Showing posts with label Lavender. Show all posts
Showing posts with label Lavender. Show all posts

Friday, November 23, 2018

Secekak Bunga Lavender

Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?

Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
 Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English  Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu. 
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor  lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas. 
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga.  Kaedah U pick  ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan 
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?

Kedai Ladang Lavender-satu idea agrotourism

Tempat pertama yang kami tuju ialah kedai ladang itu yang terletak betul-betul di belakang rumah tersebut.  Papan tanda  'U pick Starts Here ' memudahkan kami tahu apa yang perlu dilakukan sebaik saja sampai di ladang itu. Oleh itu tidaklah perlu kami mundar-mandir di situ menanyakan orang di sana. Satu idea yang baik bagi tuan punya dusun atau ladang di Malaysia yang ingin mengusahakan perniagaan 'U Pick' atau seumpamanya seperti agrotourism.
Sebaik saja melangkah masuk, kami ternampak pelbagai produk lavender yang dihasilkan oleh pihak ladang ini. Sabun, minyak dan potpurri antara puluhan produk yang boleh dihasilkan oleh bunga kecil ini. Gaya susun kedai ini nampak kemas dan profesional meskipun tereltak dalam sebuah ladang. Terdapat sampel minyak wangi lavender yang boleh di hidu sebelum pelanggan memilih mana yang berkenan di hati. Sampel lavender kering  dipamerkan utk pelanggan lihat sebelum membuat keputusan membeli potpurri atau produk bunga kering. Produk lukisan lavender di atas ceramic, kotak kayu dan kad juga di jual disini. Semuanya berkenaan alam bunga lavender. 

Sebelum kami melangkah ke arah ladang lavender ini, kami singgah sebentar untuk minum jus lavender sejuk yang di campurkan dengan lemon.  Ini disediakan oleh pihak ladang secara percuma. Ya, lavender juga boleh dijadikan jus. Sangat sesuai diminum sebagai pembasah tekak dalam cuaca yang sangat panas ketika itu selain daripada punya khasiat yang pelbagai. 

Kadangkala bila kita mengembara, banyak pengetahuan yang kita perolehi yang boleh digunakan untuk membangunkan atau menambah baik ekonomi negara kita. Mungkin kita bukan dalam bidang perniagaan agrotourism mahupun pelancongan. Namun tak salah kiranya kita dapat mewar-warkan idea-idea menarik agar dapat diketengahkan kepada pihak yang melaksanakannya. Setiap perbuatan yang baik, insha Allah akan mendapat balasannya. Rebutlah balasan Allah yang lebih besar. 
Firman Allah:

" Bersegeralah memohon keampunan Allah. Syurga seluas langit dan bumi disediakan untuk orang yang bertakwa. iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan."
Surah Ali 'Imran 3: 133-134)
Bersambung

Singgah Sebentar di Ladang Lavender

Allah anugerahkan bunga ini antara bunga kegemaran wanita selain daripada bunga ros. Sebagai pencinta bunga memang sudah  lama saya idamkan lawatan ke ladang bunga ini. Namun setiap kali ke negara ini atau negara negara lain, saya belum berkesempatan melawatnya. Takdir Allah saya selalu  tiba sebelum musimnya atau musim menuainya sudah berakhir, ataupun cengkaman masa semasa mengembara menyebabkan rancangan sering tertunda.

Sebut saja lavender, mesti ramai yang mengingati warna ungunya. Meskipun lavender wujud dalam warna-warna lain, namun warna ungulah yang paling diminati. Umumnya ramai yang mengetahui tentang pelbagai kegunaan lavender, sejenis bunga yang terkenal dengan  keharuman yang istimewa. 

Lavender Hills Farm sebuah ladang yang terletak di kawasan luar bandar Niles, Michigan. Sengaja saya pilih sebuah ladang U Pick yang membolehkan kami melihat secara dekat dan mendapat pengalaman menuai bunga yang unik ini.  

Kami di sambut dengan satu pemandangan yang menarik bila setibanya di Lavender Hill Farm ini. Sebuah rumah kayu kecil yang dihadapannya tersusun deretan bunga lavender ungu yang sedang kembang mekar. Subhanallah. Sangat indah. 

Melangkah ke bahagian belakang rumah ini barulah kami ternampak ladang lavendernya yang luas. Dari jauh kelihatan seperti sebuah padang rumput yang ungu. Namun di asingkan mengikut jenis-jenis yang berlainan. 
Bila berbincang tentang bunga, kita sering mengaitkannya dengan keindahan dan keharumannya. Kadangkala bunga juga boleh dikaitkan dengan kebaikan.
 
'Jika kebaikan yang diberi, sekalipun tersembunyi, pasti akan ketara jua akhirnya. Tangan yang menghulurkan bunga mawar, pasti harum baunya. Namun sebaliknya, meskipun pandai berkilas, kejahatan pasti terbalas.'
Dimana DIA diHatiku-Pahrol Mohd Juoi.
Bersambung

Popular Posts