Showing posts with label ketenangan hati. Show all posts
Showing posts with label ketenangan hati. Show all posts

Monday, March 12, 2018

South Dakota - Badlands dan Sioux Falls Antara Sunyi dan Ketenangan Hati

Di kiri dan kanan kami pemandangannya hanya bukit berbatu semata-mata. Tiada pemandangan pohon-pohon berkayu ataupun menjalar mahupun bukit yang menghijau. Kawasan seluas 224,000 ekar ini dipenuhi dengan gunung-ganang berbatu yang gersang. Puncak-puncak bukit ada yang tajam dan ada yang mengondol seperti separa bola, membuatkan kami terasa seolah-olah berada di satu planet yang lain.  Ketiadaan tumbuhan dan bunga bunga liar melahirkan pemandangan lanskap yang agak janggal bagi kami. Namun jaluran pelbagai warna yang terdapat lereng bukit dan gondolan berwarna kuning, coklat dan kelabu berlatarbelakangkan langit biru  ini menghasilkan satu pemandangan yang memukau.

Badlands, satu nama yang agak menggerunkan bagi sesebuah tempat. Namanya di berikan oleh puak Lacota, salah satu puak American Indian yang pernah mendiami kawasan yang berhampiran sini.

Kawasan ini ada kalanya sunyi tanpa penghuni, adakalanya juga yang riuh dengan haiwan-haiwan  kecil seperti prairie dogs. Makhluk ciptaan Allah ini bukannya anjing namun sejenis tikus kecil yang comel di kawasan berumput (dipanggil prairie). Busut busut kecil memenuhi kawasan prairie menandakan kehadiran sarang haiwan kecil iras-iras chipmunks ini. Namun bukan mudah menghampiri mereka. Lincahnya pergerakan mereka seperti tikus tanah, terus menyerbu masuk ke dalam tanah.

Bagaikan susah nak dipercayai yang kawasan Badlands ini sebenarnya dulu sebuah laut yang cetek, kemudian bertukar menjadi hutan separa tropika setelah berlakunya pergerakan tanah dan letusan gunung berapi. Fosil-fosil yang ditemui oleh pihak arkeologi membuktikan kesemuanya. Daripada haiwan laut ke haiwan darat yang besar-besar, semuanya pernah menghuni tanah yang kini gersang dan seroi ini. Namun iman di hati ini harus meyakini bahawa Allah berkuasa menentukan segalanya. Dia yang menurunkan air hujan dan Dia jugalah yang berkuasa menghilangkannnya daripada tanah yang pernah dipenuhi flora dan fauna di sini.
Firman Allah.s.w.t:
"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya(hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran."
Al A'raf 7:57
Umumnya kita mengetahui, melancong merupakan satu hiburan yang mampu memberi ketenangan hati. Namun tidak  ramai yang menyedari bukan semua tempat sebenarnya sesuai untuk memberi ketenangan. Alam semulajadi antara destinasi sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

'Suara alam ialah muzik terindah  kerana keaslian dan kesucian tanpa dicemari oleh sebarang bunyi ciptaan manusia. Melihat, mendengar dan berfikir tentang alam sudah cukup bagi mereka untuk merasai keindahan Penciptanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. Laut, gunung, bukit, hutan ialah alam " semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah (alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'(1)

Namun, usah kita alpa. Melancong hanya memberi hiburan  sampingan sahaja. Hiburan asasi tetap apa yang kita wajib lakukan 5 kali sehari, yakni solat. 

'Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memebri kerehatan ada fizikal, mental, emosi dan jiwa.ia suatunkerehatan buat jiwa. 
Firman Allah" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjaditenang."
Surah al Ra'd 13: 28'(1)

Rujukan:
1. Tenang Ada di sini-Pahrol Mohd Juoi

Islamic Center of South Dakota juga salah satu destinasi dalam pengembaraan 'Islam of the Mountain West' kami ini. Terasa lebih selesa menunaikan solat di rumah Allah ini berbanding di luar dalam kesejukan yang mencengkam tulang. Alhamdulillah, sempat kami berbual sebentar dengan Imam Muhammad yang berketurunan Mesir  di Islamic Center ini. 

Friday, December 8, 2017

Nikmat Apa yang Terbaik?

Sudah agak lama saya tak bertemu dengannya. Tiba-tiba saja terserempak dengannya di sebuah restoran di ibu kota. Kawan lama. Mesti seronok dapat berjumpa dan punya ruang masa untuk berbual. 

"Macamana keadaan awak sekarang ni?
Sihat?" tanya saya, setelah duduk dan bersalaman dengannya.

"Alhamdulillah, sihat cara kita lah. Tua-tua macam ni tak secergas dulu. Dapat buat solat, berzikir, berjalan dengan sendri,tak menyusah kan orang pun dah bersyukur." katanya senyum. Kedutan dimukanya tampak jelas dimamah usia  

"Alhamdulillah. Memang kesihatan yang baik tu antara nikmat paling baik." angguk saya, tanda setuju.

"Ya. Saya setuju. Dengan kesihatan yang baik, banyak aktiviti yang boleh lakukan. Dah jadi veteran ni, bila sihat saya boleh bercucuk tanam, bersenam dan  berjalan-jalan. Harta banyak pun tak semestinya nikmat yang baik. " tambahnya lagi, sambil menghirup kopi panas yang ada di hadapannya.

"Hmm... Setuju. Rezeki yang banyak tak semestinya satu nikmat. Kadangkala membawa kepada riyak jika tak berhati-hati dan tidak bersedekah selalu. Saya rasa ada satu nikmat yang jauh lebih baik daripada nikmat sihat dan rezeki yang banyak." saya memulakan hujah.

"Nikmat apa lagi yang kita hendak sebagai manusia? Rezeki yang banyak membolehkan kita infak dan bersedekah. Kesihatan yang baik membolehkan kita beribadah selalu.bukan setakat solat 5 waktu, kita dapat belajar, beriadah...bukan ke semua tu ibadah?" tanya sahabat lama ini, hairan. 

"Ketenangan hati...itu nikmat yang paling atas sekali. Pernah tengok orang yang kaya tapi mukanya sentiasa berkerut seolah-olah dilanda masalah? Sampai nak bersembang dengannya pun susah. Kadangkala sampai ditimpa sakit teruk sebab terlalu stress." aku cuba memberi pendapat.

"Biasalah tu. manusia memang di beri Allah  dugaan dan cabaran agar dia berusaha  lebih kuat lagi. tapi selepas berjaya , dia tak stress dah. "kata sahabatku lagi.
" Tapi bila datang dugaan, dia stress lagi kan? tanya ku lagi.

"Biasa tengok orang yang sihat namun masih keluh kesah hatinya. Marah orang, baling barang  bila tak dapat sesuatu yang dikehendakinya. Orang yang sihat tubuh badan namun hatinya sentiasa tak puas hati." aku cuba memberi contoh. 

"Hmm...ramai yang macam tu. Orang-orang muda.. eh..veteran macam saya pun macam tu juga. Sihat sikit mula lah nak arah orang sana sini. Tak dapat apa yang dia nak, terus marah dan merajuk. Merajuk cara orang tua hehe." kata sahabatku, tersenyum lebar.

Perbualan kami terhenti sebentar. Masing masing leka menghabiskan roti canai yang di pesan. 

"Cuba kita lihat orang sakit pula. Orang yang sakit tapi tenang hatinya tak akan rasa resah. Dia sedar sakit itu takdir Allah kepadanya. Sakitnya pula, sekiranya dia redha, dia akan diberi pahala. " saya memulakan perbincangan kembali.

Biasanya yang sakit akan resah  dan tak tenang. Tapi yang sihat pun tak tenang  juga. Kenapa agaknya jadi macam tu?  Sakit pun resah, sihat pun tak tenang....? Tanya sahabat saya  lagi, gayanya seolah-olah mendesak untuk mendapat jawapan yang lebih konkrit.

"Tentunya ada masalah dengan hubungannya dengan Allah. Bila sihat, berapa ramai yang  beringat untuk selalu solat dan berzikir kepada Allah. Atau sibuk dengan pekerjaan, aktiviti ataupun riadah sampai solat lima waktu pun  tidak dilaksanakan. Atau di lewatkan demi untuk  mencapai apa yang dirancang (target) pada hari itu. Mungkin tak nampak kesannya pada ketika itu. Namun bila tak selesai pekerjaan itu mungkin rasa resah kembali melanda. Langsung tidak menyedari sebenarnya yang akan membantunya ialah Allah SWT! " hujah saya,cuba menerangkannya secara ringkas.

"Ok. Saya faham. Tadi kita cakap tentang orang yang sakit yang tenang bila redha dengan keadaannya. Jadi, orang yang miskin pula tetap boleh tenangkan hatinya sekiranya mereka redha dengan tahap kemiskinan mereka, betul tak?" tanya sahabat saya ini, cuba memberi pendapat.

"Hmm.. Selain daripada redha dengan ketentuan Allah, banyak lagi yang perlu mereka lakukan untuk mendapat ketenangan.  Bulan puasa baru-baru ini surau berdekatan rumah saya telah mengadakan acara pemberian duit raya kepada remaja dan kanak-kanak miskin. Tahu apa yang kami dapat tahu?"

"Mereka beritahu  rumah mereka teruk kan? Keadaan mereka asangat daif kan?" kata sahabat saya  lagi, selamba. Mungkin ini yang biasa diberitahu oleh golongan miskin kepadanya.

" Sebenarnya sebelum kami agihkan duit raya kami sengaja menyuruh mereka membaca surah Alfatihah seorang demi seorang. Malangnya ramai daripada mereka tidak tahu langsung membaca al Fatihah. Ada dalam kalangan mereka masih tergagap-gagap....tidak lancar. ..  Betapa sedihnya kami bila mendapat tahu, ibu segala surah yakni Al Fatihah pun mereka tak tahu. Khabarnya ibu bapa mereka pun jarang menunaikan solat di rumah. Inilah realiti kehidupan masyarakat msikin di pinggir bandar. Cuba bayangkan seluruh keluarga jarang menunaikan solat lima waktu setiap hari. Masing-masing terlalu sibuk dengan aktiviti dan pekerjaan." keluh saya. 

Oh..tak tahu nak baca al Fatihah, macamana nak solat? Astaghfirullah...." kata sahabat saya ini, menggeleng kepalanya. Menyesal dengan keadaan sedemikian.,

"Sebab itulah orang yang miskin tak semestinya tenang hatinya dengan hanya redha dengan keadaannya sahaja. Habluminallah, yakni hubungan dengan Allah tidak dijaga. Bagaimana Allah hendak membantu mereka?" saya terus memberi pendapat.

"Oh... Baru sekarang saya faham. Sebenarnya ketenangan hati itu berkait rapat dengan hubungan dengan Allah." kata sahabat saya ini, mengangkat jarinya telunjuknya, seolah olah memberi penerangan. Saya terus mengangguk tanda setuju. 

,"Ada satu ayat al Quran yang boleh kita jadikan rujukan,
Firman Allah:
" Ketahuilah dengan mengingati Allah( zikrullah) hati akan menjadi tenang."
Surah Al Ra'd 13: 28
Jom kita sama-sama rapatkan hubungan kita dengan Allah untuk mendapat nikmat ketenangan hati,"ajak saya sebelum bersalaman, sambil melangkah keluar dari restoran tersebut.

Jujur, saya sendiri juga belum masih  mendapat ketenangan hati yg hakiki. Masih resah bila di datangkan kesakitan dan dugaan hidup. Namun, berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai nikmat ketenangan itu perlu. Malah, usaha itu juga akan diberi ganjaran oleh Allah kelak, Insha Allah.

Popular Posts