Thursday, February 21, 2019

Sejenak di Restoran halal dan Taman di Columbus

Dari jauh restoran halal ini kelihatan  kecil dan lama. Namun bahagian dalamannnya kelihatan kemas dan 'homely'. Restoran Durbo,sebuah restoran Somalia antara tumpuan pelajar muslim di Columbus. Kami singgah di sini sebelum menuju ke rumah anak kami tidak jauh daripada Ohio State University. 
Kami hanya memesan hanya 3 hidangan di sini memandangkan jumlah setiap hidangan sangat banyak. Bahkan ada hidangan di sajikan terus dalam talam!Alhamdulillah, sedap juga makanan yang disediakan di sini.
 
Tuttle Park hanya terletak tidak jauh dari apartment anak kami




. Taman ini merentasi Sungai Olentangy Pemandangan air sungai yang  mengalir perlahan menyejukkan mata bagi orang yang bersiar-siar. Ramai pelajar pelajar universiti yang tinggal berhampiran taman ini mengambil peluang berjogging dalam cuaca yang panas ini. Bagus juga melakukan aktiviti sebegini terutama di waktu petang.
Sungguh, Allah mengurniakan anggota badan kepada kita dan mengamanahkan kita menjaganya. Setiap anggota badan punya hak untuk dijaga agar ia sentiasa sihat. Sebagai orang Islam kita harus percaya hak anggota badan itu harus dijaga samada yang fizikal mahupun rohani. Ini sebab kedua-duanya saling berkait. Benar apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Tenang Ada Di Sini
 
'Anggota badan umpama  anak sungai yang mengalirkan air ke hati. Sekiranya pancaindera dan anggota badan terlibat dengan maksiat seperti mengumpat, mengadu domba, memandang yang haram dan bercakap kotor, maka itu umpama air berkeladak yang akan mencemarkan kejernihan hati. 

Sebaliknya jika pancaindera membuat banyak kebaikan seperti memakan makanan yang halal, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya, maka anak sungai yang mengalir ke hati ialah air yang jernih dan bersih. Hati akan bersinar dan bercahaya jadinya.' 
Semoga kita bersama-sama menjaga pancaindera kita. 

Friday, January 4, 2019

Petempatan Arab di Michigan




"Banyaknya papan tanda dalam bahasa Arab!",bisik hati kami. Di kiri dan kanan sepanjang jalan ini bangunan dan  papan tanda iklan kebanyakannya diselitkan dengan bahasa Arab. Terasa seolah-olah berada di satu negara Arab pula sedangkan kami berada tidak jauh daripada Detroit di Michigan. 

Rupa-rupanya tempat ini, Dearborn merupakan petempatan orang Arab terbesar di Amerika Syarikat. Patutlah nampak banyak iklan makanan Arab di sepanjang Warren Avenue ini.  Mengikut perangkaaan terkini menunjukkan terdapat lebih 40 000 keturunan Arab di sini. Berdasarkan sejarah, kumpulan orang Arab yang pertama berhijrah ke sini beragama Kristian. Awal abad ke 20 ramai imigran Arab yang beragama Islam mula bertapak di sini, kesan dari Perang Teluk dan perang saudara. Antara mereka ada yang berasal dari Yaman, Iraq, Syria, Palestin dan Lebanon. Kami sempat singgah di New Yasmeen Bakery untuk membeli roti dan beberapa makanan yang lain buat bekalan perjalanan seterusnya. Selain daripada roti,baklava dan makanan halal daripada luar negara, mereka juga  menjual makanan yang sudah siap di masak seperti pasta serta nasi dan lauk Arab di bahagian cafe. Mudahnya nak dapat makanan 100% halal yang di hasilkan oleh orang Islam di kawasan Dearborn ini. Mengikut Zabihah.com terdapat lebih daripada 180 buah restoran dan kafe halal di sekitar kawasan ini. Bahkan kafe halal yang menjual burger dan pizza juga terdapat di stesen-stesen minyak. Satu-satunya muzium National Arab American di Amerika Syarikat juga terdapat di sini. Malangnya kami tidak berpeluang untuk singgah disebabkan kesuntukan masa. Beberapa sekolah Islam juga didirikan di sini. Oleh itu, lebih mudah bagi anak-anak orang Islam mendapat ilmu tentang agama Islam khususnya tentang fiqh dan al Quran. Kita tidak tahu mengapa ramainya orang Arab yang berhijrah ke Amerika Syarikat meskipun kadangkala berdepan dengan isu Islamophobia. Disebalik penghijrahan ini pastinya terselit seribu hikmah bagi mereka dan orang di sekitar mereka. Selain kesusahan yang dihadapi terutama generasi awal, mereka juga punya peranan untuk berdakwah pada orang di sekeliling. Dan perkara yang utama dalam berdakwah ialah mempunyai akhlak yang baik. Untuk  kekal menjadi contoh akhlak yang baik,  penghijrahan mesti bermula daripada hati sendiri.
'Jika sebelum ini kita hanya percaya kepada Allah, marilah hijrahkan hati supaya yakin kepada Allah. " Percaya " hanya berlegar di kepala (mengetahui), tetapi  belum lagi  meresap ke dalam hati(merasai)
Yakin kepada Allah Yang Maha Melihat berbeza dengan hanya mengetahui Allah Maha Melihat. Mengetahui itu cukup dengan dalil dan hujah- kita peroleh dengan belajar. Tetapi untuk merasai perlukan penghayatan dan pengamalan - kita peroleh dengan mujahadah dan ibadah. 
Untuk sah menjadi Muslim, cukup dengan beriman pada tahap percaya. Tetapi agar iman memberi impak kepada perlakuan dan kehidupan, kita perlukan iman pada tahap yakin. Hanya iman pada tahap yakin mampu meninggalkan kejahatan. Misalnya, hanya orang yang "rasa" Allah melihat mampu untuk tidak mencuri  tetapi orang yang hanya  tahu Allah melihat masih tega melakukannya.'
Tenang di Hati- Ustaz Pahrol Mohd Juoi 
Bersambung.
https://en.m.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Middle_Eastern_people_in_Metro_Detroit https://wdet.org/posts/2016/09/09/83848-a-closer-look-at-muslim-populations-in-dearborn-and-hamtramck/ https://www.huffingtonpost.com/brian-stone/what-if-america-looked-like-dearborn_b_9328288.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Dearborn,_Michigan

Pulau Kecil Di Sempadan Negara


Dulu pulau ini hanya digunakan untuk padang ragut ternakan sahaja. Masa berlalu. Disebabkan kedudukannnya berhampiran bandar dan sempadan Amerika Syarikat dan Kanada,  pulau ini dijadikan satu tempat rehat warga kota.
Belle Isle terletak dalam daerah Detroit, salah satu kota yang sangat maju suatu masa dulu dengan kehadiran industri Motor Ford. Namun beberapa tahun yang lalu Detroit telah diisytiharkan bankrup dan banyak tempat tempat menarik dan perniagaan besar di sini telah ditutup. Setelah pengurusan Belle Isle ambil alih oleh syarikat persendirian, barulah tempat ini kelihatan menarik kembali. 

Untuk sampai ke sini amat mudah. Sebuah jambatan didirikan bagi menyambungkan tanah besar dan pulau ini. Jadi kami boleh memandu kereta sahaja untuk sampai ke sini tanpa perlu menaiki bot. 

 Menariknya hampir keseluruhan pulau ini ini adalah satu taman rekreasi.  Sebuah 'conservatory' (rumah kaca), akuarium, taman kolam air pancutan, muzium, pusat alam semulajadi,  pantai antara tempat kunjungan ramai di sini. Oleh itu pelbagai aktiviti keluarga dapat dijalankan di Belle Isle ini. 

Kami hanya sempat singgah  tiga tempat sahaja di sini memandangkan kami datang selepas menunaikan solat Jumaat di Dearborn.  Kebanyakan tempat yang mempunyai bangunan tertutup dibuka sehingga 5 petang sahaja.
'Conservatory' atau rumah kaca ini antara yang tertua di Amerika Syarikat(mula didirikan pada tahun 1904). Ruang didalamnya dibahagikan mengikut jenis tumbuhan. Antaranya tumbuhan tropika, tumbuhan padang pasir dan paku pakis. Tumbuhan di sini disusun menarik dan kebanyakan dilabel untuk pengetahuan pengunjung. Tanpa 'Conservatory' ini mungkin tumbuh-tumbuhan tersebut tak dapat hidup sebab musim dingin di kawasan Detroit biasanya suhunya rendah dan diliputi salji. Bahagian luar dan belakang 'conservatory' dihias indah dengan kolam dan tumbuhan berwarna warni yang boleh kekal hidup  dengan 4 musim. Malangnya kami kekurangan  masa untuk melawat bahagian hadapan 'conservatory' ini sebab ia ditutup beberapa minit selepas kami keluar daripada bahagian rumah kaca ini. 

Singgah sebentar di kolam pancutan air  dalam cuaca panas memang menyejukkan  walaupun sekadar menyaksikan dan mendengar air memancut ke atas dan deruan air mengalir ke bawah. Rupanya ramai juga yang datang ke sini sebentar untuk melihat keindahan kolam ini. Seketika kami terpandang seorang jurufoto  mengambil gambar sepasang pengantin muslim untuk diabadikan hari istimewa mereka. Daripada rupa paras mereka kami mengagak mereka berketurunan Arab. 

Kanada kelihatan sangat dekat, hanya diseberang sungai sahaja. Bangunan-bangunan di bandar Windsor seberang sungai Detroit sangat jelas dari taman ini. Namun untuk sampai ke Kanada memerlukan bayaran visa sebanyak USD 150 setiap seorang. Tak berbaloi sekiranya seseorang hanya pergi ke sana sehari dua sahaja. 

Perkhidmatan bot dan ferry cruise menyusuri sungai ini juga disediakan oleh kedua-dua pihak Kanada dan Amerika Syarikat. Biasanya musim panas inilah musim paling ramai pelancong menaiki bot dan feri ini.  Untuk tahu yang mana satu bot Amerika dan yang mana satu bot Kanada bolehlah  kita  lihat pada bendera yang dipasang di bot tersebut. 

Melihat air sungai Detroit yang mengalir tenang mengingatkan saya tentang ayat terakhir daripada surah al Mulk, satu surah yang dianjurkan kita membacanya setiap malam dan telah saya pelajari di kelas tafsir Harfiyyah:
" Katakanlahn( Muhammad),Adakah kamu tengok (berfikir) jika telah berlaku air kamu menjadi kering, maka siapa yang membawa untuk kamu dengan air (mata air) yang mengalir (daripada perut bumi)?"
Al Mulk 67:30
Nikmat air biasanya dipandang  mudah bagi kita di Malaysia ini. Allah s.w.t. berkuasa menarik nikmat air ini dengan spontan sahaja dan pastinya kita akan resah. Air adalah nikmat yang sangat penting bagi kita dan makhluk hidup di bumi ini. Jangan alpa dengan segala nikmat yang diberikan Allah yang telah dan sedang kita kecapi selama ini.

Wallahualam.

Friday, November 23, 2018

Secekak Bunga Lavender

Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?

Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
 Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English  Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu. 
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor  lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas. 
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga.  Kaedah U pick  ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan 
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?

Kedai Ladang Lavender-satu idea agrotourism

Tempat pertama yang kami tuju ialah kedai ladang itu yang terletak betul-betul di belakang rumah tersebut.  Papan tanda  'U pick Starts Here ' memudahkan kami tahu apa yang perlu dilakukan sebaik saja sampai di ladang itu. Oleh itu tidaklah perlu kami mundar-mandir di situ menanyakan orang di sana. Satu idea yang baik bagi tuan punya dusun atau ladang di Malaysia yang ingin mengusahakan perniagaan 'U Pick' atau seumpamanya seperti agrotourism.
Sebaik saja melangkah masuk, kami ternampak pelbagai produk lavender yang dihasilkan oleh pihak ladang ini. Sabun, minyak dan potpurri antara puluhan produk yang boleh dihasilkan oleh bunga kecil ini. Gaya susun kedai ini nampak kemas dan profesional meskipun tereltak dalam sebuah ladang. Terdapat sampel minyak wangi lavender yang boleh di hidu sebelum pelanggan memilih mana yang berkenan di hati. Sampel lavender kering  dipamerkan utk pelanggan lihat sebelum membuat keputusan membeli potpurri atau produk bunga kering. Produk lukisan lavender di atas ceramic, kotak kayu dan kad juga di jual disini. Semuanya berkenaan alam bunga lavender. 

Sebelum kami melangkah ke arah ladang lavender ini, kami singgah sebentar untuk minum jus lavender sejuk yang di campurkan dengan lemon.  Ini disediakan oleh pihak ladang secara percuma. Ya, lavender juga boleh dijadikan jus. Sangat sesuai diminum sebagai pembasah tekak dalam cuaca yang sangat panas ketika itu selain daripada punya khasiat yang pelbagai. 

Kadangkala bila kita mengembara, banyak pengetahuan yang kita perolehi yang boleh digunakan untuk membangunkan atau menambah baik ekonomi negara kita. Mungkin kita bukan dalam bidang perniagaan agrotourism mahupun pelancongan. Namun tak salah kiranya kita dapat mewar-warkan idea-idea menarik agar dapat diketengahkan kepada pihak yang melaksanakannya. Setiap perbuatan yang baik, insha Allah akan mendapat balasannya. Rebutlah balasan Allah yang lebih besar. 
Firman Allah:

" Bersegeralah memohon keampunan Allah. Syurga seluas langit dan bumi disediakan untuk orang yang bertakwa. iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan."
Surah Ali 'Imran 3: 133-134)
Bersambung

Singgah Sebentar di Ladang Lavender

Allah anugerahkan bunga ini antara bunga kegemaran wanita selain daripada bunga ros. Sebagai pencinta bunga memang sudah  lama saya idamkan lawatan ke ladang bunga ini. Namun setiap kali ke negara ini atau negara negara lain, saya belum berkesempatan melawatnya. Takdir Allah saya selalu  tiba sebelum musimnya atau musim menuainya sudah berakhir, ataupun cengkaman masa semasa mengembara menyebabkan rancangan sering tertunda.

Sebut saja lavender, mesti ramai yang mengingati warna ungunya. Meskipun lavender wujud dalam warna-warna lain, namun warna ungulah yang paling diminati. Umumnya ramai yang mengetahui tentang pelbagai kegunaan lavender, sejenis bunga yang terkenal dengan  keharuman yang istimewa. 

Lavender Hills Farm sebuah ladang yang terletak di kawasan luar bandar Niles, Michigan. Sengaja saya pilih sebuah ladang U Pick yang membolehkan kami melihat secara dekat dan mendapat pengalaman menuai bunga yang unik ini.  

Kami di sambut dengan satu pemandangan yang menarik bila setibanya di Lavender Hill Farm ini. Sebuah rumah kayu kecil yang dihadapannya tersusun deretan bunga lavender ungu yang sedang kembang mekar. Subhanallah. Sangat indah. 

Melangkah ke bahagian belakang rumah ini barulah kami ternampak ladang lavendernya yang luas. Dari jauh kelihatan seperti sebuah padang rumput yang ungu. Namun di asingkan mengikut jenis-jenis yang berlainan. 
Bila berbincang tentang bunga, kita sering mengaitkannya dengan keindahan dan keharumannya. Kadangkala bunga juga boleh dikaitkan dengan kebaikan.
 
'Jika kebaikan yang diberi, sekalipun tersembunyi, pasti akan ketara jua akhirnya. Tangan yang menghulurkan bunga mawar, pasti harum baunya. Namun sebaliknya, meskipun pandai berkilas, kejahatan pasti terbalas.'
Dimana DIA diHatiku-Pahrol Mohd Juoi.
Bersambung

Pengaruh Belanda di Michigan

Sebut saja Holland, mesti ada yang teringat tentang Belanda. Negara yang terkenal dengan bunga tulips dan kasut kayu yang digelar clogs. Holland yang kami singgah ini tidak terletak di Belanda. Holland ini sebuah bandar yang terletak di tepinTasik Macatawa dan tidak jauh dari Tasik  Michigan.
Nama Holland sudah pasti memberi gambaran tentang pengaruh budaya Belanda di sini. Kawasan mula di diami secara besar besaran oleh imigran Belanda sekitar tahun 1880an. Asalnya kawasan ini di didiami oleh kaum native Americans.

Kemuncak tempat ini ialah sewaktu Tulip Time Festival. Tulip festival difokuskan kepada pameran budaya orang Belanda dan hiasan beribu-ribu  bunga tulip di satu kawasan yang sangat besar,  hampir sama dengan floria fest yang diadakan di negara kita. Biasanya Tulip Festival di Holland ini ialah pada bulan Mei, sedangkan kami tiba di sana pada bulan July. Saya berkesempatan ke Tulip Time Festival di Pella, Iowa pada tahun 2012. Ketika itu sebahagian besar  bandar itu dihias istimewa bagi acara tersebut. 

 Tempat yang kami tuju ialah sebuah kawasan pelacongan. Takdir Allah kami terlewat sampai ke Windmill Island Gardens. Tempat ini  telah ditutup pada pukul 5 petang. Walau bagaimanapun pelawat dibenarkan bersiar-siar di kawasan persekitarannya. 

Meskipun bunga tulips tidak kelihatan di sini sebab musimnya sudah habis, bunga-bunga lain yang pelbagai warna n mekar kembang menghiasi sebahagian besar taman ini. Sungguh, fitrah manusia suka kepada pelbagai warna. Bunga-bunga yang terhasil daripada  makhluk ciptaan Allah ini memberi ketenangan setiap kali memandang.  

Rasulullah s..a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Satu petikan yang sering mengingatkan diri:
'Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang yang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. 

Laut,  gunung, bukit, hutan ialah alam "semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah(alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'
 Tenang Ada di sini - Pahrol Mohd Juoi

Popular Posts