Wednesday, April 20, 2011

Tsunami Jepun-dan Tsunami di Malaysia

Tahun lepas aku berkempatan membawa ibuku ke Sungai Petani. "Kenapa nak holiday di Sungai Petani?" salah satu pertanyaan yang telah diutarakan oleh kakakku, mungkin merasakan agak pelik aku memilih tempat yang dekat. Maklumlah kami ni orang utara. Ibuku sekarang tinggal bersama kakakku di Alor Star. Sungai Petani dengan Alor Star hanya setengah jam perjalanan.

Sebenarnya ibuku sudah lanjut usia dan kadangkala aku berkesempatan membawanya pergi 'holiday' untuk mengelakkannya daripada terperap aje kat rumah. Ibuku sudah tak larat untuk berjalan jauh walaupun dengan kereta. Jadi aku pilih Sungai Petani sebagai salah satu destinasi percutian khas untuknya. Sebenarnya aku sendiri jarang ke Sungai Petani kerana aku tidak mempunyai hal tertentu untuk ke sana. Biasanya aku berulang alik dari Pulau Pinang, tanah kelahiranku dan Alor Star, rumah kakakku.

'Jom kita pi tengok tempat tsunami dulu,' ajakku kepada ahli keluargaku." Buat apa, mak? Bukannya ada tempat peranginan di sana," kata salah seorang anakku. " Tak apa, mak saja nak faham macamana boleh berlaku tsunami kat situ," terangku.Oleh kerana tidak ada rancangan lain, ahli keluaragaku pun bersetuju.

Wah, rupa-rupanya perjalanan dari Sungai Petani ke   Kuala Muda sungguh jauh ke pedalaman. Mulanya kami hampir berputus harap nak sampai ke sana sehinggalah anakku teringat untuk memasang GPS di telefon suamiku.Berpandukan kepada GPS kami telah melalui sebuah pekan kecil dan melalui
sebuah jalan yang agak sunyi.


Tiba di suatu simpang kami ternampak sebuah tugu yag dibuat berbentuk perahu yang disusun
bertingkat. Rupa-rupanya itu ialah tugu peringatan Tsunami. Sebaik saja kami membelok ke kiri kami ternampak sebuah kawasan berpagar yang terdapat rumah-rumah usang yang telah pecah
Sebahagiannya. Inilah tapak kawasan perumahan yang antara paling teruk dipukul gelombang tsunami pada tahun 2004. Pada ketika yang sama Acheh juga mengalami tsunami yang paling teruk dalam sejarah dimana ratusan ribu telah terkorban.


Rumah- rumah ini berhadapan dengan satu kawasan terbuka yang berangin kuat. Setelah melihat keadaan begini dimana rumah- rumah ini dibina berhadapan kawasan lapang yang berhadapan laut, barulah aku faham bagaimana tsunami berlaku. Cuma aku kurang faham setelah berlaku tsunami, kenapa tidak nampak langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab agar ia tidak berulang lagi di sini. Aku juga kurang faham kenapa didirikan kawasan bencana ini satu kawasan berpagar yang lengkap dengan kantin dan lain-lain kemudahan
sedangkan perkara ini tidak perlu dibanggakan malah ia sepatutnya menjadi iktibar bagi kita agar mengadakan langkah-langkah pencegahan agar ia tidak sampai ke kawasan itu lagi.

Tsunami di Jepun tahun 2011 merupakan antara tsunami yang paling teruk mereka alami sejak tahun 1896 dahulu. Bencana yang yang tidak disangka akan berlaku seteruk ini telah mengorbankan puluhan ribu. Gempa bumi yang bermagnitud 8.9 skala richter ini telah mengakibatkan tsunami setinggi lebih 20 kaki. Kawasan sekeliling sehingga 10 km  dari pantai semuanya dipukul gelombang tersebut. Yang lebih menyedihkan ialah ia telah merosakkan reaktor nuklear dan mengakibatkan pencemaran nuklear sehingga berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Ribuan nyawa terkorban dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal akibat ketiga-tiga bencana yang tidak di sangka itu.

Namun satu perkara yang agak ketara diketengahkan oleh para pengunjung atau sukarelawan asing ke sana idalah sikap orang Jepun sendiri yang menghadapi bencana ini. Orang Jepun dikhabarkan tidak menunjukkan rasa sedih walaupun ditemubual. Sekiranya mereka menangis atau meraung mereka mungkin akan ditegur oleh masyarakat di sana. Mungkin ini bukan kebiasaan(norm) bagi mereka di sana. Di tv, saya dapat melihat sendiri riak wajah mereka tidak menunjukkan apa-apa kesedihan walaupun mereka menyatakan mereka sangat sedih. Tampak kecekalan di wajah mereka.

Satu lagi sikap orang Jepun yang boleh dibanggakan ialah mereka tidak mengambil barang yang dijumpai.Apa lagi menyamun rumah yang mengalami kerosakan akibat tsunami. Barang yang mereka jumpai mereka letakkan dalam satu kotak dan disertakan pula dengan tempat mereka jumpai. Para sukarelawan yang membersihkan rumah yang ranap dipukul ombak tsunami juga melakukan demikian dimana diletakkan nama tuan rumah dan tempat barang dijumpai dan senarai barang yang dijumpai. Walaupun kita menyedari  orang Jepun itu sendiri mengalami kesusahan dari segi tempat tinggal dan barang keperluan, kelihatan seolah olah tiada barang yang kecurian. Bahkan sekiranya tuan rumah itu sudah meninggal dunia barang- barang itu ditinggalkan juga ditempat pengumpulan agar siwaris dapat mengambil barang- barang tersebut sebagai kenangan atau untuk kemudahan mereka.

Di dalam surat khabar tempatan ada juga diceritakan bagaimana sikap orang Jepun yang tidak suka berebut- rebut semasa mendapatkan makanan bantuan. Mereka sudah biasa beratur dan sekiranya ada yang potong 'que' orang itu tidak akan dilayan.

Bila difikirkan cara orang Jepun menghadapi musibah, kita sebagai orang Islam sudah semestinya berasa malu dengan sikap kita. Tak lama dahulu beberapa kotak wang syiling terjatuh dari sebuah kereta.Kejadian ini berlaku di negara kita. Dikhabarkan ramai orang kelam-kabut mengutip wang tersebut untuk diri sendiri tanpa memikirkan wang itu bukan hak mereka dan wang dikutip oleh mereka itu ialah wang haram. walaupun jumlahnya sedikit namun apa saja yang kita belanjakan dengan menggunakan wang itu tetap haram.

Mengambil kesempatan juga merupakan antara sikap yang memalukan bagi kita, orang Islam. Ada juga dimana berlaku kemalangan dimana orang mengambil kesempatan mengambil barang-barang berharga kepunyaan orang yang cedera di tempat kejadian. Yanga kaki loteri pula sibuk mengambil nombor tanpa kisah dengan orang yang terlibat dengan kemalangan.

Walaupun orang Jepun kebanyakkannya bukan Islam,kita tidak seharusnya menoleh pandangan bila melihat sikap terpuji mereka. Seharusnya kita sebagai orang Islam harus bersikap terbuka untuk mencontohi apa saja sikap terpuji orang orang bukan Islam meskipun ia mengamalkan agama yang tidak kita persetujui.




Ingin belajar cara buat duit dengan menulis artikel? Klik di sini.

Popular Posts