Showing posts with label Nasyid. Show all posts
Showing posts with label Nasyid. Show all posts

Wednesday, March 12, 2014

Nasyid Boleh Menenangkan Bayi

Bulan November lalu Allah anugerahkanku seorang cucu perempuan. Syukur Alhamdulillah ia dilahirkan normal walaupun ia melalui saat-saat getir jantung yang kian lemah sehinggakan terpaksa dikeluarkan secara pembedahan Caesarian. 


Sudah lebih 15 tahun bunyi tangisan dan rengekan bayi tidak  kedengaran di rumahku. Dengan kehadiran cucuku ini, maka riuhlah juga rumah untuk seketika. 

Ketika memangku Aufa, cucuku yang sedang menangis,aku berfikir-fikir tentang cara menenangkannnya. Aku teringat semasa anak-anakku masih bayi, aku telah cuba menenangkan mereka dengan menyanyikan lagu-lagu nasyid. Lagu nasyid lebih banyak aku perdengarkan daripada lagu kanak-kanak yang biasa terdapat di pasaran.Bak kata lain, anak-anak aku membesar bersama-sama mendengar lagu nasyid. 

Lantas dengan Aufa berada di riba, aku cuba memperdengarkan lagu nasyid Zapin Kesyukuran dari kumpulan Hijjaz di youtube sambil mengikut liriknya. Maklumlah dalam usia sebegini banyak lirik lagu yang aku lupa. Berpandukan kepada youtube tersebut, aku mula menyanyikan nasyid tersebut kepada Aufa. Aufa yang ketika itu sedang merengek mula terdiam memerhati pergerakan mulut dan mimikku. 



Melihatkan Aufa yang mula senyap, anak-anakku (termasuk ibu Aufa)yang lain pun turut menyanyi bersama. Ya, walaupun mereka telah meningkat dewasa, mereka masih ingat lagi lirik nasyid yang mereka dengar semasa kecil. Alhamdulillah.

Kebanyakannya nasyid ini pula diselitkan dengan zikir. Maka dengan sendirinya zikir berkumandang di ruang rehat keluarga kami ketika itu. Syukur Alhamdulillah. Berkat nasyid yang diperdengarkan, mereka masih seronok menyanyikannya walaupun berpuluh tahun telah berlalu.

Semoga Aufa menjadi penggerak kepada generasinya agar ramai yang mencintai nasyid dan bukan lagu-lagu yang tidak berfaedah. 

Tuesday, April 6, 2010

Antara Nasyid dan Lagu

Kebanyakan orang berpendapat mana mungkin kita hidup tanpa adanya hiburan dalam hidup kita. Mendengar lagu ialah salah satu hiburan yang paling popular pada masa kini. Sehinggakan ada sebahagian daripada kita sangat suka mendengar lagu samada semasa belajar, bekerja ataupun masa berehat. Saya yakin sebahagian besar daripada pembaca blog ini lebih suka mendengar lagu berbanding nasyid. Ini adalah pengalaman saya sendiri dalam memilih antara yang tiga, nasyid, lagu bermanafaat dan lagu yang tiada manafaat.Sekadar untuk berkongsi pengalaman.......


Dulu masa anak-anak saya di peringkat sekolah menengah(masih ada seorang lagi masih bersekolah), mereka sering mengeluh kawan-kawan mereka sering bercerita tentang penyanyi dan lagu. Mereka tidak dapat ikut serta bersembang kerana mereka tidak dibiasakan mendengar lagu di rumah.

Saya banyak membeli kaset(dulu tak ada CD) nasyid yang saya tahu akan banyak memberi manafaat kepada mereka sejak dari kecil lagi. Saya rasa bersyukur kerana mengekalkan cara begini sehingga ke hari ini meskipun ada juga lagu bermanafaat yang saya ketengahkan kepada ahli keluarga agar menghayati maksudnya.

Penghayatan lagu(Appeciating songs) ini telah saya pelajari sejak dari tingkatan 4 lagi. Kalau sebelum itu saya hanya menyanyi lagu tanpa menghayati liriknya(pakai hentam saja). Sejak saya belajar di universiti dan mendapat hidayah dari Allah untuk menjauhi lagu yang tidak bermanafaat, saya belajar untuk menghayati lirik-lirik nasyid. Bagi saya, menghayati lirik nasyid dapat membantu kita mengingati sejarah Islam, mengingati Allah(juga berzikir) dan memperbaiki akhlak kita.

Pada peringkat sekolah rendah, nasyid banyak membantu anak-anak saya menghafal matapleajaran sirah dan fiqah. Saya masih ingat lagi masa itu nasyid itu di nyanyikan oleh ahli kumpulan Rabbani yang ketika itu masih kecil lagi. Kemudian kumpulan Raihan muncul dengan keluaran mereka yang pertama. Nasyid mereka dengan rentak yang menarik telah menyebabkan saya ingin memiliki kaset mereka. Puas mencari di merata tempat akhirnya dapat juga saya membeli kaset tersebut.Lagu- lagu kumpulan Hijjaz juga banyak membantu dalam matapelajaran mereka.Tanpa di sedari ia juga membantu saya mengingati semula fakta-fakta tersebut apabila menyanyi bersama anak. Juga lagu kanak-kanak bahasa Inggeris( Popular children songs) dapat membantu dari segi percakapan dalam bahasa Inggeris. Lagu- lagu ini saya ajar agar mereka dapat biasakan diri mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris

Semasa anak saya di sekolah menengah, jenis nasyid harus di sesuaikan dengan umur mereka. Mereka lebih suka nasyid yang mempunyai maksud yang tersirat dan lebih rancak dan sentimental. Ketika inilah mereka mengenal kumpulan Inteam, UNIC, Mirwana, Brothers dan lain lain lagi penasyid solo.Di sebalik kesibukan dalam urusan rumahtangga ada kalanya saya mengambil satu atau dua nasyid untuk di hayati liriknya. Alhamdulillah, dengan membuat kelas tuisyen saya dapat mengajak pleajar saya untuk bersama-sama menghayati nasyid. Kebanyakan dari mereka langsung tak mendengar nasyid di rumah. Di kelas tuisyen ini lah mereka mendapat serba sedikit pendedahan tentang penghayatan nasyid. Di samping belajar seperti biasa, saya telah menekankan aspek kerohanian kepada mereka.

Kelas English communication yang saya adakan telah membolehkan saya memperkenalkan nasyid-nasyid dalam bahasa Inggeris dan sekali gus saya menerangkan tentang maksud nasyid tersebut supaya mereka dapat menghayatinya. Kebanyakan dari mereka yang menghadiri kelas ini langsung tak pernah mendengar nasyid dalam bahas Inggeris. Ada kalanya mereka hanya tahu lagu bahasa Inggeris tanpa tahu maksudnya. INI BAHAYA. Ada kalanya lagu itu mempunyai lirik yang mensyirikkan Allah. Ada juga lirik menyuruh melakukan perbuatan yang dilarang dalam agama. Selain daripada nasyid saya juga memperkenalkan lagu-lagu Inggeris yang boleh membawa manafaat kepada mereka.

Penghayatan nasyid dan lagu adalah perlu agar kita tak lari dari mengingati Allah dan mendapat keberkatan atas apa yang kita lakukan setiap hari. Setiap perbuatan kita juga  harus tak melalaikan kita dari mengingati Allah.

Mungkin ada sebahagian daripada kita berpendapat "Ala... saja nak relaks jadi dengar ajelah. Tak ada kesan pun." Sebenarnya apa yang kita dengar memberi kesan kepada kita sedikit demi sedikit.Kadangkala kita terkhayal mendengar alunan lagu tersebut. Secara tak sedari kita jadi lali mendengar lagu yang tak bermanafaat.

Kenapa kita tidak jadikan nasyid dan lagu yang bermanafaat menjadi halwa telinga kita agar kita mendapat pahala setiap kali kita mendengarnya. Sebenarnya tidak semestinya lagu barat saja yang kita anggap tak bermanafaat malah lagu Melayu juga banyak banyak membawa kepada kemungkaran. Oleh itu eloklah kita membuat pilihan sewajarnya antara nasyid, lagu bermanafaat dan lagu yang tiada manafaat.

Popular Posts