Showing posts with label akhlak Islamiyah. Show all posts
Showing posts with label akhlak Islamiyah. Show all posts

Tuesday, March 29, 2016

Mulakan Berbuat Kebaikan

Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang tentang memberi pertolongan boleh merupakan satu proses yang memberi kesinambungan. Video yang dilakonkan oleh orang Barat itu memperlihatkan betapa dengan satu pertolongan yang sangat kecil walaupun sekadar menolong orang melintas jalan atau menolong mengangkat barang boleh menjadi motivasi bagi seseorang menolong orang lain pula.

Saya kurang ingat susunan pertolongan atau perbuatan baik dalam video tersebut. Ia mungkin bermula daripada seseorang buruh yang hanya membantu seorang budak yang jatuh semasa berbasikal. Kemudian, insaf dengan pertolongan tersebut, budak itu ternampak seorang tua sedang melintas jalan dan mengangkat barang yang berat. Lantas, dia cepat-cepat membantunya dengan mengangkat barang tersebut. Tak lama selepas itu, orang tua itu pula ternampak seorang perempuan sedang mencari-cari duit syiling di dalam beg tangannya untuk bayaran parkir kereta. Terus dia menghulurkan duit syilingnya. Terkejut lalu tersenyum perempuan tersebut menerima wang itu dengan syukur walaupun jumlahnya hanya beberapa sen.

Kemudian, perempuan itu ternampak seorang pemuda tampak lemah meminta sedekah, duduk tak jauh dari situ lalu dibelikannya frankfurter daripada sebuah gerai tidak jauh dari situ. Terkejut pemuda tersebut namun diterimanya dengan penuh kesyukuran. Pemuda itu ternampak pula seorang lelaki terjatuh sekeping kad sewaktu dia keluar dari sebuah kedai lalu dia berlari memulangkannya. Lelaki  itu begitu gembira mendapat semula kadnya. Seketika, dia ternampak seorang pelayan perempuan dimarahi oleh bosnya lalu dia kelihatan sedih. Lantas sewaktu lalu di tepi sebuah gerai bunga dia membeli sejambak bunga dan menghadiahkan bunga tersebut kepada pelayan tersebut. Pelayan tersebut tersentak namun menerimanya dengan gembira. Semangat untuk bekerja kembali pulih.. Pelayan itu kemudiannya memerhatikan seorang buruh sedang bekerja dalam terik panas lalu menghadiahkan sebotol air kepadanya. Dan sungguh tidak sangka buruh itu ialah orang yang mula-mula sekali membuat kebaikan.

What goes around comes around. Hidup ini seperti putaran roda. Setiap kebaikan yang kita mulakan, Insha Allah akan dibalas oleh Allah sejak di dunia lagi. Sebagai orang Islam kita lebih beruntung kerana semua kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan di akhirat kelak, biar sekecil atom sekali pun. Bahkan kita disuruh berlumba lumba berbuat kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalang (menerima pahalanya) dan Allah Maha mengetahui orang yang bertakwa." [Ali 'Imran 3: 115]

Mungkin benar apa yang dintakan oleh Ust Umar Muhammad Noor dalam majalah Solusi isu 85
'Muslim yang terbaik bukanlah orang yang paling pandai berceramah, tetapi yang paling besar khidmatnya kepada manusia. Seorang muslim tidak mendiamkan kesusahan orang lain. Jiwanya selalu tergerak untuk membantu. Bahkan tidak sesekali dia menghampakan harapan orang lain kepadanya. Paling kurang memberi kata-kata semangat untuk meringankan kepedihan orang yang meminta pertolongannya.'
Ibn Abbas berkata:" berbuat baik kepada manusia ialah suatu ibadah kepada Allah, menarik cinta manusia dan tanda kesyukuran yang kekal."

Contohilah tindakan Said bin Jubair. Tokoh tafsir yang merupakan anak murid Ibn Abbas ini sangat aktif dalam kerja-kerja sosial dan membela nasib umat. Umar bin Ziadah berkata: "Setiap kali melihat Said bin Jubair, aku melihat beliau bak rahib. Beliau selalu berpusing ke rumah orang  tua-tua dan bertanya: 'Adakah hajat yang boleh saya belikan? Adakah kamu memerlukan bantuan?"'

Bersama-samalah kita berbuat kebaikan!

Wednesday, August 19, 2015

Jom Perlihatkan Akhlak Yang Terpuji Kepada Non Muslims!

"Sewaktu bulan Ramadhan yang lalu kami telah membuat persembahan 'flash mob' di Jalan TAR untuk memberi kesedaran tentang perjuangan Palestine. Sehubungan dengan itu  kami mengambil kesempatan untuk mengutip sumbangan  bagi rakyat Palestine yang mengalami pelbagai dugaan di sana. Kami tak menyangka antara penyumbang yang memberi jumlah wang yang agak banyak ialah tuan punya kedai yang berbangsa Cina. Menariknya mereka mengatakan bahawa mereka ingin membantu Palestin tetapi tak tahu bagaimana caranya atau kepada siapa bantuan harus disalurkan." itulah yang lebih kurang penerangan yang saya dengar daripada seorang ahli nasyid dalam satu temuramah di Radio tidak lama dahulu.

Kadangkala kita terlalu banyak berperasangka terhadap golongan bangsa dan ugama lain sehinggakan kita terlupa peranan kita sebagai orang Islam supaya berakhlak baik dan berdakwah kepada orang lain.

Semua yang dilakukan oleh orang bukan Islam adalah salah. Ataupun kebaikan yang dilakukan oleh mereka pastinya ada udang di sebalik batu. Pasti ada helah, samada hendak menipu atau memurtadkan kita. Sifat paranoid kita  menyebabkan  kita susah hendak berdepan dengan mereka yang bukan Islam atau membuat perjanjan dengan mereka.. Akhirnya yang kalah ialah kita atau dalam kata lain, Islam .



Biasa dengar perbualan sebegini?
"Eh... Orang tu Cinalah. Cina kaki tipu!"
"Eh India tu Kristian tau. Nanti anak awak murtad bila berkawan dengan dia orang tau!
"Tengok mat saleh tu. jangan dok percaya. Yahudi! Nanti dia ingat kita pengganas. Tok sahlah dok kawan rapat dengan dia.

Firman Allah yang bermaksud:
" Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang adil.

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang yang memerangi kerana agamamu, mengeluarkan kamu dari kampung halaman dan membantu orang untuk mengusir kamu sebagai teman rapat."
(al Mumtahanah 60: 8-9)

Kata seorang ustaz dalam satu rancangan tv, akhlak itu ialah tindakbalas secara spontan. Sekiranya kita lihat orang yang susah hendak melintas, dengan segera kita menolongnya, tanpa berfikir panjang. Adakalanya ketika dalam kesusahan, datang orang bukan Islam menolong kita, maka berterima kasihlah dan bermesralah dengan mereka dengan spontan, tanpa berperasangka negatif. InsyaaAllah dengan akhlak yang baik, mereka akan tertarik dengan cara kita, akhlak orang Islam. InsyaaAllah mereka akan tertarik dengan keindahan Islam dalam akhlak kita.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
" Serulah ke jalan Tuhanmu( wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat peringatan yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalanNya. Dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang mendapat petunjuk."
(an Nahl  16: 125)



Popular Posts