Wednesday, February 15, 2017

Teman Istimewa

Lebih sebulan yang lalu saya kehilangan seorang teman. Teman untuk berdoa, teman untuk mengaji quran, teman untuk bersembang. Teman ini saya hubungi  hampir setiap hari. Walaupun ia hanya sekadar panggilan talipon dan bersua muka kadang-kadang.
Pahit bagi saya melepaskannya pergi walaupun saya tahu qada' dan qadar Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Setiap kali mengalun ayat al Quran yang sering kami baca bersama, setiap kali itu lah  juga mulut ini terhenti ..susah untuk meneruskannya. Usah fikir berapa kali air mata ini mengalir deras bila teringatkan doa yang sering kami panjatkan kepada Allah bersama-sama. Istimewanya doa temanku ini antara doa yang tidak terhijab kepada diri dan adik-beradik saya yang lain.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:" Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu doa seorang bapa(dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi."
( Riwayat Abu Daud no 1536, al Tirmizi no 3448 dan Ibn Majah no 3862)

Syukur ya Allah memberi masa 54 tahun untuk bersama teman ini sejak dalam kandungan lagi. Kasih sayang teman kepada diri ini tak pernah luntur sebegitu lama.
Ya, teman istimewa ini ialah ibu saya sendiri.
Ya Allah, luaskan kubur ayah dan ibuku sebagaimana luasnya mata memandang seperti  kubur para mukmin dan wangikan kubur mereka dengan haruman syurga dan sinarilahnya dengan cahaya syurga. Jangan di sakiti mereka dengan siksaan malaikat di alam kubur.
Ya Allah, ampunilah dosa ayah dan ibu kami dan masukkanlah kami ke dalam syurga firdaus mu kelak. Insha Allah kita akan bertemu kembali di sana, ayah dan emak.
Allahuakbar...cukup sebulan emak meninggalkan kami,  Khamis 12 jan  2017 jam 5.15 petang, Allah menganugerahkan saya seorang cucu lelaki.,Khamis  9 Febuari  jam 5 petang. Walaupun jauh di perantauan orang, Tok akan tunggu agar Adam, ahli baru dalam keluarga ini dapat menjadi teman tok bila Adam besar kelak.

Tuesday, December 6, 2016

'God, May I Ask' , Mungkinkah karya Salahuddin Al Ayubi?


Saya meminta KEKUATAN 
dan Allah memberi saya KESULITAN untuk membuatkan saya KUAT.
Saya bertanya tentang KEBIJAKSANAAN 
                           dan Allah memberikan saya MASALAH untuk DISELESAIKAN.

Itu sebahagian daripada sebuah puisi yang dideklamasikan oleh seorang dj radio IKIM tidak berapa lama dahulu. Sewaktu mendengarnya terasa seolah-olah bait-bait puisi ini sangat ' familiar',seakan pernah mendengarnya satu ketika dahulu.

Detik itu saya terus teringat tentang sebuah 'poem' berbahasa Inggeris yang pernah saya baca beberapa tahun lepas. Sewaktu mengadakan kelas English Communication di rumah,  pernah saya  menyuruh pelajar pelajar saya mendeklamasikan puisi ' God, May I ask' bagi salah satu persembahan terakhir mereka bagi kelas tersebut. Bila dibandingkan dengan puisi bahasa Melayu yang saya dengar di radio IKIM, saya pasti maksud puisi ini hampir sama dengan puisi 'God May I ask'.

Walaupun puisi ini sangat menarik,namun saya masih tidak tahu siapakah pencipta puisi ini sekian lama. Lebih 10 tahun yang lalu saya telah mula menggunakan puisi ini di dalam kelas. Alangkah terkejutnya bila pengacara radio  ini memberitahu bahwa puisi ini sebenarnya karya Salahuddin Al Ayubi, seorang pahlawan Islam yang terkenal dengan kejayaannya menakluk Jerusalem satu ketika dahulu. Istimewanya di sebalik kepahlawanannya ,Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia.apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem, malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.Kehidupan pemimpin sangat sederhan(zuhud) sehinggakan diakhir hayatnya hartanya tidak cukup walaupun hanya sekadar kos pengkebumiannya. Allahuakbar.

Pulang ke rumah saya cuba mencari puisi versi bahasa melayu ini di internet. Berdasarkan beberapa sumber, saya mendapati puisi ini memang antara karya Salahuddin Al Ayubi. Namun kesahihan tentang penulis karya ini hanya sahkan sekiranya saya temui  sumber-sumber lain mengenainya . Sekiranya benar, sayalah antara orang yang sangat bersyukur bertemu dengan puisi berbentuk ketuhanan yang sangat memberi kesan kepada diri ini.

Menghayati puisi ini, sudah pasti memberi pelbagai pengajaran kepada kita. Dari mengajar kita supaya selalu berdoa hinggalah yang redha dengan apa yang Allah telah tentukan kepada kita. Benarlah apa yang Allah katakan kepada kita,
 Firman Allah yang bermaksud:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah Maha  Mengetahui sedang kamu tidak mengeahui."
(Surah Al Baqarah 2:216)

Sumber rujukan :
http://www.poemsonly.com/poem/1591
http://nauratulhidayah2.blogspot.my/2011/12/kata-kata-renungan-dari-salahuddin-al.html
http://kopiahkuning.blogspot.my/2012/05/kisah-sahabat-3-salahuddin-al-ayubi.html

Friday, November 4, 2016

Geyser, Kawah dan Mata Air Panas Yang Berwarna Warni


Dari jauh  arus sungai yang berasap itu kelihatan  meluncur deras ke bawah. Terlalu deras Seolah-olah seperti air terjun! Namun arus sungai ini bukan seperti arus sungai yang biasa. Sungai ini agak merbahaya didekati sebab suhu airnya tinggi.

Kami berjalan menaiki boardwalk yang disediakan oleh pihak Yellowstone National Park untuk mencari sumber air sungai yang panas ini. Subhanallah! Bahagian atas ini rupa-rupanya beberapa tasik yang dikelilingi selut panas. Sungai yang mengalir ke bawah kelihatan berasal daripada sebuah kawah yang sangat besar!

Kata orang 'a picture is worth a thousand words'. Sekeping gambar boleh memberikan pelbagai tanggapan  dan penceritaan . Namun sekeping gambar tak akan dapat menceritakan perasaan seseorang mengalaminya. Dalam konteks pengembaraan, biar seribu gambar yang dipaparkan tak akan sama dengan apa yang dinikmati semasa berada di satu-satu tempat yang istimewa.

Secanggih mana pun google street view yang membolehkan kita menikmati pemandangan secara dekat dan terperinci tentunya tidak sama apa yang kita rasai oleh 5 pancaindera anugerah Allah ini. Kehadiran kami di sini membolehkan kami menggunakan pancanindera yang dianugerahkan Allah utk menyaksikan pelbagai bentuk ciptaan Allah dan mendengar pelbagai aktiviti geothermal. Bahang mata air panas yang dihasilkan oleh bermacam-macam sumber kurang terasa walaupun berada betul-betul di hadapannya. Cuaca ketika itu sangat sejuk menusuk ke tulang.

Geyser Elxcelsior yang menghasilkan kawah ini pernah dinobatkan sebagai geyser yang terbesar di dunia. Geyser ini pernah meletuskan air setinggi 90 meter pada tahun 1880an. Geyser ini sudah lama tidak meletus namun ia mampu mengeluarkan air panas sebanyak 15 000-17 000 liter setiap  minit. Dan air daripada situlah yang membentuk air sungai panas yang kami saksikan sebelum naik ke kawasan ini.

Selut di sekeliling bawah board walk(jalan berpapan) sejauh 800 meter ini tampak agak gelap. Namun jangan tertipu dengan keadaan selut sebegini sebab melangkah ke dalamnya mungkin membawa maut. Selut ini adakalanya selut yang bergelegak dan tanahnya mungkin boleh mendap sangat dalam.

Melangkah lebih jauh ke dalam kawasan ini memberi peluang bagi kami menyaksikan satu panorama yang sangat unik. Mata air panas yang airnya kebiruan manakala airnya sedikit demi sedikit bertukar kepada  kemerahan semakin jauh ke arah tebingnya. Tampak sejuk namun sebenarnya stim di kawasan tengah mata air ini suhunya lebih 90darjah celsius. Hampir mencecah suhu air mendidih.

Grand Prismatic merupakan mata air panas yang ketiga terbesar di dunia Sukar hendak dipercayai di sebalik kepanasan sebegini wujudnya habitat mikroorganisma ciptaan Allah hidup di sini. Ahli sains mendapati wujudnya bakteria dan mikroorganisma lain yang hidup di kawasan air panas ini. Mikroorganisma ini membentuk habitat mereka yang dikenali sebagai 'bacterial mats'. Habitat ini sebenarnya seperti sebuah hutan kerdil (miniature), dimana ada yang tumbuh menegak seperti pokok dan ada yang hidup di bahagian bawahnya. Sungguh cantik kerana 'bacterial mats' ini terdiri daripada pelbagai warna. Sebenarnya warna  kemerahan yang kami saksikan itu bukannya air tapi tempat tinggal mikroorganisma yang hidup di air panas.

Sekilas pandang bagi kebanyakan pelancong, panorama di sini hanya satu pemandangan indah yang luar biasa. Mungkin tidak terfikir langsung tentang bagaimana ia terjadi sebegini. Tidak terlintas di minda masing-masing tentang betapa berkuasanya Allah menciptakan sekecil-kecil makhluk mikro yang berjaya menghasilkan habitat yang berwarna warni. Namun bagi seseorang yang percaya tentang kewujudan Allah sebagai pencipta, sekurang-kurangnya tentunya kagum bagaimana makhluk sehalus ini dapat hidup dalam air panas sebegini sepanjang hidupnya.Suatu yang tidak mungkin dapat diciptakan oleh makhluk yang lemah bernama manusia! Maka benarlah firman  Allah yang bermaksud:
 "Wahai manusia ! Telah dibuat suatu perumpamaan, maka dengarkanlah! Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptanya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka tidak akan dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah. Mereka tidak mengagungkan Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa."
Al Hajj: 73-74

Rujukan
1.https://en.m.wikipedia.org/wiki/Excelsior_Geyser
2. http://travel.nationalgeographic.com/travel/national-parks/yellowstone-national-park/#/gray-wolves-yellowstone-snow_92686_600x450.jpg
3. .http://www.yellowstone-notebook.com/excelsior.html

Thursday, October 27, 2016

Dikelilingi Asap Putih

Kawasan ini sangat besar dan penuh dengan asap putih.  Bukan asap daripada pembakaran terbuka . Bukan juga dari kilang kilang. Asap ini keluar dari permukaan bumi, celah-celah lubang tanah juga melalui rekahan batu-batu besar. Menakjubkan, sebab asap ini berada di merata-rata tempat samada jauh disebalik bukit, di tengah padang mahupun di tepi-tepi jalan. Seolah-olah hampir keseluruhan kawasan ini terbakar tapi tanpa bau asap yang menyengitkan.

Taman negara yang pertama di Amerika Syarikat, Yellowstome National Park meliputi kawasan seluas hampir 9000 km persegi. Sangat luas, sehinggakan ia  menjadi habitat semulajadi bagi hidupan liar yang terancam dan tumbuhan unik yang mampu menarik jutaan pelancong setiap tahun. Bison dan elk antara hidupan liar yang tidak kisah dengan kehadiran pelancong di sini.

Sukar nak dipercayai, namun berdasarkan kajian ahli geologi  sebahagian  besar kawasan ini sebenarnya berada di atas sebuah gunung berapi pendam (slumbering volcano) yang berkemungkinan boleh kembali meletus bila tiba masanya! Atas keadaan sebeginilah wujudnya geyser, mata air panas, lumpur panas dan kawah air panas. 

Subhanallah, Pelbagai pemandangan indah yang wujud hasil cetusan gunung berapi ratusan juta tahun dahulu. Dikatakan di sinilah juga tempat yang paling banyak geyser di dunia!Geyser ialah mata air panas yang menyembur secara berkala sambil  mengeluarkan air panas dan stim ke udara.   'Old Faithful' antara geyser yang  popular, boleh meletus sehingga ketinggian 140 m dengan suhu melebihi 110 darjah celcius! Walaupun bukan geyser yang tertinggi di sini, namun Old  Faithful antara yang paling kerap meletus. Alhamdulillah Teknologi canggih terkini membolehkan kita melihat secara 'live' letusan geyser ini  di https://www.nps.gov/features/yell/webcam/oldFaithfulStreaming.html

Taqdir Allah, sewaktu kami ke sana 'Old Faithful' baru saja habis meletus. Untuk menunggunya meletus kembali  mengambil masa, cukuplah sekadar melihat letusan-letusan kecil di kawasan tersebut. Kawasan untuk menyaksikan letusan 'Old Faithful' didirikan seperti melihat sebuah pertunjukkan. Bangku-bangku besi disediakan bagi mereka yang menunggu letusan 'Old Faithful'.  Atas sebab sebab keselamatan pengunjung tidak dibenarkan berada dekat  dengan geyser.

Panaroma di sini cukup menakjubkan.  Disebalik kesejukan salji yang mencengkam tulang, asap-asap putih dari geyser dan mata air panas menyamankan suasana . Kami meneruskan perjalanan untuk meneroka Taman Negara ini.

Tika teringat mata air panas yang berkepul-kepul asapnya berada di hadapan mata, ayat al Quran ini menjadi petunujuk tentang kekuasaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah engkau tidak memerhatikan, bahawa Allah  menurunkan air dari langit , lalu diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhkanNya tanaman-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian menjadi kering, lalu enkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikanNya hancur berderai-derai. Sesungguhnya terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai akal."
Az Zumar 39:21

Bersambung
Rujukan:
https://en.wikipedia.org/wiki/Yellowstone_National_Park
http://travel.nationalgeographic.com/travel/national-parks/yellowstone-national-park/#/gray-wolves-yellowstone-snow_92686_600x450.jpg
https://www.nps.gov/yell/index.htm

Friday, October 21, 2016

Dataran Salji...

Kami terpaksa menukar laluan yang hendak kami tempuhi. Laluan yang dirancang terlebih awal telah
 di tutup kesan daripada ribut salji malam sebelum itu.

Merancang jalan-jalan yang hendak dilalui semasa pengembaraan sangat penting dalam pengembaraan. Bukan saja sebelum bermulanya keseluruhan pengembaraan, malah setiap malam atau setiap pagi sebelum bertolak ke satu-satu destinasi perlu juga dikenal pasti. 

Laluan alternatif ini agak jauh. Terpaksa menempuh 3 negeri, Idaho, Montana dan Wyoming. Walaupun sebenarnya kami bertolak dari Wyoming dan tempat yang dituju juga terletak di Wyoming yang jaraknya hanya lebih kurang 110 km sahaja kami redha dengan ketentuan Allah. Bagi pengembara, kita mesti sentiasa bersikap terbuka dengan kejadian alam sebegini.

Kami melalui satu kawasan berhutan, Targhee National forest. Tompok tompok putih salji menutupi lantai hutan serta pangkal pokok-pokok pain  Hutan ini agak besar. Sejuk mata menyaksikan pemandangan hutan sebegini indah. Disebalik kehijauan daunan pokok pain diwarnai pula salji yang memutih di bahagian bawah.

Keluar daripada hutan ini, kami terkejut apabila mendapati kami berada di padang yang luas dan memutih nun jauh mata memandang Salji? Tapi kami berada di tanah datar,bukannya di kawasan berbukit. Subhanallah ..memang menakjubkan.Setelah beberapa ketika barulah kamimpasti yang memutih itu salji.

Disekeliling kami 360 darjah, kesemuanya dataran salji yang luas. Agak tebal sebab sangat sedikit kelihatan tanah dibahagian bawah. Allah jua yang menurunkan titisan-titisan halus pepejal putih yang ringan ini agar manusia dapat menyaksikan kekuasaan Nya.

Terpesona dengan pemandangan ini kami berhenti sebentar untuk menikmati secara dekat pemandangan yang unik ini. Cuaca ketika itu sejuk namun kurang berangin,selesa kami berdiri di ladang salji itu.Alhamdullilah, itulah kali pertama menikmati ladang memutih sebegini.

Firman Allah yang bermaksud
" Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):' Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. "
(Surah Ali Imran 3: 191)

Friday, October 14, 2016



Popular Posts