Showing posts with label Tennessee. Show all posts
Showing posts with label Tennessee. Show all posts

Wednesday, March 1, 2017

Kejayaan Trump Ada Hikmahnya

4 bulan berlalu. Demonstrasi jalanan masih hebat berlaku. Rakyat Amerika berterusan marah dengan keputusan pilihanraya di negara mereka. Rakyat Islam khususnya yang berada di negara ini resah...takut... bingung. Resah dengan tindakan yang akan diarah oleh Trump. Takut dikejar oleh pihak berkuasa. Bingung ke mana mereka harus tuju.
Namun jika difikirkan dari satu sudut kejayaan Trump memegang tampuk sebagai presiden Amerika punya pelbagai hikmah. Rakyat dunia kini tahu betapa ramainya umat Islam di Amerika Syarikat. Bukan saja sebagai imigran(pendatang), penduduk tetap (permanent resident) tetapi juga sebagai rakyat Amerika yang berkulit hitam dan berkulit putih. Berdasarkan Pew Research Center, terdapat 3.3 million orang umat Islam di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Dan angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Pengembaraan saya sekeluarga di bumi Uncle Sam ini  beberapa kali juga membuktikan betapa ramainya umat Islam khususnya di bandar-bandar besar seperti Los Angeles, San Francisco,  New York dan Chicago. Bahkan orang Islam bukan hanya terdapat di bandar-bandar ini sahaja, malah juga di bandar- bandar di bahagian utara dari Sioux Falls di South Dakota hingga ke Nashville di Tennessee. Ini hanya sebahagian daripada masjid-masjid  yang saya sekeluarga sempat singgah. Tahu tak, masjid juga terdapat nun di utara sehingga  ke Alaska!

Allahuakbar! Memang orang Islam hadir di hampir setiap pelusuk di bumi Uncle Sam ini. Bagi kami yang pernah mengembara ke sana, kadangkala kami disapa dengan ucapan salam dengan tiba-tiba. Terkejut juga sebab tidak menyangka orang berkulit putih mahupun hitam di hadapan kami sebenarnya seorang Islam.

Selama ini ramai daripada kita hanya memandang sebelah mata sahaja kehadiran orang Islam di bumi yang kontroversi ini. Mungkin disebabkan media hanya memaparkan suasana keganasan mahupun tindakan pemimpin di sana. Maklumlah berita dari negara ini memang sepantas kilat tiba dengan teknologi terkini dan mendapat liputan luas berbanding negara-negara lain. 

Anehnya ramai yang tertarik dengan Islam dengan melihat cara hidup orang Islam di sana. Seterusnya mereka banyak menyelidik sendiri tentang Islam. Allah telah membantu mereka setelah mencari-cari ketenangan dek jiwa yang kosong. Bantulah mereka dan doakanlah untuk mereka....Insha Allah Islam akan membawa ketenangan kepada mereka di sana.

Jika difikirkan lebih jauh dan berbalik kepada keadaan kita di Malaysia, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada keadaan pasca pilihanraya Amerika Syarikat. Usahlah kita berpeluk tubuh dan berbangga dengan Islam yang ada pada diri kita. Umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menarik ramai jiwa yang kosong di sana dengan menunjukkkan contoh akhlak yang baik dengan pelbagai aktiviti interfaith mereka. Bagaimana pula kita disini dengan orang bukan Islam di sekeliling kita. Jom kita berusaha berakhlak baik sebagai permulaan.

'Islam mengajar umatnya agar buta warna kulit dan latar bangsa. Keadilan dalam layanan terhadap sesama Muslim itu dibuktikan dengan jelas dalam hadith Nabi:" Wahai manusia ! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama( Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab  ke atas ' ajam' ( yang bukan Arab), atau 'ajam' ke atas Arab, atau yang berkulit merah  ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkuit merah melainkan ketakwaan."
(Riwayat Ahmad)'
Ezry Fahmy Eddy Yusof- Solusi Isu 98


Rujukan tambahan:https://www.salatomatic.com

Monday, April 25, 2016

Kelip-kelip-Serangga Bercahaya di Negara yang Berbeza

Serangga ini sangat mengagumkan! Dengan badan yang begitu kecil, serangga ciptaan Allah ini boleh mengeluarkan cahaya di bahagian abdomennya. Mungkin ada yang tidak menyedari, kelip-kelip hanya boleh dirasai kehadirannya ketika waktu malam yang hening dan gelap pekat. Kelip kelip ...kelip kelip... Serangga ini terus berkelip mengikut fitrah yang diatur Allah.

Teringat pula satu ketika dulu tentang kisah seorang budak yang terlalu miskin sehinggakan tidak mampu membeli lampu minyak untuk membolehkannya membaca di waktu malam. Tika itu musim dingin dan sudah semestinya waktu malam lebih panjang daripada waktu siang. Apa yang dilakukannnya ialah menangkap kelip-kelip yang banyak dan dibungkusnya dengan kain kasa. Kemudian digantungnya kain tu untuk dijadikan lampu. Mungkin kisah ini hanya dongengan semata namun yang nyata serangga kecil ni telah menarik para saintis untuk mengkaji tentang faedah cahaya itu pada manusia.

Baru-baru ini saya sekeluarga diberi peluang untuk menyaksikan suasana kelip-kelip di kawasan Kuala Selangor. Kawasan paya yang mempunyai pokok berembang merupakan tabiat semulajadi bagi kelip-kelip. Usai solat maghrib, kami dibawa menaiki bot bersama pelancong lain menyusuri Sungai Selangor. Subhanallah! Memang mengagumkan bila memerhatikan pohon ditebing sungai berkelip-kelip, seolah-olah dipasang lampu kelip-kelip. Dan ini ialah ciptaan semulajadi oleh Allah. Tanpa keperluan arus elektrik, terus daripada badan makhluk yang sekecil kelkatu sahaja. Terasa seolah-olah satu perayaan sedang berlangsung di tebing sungai meskipun kami disuruh mendiamkan diri agar kelip-kelip tidak berubah tempat. Malangnya kami tak punya kamera yang canggih untuk merakamkan suasana bercahaya ini.


Bezanya hanya tempat. Selang beberapa bulan kami diberi peluang oleh Allah sekali lagi untuk menyaksikan keindahan kelip-kelip beribu-ribu kilometer dari Kuala Selangor. Kali in di kawasan Smoky Mountains, Tennessee, Amerika Syarikat. Anak kami telah menyewa sebuah rumah kayu (lodge) semasa pengembaraan kami di sana. Lodge ini terletak berhampiran kawasan hutan. "Don't forget to watch the fireflies," pesan tuan rumah tersebut semasa anakku menelefonnya untuk mengambil kunci rumah tersebut.  Usai makan malam kami sekeluarga keluar mengambil angin malam di beranda rumah tersebut. Tak lama selepas itu  kelipan cahaya yang kecil muncul di celah daun-daun pokok berhampiran rumah. Wah.. kelip-kelip! Semakin lama makhluk ini seolah-olah semakin jinak menghampiri beranda. Kelipan yang hampir sama dengan apa yang kami pernah saksikan di Kuala Selangor. Cuma bezanya suhu di sini sangat sejuk di kawasan pergunungan. Manakala di Kuala Selangor ketika itu agak panas. Namun menyaksikan cahaya kelip-kelip tetap suatu suasana yang menakjubkan. Subhanallah.

Agak lama kami menikmati suasana kelipan serangga yang menerangi hutan ini. Walau bagaimanapun letih mengembara negara ini menyebabkan kudrat kami tidak dapat bertahan hingga ke tengah malam. Terpaksa masuk untuk merehatkan badan dan menunaikan tuntutan fardhu. Tatkala berada di sejadah menunggu untuk solat berjemaah, anakku memberitahu," Laa... kelip-kelip dah masuk ke dalam rumah!" Kami membiarkannya sahaja sebab mahu terus menunaikan solat. Cucuku yang baru berusia setahun setengah terus bermain sendiri.

Usai solat anakku berkata, "Mak, habis Aufa penyetkan kelip-kelip tu." Seekor kelip-kelip telah terbujur kaku di atas lantai. Takdir telah menentukan usia kelip-kelip setakat itu saja. Aufa masih terlalu kecil untuk memahami yang kelip kelip tu juga makhluk Allah. Namun, kita yang dewasa yang berada di seluruh pelusuk dunia ini harus juga sedar tentang ekosistem bagi serangga yang kecil ini supaya terpelihara. Agar kelip kelip, makhluk kecil Allah ini tetap dapat terbang berkelip-kelip di mana sahaja .

"Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang berterbangan dengan kedua sayapnya melainkan umat-umat (ia juga) seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam Al Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan." [Al An'am 6:38]

Monday, October 7, 2013

Dubuque- Satu Bandar Tiga Negeri


Dubuque? Pelik bunyinya.Tidak ramai yang tahu tentang bandar  ini, Lebih- lebih  lagi orang Malaysia.  Yang pernah atau biasa mereka  dengar ialah  Albuqurque, laksamana Portugis yang pernah cuba menghancurkan kesultanan Melayu Melaka dahulu. 

Bandar ini tidaklah sebesar Chicago, New York ataupun Los Angeles tapi yang menarik ialah ianya satu bandar  di tiga buah negeri. Dubuque sebenarnya sebuah bandar yang terletak di sempadan tiga negeri iaitu Iowa, Wisconsin dan Illinois.Jadi kita boleh berada di 3 buah negeri dalam masa beberapa minit saja.

Menarik juga ialah  sempadan Wisconsin dan Iowa di bandar ini  dipisahkan oleh sungai Misissippi, sungai keempat terpanjang di dunia dan juga kesepuluh terbesar di dunia. Ia  mengalir dari Kanada hinggalah ke Teluk Mexico. Sungai ini mengalir melalui 10 buah negeri !Negeri negeri tersebut ialah  Wisconsin, Iowa, Minnesota, Illinois, Missouri, Kentucky. Tennessee, Arkansas, Mississippi dan Louisiana. Cuba bayangkan jika kita menyusuri sungai ini sampai ke selatan  sudah tentu kita boleh sampai ke 10 buah negeri tersebut. Namun rasanya keselamatan lebih terjamin dan perjlanan tentu lebih cepat dan selesa  sekiranya kita menggunakan lebuhraya sahaja.

Sebenarnya hajat kami ialah hendak melihat panorama  tri state ini  dari sebuah puncak bukit. Namun, disebabkan  keletihan akibat selalu  dalam pengembaraan, aku tak berkesempatan untuk mencari tempat tersebut. Akibatnya kami tersesat ke sebuah taman 'Eagle Point Park' di Iowa. Taman ini terletak di atas sebuah bukit yang  menghadap  Sungai Mississippi.

Taman ini agak besar dan dibahagikan keada beberapa bahagian. Kami memilih untuk makan tengahari disini setelah difikirkan tempat ini sangat sesuai untuk berkelah. Tempat yang kami pilih ini menghadap ke sebuah empangan yang dibina merentasi Sungai Mississippi. Panorama di sini antara yang terindah bagi melihat sungai yang luas ini. Alhamdulillah.  

Demikanlah Allah jadikan sungai sebagai sumber air dan juga sumber tenaga bagi orang- orang yang berfikir. 
" Dan Dialah yang melebarkan bumi dan dijadikan di atasnya gunung- ganang dan sungai- sungai."
Ar Ra'd:3

Popular Posts