Showing posts with label Wisconsin. Show all posts
Showing posts with label Wisconsin. Show all posts

Monday, October 7, 2013

Dubuque- Satu Bandar Tiga Negeri


Dubuque? Pelik bunyinya.Tidak ramai yang tahu tentang bandar  ini, Lebih- lebih  lagi orang Malaysia.  Yang pernah atau biasa mereka  dengar ialah  Albuqurque, laksamana Portugis yang pernah cuba menghancurkan kesultanan Melayu Melaka dahulu. 

Bandar ini tidaklah sebesar Chicago, New York ataupun Los Angeles tapi yang menarik ialah ianya satu bandar  di tiga buah negeri. Dubuque sebenarnya sebuah bandar yang terletak di sempadan tiga negeri iaitu Iowa, Wisconsin dan Illinois.Jadi kita boleh berada di 3 buah negeri dalam masa beberapa minit saja.

Menarik juga ialah  sempadan Wisconsin dan Iowa di bandar ini  dipisahkan oleh sungai Misissippi, sungai keempat terpanjang di dunia dan juga kesepuluh terbesar di dunia. Ia  mengalir dari Kanada hinggalah ke Teluk Mexico. Sungai ini mengalir melalui 10 buah negeri !Negeri negeri tersebut ialah  Wisconsin, Iowa, Minnesota, Illinois, Missouri, Kentucky. Tennessee, Arkansas, Mississippi dan Louisiana. Cuba bayangkan jika kita menyusuri sungai ini sampai ke selatan  sudah tentu kita boleh sampai ke 10 buah negeri tersebut. Namun rasanya keselamatan lebih terjamin dan perjlanan tentu lebih cepat dan selesa  sekiranya kita menggunakan lebuhraya sahaja.

Sebenarnya hajat kami ialah hendak melihat panorama  tri state ini  dari sebuah puncak bukit. Namun, disebabkan  keletihan akibat selalu  dalam pengembaraan, aku tak berkesempatan untuk mencari tempat tersebut. Akibatnya kami tersesat ke sebuah taman 'Eagle Point Park' di Iowa. Taman ini terletak di atas sebuah bukit yang  menghadap  Sungai Mississippi.

Taman ini agak besar dan dibahagikan keada beberapa bahagian. Kami memilih untuk makan tengahari disini setelah difikirkan tempat ini sangat sesuai untuk berkelah. Tempat yang kami pilih ini menghadap ke sebuah empangan yang dibina merentasi Sungai Mississippi. Panorama di sini antara yang terindah bagi melihat sungai yang luas ini. Alhamdulillah.  

Demikanlah Allah jadikan sungai sebagai sumber air dan juga sumber tenaga bagi orang- orang yang berfikir. 
" Dan Dialah yang melebarkan bumi dan dijadikan di atasnya gunung- ganang dan sungai- sungai."
Ar Ra'd:3

Monday, May 20, 2013

Singgah bersolat di Islamic Center Milwaukee, Wisconsin

Perjalanan dari Dubuque ke Milwaukee yang merupakan bandar terbesar di Wisconsin hanya mengambil masa 3 jam. Cuaca begitu suram ketika itu seolah- olah musim dingin belum berakhir walaupun bulan Mei sudah tiba.  

Tujuan utama kami ke bandar besar ini ialah mencari Islamic Center untuk menunaikan tuntutan solat lima waktu kami. Berpandukan kepada GPS yang dibekalkan  dalam kereta, agak mudah kami mencari Islamic Center ini yang terletak tidak jauh dari pusat bandar.

Dari jauh bangunan Islamic Center ini tersergam indah. Bangunannya yang tinggi dan besar menunjukkan betapa  kuatnya pengaruh Islam di sini. 

Bersebelahan Islamic Center ini terdapat sebuah sekolah menengah yang agak besar. Kelihatan beberapa  orang pelajar dan ibubapa mereka sedang keluar masuk bangunan tersebut walaupun jam sudahpun mencecah pukul 6 petang. Biasanya waktu persekolahan di negara ini ialah dari pukul 9 pagi hingga 3 petang. Terdapat juga sebuah gym untuk kemudahan mereka untuk berekreasi.

Suhu pada ketika itu iaah 51 darjah Fahrenheit. Amat berbeza dengan suhu di Iowa yang begitu panas ketika kami bertolak ke Milwaukee ini. Angin dingin yang bertiup kencang menyebabkan kami terketar-ketar keluar daripada kereta yang diparkir di kawasan tersebut. 

Ruang solat lelaki dan wanita adalah di tempat yang berasingan.  Tempat solat lelaki terletak di bahagan bawah manakala tempat solat wanita adalah di bahagian atas.  Lega rasanya sebaik saja kami masuk ke dalam bangunan tersebut kerana ia dilengkapi alat pemanas. Malah air paip untuk berwudhu' juga berasa agak panas. Lebih selesalah kami bersolat di situ. 

Tatkala kami masuk,kedengaran sebuah ceramah yang disampaikan oleh seorang pemuda. Agak ramai yang sedang mendengar ceramah tersebut bukan saja di kalangan lelaki, malah juga terdapat kaum wanita.  Alhamdulillah, Islamic Center sentiasa diimarahkan oleh ahli- ahlinya berdasarkan poster- poster  yang terampang di papan kenyataan disini.

Selesai bersolat, kami menuju ke bahagian luar untuk bergambar supaya dapat diabadikan dalam travelog kami nanti. Alhamdulillah, kami bersyukur dapat sampai ke sini dan bertemu dengan orang orang Islam di sini meskipun tidak dapat berbual panjang dengan mereka. 

Popular Posts