Monday, July 29, 2013

Bersemuka dengan Amish di Cleveland,Ohio

Mesopotamia biasanya di kaitkan dengan kerajaan Babylon yang sekarang ini di dalam negara Iraq. Namun begitu Mesopotamia yang kami singgah di Cleveland ini sangat berlainan daripada biasanya yang kita gambarkan tentang Mesopotamia, sebuah taman tergantung Babylon yang dikatakan menjadi salah satu taman keajaiban dunia. 

Ketika kami singgah di sini tidak pula kami ambil kisah tentang nama perkampungan ini kerana target kami hanyalah sampai ke sebuah perkampungan Amish. Terasa pelik bagaimana nama Mesopotamia disini. Mungkin ada sejarah tersendiri. 

Kami berhenti di sebuah persimpangan di perkampungan tersebut. Di sini terdapat sebuah stesen minyak, sebuah kedai runcit dan beberapa buah kedai lain. Keadaan di sini sangat sunyi walaupun ia hari bekerja. 
Kami memilih untuk masuk ke dalam sebuah kedai runcit yang kami kira dapat bersemuka dengan orang Amish sendiri.

 Kedai yang berlantaikan kayu ini agak besar. Sekilas pandang kedai ini mengingatkan aku tentang ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular satu ketika dahulu  tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. Cashier kedai tersebut berpakian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skarf kecil. 

Kedai yang kami singgah ini 'End of the Commons General Store' rupa- rupanya kedai runcit yang tertua  di Ohio. Ia dibuka pada tahun 1840. Walaupun tertua, kedai ini mempunyai website di internet yang boleh kita pesan secara online  www.endofthecommons.com

Kedai ini terbahagi kepada beberapa bahagian seperti sebuah pasar mini yang besar. Antaranya  bahagian makanan basah, makanan kering, produk rempah dan sos, peralatan masak dan juga yang agak pelik ialah bahagian  pakaian. 

Pakaian orang Amish hanya mempunyi beberapa tona warna dan tidak bercorak. Di kedai ini dijual dari  pakaian 'simple' yang mereka pakai dirumah atau di ladang  hinggalah pakaian rasmi dan juga topi dan skarf yang biasanya mereka pakai semasa menghadiri upacara rasmi.  Orang Amish juga mempunyai kepakaran membuat krafangan yang berkualiti tinggi seperti membuat quilt dan pertukangan kayu.


Salah satu daripada barang yang kami beli di sini selain  daripada pemegang kunci dan gelas  kecil ialah gula- gula buatan sendiri. Ya, orang Amish masih membuat gula-gula sendiri yang mempunyai pelbagai perisa!

Melangkah keluar daripada kedai yang begitu unik ini , kami bersyukur kerana diberi peluang untuk bersemuka dengan orang Amish dan memahami cara hidup mereka. Walaupun berbeza dengan cara hidup yang dikehendaki oleh Islam dari segi penerimaan teknologi dan pendidikan., mereka mempunyai ciri-ciri positif yang boleh diikuti terutama sekali dari segi pergaulan yang terjaga  dan kegigihan bekerja.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts