Indiana sebuah negeri yang besar dan ke barat Ohio. Sekitar tahun 1980an dahulu ramai pelajar Malaysia yang belajar di negeri ini, khususnya di Bloomington dan Terra Haute Kami pernah singgah solat di Islamic center Bloomington dan Indianapolis beberapa tahun lepas.
Kali ini pengembaraan kami di Indiana hanya sebentar. Indianapolis, ibu negeri Indiana, hanya tempat kami melepaskan lelah. Berehat semalam untuk mengumpul tenaga bagi hari seterusnya. Tanpa disangka keesokkan harinya kami dikunjungi oleh sekeluarga sepupu saya yang kini menetap di Bloomington. Rasa sedih menyelubungi kami bila kami saling menceritakan ibunya yang baru meninggal ketika itu. Sebenarnya ibu beliau meninggal selepas beberapa hari kami tiba di Amerika Syarikat. Alhamdulillah dia sempat pulang ke Malaysia dan menatap wajah ibunya sebelum meninggal. Kami juga sempat menziarahi ibunya sebelum berlepas ke sini. Allah sediakan pelbagai hikmah disebalik ujian yang Dia berikan. Setelah puluhan tahun inilah kali pertama kami bertemunya sekeluarga. Alhamdulillah.
Satu tempat yang sempat kami kunjungi di Fairfield,Indiana ialah ibu pejabat ISNA(Islamic Society of North America). ISNA ialah salah sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Amerika Syarikat. Di bawahnya terdapat pelbagai pertubuhan Islam yang lebih kecil seperti Muslim Students Association, American Muslim Scientists and Engineers dan Islamic Teaching Center. ISNA juga memberi bantuan kepada penduduk Islam dan para imigran muslim di Amerika Syarikat. Pelbagai dialog interfaith di adakan agar gejala Islamophobia dpt dikurangkan.
Walau bagaimanapun kunjungan kami ke sana agak mengecewakan sebab bangunan ini tutup. Mungkin Cuti musim panas menyebabkan kebanyakan pekerja mengambil cuti. Oleh itu kami tidak berpeluang untuk masuk dan bersua dengan para pekerja di sana untuk mendapat maklumat terkini daripada mereka. Silap kami juga sebab tidak pastikan terlebih dahulu tentang waktu tempat ini dibuka untuk lawatan ketika itu. Namun, Alhamdulillah kami sampai juga ke tempat pertubuhan istimewa bagi orang Islam ini.
Antara kematian dan ISNA mungkin tidak ramai yang dapat melihat perkaitannya. Yang pertama berkenaan kembli ke alam barzakh. Yang kedua berkenaan dengan usaha membantu orang Islam. Namun petikan daripada sebuah artikel majalah Solusi ini mungkin akan membuat kita berfikir yang kedua-duanya berkait. Mungkin artikel ini panjang sedikit namun membacanya membuat kita berfikir lebih mendalam.
'Siapa manusia yang paling jahat? Jika soalan ini di tujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab ;"Firaun!"
Benar, tidak ada sesiapa yang dapat menandingi kejahatan Firaun. Dia bukan sahaja derhaka kepada Tuhan, bahkan mengaku sebagai Tuhan. Itulah puncak segala kejahatan. Ya, secara sinis kita boleh berkata:" Sesiapa yang tidak menganggap Firaun jahat, dia juga orang jahat."
Namun sejahat-jahat Firaun, dia tetap percaya akan adanya hari akhirat(kehidupan selepas akhirat). Buktinya, Firaun membina piramid dan disediakan di dalamnya semua bekalan untuk menghadapi kehidupan selepas mati. Walaupun caranya salah, namun dia yakin dan melakukan persiapan untuk menghadapi akhirat dengan caranya sendiri.
Kita pula bagaimana? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap hari akhirat dan apa pula persediaan kita untuk menghadapinya? Ah! ironinya, kita yang mengaku lebih baik daripada Firaun, namun tidak pula 'seserius' dia di dalam persediaan menghadapi hari akhirat yang pasti datang itu!
Mungkin sesetengah kita beranggapan bahawa keyakinan kepada hari akhirat hanya berguna untuk "kehidupan" di akhirat sahaja. Atas keyakinan itu, iman kita di kira sah dan kita menjadi seorang muslim. Sekiranya keyakinan itu tidak terjejas hngga ke akhir hayat, kita berpeluang memasuki syurga.
Namun keyakinan kepada hari akhirat sebenarnya sangat memberi kesan kepada kehidupan kita di dunia. Dalam erti kata lain, beriman dengan hari akhirat akan memberikan manfaat yang sangat besar semasa hidup di dunia lagi.
Apabila manusia yakin akan adanya nikmat kekal abadi di dalam syurga, maka itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa apa jua kesusahan di dunia. Dia rela susah ketika melakukan ketika melakukan kebaikan. Dia akan sabar menempuh ujian-ujian dalam kehidupan. Tegasnya dia rela menerima penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia demi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat,
Apabila manusia yakin akan adanya azab neraka , maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan dalam kehidupan walaupun kejahatan itu kelihatan seronok, indah dan mengiurkan. Segala kesusahan, ketidak selesaan ketika meninggalkan kejahatan sanggup diredahnya kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan. Prinsip hidupnya, biarlah bersakit-sakit dahulu di dunia, agar tidak bersakit-sakit di akhirat. '
Kenang akhirat, tenang di Dunia - Pahrol Mohd Juoi - Solusi isu 101
Semoga menjadi panduan bagi kita semua untuk berkejar-kejar melakukan kebaikan menuju alam akhirat.