Thursday, May 8, 2014

Menziarahi Bumi Haramain- Umrah 2014

Masjidil Haram dan Menara Jam
Bumi Haramain...Nama yang di berikan kepada Makkah al Mukaramah dan Madinah al Munawarah. Saban tahun begitu ramai orang Malaysia ke sana. Dari pandangan mata kasar, mudahnya bagi sesetengah orang sampai ke sana. Mungkin itulah yang dikatakan dijemput sebagai tetamu Allah untuk menziarahi rumahNya yang paling istimewa. 

Bagi aku dan suamiku, ia mengambil masa lebih 20 tahun untuk menjadi tetamu sekali lagi di kedua- dua tanah haram ini. Tentunya suasananya amat berbeza sekali daripada 20 tahun lalu. Bukan saja pemandangan dan kemudahan di sekeliling berbeza tetapi penghayatan kami terhadap rumah Allah ini juga berbeza. 

Bagi diriku, oleh kerana begitu sukar untuk sampai ke sana, aku bertekad untuk 'make the most of it' sewaktu berada di sana. 

Apa yang kami persiapkan bukannya semata-mata bekalan pakaian tapi yang lebih utama ialah ilmu berkenaan ibadah umrah dan Bumi Haramain. Sungguhpun kami pernah ke sana, sedikit sebanyak ulangkaji mengenai ibadah umrah perlu dibuat. Aku juga bertekad untuk melawat seberapa banyak yang boleh tempat-tempat berkaitan sejarah islam di sana. Memang benar, ilmu tentang sejarah membolehkan kita menghayati sesuatu perkara lebih-lebih lagi apabila tempat itu berada di hadapan kita.


Dengan merujuk kepada buku 'Bayu Kerinduan di Bumi Haramain' oleh Ust Ahmad Husni, sedikit sebanyak aku dapat menjejaki tempat-tempat yang dilalui oleh Rasulullah sebelum berhijrah, masjid-masjid yang dibina berdasarkan peristiwa bersejarah, menyaksikan dengan sendiri kesan daripada usaha Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta Siti Hajar dalam membina kaabah dan membangunkan Makkah Al-Mukarramah dengan pertolongan Allah. InsyaAllah akanku ceritakan nanti dalam artikel seterusnya.


Target ibadah umrah yang paling penting ialah adanya perubahan diri dari segi peningkatan iman. Amat rugi sekiranya ibadah umrah yang dijalankan berkali-kali tidak mengubah akhlak dan akidah seseorang. Buku '50 tips Motivasi Haji' oleh Prof Muhd Kamil dan isterinya Roza Roslan yang aku bawa bersama  memberi sedikit sebanyak panduan agar kita berusaha untuk berubah apabila berada di Makkah dan Madinah. Keikhlasan diri dalam beribadah dan tidak membuang masa semasa berada di sana adalah kunci untuk mengubah diri agar menjadi muslim yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan. Perubahan positif pada diri inilah yang sepatutnya kita bawa balik ke Malaysia agar dapat kita praktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. 
Bahagian Luar Maqam Rasulullah di Masjid Nabawi

Orang kata, untuk berdakwah, pelbagai cara boleh dibuat. Pegawai umrah yang ditugaskan membantu kaum hawa di Madinah menunjukkan contoh peribadi yang terpuji. Disamping menggalakkan sedekah dan wakaf dia sentiasa hadir semasa jemaah umrah berada di dewan makan. Maklumlah wanita mempunyai pelbagai masalah ibadah dari segi kesucian diri. Dia juga menunjukkan secara praktikal cara bersedekah di Masjid Nabawi. 

Ramai yang pernah mendengar hadith ini. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Pahala solat di masjidku(Masjid Nabawi) adalah digandakan seribu kali solat daripada lain-lain masjid kecuali Masjidilharam(Makkah). Solat di Masjidilharam adalah lebih afdhal daripada seratus ribu kali solat." (Riwayat Imam Ahmad)
Imam al Muhibb al Tabariyy menyatakan dalam analogi yang dilakukannya, hadis-hadis  yang diriwayatkan mengenai pahala ibadah solat di Masjidilharam juga adalah dalil kepada gandaan ganjaran pahala melakukan sebarang bentuk kebajikan di Tanah Haram.

Imam Hassan Al Basri pula menambah, 
'bahawasanya puasa sehari di Makkah adalah seumpama berpuasa 100 000 hari. Manakala bersedekah dengan hanya satu dirham bersamaan pahala bersedekah 100 000 dirham dan setiap kebajikan digandakan 100 000 pahala.' (Sumber- Bayu Kerinduan di Bumi Haramain- Ust Husni)

Kesan daripada berebut-rebut mendapat pahala di Bumi Haramain sudah tentunya memberi kesan kepada sesiapa saja termasuk aku tentang perlunya kita sentiasa beribadah, bersedekah dan berbuat kebaikan sekembalinya pulang ke tanah air. Alangkah hebatnya kesan menziarahi Bumi Haramain ini.

Bersama-samalah kita berebut peluang untuk mendapat pahala semasa mengerjakan umrah atau haji dan seterusnya melakukan perubahan diri sekembalinya kita kembali ke tanah air.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts