Monday, May 9, 2011

Susah benarkah kita ni?

 Suatu hari sewaktu aku sedang meneliti blog aku, aku terbaca  tentang ceritaku berkenaan Mae Sai, satu pekan yang terletak betul-betul disempadan Thai- Myanmar. Kawasan ini kelihatan seolah-olah Bukit Kayu Hitam, sebuah pekan di sempadan Kedah- Thailand dahulu. Cuma yang berbezanya ialah barangannya. Eksport Myanmar ialah batu permata yang pelbagai warna termasuklah jade. Namun batu-batu ini dijual di gerai- gerai sahaja secara lambak. Jauh disudut hati, sepatutnya orang Myanmar ni mesti kaya raya kerana banyak batu-batu berharga. Namun apa yang aku perhatikan di sini ekonomi mereka agak sederhana berbanding Thailand dan Malaysia.

Aku teringat suatu ketika dulu, sewaktu aku dan arwah bapaku pergi ke rumah adikku yang tinggal tidak jauh dari rumahku,adikku pernah mengeluh betapa susahnya hidupnya. Banyak ranjau dan duri dengan pelbagai masalah dari segi kerjanya. Ketika itu bapaku sempat mencelah, " Hang kata hidup ni susah? Pikir dulu. Sesusah hangpa ni cuba fikirkan apa yang ayah lalui."

Ayah pun menceritakan pengalaman yang dilaluinya semasa menjadi buruh paksa di sempadan Thai Burma sewaktu Jepun menguasai Tanah Melayu dulu. Oleh kerana tak tahan dengan keadaan tersebut, bapaku telah berusaha melarikan diri. dari tempat tersebut. Dengan bantuan orang Thai dapatlah ayah mengelak daripada ditangkap oleh tentera Jepun. Kadangkala ayah tiada tempat untuk bersembunyi. Hanya lubang parit sajalah tempat  untuk ayah berlindung.Ayah juga mengharapkan belas ihsan orang Thai untuk memberinya sesuap nasi bagi mendapatkan tenaga untuk meneruskan perjalannya.

Sebaik saja sampai di Malaysia, ayahku tak balik ke rumahnya di Seberang Perai kerana khuatir tentera Jepun menyerbu rumahnya. Sebaliknya dia pergi membawa diri ke Kelantan. Alhamdulillah  sebuah keluarga orang Kelantan  bermurah hati untuk menumpangkannya sementara.Ayah dijadikan anak angkat bagi pasangan orang Kelantan tersebut. Aku sendiri tak tahu berapa lama ayah berada di Kelantan. Ayah tak sempat menceritakan siapa nama keluarga tersebut dan aku sendiri tak sempat nak bertanya ayah kerana beberapa bulan selepas itu ayah jatuh sakit akibat kanser hati lalu meninggal dunia 3 bulan selepas itu. Kalau aku tahu tentang keluarga tersebut sudah tentu aku menghubungi mereka untuk merapatkan siratulrahim antara keluargaku dan keluaraga mereka.Sekurang-kurangnya aku dapat berterimakasih atas pengorbanan mereka menjaga ayah satu masa dahulu.

Setelah tinggal beberapa lama dan bekerja di sawah padi, barulah ayah pulang ke kampung halamannya. Sewaktu kali pertama arwah ayah  bertemu nenekku, dia tergamam kehairanan. Tidak kenal siapa di hadapan matanya. Kulit ayah dah semakin gelap dek berjemur di bawah matahari kerana sekian lama bekerja di sawah padi. Agaknya wajah ayahpun semakin cengkung kerana bekerja keras.Setelah merenung beberapa lama barulah nenekku memngenali arwah ayah yang amat dirinduinya.Ayah tidak menceritakan apa-apa lagi berkenaan saat pertemuan yang mengembirakan itu.

Susah ayah mengharungi pelbagai detik cemas dan meletihkan tidak dapat aku gambarkan. Kesabaran dan tekad arwah ayah untuk pulang menemui keluarga memang seolah-olah seperti satu tayangan dalam TV tapi sebenarnya satu realiti yang payah nak ditelan. Namun, jika difikirkan dengan kesusahan yang dihadapi oleh arwah ayah dan kesusahan yang dihadapi kita bagaikan langit dan bumi bezanya. Orang dulu bertarung nyawa untuk agama dan keluarga sedangkan kita hanya menghadapi kesusahan diri sendiri saja.

Renung-renungkanlah.



Ingin menulis artikel dan buat duit online? Klik disini

Popular Posts