hypermarket Walmart dan Kroger. Hanya perlu melihat simbol-simbol ini dan cuba elakkan bahan-bahan di atas. Insha Allah pencarian makanan halal akan lebih mudah.
Bersambung.

Popular Posts