Showing posts with label Bukit Safa. Show all posts
Showing posts with label Bukit Safa. Show all posts

Friday, September 18, 2015

Hijrah Rasulullah (Bahagian 3)- Dari Al Nadwah ke Hazwarah

Dari al Nadwah, Rasulullah telah pergi ke kawasan bukit Safa  dan melalui satu kawasan yang disebut 'Hazwarah' berhampiran rumah sepupunya Ummu Hani.
'..langkah baginda terhenti, sebak tatkala mata memandang Makkah dari kejauhan. Sebak hati baginda melihat bumi tanah tumpahnya yang terpaksa ditinggalkan. Lalu baginda berkata:
Demi Allah, ( Wahai Makkah), engkaulah bumi Allah yang terbaik dan engkaulah bumi Allah yang paling dicintaiNya. Jikalaulah bukan kerana aku diusir keluar darimu, aku tidak akan keluar.
(Sunan at Tarmizi, Musnad Ahmad)

Allah s.w.t kemudiannya memujuk kesedihan hati Rasulullah s.a.w. itu dengan ayat-Nya(Tafsir Al-Jalalain):
"Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal, berhijrah meninggalkan Makkah, dan menyampaikan Al Quran ( wahai Muhammad)), sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (bumi Makkah dalam peristiwa pembukaannya pada tahun 8 hijrah). Katakanlah kepada kaum yang menentangmu, Tuhanku mengetahui akan sesiapa yang membawa petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Al Qasas, ayat 85)'

Lokasi bagi Hazwarah ini terletak berhampiran Bab Ajyad( pintu no 6).
Lawatilah tempat ini sambil menghayati kesedihan Rasulullah meninggalkan bumi Makkah ketika itu serta firman Allah dalam  ayat Al Quran di atas.

Sumber:
1. Sirah Nabawiah s.a.w.-Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri(terjemahan YADIM)
2. Berjalan..Melihat...Mentafsir- Ust Abdullah Bukhari
3. Bayu Kerinduan Di Bumi Haramain- Ust Ahmad Husni Abd Rahman

Monday, September 14, 2015

Hijrah Rasulullah- rumah Khadijah


Penghijrahan Rasulullah bukannya mudah, penuh halangan dan cabaran. Masih ingat lagikah daripada pembacaan dan ceramah yang kita dengar tentang malam sebelum Rasulullah keluar daripada rumahnya sebelum hijrah?
Disaat rumah Rasulullah dikepung oleh pihak Quraisy, Rasulullah s.a.w. telah  menyuruh Ali bin Abi Talib supaya tidur di tempatnya dengan selimut al Hadrami berwarna  hijau.
'Kemudian Rasulullah s.a.w. keluar dan memecah barisan mereka. Baginda mengambil tanah daripada pasir yang ada di situ dan menaburkannya di atas kepala mereka. Allah telah menutup penglihatan mereka, sehinggakan mereka tidak dapat melihat baginda. Sambil melakukan begitu Rasulullah s.a.w. membaca ayat al Quran.
Firman Allah yang bermaksud:
" Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka, lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat ( jalan yang benar)"
Yaasin 36: 9

Rasulullah meninggalkan rumahnya pada 27 Safar tahun 14 kenabian, bersamaan 12/13 September 622 M.'

Apabila ditanya tentang hijrah Rasulullah, tak ramai yang tahu secara mendalam bibit-bibit  peristiwa yang sebenarnya berlaku. Secara amnya bila ditanya tentang hijrah Rasulullah, mereka hanya mengatakan hijrah ialah berpindahnya Rasulullah dari bumi Makkah ke Madinatul Munawarah.

Dengan berada di Makkah semasa mengerjakan umrah  atau haji, sebenarnya peristiwa bersejarah ini dapat kita hayati dengan lebih dekat. Kenapa? Kerana kita  boleh hayati dimana lokasinya baginda berada dan bergerak sebelum betul-betul bertolak ke Madinah. Ibrah daripada melawat lokasi-lokasi ini membuatkan kita kagum dengan perancangan teliti Allah sehingga Rasulullah dapat mengelakkan diri daripada dibunuh puak Quraisy.


Dalam peristiwa hijrah Rasulullah mula bertolak dari rumahnya iaitu rumah Siti Khadijah. Dimana sebenarnya rumah Khadijah? Ia terletak di kawasan bukit Marwah tidak jauh dari pintu yang bernama Bab al Mudda'a. Pintu ini merupakan pintu masuk ke dalam kawasan Saie tapi bukan tempat permulaan bagi Saei kerana tempat bermuanya Saei ialah bukt Safa.

Ambillah peluang untuk menziarahi tempat ini dan menghayati perjalanan hijrah Rasulullah.

Sumber:
  1.  Sirah Nabawiah s.a.w. -Safiyyu Al Rahman al Mubarakfuri                                                     (terjemahan YADIM)
  2. Bayu kerinduan di Bumi Haramain- Ust Ahmad
    Husni Abd Rahman

Wednesday, October 1, 2014

Bahagian 5: Hikmah Air Zamzam dan Keadaan Kawasan Saie Dulu dan Kini

Antara hikmah air zamzam ialah
Paip Zam zam dalam Masjidil Haram

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: " Sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi ialah air zam zam. Terdapat di dalamnya zat makanan( orang yang meminumnya berasa kenyang) dan penyembuh penyakit."
(Shahih al Jami', no 3322)

Namun kita jangan lupa berniat setiap kali kita meminumnya berdasarkan hadith ini
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Air zam zam itu untuk sebarang tujuan( niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah)."
( Riwayat Ibn Majah)

Sumber- Ust Ahmad Husni Abd Rahman- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain.


Teringat sewaktu menunaikan haji tahun 1990an dahulu, untuk sampai ke tempat berhampiran telaga zam zam, kita hanya perlu menuruni tangga yang  terletak tidak jauh dari Kaabah. Kawasan ini terbahagi kepada bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berwuduk atau menyimbah air zam zam ke seluruh badan  (dengan berpakaian). Maklumlah air zam zam ini boleh dijadikan ubat pelbagai penyakit.

Sewaktu mengerjakan umrah April 2014, Masjidil haram masih dalam peringkat perluasan. Bahagian telaga zam zam telah di tutup. Oleh itu kami tidak dapat pergi ke bahagian ini. Air zam zam masih mudah didapati di kawasan Masjidil Haram ini. Paip- paip air zam zam banyak dipasang untuk memudahkan jemaah menikmati sepuas puasnya air ini tatkala mengerjakan tawaf, bersaie mahupun bersolat di sini. Alhamdulillah.

Pada tahun 1990an dulu ruang saei' hanya setingkat.Bukit Safa dan Marwah dapat diperhatikan dengan jelas dari kaki bukit hingga ke puncak. Tak dapat kami bayangkan bagaimana Siti Hajar dapat mendaki bukit sebegini. Bukit ini bukan bukit berpasir seperti di padang pasir ataupun bertanah dan berpokok seperti di Malaysia. Safa dan Marwah merupakan bukit berbatu. Semata- mata batu tanpa pokok mahupun tumbuhan renek. Tabah sungguh Siti Hajar memanjat bukit sebegini.

Tahun 2014, sewaktu mengerjakan umrah, kawasan Saie telah dijadikan 3 tingkat. Kebanyakan jemaah bersaie di tingkat 2.  Tingkat atas disediakan untuk kenderaan seperti motor yang disediakan khas untuk saie.Bagi sesiapa yang tidak berupaya untuk mengerjakan saie dengan berjalan kaki, kerusi roda disediakan dengan percuma( jika ditolak sendiri) atau boleh juga di upah tolak( agak mahal bayarannya)  Bukit Safa dan Marwah kini  dapat kita amati secara dekat  dari kaki bukit hingga ke puncaknya jika kita pergi setingkat demi setingkat. Tempat bersaie juga sekarang berhawa dingin keseluruhannya. Alhamdulillah, kini  ibadah saie lebih selesa bagi para jemaah.



Kawasan Saie Masjidil Haram

Bahagian 4: Sejarah ZamZam


Nabi Ibrahim telah membawa Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang masih menyusu ke lembah berdekatan tapak Kaabah. Baginda meninggalkan mereka di bawah pohon yang merupakan tempat telaga zamzam( pada hari ini).


Bukit Marwah
Makkah bukanlah sebuah kawasan yang subur. Ia tdak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ dengan berbekalkan beberapa biji tamar dan sebekas air sahaja. 

Tatkala tiba waktu Ibrahim akan meninggalkan Hajar dan Ismail a.s., baginda berhenti di suatu tempat bernama Thaniyyah lantas menghadap ke arah Kaabah dan berdoa:

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada sebarang tanaman tetapi dekat dengan rumahMu(Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian bukanlah atas tujuan lain) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia sentiasa cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim 14:37)

Hajar menyoal Nabi Ibrahim tentang tindakan Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di situ tetapi tidak mendapat jawapan apa-apa dari baginda. Akhirnya dengan iman yang kuat, Hajar menanyakan Nabi Ibrahim," Apakah ini merupakan perintah Allah?" Ibrahim menjawab,"Ya." Lalu Hajar menyambung ," Jika begitu, pasti Allah tidak akan membiarkan kami."

Hajar terus menyusukan Ismail dan meminum bekalan mereka setelah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka. Hinggalah ke satu masa bekalan itupun habis dan kedua-duanya merasa haus.

Tangisan Ismail semakin kuat. Lantas Hajar mendaki Bukit Safa yang terdekat dengannya,mana tahu kelihatan kelibat manusia di situ. Namun tiada. Hajar turun dari Bukit Safa dan berjalan dengan cemas. Bila sampai di tengah lembah ( kini di tandakan dengan kawasan lampu hijau), Hajar menyinsing kainnya lalu berlari-lari anak. Kemudian dia terus berjalan ke bukit Marwah dengan harapan yang sama namun hajatnya tidak kesampaian. Hajar mengulangi perbuatan naik dan turun antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.  Jarak di antara bukit Safa dan Marwah lebih dari 400 m. Bagi seorang ibu yang sedang menyusu berjalan dan berlari dalam keadaan panas sebegini sangat meletihkan.

Setelah sampai di puncak bukit Marwah, Hajar terdengar satu suara berhampiran tempat dia meletakkan Ismail. Bila dia berpaling, dia terkejut  melihat malaikat sedang menggali tanah( dengan sayapnya) di tepi kaki Ismail yang terhentak-hentak bila ia menangis. Tiba-tiba diperhatikannya terpancar keluar air dari tempat itu. 

Hajar terus berlari ke tempat tersebut dan membuat batas disekeliling mata air tersebut agar air dapat berkumpul di situ. Lantas dia mengisi bekas minuman yang sudah kosong agar dapat ia dapat melegakan  tekaknya yang sangat haus itu.

Begitulah sejarah asalnya telaga zam zam.

Sumber:  Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman - bayu Kerinduan di Bumi Haramain

Popular Posts