
Dari luar
bangunan ini kelihatan seperti banglo setingkat atau setingkat setengah
dan mempunyai garaj bertutup. Terletak di kawasan perumahan, bangunan
ini kelihatan agak sesuai dijadikan masjid sementara.
Namun terasa agak janggal pula. Tidak kelihatan pula papan tanda masjid atau
Islamic Center di sini. "Alamak, betul ke ini masjid?" tanya Muaz
kepada saya. Suami saya membuat keputusan untuk keluar dan melihat betul
atau tidak bangunan ini sebuah masjid.
Sudah ditakdirkan kami tidak dapat menunaikan solat di masjid yang kami telah singgah sebelum ini. Masjid yang kami singgah itu di dapati berkunci dan kami tidak dapat memasukinya.
Dalam keadaan cuaca berangin dan sejuk menusuk hingga ke tulang
kami reda dengan ketentuan Allah ini.
Semasa mengembara, solat ialah ibadah yang amat penting kita laksanakan.
Seorang musafir sangat bergantung kepada Allah untuk perjalanan yang
selamat dan selesa. Mana mungkin seorang Islam yang mengembara hanya
semata-mata berdoa mengharapkan pertolongan Allah tanpa mengambil berat untuk mengerjakan
solat. Solat menghubungkan diri kita dengan Allah. Selepas menghubungkan
diri dengan Allah yang menciptakan diri kita, barulah kita boleh
memohon pertolongannya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Mintalah
pertolongan dengan jalan sabar dan solat. Sesungguhnya solat sangat
berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Iaitu orang yang yakin bahawa
mereka akan menemui Tuhan mereka dan kepadaNya mereka akan kembali." [Al Baqarah 2:45-46]
Dari jauh kami ternampak seorang perempuan sedang membasuh pinggan di sinki rumah
tersebut.Saya pun melangkah keluar kereta dengan harapan untuk menanyakan wanita
tersebut. Ketika memberi salam dan menanyakannya samada dia tahu di mana
Islamic Center berdekatan, dia membuat isyarat tanda dia tidak
memahami apa yang kami bicarakan. "Alamak, macamana nak tanya ni," tanya
saya kepada suami.

Tidak jauh daripada rumah tersebut, kelihatan sekumpulan
kanak kanak sedang bermain di halaman sebuah rumah. Tiba-tiba salah
seorang daripada mereka datang berjumpa kami. Alhamdulillah walaupun tampak dia berkulit sawa matang dia boleh
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Terus kami menanyakan kepadanya
tentang
Islamic center yang berdekatan. Lantas dia memberitahu tentang
Islamic Center yang telah kami singgah tadi . "
Usually it's locked.
But if you want to go there I can give you the code to unlock the
door," katanya.
Lama berbual barulah kami tahu yang ibunya yang
memanggilnya supaya dapat berkomunikasi dengan kami. Kami
memberitahunya yang kami sedang mencari masjid yang beralamat di situ.
Sambil mengiakan itulah alamatnya, dia memberitahu kami itu rumahnya dan
memang benar dulunya rumahnya itu sebuah masjid. Namun masjid ini tidak lagi
digunakan dan hanya masjid di Layton tempat kami singgah sebelum
itulah hanya satu-satunya masjid di kawasan itu.
Agaknya menyedari keletihan kami, tanpa berfikir panjang dia mempelawa kami
untuk menunaikan solat di rumahnya sahaja. "
You can pray at the prayer
hall that was used before. Everything is the still there." Terus dia
memanggil ayahnya yang berada di dalam rumah untuk memberitahu ayahnya tentang pelawaan tersebut.
Tak lama selepas itu kelihatan seorang lelaki keluar
daripada rumah tersebut. Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad (bukan nama sebenar) dan ayah kepada kanak-kanak tersebut, dia menjemput
kami ke bahagian bawah rumah nya (
basement) dimana terletakya dewan
solat bagi masjid dahulu. Sambil turun dia memperkenalkan anak
lelakinya, Zain yang telah mempelawa kami solat sebelum itu.
Betul
kata Zain, dewan ini masih kelihatan seperti dewan solat. Permaidaninya
sudah tersusun ke arah kiblat. Bilik air untuk menyucikan diri dan
mengambil wudhuk juga terdapat di bahagian ini. Sambil menunggu kami
bersiap-siap untuk solat, kami dihidangkan jus jambu batu oleh anak-anaknya. Muhammad dan anak-anaknya duduk menunggu kami menunaikan
jamak solat zuhur asar di situ.

Kami menggunakan peluang itu untuk
berkenalan dengan keluarga Muhammad. Lelaki berketurunan Pakistan ini
datang ke Amerika Syarikat untuk menyekolahkan anaknya di sana. Bukannya untuk menetap terus, namun memberi peluang bagi anaknya menimba ilmu di sana. Kemudian mereka bercadang akan kembali ke negaranya semula.
Muhammad
memberitahu kami bahawa orang Islam di daerah itu tidak ramai. Jemaah solat Jumaat di Masjid Al Farooq, Layton itu hanya 30 orang. Mungkin sebab itu
orang Islam di sana tidak mampu lagi membayar sewa bagi masjid yang lain.
Muhammad meminta maaf sebab isterinya tidak mahir berbahasa Inggeris. Maklumlah
ketika itu tidak sampai setahun mereka berada di negara Uncle Sam ini. Namun beliau
sentiasa mengawasi anak-anaknya agar tidak terpengaruh dengan budaya
orang di sana dan memastikan mereka sentiasa bersolat. Syukur mempunyai
seorang bapa seperti Muhammad yang sentiasa memastikan ibadah sentiasa terjaga dan diamalkan oleh ahli keluarganya walaupun jiran-jirannya ramai yang bukan Islam.
Usai solat, kami meminta diri
untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami ke utara, iaitu di Teton Valley, Wyoming masih jauh lagi dan hari sudah semakin gelap.
Semasa
bersalaman Muhammad berkata,"
You're always welcome to here anytime. We
are muslims. We're brothers, right?" Terkedu mendengar kata tuan rumah
yang tidak pernah pun mengenal kami sebelum ini. Atas dasar saudara
seIslam, kami menjadi seperti sahabat. Besar hatinya untuk menjemput
kami ke sana lagi.
Memang begitulah kebiasaannya jika bertemu
sesama Islam di Amerika Syarikat ini, yang majoritinya bukan orang
Islam. Bila bersua tetap memberi salam, bila susah tetap ada yang
membantu dan bila mengembara tetap ada yang memastikan perjalanan kami
selesa. Alhamdulillah. Orang Islam itu tetap bersaudara walau berada
dimana saja.
Hayati lirik nasyid ini
"Pada arah yang sama kita berdiri
Pada air yang sama kita bersuci
Pada takbir yang sama jangan bertengkar
Pada doa yang sama usah menyendiri
Sebarkanlah..bersabarlah"
[Akhil Hayy, Salleh Brothers, Amir Pearl, Azahari Nowseeheart.]