Monday, June 12, 2017

Jejak Rasul, Kisah Dajjal dan Tasik Thabariyyah

Sumber: http://kbergetar.org/jejak-rasul-as-salam-2016/
Dulu semasa bulan Ramadhan, rancangan inilah yang ditunggu-tunggu kami berdua, saya dan emak.Walaupun saya di Selangor dan emak di Kedah, rancangan ini antara topik perbualan kami setiap kali say menelefonnya. "Hari ini kisah apa, penggambaran di mana, siapa yang pergi dan mengacara." 
 
Ramadhan ini kali pertama saya tidak dapat lagi berbual dengan emak. Emak telah pergi bertemu penciptaNya awal tahun ini. Sakit emak tidak lama. Ya, memang berat hendak melepaskan emak pergi, namun saya redha sebab diri ini pun entah sampai bila umurnya. Ya Allah permudahkan perjalanan akhirat ke dua-dua ibu dan ayah ku. Jauhilah mereka daripada azab kubur dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Firdaus mu.
Tasik Tiberia=Tasik Thabarriyah-sumber-Google maps
Rancangan yang dimaksudkan ialah Jejak Rasul  yang diterbitkan oleh TV3. Tahun ini Jejak Rasul Assalam 2017 di fokuskan kepada Tinggalan Anbiya' dan Kesahihannya. Ia diacara oleh Da'i Tajdid Hadhari dan negara yang dilawati ialah Palestin, Jordan dan Turki. Rancangan ini agak berlainan daripada yang jejak Rasul sebelumnya. Walaupun negara negara Jordan Palestin dan Turki pernah di siarkan dalam Jejak Rasul beberapa tahun lalu, kali ini rancangan ini berlaian. Sebab mereka menyelidik kesahihan fakta berdasarkan riwayat-riwayat yang telah biasanya di ketahui oleh orang Islam sendiri.

Baru-baru ini saya sempat menonton Jejak Rasul Assalam yang memaparkan kisah tasik Thabariyyah. Tasik ini yang lebih dikenali sebagai tasik Tiberia atau Laut Galilee ataupun Tasik Kineret terletak dalam wilayah Israel.

Nabi Muhammad s.a.w. satu ketika dahulu pernah menceritakan dahulu satu peristiwa tentang bertemunya  sekumpulan pelayar dengan Dajjal. Walaupun pernah mendengarnya beberapa kali, baru baru ini saya terbaca  kisah ini di sebuah majalah.

Hadith ini agak panjang tetapi ini antara yang diceritakan oleh Tamim al Dari (salah seorang pelayar) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dahulunya  beliau seorang Kristian namun telah berbaiah dan memeluk agama Islam ketika itu. Beliau telah menceritakan tentang al Masih al Dajjal kepada Rasulullah.
Tasik Galilee- Sumber- Israel Today

Tamim bersama 30 orang daripada kabilah Lakhm dan Judzam telah belayar dalam sebuah kapal. Taqdir Allah, kapal mereka telah dilambung ombak sehingga mereka hanyut di tengah lautan selama sebulan. Mereka akhirnya terdampar di sebuah pulau di tengah lautan tersebut. Di situlah mereka bertemu dengan seekor binatang yang berambut sangat lebat dan kaku. Binatang itu boleh bercakap dan menyuruh mereka pergi bertemu seorang lelaki  di sebuah rumah ibadah. Tubuh lelaki itu sangat besar dan diikat dengan kuat. Kedua-dua tangannya terikat dengan lehernya, antara dua lututnya terikat dengan besi.
 
Antara soalan yang ditanya oleh lelaki yang pelik ini kepada mereka(pelayar)
......."Khabarkan kepadaku tentang Tasik Thabariyyah."
Mereka menjawab," Tentang apa engkau meminta beritanya."
"Apakah masih ada airnya?"jawabnya
Mereka menjawab," Danau itu banyak airnya."
Ia mengatakan," Sesungguhnya hampir-hampir airnya akan lenyap. Beritahulah kepadaku tentang mata air Zughar.".......
(Riwayat Muslim)
Sumber:
Datuk Dr Zahazan Mohamed-Solusi isu 101

Paras air Tasik Thabariyyah yang dilawati oleh Da'i Hadhari sebenarnya sudah pun agak kritikal  kebelakangan ini  disebabkan prlbagai faktor. Antaranya ialah  kemarau yang berpanjangan terutama sekali di musim sejuk. Bahkan terdapat sebahagiannya sudah pun kering hingga ke dasar. laut. Semuanya bukan kebetulan dan tentunya ia takdir Allah, petunjuk bagi orang orang yang berfikir.
Wallahualam.


Wednesday, May 17, 2017

Little Penguins Secara Dekat- Menarik!

Seketika, lalu seorang pegawai yang bertugas di kawasan penguin parade ini. Kami mengambil kesempatan untuk bertanya."We saw so many of them coming in. How many of them actually come in at this place every night?" tanya suami saya. "Well normally about 1000 or so," kata pegawai tersebut. 'Allahuakbar! 1000 ekor mendarat di pantai itu setiap malam. Sangat banyak! Namun bukan penguin yang sama yang naik ke pantai itu setiap malam. Menurut pegawai tersebut lagi, burung ini  selalunya berehat 3-4 hari dahulu sebelum pulang semula ke laut. 80% daripada kehidupannya di laut. Hanya 20%  di darat. Tidak lama. Mengikut perangkaan, pulau yang kami singgah ini didiami oleh 32000 ekor penguins! Sangat banyak!
Untuk melihat bagaimana penguins ini berarak ke sarangnya boleh layari you tube ini. Hanya klik di gambar itu untuk mendapatkan link tersebut

Melbourne - Phillip Island Little Penguins Parade - YouTube

https://www.youtube.com/watch?v=WFkWfsUHtJw

Terasa teringin pula hendak melihat burung-burung laut  itu secara dekat. Maklumlah burung ini ketinggiannya hanya 13cm atau lebih kurang satu kaki sahaja. Mata orang yang sudah menjangkau lebih separuh abad ini agak kelam melihat makhluk-makhluk kecil itu dalam keadaan yang agak gelap. Pantai pula hanya di sinari cahaya lampu kuning.

Kami melangkah ke tempat yang paling hampir dengan semak dan batu di kawasan pantai. Walau bagaimanapun ia masih dalam kawasan berpagar. Mulanya kami menyangka lubang sarangnya(burrows) dicelah-celah batu di tepi pantai. Namun kebanyakkannya meluru ke arah semak samun. Bukannya  di dalam batu. Teruja kami dapat melihat burung burung itu secara dekat.

Masa untuk melihat burung-burung penguin ini hampir tamat. Pegawai yang bertugas sudah pun mengingatkan kami. Kami mula melangkah meninggalkan kawasan berbangku menjauhi  pantai dan bersiar -siar di bahagian atas. Rupa- rupanya bahagian inilah membawa kami lebih dekat kepada burung-burung ini. Wah, di sini rupanya sarang sarang burung ini!" kata saya kepada suami. "Dan di sana!" kata saya lagi sambil menunjukkan tempat yang lain. Tidak kami sangka sarang-sarangnya meliputi satu kawasan yang besar.

Berjalan ke arah kedai menjual cenderamata, kami di hiburkan dengan riuh burung-burung yang belum masuk ke sarang.Ada yang masih sibuk menguruskan diri di luar sarang. Sama seperti riuhnya burung- burung yang pulang ke sarang di waktu petang di negara kita.  Biasanya ketara bila banyak sarang-sarang burung di satu-satu pokok. Riuh rendah kedengaran di  kawasan berhampiran pokok tersebut. Namun yang berbezanya ialah sarang burung ini terletak di tanah. Pihak hidupan liar Australia telah meletakkan kotak-kotak kayu kecil sebagai sarang bagi burung-burung ini.

Namun jangan kita lupa disebalik keriuhan burung-burung yang pulang ke sarang ini mungkin sebenarnya mereka sedang bertasbih kepada Allah.
Firman Allah
"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun, lagi Maha Pengampun."
Surah Al Isra' 17: 44

Mungkin kita tidak memahami bahasa burung-burung penguins ini tetapi setiap makhluk di muka bumi ini sentiasa bertasbih mengingati Allah. Ini juga sunatullah. Sebab itulah kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh atau mengacau makhluk-makhluk ini.

Bagaimana dengan kita, makhluk yang dikurniakan akal fikiran, yang selepas penghujung hayat di dunia akan diberikan pembalasan di akhirat. Adakah kita selalu bertasbih yakni berzikir kepada Allah?

Bukan sedikit burung-burung penguin yang berada di luar sarang, malah banyak. Ada juga yang berdiri  tegak saja. Mungkin untuk mengeringkan bulunya. Ada yang berlari ke sana sini. Seolah-olah terasa kami berada di satu perkampungan penguins!

Tiba-tiba sederet orang berdiri di hadapan kami. Laluan kami dihalang. Rupa- rupanya seekor penguin sudah berada di jalan tar menghampiri kedai menjual cendermata. Burung itu hanya berdiri tegak memerhatikan kami. Selepas di rasakan penguin itu tidak masuk ke sana, barulah laluan ini dibuka kembali. Kelakar pula rasanya. Namun itu salah satu langkah agar tidak berlaku kelam kabut  kalau sekiranya burung itu terlepas masuk ke dalam kedai pula!

Friday, May 12, 2017

Suatu Pengalaman Baru..Penguins

"Allah...sempat ke ni? Berbaloi ke kita kalut-kalut ni," kata saya kepada suami. Kami harus sampai ke tempat itu pukul 5.15 pm.Walhal jam ketika itu sudahpun 5.30 pm. Kami ada 6 km lagi perjalanan untuk sampai.

Matahari hampir terbenam.Hari sudah mula melabuhkan tirainya. Bukan sengaja kami mahu keluar dalam waktu yang kurang digalakkan sebegini. Namun waktu itu sajalah kami dapat menyaksikan makhluk-makhluk kecil ciptaan Allah ini keluar dari laut menuju ke sarangnya di pantai. Dan mereka hanya keluar ke laut semula sebelum waktu subuh. Keadaan yang normal bagi haiwan nokturnal (haiwan yang aktif pada waktu malam).

Sampai di tempat tersebut kami terus menapak dengan laju.Sudah lewat. Tempat yang dituju agak jauh. Angin dingin laut selat Bass di selatan Australia ini mula terasa sejuknya, menggigit hingga ke tulang  walaupun berpakaian sampai 3 lapis. "Ramainya orang!" terkejut  saya melihat begitu ramai orang sanggup pergi tempat sebegini jauh dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk.  Kelihatan bangku-bangku panjang  disediakan bertingkat-tingkat menghadap ke pantai. Seolah-olah satu pertunjukan poentas. Tangan terasa membeku. Terus saya capai sarung tangan yang memang saya selitkan di dalam beg.

'Penguin parade', itulah istilah yang diberikan kepada perarakan 'little penguins'  dari laut ke sarangnya. Bukan satu perarakan yang perlu disiapkan seperti manusia tetapi  ia berlaku setiap malam tetapi oleh burung-burung penguin yang berlainan. Bukan burung-burung yang sama. Perarakan ini hanyalah daripada laut hingga ke pesisiran pantai. Tanpa perlu apa-apa persiapan sebab Allah telah mengatur segalanya.

Tidak lama selepas kami duduk, kelihatan burung-burung yang tompok putih di dadanya muncul keluar daripada celah-celah ombak memecah ke pantai. Mula-mula seekor dua. Kemudian makin lama makin banyak.  Mereka berdiri tegak berkumpul, mengikut kelompok. Subhanallah....itulah 'little penguins' yang ditunggu-tunggu. Dalam kumpulan 6-10 ekor mereka mula berjalan kemudian melangkah laju menuju ke semak semak di tepi pantai. Comel...langkahnya terkedek-kedek. Bukan terbongkok-bongkok seperti burung biasa. Aneh..namun itulah sunatullah. Diajar Allah kepada makhluknya.'Sunnatullah', peraturan atau sistem atau ketentuan Tuhan untuk hamba-Nya di dunia ini, samada hamba-Nya yang bernyawa mahupun hamba-Nya yang tidak bernyawa.

Tak lama selepas itu ,kelihatan banyak kelompok-kelompok burung penguins di pantai. Baru keluar dalam kedaaan masih basah dengan air laut. Masing masing  berdiri tegak seolah menunggu arahan dahulu untuk berkumpul. Lepas itu barulah menapak laju ke arah sarang. Memang menarik bila melihat begitu banyak kelompok kelompok burung ini berkumpul. Namun kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Takut burung itu terganggu dan tidak mahu datang lagi ke pantai tersebut. Semuanya diperhatikan daripada atas pentas yang disediakan.

Kebiasaannya begitulah pengalaman yang diceritakan oleh orang yang begitu teruja melihat sesuatu yang baru. Namun penglihatan hasil daripada deria mata, anugerah Allah ini punya beberapa tingkatan. Jika dilihat oleh orang biasa biasa, ia hanya satu pemandangan dan pengalaman yang mengujakan. Jika dilhat dengan menggunakan akal, akan tercungkillah ilmu disebalik penciptaannya. Bagaimana burung penguin ini boleh hidup dilaut begitu lama didalam laut. 80% kehidupannya di laut. Hanya 20% di darat. Dari segi sains, terbit soalan bagaimana keadaan bulunya.?Apa makanannya? Tidurnya bagaimana? Semua persoalan akan timbul di pemikiran kita dan bagi sesetengah orang, mereka akan cuba mencari jawapan bagi sunatullah ini.

Namun yang lebih baik, kita dapat melihatnya dengan mata hati. Jika dilihat dengan mata hati, kita bukan sahaja memperolehi ilmu, malah kita memperolehi iman. Dengan memerhati, mengkaji dan memikirkan tentang apa yang berlaku, contohnya, mengapa burung-burung ini diciptakan, siapa penciptanya membuatkan kita semakin hampir kepada Sang Pencipta, yakni Allah. Betapa terpericinya ciptaan Allah pada burung sebegini kecil.

Inilah yang Allah nyatakan dalam firmannya yang bermaksud:
" Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir tentang kejadian langit dan bumi(sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."
(Surah Ali Imran 3: 191)

Bersambung.
Rujukan:
2.Lihat alam melalui mata hati-pahrol mohamad Juoi-Solusi isu 20

Friday, April 21, 2017

Buku- Hadiah yang Tak Ternilai



"Dulu aku selalu dapat hadiah buku, masa hari penyampaian hadiah. Banyak juga buku cerita yang dapat ...entah mana pi buku-buku tu."keluh kakak saya dalam whatsapp. "Banyak dah reput, dah lebih 40 tahun buku-buku tu dalam tangan kita,"saya membalas.
Kakak tidak menjawab.  Saya faham.buku-buku tu sudah semestinya berharga baginya dan membawa seribu satu memori zaman persekolahnnya. 'Sentimental value' w
alaupun sekarang ini jika dijual sekalipun harganya mungkin beberapa sen sahaja.

Zaman sekolah rendah tahun 70an dahulu tak ramai dari kami yang punya peluang untuk membeli buku, terutama sekali buku cerita.  Orang tua masih bertungkus lumus menyara hidup keluarga. Tak punya ongkos yang banyak untuk membeli barang-barang yang lain, inikan pula buku cerita.

Tahun 70an dahulu, bagi mereka yang ulat buku  mempunyai buku cerita bagaikan satu harta yang sangat bernilai. Buku kepunyaan sendiri pasti dikepit erat atau di pampang di hadapan rakan bagaikan gajet yang canggih zaman ini.

Di mana kami peroleh buku cerita yang istimewa? Samada melalui  anugerah kejayaan cemerlang di hari penyampaian hadiah. Pihak sekolah ketika itu  memang lebih suka memberi buku sebagai hadiah. Ataupun daripada tabungan duit sendiri hasil daripada berjimat cermat duit sekolah yang diberi, mungkin hanya 10 sen atau 20 sen sehari.

Saya masih ingat betapa gembiranya saya mendapat beberapa buah buku Enid Blyton sebagai hadiah pelajar terbaik Sains darjah 5. Salah sebuah buku itu masih dalam simpanan saya sehingga hari ini walaupun sudah berusia lebih 40 tahun!.

Teringat saya tentang seorang pakar motivasi  di tv yang pernah memberitahu " Saya pernah membaca hampir kesluruhan buku di perpustakaan." Hebat, bukan? Hidupnya di zaman kanak -kanak bukannya mewah sehingga dapat membeli buku-buku dengan mudah. Namun itu satu usahanya yang terpuji untuk mendapat ilmu.Walaupun ketika itu ramai dari kalangan orang Melayu yang miskin, mencari ilmu bukan  satu alasan bagi mereka.

Perpustakaan memang tempat yang menarik bagi pelajar sekolah menengah tahun 70an dahulu. Pernah satu ketika, seorang guru mencari cari anak-anak murid yang ponteng kelasnya dan menjumpai kebanyakan daripada mereka berada di perpustakaan! Piat! piat !dirotannya mereka sewaktu keluar daripada perpustaakaan. Hukuman bagi mereka yang begitu berani ponteng kelasnya! Mungkin murid- murid sekarang bukan lagi ke perpustakaan tika ponteng, bukan?

Adakalanya pernah juga saya teringn memiliki buku-buku daripada luar negara. Tapi  bila disedari tahap  kemampuan kami yang sederhana, cukuplah sekadar  membelinya sahaja  di 'second hand bookstore'. Mungkin itu saja cara untuk memperolehi buku-buku import yang murah.  Walaupun kulitnya  tidak secantik dan berkilat sebagaimana asal, semestinya ia menjadi sebahagian daripada koleksi buku saya yang sangat berharga.

Gamaknya dengan mengumpul duit sendiri untuk memmbeli barang barang berbentuk ilmiah  itulah yang mematangkan kami. Berdikari untuk mencari ilmu.

Saya masih ingat lagi membaca tentang satu  kisah kegemilangan dinasti Abbasiyyah.

'Khalifah Al Ma' mun ialah seorang khalifah dinasti Abbasiyyah. Beliau adalah seorang yang sangat cinta kepada ilmu dan pengetahuan. Bahkan, kadang beliau harus memaksa para musuhnya menandatangani surat perjanjian yang berisi kesediaan untuk memberikan sebahagian buku-buku berbahasa Yunani yang sangat bernilai dan sukar didapati. Beliau juga sering mengirim utusan - utusan ke pelbagai penjuru untuk membeli ataupun menyalin teks-teks asli buku yang bertulisan tangan. Kebetulan, salah seorang yang menjadi pemimpin dari rombongan ini adalah Muhammmad bin Musa Al Khawarizmi. Beliau pernah dikirim ke Afghanistan, bahkan pernah sampai ke India lalu pulang dengan membawa buku-buku tulisan tangan yang sangat berharga. Lantas baginda menyerahkan urusan  pengaturan Al Hikmah kepada Al Khawarizmi dan menjadikannya sebagai pusat sastera yang di diami oleh para ulama dan penterjemah yang dibayar langsung oleh negara. '
Al Hikmah-12 tokoh Pengubah Dunia-Khalid Haddad

Begitulah gigihnya seorang khalifah mendapat ilmu walaupun sumbernya bukan daripada  orang Islam. Allah  Ar Rahman memberi rezeki dalam bentuk ilmu kepada semua manusia tak kira Islam atau tidak. Biarpun ilmu itu datangnya daripada orang bukan Islam, tugas orang Islam tetap mendapatkan  ilmu sebanyak yang mungkin.'

"Hmm... Buku cerita  ada manfaat ke?" Bergantung kepada jenis cerita dan gaya penceritaannya. Tahun 70an dahulu antara yang menjadi kegemaran kanak- kanak ialah jenis 'adventure' atau cerita berkenaan sekolah . Bagi saya cerita-cerita ini menguji minda antaranya melibatkan penyiasatan, danpeng alaman menarik yang dilalui oleh sekumpulan kanak kanak  Buku cerita dalam bahasa Inggeris meluaskan kosa kata(vocabulary) bahasa inggeris.  Tidak dinafikan buku-buku yang merosak minda  memang ada seperti buku buku lucah dan yang menyeleweng daripada Islam. Cuma kita perlu berhati-hati. Sama seperti sekarang kita perlu mengawasi penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak.

Sekali sekala menjengok buku- buku dalam koleksi ini sudah tentu mengimbau kenangan lalu. Helaiannya sudah kuning, ada yang sudah dimakan bubuk. Sudah tiba masanya saya menjemurnya di bawah mentari ,agar ia lebih bertahan lama. ' Mana tahu, mungkin cucu pula  sempat membacanya," bisik hati ini.

Tuesday, March 28, 2017

Nasi lemak Oh Nasi Lemak

Hanya gambar hiasan semata-mata
"Tawar macam nasi putih biasa," keluh saya bila mencuit nasi lemak yang baru dibeli daripada sebuah gerai berhampiran rumah tiap kali pulang ke kampung. " Haah, Ni nasi putih." angguk suami yang sedang duduk bersama menikmati juadah pagi itu."Dulu nasi lemak bungkus macam ni sedap, lemak. Kenapa lani susah nak mencari nasi lemak yang sebenar-benarnya lemak?" tanya saya  kepada suami . Tak mengharapkan apa-apa jawapan.

Umumnya seorang peniaga atau pembuat nasi lemak tahu bahawa untuk membuat nasi lemak perlu menggunakan santan agar nasinya lemak. Tapi kenapa nasi yang biasa di beli kini tidak rasa seperti nasi lemak yang sepatutnya.

Dua kemungkinan. Pertama, memang pembuat nasi lemak tak tahu perlunya meletakkan santan untuk membuat nasi lemak. Kedua dia tahu, tapi sengaja tidak diletakkan santan sebab tak balik modal berniaga cara sebegitu.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda," Bahawasanya Allah suka seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan elok(itqan).
( Riwayat al Baihaqi)

Berniaga nasi lemak juga ibadah. Sekiranya ia satu ibadah, ia harus dilakukan dengan itqan( elok) agar mendapat keberkatan Allah. Dalam konteks perniagaan ini, apa yang dijual mestilah sekurang-kurangnya  mengandungi bahan asas supaya pembeli benar-benar mendapat nasi lemak dan bukannya nasi kosong.Dengan cara ini pembeli tidaklah rasa tertipu.
 
Berikut ialah antara bahan asas untuk membuat nasi lemak
1. Beras
2. Santan
3. Bawang kisar
4. Air dan garam
5. Daun pandan.
Bahan bahan ini cukup untuk menghasilkan nasi lemak yang sedap dan lemak.
Tanya saja orang dulu-dulu. Pasti diberikan sebegini  resepi asas bagi memasak nasi lemak. Biar apa saja lauk yang menyampingi; ikan bilis, telur, ayam dan sebaginya, nasi yang dijual mestilah sebenarnya apa yang diiklankan samada di depan gerai atau restoran. Nasi Lemak!

"Err...mak, bukanke orang masak nasi lemak guna minyak? Tak guna santan?" tanya anak saya suatu ketika dahulu. Saya tersenyum. Agak-agaknya daripada mana dia mendapat maklumat ini? Agak- agaknya apa jawapan saya?

Tuesday, March 21, 2017

Malcolm X- Daripada Nation Of Islam Kepada Iktikad Sunni

Melangkah masuk ke dalam bangunan kecil ini membawa kita menyulusuri sejarah kedatangan orang Islam ke bumi Amerika Syarikat. Ramai daripada kita hanya tahu Amerika Syarikat ialah negara barat, negara orang Yahudi. Namun ramai yang tidak tahu Islam telah hadir di bumi Amerika ini 500 tahun sebelum Columbus datang ke sini  lagi yakni sebelum abad ke 2. Orang Islam yang pertama mendarat di bumi Red Indian ini ialah Estevanico (a.k.a Mustafa Zemmouri, seorang hamba dari Morocco yang belayar dan mendarat di Florida bersama tuannnya. Namun Islam kurang menyerlah  di bumi 'Land Of Opportunity' ini sehinggalah kaum berkulit hitam bangkit beramai-ramai memeluk agama Islam. Salah seorang ketua yang paling berpengaruh ialah Malcolm X.

Berbalik saya ke cerita Malcom X
1952....
Semuanya berlaku begitu pantas. Malcolm berubah menjadi seorang islam yang berwatak begitu berbeza sekali daraiada sebelum dia masuk penjara. Islam dan penjara, akidah dan suasana  yang membolehkan ia meluangkan masa untuk bertafakkur tentang matlamat hidup. Malcolm banyakkan menghabiskan masanya membaca buku tentang keagamaan dan Nation Of Islam. Perwatakannya juga berubah  menjadi seorang yang lebih baik dan santun. Akhirnya Malcolm dibebaskan hanya 7 tahun selepas dipenjarakan.
1963..
Sikap berkaliber Malcolm


berjaya menarik puluhan ribu orang ke arah Nation Of Islam. Ceramahnya dihadiri  beribu ribu orang  berkulit hitam. Suasana Seolah-olah satunpesta namun ia  satu ceramah agama dan motivasi. Menaikkan semangat or ang berkult hitam yang sekian lama tertindas dan dipaksa ditikarkan agama asal mereka.

1964.....
Allah telah memberi hidayah kepada hambanya. Sedikit demi sedikit Malcolm mula sedar tentang wujudnya kesalahan pengangan kumpulan Nation Of Islam terutama sekali tentang ketuanya dan idolanya, Elijah Mohamad. Malcolm bertindak keluar daripada kumpulan ini dan menubuhkan kumpulan Muslim Mosque, Inc.  Pergeseran juga berlaku antara Malcolm dan Elijah serta orang- orang kanan Elijah.

Malcolm mengamabil  iktikad ahli sunnah wal jaamaah sebagai pegangannnya. Tak lama selepas itu. Allah  telah menjemputnya sebagai tetamu di Baitullah. Pernah sewaktu berada di sana, dia telah menulis surat kepada rakannya yang berada di New York. Antara kandungan suratnya:
"Belum pernah saya saksikan layanan yang sebegitu iklhas dan semangat persaudaraan yang diamalkan oleh orang daripada pelbagai warna dan bangsa sebagaimana wujudnya di sini, Tanah Suci ini, tempat tinggal Nabi Ibrahim, Muhammad dan lain-lain Nabi dalam kitab-kitab suci. ....

Terdapat puluhan ribu jemaah haji dari segala pelusuk dunia. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit, daripada yang bermata biru, rambut putih hingga ke yang berkulit hitam orang Afrika. Akan tetapi kami menjalankan ibadah yang sama, memperlihatkan semangat penyatuan dan persaudaraan, satu pengalaman yang tak pernah saya percayai boleh wujud di Amerika antara golongan berkulit putih dan tidak berkulit putih.
Daripada sini saya perhatikan, mungkin sekiranya bangsa berkulit putih dapat menerima Tuhan itu Satu, mungkin juga mereka dapat menerima secara realiti manusia itu satu, dan menghentikan mengelak dan mencedera yang lain, daripada bangsa yang berlainan warna kulit daripada mereka....."

1965...
Allah telah menentukan hamba Nya yang mempunyai pengikut puluhan ribu ini hidupnya singkat. Pada umur 39 tahun,  Haji Malik Shabbazz  (nama Islam Malcolm X) ditembak mati  sewaktu berceramah di Manhattan’s Audubon Ballroom.Isteri dan anak- anaknya ketika itu berada di hadapannya, menyaksikan peristiwa yang sangat mengerikan dan traumatik itu. Perjalanan hidup duniawi Malik Shabbazz terhenti ketika itu. 4 orang anak perempuannya menjadi anak-anak yatim.Tak lama kemudian anak kembarnya lahir tanpa ayah di sisi mereka. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Namun, apa yang dibawa oleh Malcolm X ini telah memberi kesan yang besar kepada orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Anak Elijah, Warith Deen Muhammad  bertindak keluar daripada kumpulan Nation Of Islam selepas bapanya meninggal dunia. Clara Muhammad ialah ibu Warith Deen Muhammad. Ibunya pernah menubuhkan beberapa sekolah, antaranya ialah sekolah untuk kaum wanita berkulit hitam. Warith Deen kemudiannya telah menubuhkan sekolah Islam mengikut pegangan ahli sunnah wal Jamaah dan menamakan sekolah-sekolah tersebut berdasarkan nama ibunya. Bangunan 'America's Islamic Heritage Museum' ialah bangunan bekas sekolah Clara Muhammad.

Warith Deen juga telah meninggal dunia. Pengikutnya menyambung usaha-usaha Warith Deen dalam menegakkan iktikad ahli sunnah wal jamaah (sunni) dalam kalangan bangsa berkulit hitam di sana.  Perjuangan mereka  masih panjang di bumi Amerika Syarikat ini. Namun Islam telah berjaya menyatukan dan mengembalikan mereka kepada agama fitrah, agama asal mereka.

 https://noorslist.wordpress.com/tag/dr-youssef-mroueh/
 http://malcolmx.com/biography/
http://islam.uga.edu/malcomx.html
https://en.wikipedia.org/wiki/Inna_Lillahi_wa_inna_ilaihi_raji%27un

Tuesday, March 14, 2017

Dua tahun Selepas Gempa

"Kenapa masjid ni macam pelik sikit. Lantai dia berhabuk. Macam dah lama tak diguna?" kata suami saya. Saya yang kurang peka tentang hal-hal ini terus mencari-cari pintu yang tidak berkunci. Ternyata tiada kelihatan yang boleh dilalui.
Kami berada di hadapan sebuah masjid daerah yang agak besar. Agak luas kawasannnya. Tapi agak musykil kenapa seolah-olah masjid ini sepi daripada kunjungan jemaah. Seluruh kawasan luar masijd dan tempat wudhuk seperti sudah lama ditinggalkan.

Saya terserempak dengan seorang tukang cuci yang sedang menyapu lantai sebuah tempat berteduh tidak jauh dari masjid. "Yang mana satu pintu yang tak berkunci?" saya bertanya sambil menunjukkkan pintu depan masjid yang di manggakan. 'Masjid ini dah tak digunakan lagi. Solat di bangunan lagi satu. Tapi pergilah dengan kereta, lagi mudah." jawabnya.
Tidak pula di terangkan  kenapa masjid ini tidak digunakan lagi,sebaliknya dia terus-menerus menyuruh kami ke bangunan di sebalik pagar.

Sampainya kami ke bangunan yang dimaksudkan, kami terserempak dengan seorang lelaki sedang mop lantai bangunan tersebut. Salam diberi dan dihulur oleh suami saya tanda berkenalan sebagai seorang Islam. Orangnya mesra, oleh itu agak mudah berkomunikasi dengannya.


Kami terus menanyakan perihal masjid yang besar di sebelah. " Masjid ni rosak teruk kesan daripada gempa bumi tahun 2015. Kubahnya ada yang jatuh, ada yang sudah senget. Dinding menara juga jatuh menghempas ke siling langsung terus ke lantai. Sangat bahaya untuk solat di situ. "
Terkejut kami mendengar penerangannya.




"Masa itu waktu pagi. Lebih kurang pukul. Ada seorang sedang mop lantai masjid masa itu. Beberapa minit sebelum kejadian, Allah menggerakkan hatinya pergi ke tempat lain untuk melakukan sesuatu. Tiba-tiba kedengaran satu dentuman. Siling di kawasan dia mop sebelum itu terhempas dengan kuatnya. Allah telah menyelamatkannya. Alhamdulillah." cerita orang tersebut lagi.
Allahuakbar. Terkedu kami mendengar penerangannnya. Namun bersyukur bila diberitahu tiada yang cedera di masjid ketika itu. Allah jua yang menentukannya hidup dan ajal hamba-hambanya.

Kami terus melangkah ke bangunan masjid untuk menyaksikan sendiri kerosakan  masjid tersebut. Memang dari jauh, kerosakannya hanya kelihatan sedikit. Menjengah ke dalam, kelihatan siling dan bumbung yang runtuh hampir mencecah lantai. Tak dapat kami bayangkan bagaimana ketulan-ketulan besar dinding simen dari menara jatuh menghempap bumbung dan siling bangunan masjid ketika itu. Kawasan wuduk juga tidak dapat digunakan. Silingnya dan bumbungnya rosak teruk. Mendongak ke atas kelihatan kubah-kubah yang senget, menungggu masa saja untuk jatuh menghempas ke bumi.

Seketika lalu seorang lelaki  tidak jauh dari kawasan wuduk. Sedar akan kehadiran kami untuk memerhati kesan runtuhan gempa bumi ini, dia menyuarakan keluhannya," Sudah dua tahun. Masih belum ada apa apa perubahan."

Ya, sudah dua tahun gempa bumi  berskala richter 5.9  ini berlaku. Namun, tiada tanda-tanda pun sudah bermula pembaikian masjid ini. Apakah dana masih  tidak mencukupi? Atau masih di peringkat perancangan?

Yang nyata apa yang banyak diwar-warkan dalam media ialah puncak gunung Kinabalu yang terjatuh kesan daripada gempa ini. Yang disibukkan ialah mengukur semula ketinggian puncak gunung Kinabalu."Jemaah yang ramai terutama sekali tika solat Jumaat terpaksa menggunakan surau-surau berdekatan. Bangunan sementara masjid yang tidak cukup luas." keluh jemaah yang kami jumpa.

Seketika saya teringat berlaku kebakaran di sebuah masjid di Texas beberapa bulan lepas. Ramai yang bersimpati rumah Allah ini tidak dapat digunakan. Selepas dilancarkan kutipan untuk pembinaan semula, jumlah yang dikutip sudah mencecah satu juta USD dalam masa beberapa bulan sahaja. Allahuakbar! golongan yang menderma bukan sahaja daripada orang Islam, malah daripada orang bukan Islam juga. Kenapa dana masjid ini begitu cepat dan banyak dikutip  di bumi yang kontroversi ini? Mungkin cara mereka patut dipelajari dan diambil iktibar oleh kita disini.


Kami terus melangkah ke bangunan sebelah untuk mengisi tabung besi masjid di ruang hadapan bangunan. Memang, melawat rumah Allah ialah antara itinerari lawatan kami ke negeri di bawah bayu ini. Insha Allah masjid yang baru yang lebih luas ditegakkan segera. Insha Allah masjid ini tidak sepi lagi bahkan kuat dan nyaring dengan jemaah yang mengaminkan Al Fatihah setiap kali solat fardhu. Insha Allah.

Elok juga kita renungi apa yang dikatakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi:
'Ada orang yang rumahnya hampir dengan masjid tetapi tidak mampu. mendatanginya. Sebaliknya, ada orang yang rumahnya jauh dari masjid tetapi mampu mendatanginya. Ini semu soal hati. Jika hati hampir dengan Allah jarak yang jauh akan menjadi dekat. Namun jika hati jauh dengan Allah, jarak masjid yang dekat pun terasa jauh.

Di dalam masjid itulah terlaksana pelbagai jenis ibadah. Bukan sahaja bercorak habluminallah ( hubungan dengan Allah) tetapi juga habluminannas( hubungan sesama manusia) bukan hanya solat , zikir dan berdoa, tetapi masjid menjadi pusat ilmu, kebajikan, kesihatan, perhubungan dan lain- lain aktiviti kebaikan.

Rasulullah bersabda:" Mana sahaja masyarakat yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid- masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada di sisinya."
( Riwayat Ahmad)'
Rehat dan Rawat Hatimu di Masjid- Pahrol Mohd Juoi Solusi Isu 74

Rujukan:
http://www.npr.org/sections/thetwo-way/2017/02/01/512826283/donations-to-torched-texas-mosque-top-1-million-in-outpouring-of-support

Seorang Berkulit hitam....seorang muslim

Terasa lama tidak menonton video. Kali terakhir menonton bersama anak-anak. Video " Bug's Life" kalau tak silap. Video yang baru saya pinjam daripada seorang sahabat ini agak istimewa. Di Malaysia mungkin jarang orang akan meminjam atau membeli video sejarah atau autobiografi sebegini. Tambahan lagi video ini bukannya berkenaan orang Malaysia mahupun berlaku di sini. Video ini ialah berkenaan  Malcolm X.

"Saya ialah seorang muslim dan akan selamanya menjadi seorang Muslim. Agama saya ialah Islam.
Saya bukan seorang rasis dalam bentuk apa sekali pun.  Saya tidak mempercayai diskriminasi atau pengasingan(segregation). Saya mempercayai Islam. Saya seorang muslim dan tidak ada apa-apa kesalahan menjadi seorang Islam, tiada apa-apa kesalahan dalam agama Islam. Agama ini mengajar kita mempercayai Allah ialah tuhan kita. ........"
Sumber: http://www.malcolm-x.org/islam.htm

Itulah antara ucapan Malcolm X, seorang pejuang kulit hitam yang telah berjaya  menarik lebih 30 000 orang menjadi pengikutnya sebagai orang-orang Islam berkulit hitam di Amerika Syarikat.

Mungkin di Malaysia tidak ramai yang mengenalinya. Yang kita tahu ialah orang berkulit hitam semakin ramai berada di negara kita. Mereka mungkin dari Nigeria, Sudan atau pun Somalia. Sering juga kita memandang rendah terhadap mereka yang berkulit hitam ini. Maklumlah apa yang disiarkan di media, penyalahgunaan dadah mahupun kegiatan yang tidak bermoral sering dikaitkan dengan mereka.

Namun apabila berada di Amerika Syarikat, janganlah terkejut dengan kehadiran begitu ramai orang-orang berkulit hitam ini. Mereka ini tampil dengan pelbagai  watak dan peranan yang begitu berbeza sekali daripada apa yang kita perhatikan di negara kita. Malah bangsa berkulit hitam sendiri sudah pernah menjadi presiden yang disegani dan disukai oleh rakyat Amerika Syarikat.

Perjuangan bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat sudah begitu lama. Bangsa mereka dahulunya dibawa dari Afrika sebagai hamba. Perlu diingatkan kisah penghambaan ini wujud di merata-rata tempat  di dunia termasuklah di tanah Arab dan negara kita. Oleh itu saya tak akan bincangkan topik penghambaan di sini.

Terus terang saya  mengaku nama Malcolm X ini lebih saya kenali sewaktu saya mengembara bersama keluarga di Amerika Syarikat dan bukan sewaktu saya belajar di sana tahun 1980an dahulu. Nama pejuang kulit hitam yang lebih dikenali di Amerika syarikat ialah Martin Luther King. Tugu peringatan Martin Luther King juga terdapat di National Mall,Washington DC. National Mall ialah sebuah taman yang besar yang dibina berdasarkan sejarah Amerika Syarikat. Namun Malcolm X diingati di sebuah muzium Islam yang kecil, di Washington DC atas usaha orang Islam berkulit hitam sendiri . Pernah ke anda yang melancong atau belajar di Amerika Syarikat berkunjung ke muzium ini?
Bersambung.

Wednesday, March 1, 2017

Kejayaan Trump Ada Hikmahnya

4 bulan berlalu. Demonstrasi jalanan masih hebat berlaku. Rakyat Amerika berterusan marah dengan keputusan pilihanraya di negara mereka. Rakyat Islam khususnya yang berada di negara ini resah...takut... bingung. Resah dengan tindakan yang akan diarah oleh Trump. Takut dikejar oleh pihak berkuasa. Bingung ke mana mereka harus tuju.
Namun jika difikirkan dari satu sudut kejayaan Trump memegang tampuk sebagai presiden Amerika punya pelbagai hikmah. Rakyat dunia kini tahu betapa ramainya umat Islam di Amerika Syarikat. Bukan saja sebagai imigran(pendatang), penduduk tetap (permanent resident) tetapi juga sebagai rakyat Amerika yang berkulit hitam dan berkulit putih. Berdasarkan Pew Research Center, terdapat 3.3 million orang umat Islam di Amerika Syarikat pada tahun 2015. Dan angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Pengembaraan saya sekeluarga di bumi Uncle Sam ini  beberapa kali juga membuktikan betapa ramainya umat Islam khususnya di bandar-bandar besar seperti Los Angeles, San Francisco,  New York dan Chicago. Bahkan orang Islam bukan hanya terdapat di bandar-bandar ini sahaja, malah juga di bandar- bandar di bahagian utara dari Sioux Falls di South Dakota hingga ke Nashville di Tennessee. Ini hanya sebahagian daripada masjid-masjid  yang saya sekeluarga sempat singgah. Tahu tak, masjid juga terdapat nun di utara sehingga  ke Alaska!

Allahuakbar! Memang orang Islam hadir di hampir setiap pelusuk di bumi Uncle Sam ini. Bagi kami yang pernah mengembara ke sana, kadangkala kami disapa dengan ucapan salam dengan tiba-tiba. Terkejut juga sebab tidak menyangka orang berkulit putih mahupun hitam di hadapan kami sebenarnya seorang Islam.

Selama ini ramai daripada kita hanya memandang sebelah mata sahaja kehadiran orang Islam di bumi yang kontroversi ini. Mungkin disebabkan media hanya memaparkan suasana keganasan mahupun tindakan pemimpin di sana. Maklumlah berita dari negara ini memang sepantas kilat tiba dengan teknologi terkini dan mendapat liputan luas berbanding negara-negara lain. 

Anehnya ramai yang tertarik dengan Islam dengan melihat cara hidup orang Islam di sana. Seterusnya mereka banyak menyelidik sendiri tentang Islam. Allah telah membantu mereka setelah mencari-cari ketenangan dek jiwa yang kosong. Bantulah mereka dan doakanlah untuk mereka....Insha Allah Islam akan membawa ketenangan kepada mereka di sana.

Jika difikirkan lebih jauh dan berbalik kepada keadaan kita di Malaysia, banyak iktibar yang boleh kita ambil daripada keadaan pasca pilihanraya Amerika Syarikat. Usahlah kita berpeluk tubuh dan berbangga dengan Islam yang ada pada diri kita. Umat Islam di Amerika Syarikat berjaya menarik ramai jiwa yang kosong di sana dengan menunjukkkan contoh akhlak yang baik dengan pelbagai aktiviti interfaith mereka. Bagaimana pula kita disini dengan orang bukan Islam di sekeliling kita. Jom kita berusaha berakhlak baik sebagai permulaan.

'Islam mengajar umatnya agar buta warna kulit dan latar bangsa. Keadilan dalam layanan terhadap sesama Muslim itu dibuktikan dengan jelas dalam hadith Nabi:" Wahai manusia ! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama( Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab  ke atas ' ajam' ( yang bukan Arab), atau 'ajam' ke atas Arab, atau yang berkulit merah  ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkuit merah melainkan ketakwaan."
(Riwayat Ahmad)'
Ezry Fahmy Eddy Yusof- Solusi Isu 98


Rujukan tambahan:https://www.salatomatic.com

Wednesday, February 15, 2017

Teman Istimewa

Lebih sebulan yang lalu saya kehilangan seorang teman. Teman untuk berdoa, teman untuk mengaji quran, teman untuk bersembang. Teman ini saya hubungi  hampir setiap hari. Walaupun ia hanya sekadar panggilan talipon dan bersua muka kadang-kadang.
Pahit bagi saya melepaskannya pergi walaupun saya tahu qada' dan qadar Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Setiap kali mengalun ayat al Quran yang sering kami baca bersama, setiap kali itu lah  juga mulut ini terhenti ..susah untuk meneruskannya. Usah fikir berapa kali air mata ini mengalir deras bila teringatkan doa yang sering kami panjatkan kepada Allah bersama-sama. Istimewanya doa temanku ini antara doa yang tidak terhijab kepada diri dan adik-beradik saya yang lain.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:" Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu doa seorang bapa(dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi."
( Riwayat Abu Daud no 1536, al Tirmizi no 3448 dan Ibn Majah no 3862)

Syukur ya Allah memberi masa 54 tahun untuk bersama teman ini sejak dalam kandungan lagi. Kasih sayang teman kepada diri ini tak pernah luntur sebegitu lama.
Ya, teman istimewa ini ialah ibu saya sendiri.
Ya Allah, luaskan kubur ayah dan ibuku sebagaimana luasnya mata memandang seperti  kubur para mukmin dan wangikan kubur mereka dengan haruman syurga dan sinarilahnya dengan cahaya syurga. Jangan di sakiti mereka dengan siksaan malaikat di alam kubur.
Ya Allah, ampunilah dosa ayah dan ibu kami dan masukkanlah kami ke dalam syurga firdaus mu kelak. Insha Allah kita akan bertemu kembali di sana, ayah dan emak.
Allahuakbar...cukup sebulan emak meninggalkan kami,  Khamis 12 jan  2017 jam 5.15 petang, Allah menganugerahkan saya seorang cucu lelaki.,Khamis  9 Febuari  jam 5 petang. Walaupun jauh di perantauan orang, Tok akan tunggu agar Adam, ahli baru dalam keluarga ini dapat menjadi teman tok bila Adam besar kelak.

Popular Posts