Monday, March 12, 2018

South Dakota - Badlands dan Sioux Falls Antara Sunyi dan Ketenangan Hati

Di kiri dan kanan kami pemandangannya hanya bukit berbatu semata-mata. Tiada pemandangan pohon-pohon berkayu ataupun menjalar mahupun bukit yang menghijau. Kawasan seluas 224,000 ekar ini dipenuhi dengan gunung-ganang berbatu yang gersang. Puncak-puncak bukit ada yang tajam dan ada yang mengondol seperti separa bola, membuatkan kami terasa seolah-olah berada di satu planet yang lain.  Ketiadaan tumbuhan dan bunga bunga liar melahirkan pemandangan lanskap yang agak janggal bagi kami. Namun jaluran pelbagai warna yang terdapat lereng bukit dan gondolan berwarna kuning, coklat dan kelabu berlatarbelakangkan langit biru  ini menghasilkan satu pemandangan yang memukau.

Badlands, satu nama yang agak menggerunkan bagi sesebuah tempat. Namanya di berikan oleh puak Lacota, salah satu puak American Indian yang pernah mendiami kawasan yang berhampiran sini.

Kawasan ini ada kalanya sunyi tanpa penghuni, adakalanya juga yang riuh dengan haiwan-haiwan  kecil seperti prairie dogs. Makhluk ciptaan Allah ini bukannya anjing namun sejenis tikus kecil yang comel di kawasan berumput (dipanggil prairie). Busut busut kecil memenuhi kawasan prairie menandakan kehadiran sarang haiwan kecil iras-iras chipmunks ini. Namun bukan mudah menghampiri mereka. Lincahnya pergerakan mereka seperti tikus tanah, terus menyerbu masuk ke dalam tanah.

Bagaikan susah nak dipercayai yang kawasan Badlands ini sebenarnya dulu sebuah laut yang cetek, kemudian bertukar menjadi hutan separa tropika setelah berlakunya pergerakan tanah dan letusan gunung berapi. Fosil-fosil yang ditemui oleh pihak arkeologi membuktikan kesemuanya. Daripada haiwan laut ke haiwan darat yang besar-besar, semuanya pernah menghuni tanah yang kini gersang dan seroi ini. Namun iman di hati ini harus meyakini bahawa Allah berkuasa menentukan segalanya. Dia yang menurunkan air hujan dan Dia jugalah yang berkuasa menghilangkannnya daripada tanah yang pernah dipenuhi flora dan fauna di sini.
Firman Allah.s.w.t:
"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya(hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran."
Al A'raf 7:57
Umumnya kita mengetahui, melancong merupakan satu hiburan yang mampu memberi ketenangan hati. Namun tidak  ramai yang menyedari bukan semua tempat sebenarnya sesuai untuk memberi ketenangan. Alam semulajadi antara destinasi sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

'Suara alam ialah muzik terindah  kerana keaslian dan kesucian tanpa dicemari oleh sebarang bunyi ciptaan manusia. Melihat, mendengar dan berfikir tentang alam sudah cukup bagi mereka untuk merasai keindahan Penciptanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. Laut, gunung, bukit, hutan ialah alam " semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah (alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'(1)

Namun, usah kita alpa. Melancong hanya memberi hiburan  sampingan sahaja. Hiburan asasi tetap apa yang kita wajib lakukan 5 kali sehari, yakni solat. 

'Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memebri kerehatan ada fizikal, mental, emosi dan jiwa.ia suatunkerehatan buat jiwa. 
Firman Allah" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjaditenang."
Surah al Ra'd 13: 28'(1)

Rujukan:
1. Tenang Ada di sini-Pahrol Mohd Juoi

Islamic Center of South Dakota juga salah satu destinasi dalam pengembaraan 'Islam of the Mountain West' kami ini. Terasa lebih selesa menunaikan solat di rumah Allah ini berbanding di luar dalam kesejukan yang mencengkam tulang. Alhamdulillah, sempat kami berbual sebentar dengan Imam Muhammad yang berketurunan Mesir  di Islamic Center ini. 

Wednesday, February 21, 2018

Dua masyarakat, satu konservatif, satu lagi moden, Islam tetap punya kelebihan.


Mulanya saya agak kurang percaya dengan kewujudan kaum ini di negara yang sudah maju. "Eh...macam Little House on the Prairie pula",hati saya berbisik kali pertama ternampak gambar mereka di brosur. Namun bila melihat banyak gambar-gambar mereka di internet, saya berasa 'curious'. Betul ke wujud kaum ini yang sangat konservatif ini sehingga kini.

Atas sebab 'curiosity' atau perasaan ingin tahu inilah yang menyebabkan saya memasukkan perkampungan Amish dalam itinerari pengembaraan kami.

Mesopotamia, hanya sebuah perkampungan Amish yang terletak di timur laut Ohio, lebih kurang 30 batu  jaraknya dari Cleveland. Meskipun namanya sehebat satu tempat yang satu masa dahulu hebat dengan tamaddun awal dunia dan tempat letaknya taman tergantung Babylon yang istimewa, namun  tempat ini seolah-olah satu kampung yang sangat sunyi.

Di sepanjang perjalanan kami dalam kawasan kampung ini, kelihatan pokok-pokok gandum tumbuh subur menghijau. Kebanyakan ladang di sini masih menggunakan tenaga haiwan (kuda) dan mesin-mesin yang ringkas yang menggunakan tenaga 4 kerat manusia sendiri. Berbeza dengan traktor-traktor elektrik besar yang biasa kelihatan di ladang-ladang sekitar  Amerika Syarikat ini. Daripada brosur saya mendapat tahu fahaman mereka sangat menghadkan penggunaan tenaga elektrik samada dalam pekerjaan mahupun kehidupan sehari hari. 
Kami melepasi beberapa buah kereta kuda berpenumpang. Jangan terkejut! Kereta kuda merupakan  kenderaan utama kawasan ini. Orang Amish berpegang kuat kepada fahaman mereka yang tidak menggalakkan mereka memiliki  kereta mahupun kenderaan bermotor yang lain. Mereka hanya boleh menyewanya sekiranya keadaan memerlukan. Namun ada juga orang Amish memiliki kereta sebagai kenderaan tambahan. 

Kami mengambil kesempatan untuk singgah di sebuah kedai  ''End of the Commons General Store' yang merupakan kedai runcit yang tertua  di Ohio. Kedai ini mula dibuka pada tahun 1840. Memang tepat jangkaan saya pemandangan luaran dan dalaman kedai ini betul-betul seperti  dalam siri ' Little House On The Prairie' sebuah drama Inggeris yang sangat popular tahun 1970an  dahulu, yang mengisahkan tentang kehidupan sebuah  keluarga di kawasan perkampungan yang mengusahakan ladang gandum. 

Juruwang  kedai  End Of Commons ini , seorang wanita  berpakaian gaun kembang labuh sampai ke buku lali manakala rambutnya diikat kemas dan ditutup dengan skaf kecil. Kehadiran kami disambut mesra oleh mereka , jurujual Amish  di kedai tersebut, Alhamdulillah. 

Berdasarkan brosur dan internet, tata cara berpakaian orang Amish juga agak ketat. pakaian mereka tidak boleh  menarik perhatan umum. Kain bagi pakaian mereka hanya terdiri beberapa tona warna sahaja dan tidak bercorak. Kebanyakannya bertona suram dan putih.  orang Amish tidak digalakkan mengikut fesyen dunia luar. Orang perempun dewasa berpakaian gaun labuh manakala anak-anak perempuan bergaun melebihi  lutut. Semua wanita  dan kanak-kanak p erempuan dwajibkan  menutup rambut dengan tudung (bonnet) yang khas. Lelaki  pula berpakaian kemeja dan seluar hitam dan kadangkala dilengkapi vest dan suspenders. 

Kaum  Amish ini beragama  Kristian (biblicist) dan berpegang kuat kepada ajaran dalam kitab Injil mereka. Gereja mereka bersaiz kecil. Sekali pun fahaman mereka ketat dan  kehidupan mereka sangat 'simple', bilangan mereka semakin bertambah dari hari sehari. Kenapa agknya boleh terjadi sedemikian?

Saya teringat tentang satu artikel yang membincangkan perkara yang amat berbeza dengan kaum Amish yakni tentang masyarakat Jepun' yang memang kita tahu secara amnya maju dalam pelbagai bidang. 

'Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?
Puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Jepun lebih baik dari segi kecanggihan teknologi, ekonomi  dan juga keperibadian. Para pelajar mereka di ajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.
Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana- mana bandar Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti Lapangan Terbang Karachi dan Jeddah. 

Kebanyakan masyarkat mereka sangat menghormati hak orang lain. Barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg dan lain-lain yang tertinggal atau tercicir di stesen keretapi, di pusat membeli belah atau di tempat-tempat awam akan dapat di temui semula. 

Orang Jepun sangat menepati dan pandai mengurus masa. Mereka sangat rajin dan berdisiplin. Orang Jepun  sangat berpegang kepada etika kerja dan budaya bangsa. Kedua-duanya dihayati dan diamalkan secara bersepadu. Mutu kerja mereka yang baik dibentuk oleh etika kerja mereka. Apabila etika kerja dipatuhi maka terhasillah kerja yang efektif dan efisien. 

Meskipun sudah maju, orang Jepun masih punya kelemahan. Lemah kerohaniannya. Lemah pergantungan kepada Tuhan. Apabila kecewa dan putus asa, mereka mudah membunuh diri. Sebab itu, kadar bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan mereka. Sama ada pada orang dewasa juga kepada kanak-kanak.

Kenapa orang Jepun tidak minat dengan Islam untuk memenuhi jiwa mereka yang kosong? Masalahnya bukan mereka tidak minat dengan Islam tetapi orang Islam yang lemah memasarkannya. 

Islam mementingkan kebersihan, pengurusan masa, kejujuran, menepati janji. Dengan mengamalkannya, keindahan Islam akan terserlah. Insha Allah hanya dengan itu bangsa Jepun akan terbuka mata. 

Betapa selama ini dunia menjadi kacau apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam. Kita tidak menjadi teladan. Tidak menjadi penyelamat. Sedangkan tabiat Islam itu selamat dan menyelamatkan. 
Orang Jepun lebih memerlukan sikap Islam bukan sekadar cakap-cakap tentang  Islam. Sikap boleh dilihat oleh mata tetapi cakap hanya boleh didengar oleh telinga. Dengan cara beginilah islam boleh 'dipasarkan'. 

Sumber:Islam lebih hebat daripada Samurai- Pahrol Mohd Juoi-Solusi isu 88

Benar, setiap kali mengembara di bumi Amerika Syarikat kami lebih banyak dapat melihat bagaimana Islam dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh orang Islam di sana,  lebih-lebih lagi dari segi akhlak . Dengan cara begini non Muslim dapat melihat dengan jelas keindahan agama Islam. Namun bila balik ke Malaysia, orang bukan Islam lebih kerap mendapat tahu tentang  keindahan Islam melalui pembacaan  dan melalui internet. Tanya saja mualallaf di sini dan anda akan mendapat jawapan yang hampir serupa. Mereka agak kurang tertarik dengan akhlak orang Islam di sini. Agaknya kenapa? 

Elok juga kita renungkan bersama petikan ini.

'Sesungguhnya keunggulan tamaddun Islam terletak kepada kejayaannya melahirkan generasi yang sempurna akhlaknya. Keadaan ini terserlah pada keperibadian para sahabat Rasulullah. Generasi para sahabat Rasulullah yang merupakan ialah golngan terbaik dalam kalangan manusia . 

Allah sendiri mengakui dalam Al Quran 
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dalam kalangan manusia. Kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kejahatan."
Surah Ali 'Imran 3:110'
 Sumber:Tenang ada di sini- Pahrol Mohd Juoi

Sama-sama kita berubah dan berusaha mengikut akhlak Rasulullah dan para sahabat baginda, Insha Allah

Tuesday, January 30, 2018

Lawatan ke Ladang Epal Juga ada Hikmahnya

Niat kami hanya untuk singgah sebentar di Friske Orchards ialah untuk membeli buah-buahan segar. Namun taqdir Allah telah menemukan kami dengan seorang yang sangat istimewa semasa sibuk memiih epal-epal segar.
"Hi, those apples are still hard and good." Muncul seorang perempuan tua dari bahagian bilik di belakang bangunan tersebut. Ketika itu kami sedang sibuk memilih pelbagai buah-buahan segar dan produk segar untuk dibeli.

Aku masih ingat ditangannya terdapat sebilah pisau nipis dan sebiji epal yang baru dikupasnya. Rupanya dia sedang mengupas epal ketika kami beramai-ramai masuk ke dalam kedainya. Senyum dan ramahnya menyebabkan kami begitu senng berbual dengannya.

Olga atau kami lebi gemar memanggilnya Nenek Olga  sebenarnya tuan punya kedai dan ladang epal yang besar yang kami singgah itu. Kenapa  kami gelarkan nenek dan bukan mak cik? Sebenarnya beliau memberitahu kami yang beliau sudah berusia lebih 80 tahun. Oleh itu lebih sesuai kami mmanggilnya nenek. 

Sambil mempromosikan produk-produknya, Nenek Olga dengan senang hati menceritakan sejarah hidupnya mengusahakan Friske Orchards. Orchard bermaksud dusun buah-buahan dalam bahasa Inggeris. 

Sebenarnya Nenek Olga berasal dari Poland. Akibat dari peperangan yang melanda negara tersebut, dia dan suaminya telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Kedatangan mereka hanya berbekalkan sebuah beg kecil setiap seorang. Setelah menetap beberapa tahun di kawasan terpencil ini, nenek Olga telah membeli sekeping tanah terbiar untuk diusahakan sebagai tanah pertanian. Nenek Olga bersama suaminya bukan saja menanam epal, bahkan pelbagai pokok buah-buahan yang lain seperti peach, apricot dan ceri. Kesemuanya untuk kemandirian menyara hidup mereka sekeluarga. 

Nenek olga memberikan panduan kepada kami untuk memilih buah-buahan segar dari ladangnya. Pelbagai jenis buah-buahan yang dijual  di sini;epal, oren, strawberies dan sayuran. Oleh kerana peaches dan cherries bukan lagi didalam musimnya buah-buahan ini disejukbeku atau dijadikan paste dan jam. Yang menariknya epal yang dijual mempunyai pelbagai jenis nama seperti Jona Gold, Empire, Macintosh dan Red Delicious. Bukan seperti di Malaysia , yang biasa didapati ialah epal Washington State yang merah, epal Fuji ataupun Granny Smith yang hijau. 

Selesai memilih buah-buahan kami sempat bergambar dengan nenek Olga dan bersalaman dengannya tanda terima kasih dan kami gembira bertemu dengannya. Walaupun kami berlainan agama; dia seorang beragama Kristian dan Kami beragama Islam, tidak salah kami menghormati dan mengkagumi dirinya yang sanggup berusaha begitu kuat menyara hidup keluarga mereka. Seharusnya usaha gigih nenek Olga bersama mendiang suaminya elok kita jadikan iktibar bagi diri kita yang sering memberi pelbagi alasan.

Kami terus ke bahagian tengah kedai untuk membayar buah-buahan dan produk lain yang telah kami pilih. Kalau tidak silap saya, yang menjaga bahagian cashier ialah anak perempuannya sendiri. Tampak terserlah  peribadinya yang peramah sama seperti ibunya.

Begitu teruja dengan cerita nenek Olga, kami  memohon kebenaran untuk menjengok ladang buah-buah-buhan mereka di sebelah kedai tersebut.

Itu cerita pengembaraan kami  tahun 2012 dahulu, di Michigan. Amerika Syarikat. Kerap kali kita apa yang dengar dan lihat di negara negara barat ialah mengenai jenayah atau akhlak buruk mereka di sana. Kerap kali juga kita bila terjadinya jenayah atau akhlak buruk di negara kita, sering juga kita menuding jari ke arah negara negara barat. Namun apa yang kami alami sepanjang pengembaraan kami di sini adalah sebaliknya. Akhlak yang ditunjukkan oleh Nenek Olga dan anaknya akhlak yang terpuji seperti yang dianjurkan oleh Islam. Allah jua yang mendetikkan hati kami utk singgah di sini dan mendapatkan sesuatu pengajaran di bumi Michigan ini. 

Seketika saya teringat satu buku Syamail Muhamadiyah (akhlak dan budi elerti  Nabi Muhammmad SAW) yang telah saya beli satu ketika dahulu.  Ini ialah salah satu petikan tentang akhlak Baginda.


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., beliau menceritakan:
" Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun. Tidak pernah Baginda berkata kepada kepadaku 'Uffin.' (kalimah yang digunakan oleh orang-orang Arab untuk melahirkan rasa meluat atau bosan seseorang atau untuk menghinanya). Tidak pernah Baginda berkata kepadaku sesuatu yang aku lakukan (yang tidak dipersetujuinya),' Kenapa kamu lakukannnya?' Malah tidak pernah Baginda  berkata bagi sesutau yang aku tinggalkannnya(sedangkan Baginda menyuruhnya),' Kenapa kamu tinggalkannnya?' Baginda ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Tidak pernah aku menyentuh apapun(kain, sutera dan sebagianya) yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah SAW. Tidak pernah sekalipun aku tercium satu haruman atau wangian yang lebih harum daripada peluh Rasulullah SAW."

Shahih al Bukhari ( kita as Shaum, 1837 dan kitab al Washaya, 2561). Shahih Muslim( Kitab al- Fadha'il, 51-53/2309 dan Kitab  al Fadha'il, 81-82/2330

Hadis 325-Kenali Rasul Kita Muhammad SAW-Imam at Tarmizi- Ust Ahmad Adnan Fadzil

Itulah antara akhlak-akhlak terpuji Rasulullah terhadap orang bawahannya. Tidak merendah rendahkan, marah atau mempersendakan mereka. Akhlak inilah yang seharusnya kita ikuti agar kita lebih menyantuni orang lain yang hadir dalam hidup kita. 

Ilmu tentang Syamail Muhamadiyyah ini tidak ramai yang mengetahuinya, lebih-lebih lagi mengamal dan menghafalnya. Bagaimana kita hendak mengenali Rasulullah dan mengamalkan akhlak-akhlak Baginda sekiranya kita sendiri tidak mengambil langkah pertama utk mendapatkan ilmu tentangnya. Seterusnya bagaimana ibubapa hendak menunjukkan akhlak-akhlak terpuji ini kepada anak-anak mereka sekiranya tiada ilmu tentangnya. Juga para guru kepada anak-anak muridanya dan pengarah kepada orang bawahannya atau pemimpin kepada rakyatnya? Semua nya berkait rapat antara satu sama lain dan masing-masing punya peranan penting.
Jujur, saya sendiri belum sempat habis membaca buku ini, belum banyak peluang untuk mengamalkannya. Jadi saya juga perlu melakukan langkah yang awal ini juga. Jom kita mulakan langkah pertama ni. 

Friday, January 12, 2018

Buah-buahan di Dunia Ada Yang Sama Dengan Di Syurga?

"Menarik bila dengar ustaz tafsirkan ayat tadi," kata saya sambil menyarungkan selipar yang terletak di atas anak tangga surau. Sahabat sekelas saya yang berdiri di tepi saya mengangguk tanda setuju. Kami baru sahaja menghadiri kelas tafsir harfiah di surau sebelum itu. Satu kelas yang menarik bagi saya sebab selain dari menterjemah, penafsiran bagi setiap perkataan  dalam ayat juga dibincangkan. Dulu perbincangan bagi semua ayat dalam surah Al Mulk pun mengambil masa setahun untuk dihabiskan. 

Kami meneruskan perbualan sebab arah perjalanan balik ke rumah masing-masing adalah sama. Balik berjalan kaki sahaja. Lebih mudah dan lebih mengeluarkan tenaga,disamping itu dapat juga menghirup udara petang yang segar selepas hujan renyai tadi. 

"Buah-buahan dalam bahasa Arab ialah Alfaakihatun, betul tak?" tanya sahabat saya, cuba mengingat. Kami juga mengambil kelas bahasa Arab bersama sekali seminggu. 

"Haah. Selain daripada al faakihatun ada juga dalam al Quran at thamaraatun sebagai buah-buahan. Tadi ustaz  bagi tau Alfakihatun juga makanan utama dalam syurga kelak.Tapi.. boleh kenyang kemakan buah-buahan saja? Hmm..Kan kita dah biasa makan nasi. " tanya saya, timbul pula kemusykilan selepas itu. 

"Kenyang sebenarnya ditentukan Allah. Macam di dunia ni, kadang sedikit makanan pun dah kenyang. Tanda keberkatan makanan itu. Walaupun berdasarkan sains,makanan ruji macam beras dan gandum ialah makanan yang mengenyangkan tapi itu semua juga ditentukan Allah." kata sahabat saya, memberi pendapat.
"Betul juga. Teringat tadi ustaz ada juga bercerita tentang buah-buahan yang biasa kita lihat di dunia ni nanti ada di akhirat kelak. Cuma mereka jauh lebih sedap dan kesedapan itu tak dapat kita bayangkan. Ini bermakna buahan buahan seperti betik, tembikai, manggis, rambutan semuanya ada di syurga lah ye. Semuanya pasti sedap dan manis lagi daripada yang ada di dunia ni."kata saya lagi.

"Subhanallah. Ini baru satu nikmat dunia. Tak sama macam kat dunia. Kadangkala beli buah pun ada yang tawar dan masam. Mahal pula tu. Cuba tengok harga durian sekarang. Dijual guna kilo. Lebih berat kulit daripada isi. Belum tentu isinya manis. " keluh sahabat sekelas saya ini. 

"Dulu sewaktu di belajar di California, saya  dan kawan kawan berpeluang memetik navel oranges bersama ibu bapa angkat kami. Buah oranges ni sebenarnya buah musim dingin.Saya masih ingat lagi  semasa kami memetik tu awal musim bunga. Disitu kami belajar cara nak pilih yang mana navel oranges yang betul-betul masak dan sedap di makan,"saya mula bercerita, mengimbau kenangan lama. 

"Wah, ye ke? California beriklim mediteranean kan? Tentu banyak ladang buah buahan. Mesti seronok dapat pergi ke ladang oranges tu. Dapat petik buah-buahan pula tu. Satu pengalaman yang bukan ramai dapat buat. Tapi macamana ye, nak tahu buah orange yang dah cukup masak ?" tanya sahabat saya, berminat untuk tahu lebih lagi.
"Bagi buah oranges kita bukannya tengok warnanya saja untuk tahu samada tahu dia elok atau tidak.Cuba tengok bahagian ekornya, bukan bahagian lekat dengan tangkainya. Bahagian ekor yang merekah (bukan isi terkeluar) menandakan limau tu dah cukup masak. InshaAllah sedap dan manis walaupun kulitnya masih keras," terang saya dengan yakin. 

"Ooh...macam tu. Nanti bila pergi beli buah, saya nak carilah buah oranges macam tu. Selain daripada oranges, buah lain pula macamana nak tahu dia manis dan sedap?' tanya sahabat saya lagi.

"Buah ceri ...yang 'fresh' tu biarlah kehitaman sikit tapi masih berkilat. Kalau beli kat sini memang tak boleh pilih. Semuanya sudah 'pack' dalam bekas. Saya berpeluang memetik ceri bersama keluarga di sana tahun 2009 dahulu. Seronok kami naik turun tangga memetik buah ceri," saya bercerita lagi.  

"Seronoknya dapat pergi dengan keluarga. Tapi...eh pokok ceri tinggi ke? Kena panjat tangga?" tanya sahabat saya, kehairanan

" Yang terjuntai ke bawah memang ada tapi biasanya tak banyak yang cantik dan 'fresh'. Bila panjat tangga dapat kita pilih ceri yang betul-betul masak tapi tak lembik. Tangga yang kecil aje digunakan. Tak tinggi pun" terang saya lagi.

"Nanti kalau ada rezeki lebih, nak jugalah saya bawa keluarga pergi memetik buah buahan di negara beriklim Mediteranean macam California. Saya kena belok ke sini. Jumpa lagi minggu depan, Insha Allah.,"bersemangat sahabat saya ini menyatakan keinginannya. 

."Ya memang seronok melancong bersama keluarga. Berbaloi. Semoga Allah murahkan rezeki awak sekeluarga," kata saya sambil bersalaman dengannya.  


Sungguh, apa yang diberitahu ustaz di kelas tersebut sebenarnya semua berdasarkan  ayat-ayat al Quran. Setakat ini saya telah menjumpai lebih 50 ayat berkenaan buah-buahan di dalam Al Quran. Pastinya ada maksud tersurat  atau tujuanAllah memberikan begitu banyak ayat berkenaan buah-buahan. Antara ayat berkenaan buah-buahan di syurga terdapat dalam surah Ar Rahman ayat 52,54 dan 68. Juga dalam surah al Insan ayat 14. 

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu.
(Mereka) berada di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang mengalir terus-menerus. Dan buah-buahan yang banyak. Yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya. 
Al Waqiah 56:27-33

Subhanallah. Di syurga tiada buah-buahan bermusim. Tiada perlu berpenat lelah menanam, menuai dan memetik. Syurga tempat kita berehat. Insha Allah.semoga Allah pelihara perjalanan hidup kita agar sentiasa terarah ke tempat rehat yang terbaik ini, destinasi terakhir kita. 

Friday, January 5, 2018

Genting Highlands, Reno dan South Lake Tahoe-Ada kelebihan, Ada Merugikan.

"Cuaca baik hari ini. Tak mendung. Tak berjerebu," saya membuka bicara kepada teman yang saya baru berkenalan semasa kelas muslimat tempohari. Kami terjumpa selepas solat asar di masjid, baru baru ini. Masing-masing sibuk mengejar masa dek kenduri yang begitu banyak saban hujung minggu.

"Alhamdulillah. Terasa senang untuk bernafas dalam cuaca yang baik sebegini. Udara yang bersih, kurang pembakaran sampah terbuka.  Lagipun dapat melihat bukit bukau yang menghijau juga boleh menenangkan fikiran." ujar teman saya ini.

" Aah..bila cuaca elok, kita boleh nampak bangunan di atas bukit  situ ...di Genting Highlands daripada sini. " kata saya, sambil menunjukkan bangunan yang memang jelas kelihatan dari bawah bukit  semasa hari terang.  

"Hmm... Bukan ke tempat tu dikenali sebagai salah satu tempat judi yang besar di Malaysia?" keluh teman saya, sambil menggeleng kepala.

Saya hanya mampu mengangguk, longlai. Sebenarnya banyak lagi tempat yang merupakan pusat perjudian terutama diibu kota. Dalam Islam tiada pusat perjudian halal. Semuanya haram belaka.  Ada yang dilakukan secara terbuka ada yang dilakukan secara tersembunyi. 

" Saya teringat tahun 80an dulu kami pernah berkunjung ke bandar Reno di Nevada,US. Bandar ini terletak di tebing Lake Tahoe,tasik pergunungan terbesar di Amerika Syarikat. Reno terkenal dengan pusat perjudian yang besar di sana. Atas perasaan ingin tahu, satu petang kami telah pergi berjalan-jalan ke kawasan perjudian tersebut. Terasa agak pelik, kami sekumpulan perempuan belasan tahun yang bertudung litup pergi ke kawasan sebegitu." saya memulakan cerita.
"Eh awak tak sepatutnya pergi ke tempat yang macam tu. Takut Allah timpakan bala ditempat tu, termasuklah awak sekali yang terkena. " kata temanku ini,agak terkejut dengan tindakan kami.

"Ya, memang kami rasa bersalah selepas itu. Sepatutnya tempat itu kami jauhkan. " ujar saya dengan naada menyesal.

"Belum pun malam menjelma, kelihatan ramai yang berduyun duyun ke sana. Bukan sahaja yang muda belia, malah yang tua gayut,yang berjalan terketar-ketar pun sanggup pergi kesana dengan bekas berisi syiling. Syiling itulah yang digunakan untuk permainan mesin judi." saya menyambung cerita. 

"Astaghfirullah, dah tua bangka pun nak berjudi juga. " ujar temanku lagi, masih terkejut. 

"Ya , sangat ramai pula masa tu. Kami pergi pun hanya beberapa minit sahaja. Lepas tu kami terus balik.Tak berminat nak berada di sana lama-lama. Perjudian ialah salah satu sumber ekonomi bagi Nevada." cerita saya lagi. 

"Hmm...kenapa sebenarnya orang nak sangat berjudi?" tanya teman saya lagi. 

"Mungkin Ketagih? Ingin duit segera?" Jawab saya. 

"Atau untuk ketenangan hati?" teman saya memberi pendapat.

"Tapi...Biasanya yang dapat ialah duit habis, hati bertambah parah...jiwa yang makin tdak tenang." tambah sahabat saya lagi. 

"Baru baru ni saya terdengar tentang 'Ajjanatul Ajilah' di radio. " kata saya, menyambung perbicaraan. Terasa mahu bersembang lebih lagi  dengan teman baru saya ini. 

"Tak pernah pula saya dengar perkataan ni."kata teman saya...menunggu jawapan dari saya.

"Ajjanatul ajilah ialah syurga yang disegerakan. Syurga di dunia..." kata saya, memulakan perbicaraan tajuk yang lain. 

"Syurga di dunia? Cuba awak terangkan apa sebenarnya ajjanatul ajilah ni" gesa teman saya ini, seolah olah sangat ingin tahu.
" Apa yang saya dengar di radio, ahli sufi pernah berkata," Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat kelak,'"  saya cuba mengingat apa yang saya dengar dulu. 


"Memperoleh Aljannatul ajilah ialah apabila kita memperoleh jiwa yang sangat-sangat tenang. Biar apa sahaja cabaran atau masalah yang menimpa, seseorang yang memperoleh Aljjannatul ajilah tetap tenang. Bukankah itu nikmat yang paling diinginkan di dunia ini? " terangku, agak panjang lebar. 

"Bagaimana sebenarnya nak memperoleh tingkatan sebegini? Orang biasa seperti kta boleh ke memperoleh Aljannatul ajilah ini." tanya sahabatku, agak teruja mendengar perkataan baru ini. 

"Kenapa tidak ?Biasanya untuk memprolehi tingkatan sebegini memerlukan istiqamah dan mujahadah . Sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Semua amalan wajib jangan ditinggalkan. Amalan sunat, solat malam cuba usahakan agar tidak tertinggal. Istiqamah melakukan ibadah  dan jangan terlalu leka dengan urusan dunia." jawabku, memberi keyakinan kepadanya. 

"Bagaimana dengan pekerjaan kita. ? Kan pekerjaan kita juga satu ibadah? " tanya teman saya lagi.

"Ya ,pekerjaan yang dilakukan tanpa mengenepikan kehendak syarak sudah semestinya satu ibadah. Semua ibadah yang membawa kita kepada hubungan erat dengan Allah akan membawa kepada ketenangan hati. " terangku lagi. Harapan saya agar sahabat saya faham maksud Aljannatul ajilah ini. 

"Jadi bila terjadi masalah dalam pekerjaan , kita berbalik kepada Allah dan terus berusaha. Dengan cara begitu, kita lebih tenang, betul kan?" ujar sahabat saya, memberi pendapat. 

"Ya, begitulah apa yang saya faham. Seterusnya orang yang diberi Aljannatul ajilah  akan mendapat syurga yang hakiki kelak, Insha Allah," kata saya lagi. 

"Insha Allah , memang itu yang diharapkan oleh semua orang Islam sebagai matlamat hidup," kata  kawan saya menadah tangan berdoa agar dikurniakan Ajjanatul ajilah  di dunia dan dan Jannatul Firdaus  di akhirat kelak. Kami bersurai selepas itu, pulang mengikut jalan yang berlainan.

Seketika saya teringat satu lagi bandar yang terletak di tebing Lake Tahoe, iaitu South Lake Tahoe. Bandar ini terletak di negeri California, bukan di Nevada. Di bandar ini judi diharamkan ketika itu. Ekonomi bandar ini lebih tertumpu kepada pelancongan seperti adanya pusat ski dikala musim sejuk  dan resort-resort percutian dimusim panas. Dua bandar yang berbeza sumber ekonominya ditebing tasik yang sama. 

Saya memilih bandar yang punya pemandangan yang indah memukau, lebih kepada penciptaan Allah  dan berupaya mendekatkan diri kepadaNya. Ayat al Quran ini menjadi pedoman untuk mendekatiNya setiap kali melihat pemandangan alam yang indah.. 
Firman Allah:
" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Ar Ra'd : 28

Tuesday, December 26, 2017

Kapal dan 'The Soo'- Kaitkan Dengan Strategi Al Fateh

Tempat ini sungguh istimewa. Bukan kerana keindahannya. Bukan kerana bangunan yang mencakar langit. Ia istimewa sebab tempat inilah tempat laluan dan pelabuhann kapal kapal besar. Saban hari banyak kapal-kapal besar melalui tempat ini. 

Walaupun tempat ini satu laluan kapal dan pelabuhan,ia  bukan terletak di tepi laut  tetapi di tepi sebuah sungai! Sungai ini sebenarnya menghubungkan tasik Superior dengan  tasik-tasik besar yang lain (The Great Lakes); Tasik Michigan, Tasik Huron, Tasik Erie dan Tasik Ontario. 

Tempat ini  yang dikenali sebagai 'The Soo', ialah pelabuhan Sault Ste Marie. Pelabuhan ini juga istimewa sebab  punya satu nama tapi terletak di dua buah negara; Amerika Syarikat dan Kanada. Daripada Tasik Superior di Kanada kapal-kapal boleh melalui pelabuhan Sault Ste Marie untuk ke Tasik Michigan dan Tasik Huron. Dua terusan dan beberapa kunci air lebih dikenali sebagai 'The Soo Locks' dibina agar kedalaman air dapat ditinggikan ketika kapal-kapal besar melalui sungai St Mary. Dengan teknologi begini kapal-kapal dapat meneruskan perjalanan tanpa perlu risau dengan kedalaman air yang rendah.  

Oleh kerana pelabuhan ini terletak di bahagian utara benua Amerika, ia tidak dapat berfungsi sepanjang tahun. Saban tahun bila tiba bulan Oktober, pelabuhan ini akan ditutup sebab sungai St Mary akan mula membeku dengan ketibaan musim dingin. Meskipun  demikian pelabuhan ini sangat sibuk dan penting  kerana ia menghubungkan perjalanan air antara tasik-tasik besar. Lebih kurang 10 000 kapal melalui Soo Locks ini dalam setahun! Dengan teknologi dan pengetahuan yang dimiliki, tempat yang sebegini dapat diguna pakai sepenuhnya walaupun hanya beberapa bulan setahun. Mereka menggunakan ruang masa dan peluang yang ada supaya pengangkutan dan perdagangan dapat dijalankan menerusi tasik-tasik besar.

Sejarah juga membuktikan penaklukan kota Constatinople oleh Sultan Muhamammad Al Fateh bersama tenteranya  dilakukan dengan kapal. Lebih kurang 72 buah kapal perang digunakan untuk menyerang tentera Byzantium. Strategi menggunakan ruang masa dan peluang yang ada dengan efisien ialah antara kejayaan mereka menakluk Konstatinople. Al Fateh telah merujuk kepada strategi daripada kejayaan peperangan Rasulullah s.a.w. dan juga Salahuddin al Ayubi.  

"Sabdanya Rasullulah saw ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq: 

".... Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...." 
(Hadith Riwayat Imam Ahmad) 

"Perairan Teluk Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah (tentera Islam)". Keesokkannya mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di Teluk Perairan Golden Horn. Ini adalah kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui antara peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. Kapal-kapal ini membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar terkenal bedilan meriam Uthmaniyyah. "


Biasanya kta hanya mendengar kapal belayar di  air, namun dengan ketabahan Al Fateh dan tenteranya serta pertolongan Allah mereka  berjaya menolak kapal-kapal mereka ke atas gunung. Pelik, namun itu strategi mereka yang terbaik!

Selalunya kita hanya membaca teknik dan strategi peperangan Al Fateh lantas  mengaguminya. Tidak dinafikan Al Fateh juga telah menggunakan senjata terkini untuk menakluk Konstatinaople. Namun yang lebih penting, untuk mencapai kejayaan ni bukan mudah. Mereka sentiasa mengekalkan hubungan mereka dengan Allah.  Solat fardhu dan solat solat sunat  dan ibadah-ibadah lain sentiasa dijaga. Selain daripada itu latihan mengekalkan ketakwaan kepada Allah dilakukan keatas 250,000 orang tentera  ini sebelum dilancarkan peperangan . Agar mereka  tidak mudah berputus asa dan sentiasa yakin dengan pertolongan Allah.  Allahuakbar. 

Hidup kita yang merupakan satu perjalanan menuju akhirat juga memerlukan strategi penggunaan ruang masa dan peluang. Banyak simpang siur dalam perjalanan ini  yang memerlukan petunjuk daripada Allah. Namun ramai daripada kita masih mengenepikan atau leka hubungan kita dengan Allah. Kesannya bila ruang masa dan peluang itu tertutup, destinasi akhirnya pasti mengecewakan dan menakutkan. Nauzubillah min zalik.  Jom kita pertingkatkan hubungan kita dengan Allah. Insha Allah. .

Wednesday, December 20, 2017

Kapal Kertas, Kapal dan Armada Angkatan Laut Islam

Tahun ini hujan lebat  lebih awal dan lebih kerap. Kadangkala bila duduk berseorangan tika hujan dikala tengahari saya sering teringat tentang permainan kapal kertas. Kapal kertas yang di buat dengan teknik lipatan origami yang mudah.

Saya tidak ingat bila saya mula bermain kapal kertas . Mungkin sewaktu di sekolah rendah. Mungkin juga sebelum itu. Yang saya ingat saya juga bermain kapal kertas sewaktu hujan lebat di asrama semasa di sekolah menengah. Seronok sungguh menghabiskan waktu bermain hujan dan kapal kertas, lebih-lebih lagi setelah selesai peperiksaan akhir tahun.  

Sewaktu anak-anak masih kecil, bermain kapal kertas ketika air di parit penuh merupakan satu aktiviti yang sangat disukai mereka. Air yang turun mengalir dengan banyaknya melalui corong ar hujan menghasilkan arus yang deras di parit yang kecil di tepi rumah. Terjerit-jerit ketawa riang anak-anak saya berlari mengejar kapal kertas yang bergerak laju dibawa arus . Meriah bermain bersama mereka. Permainan yang simple namun secara tidak langsung menenangkan perasaan dan mengeratkan hubungan antara kami. 

Dah lama saya tidak bermain kapal kertas. Namun setiap kali air hujan memenuhi parit, kenangan itu  mengimbau kembali.  Tidak dinafikan jiwa kanak kanak masih wujud dalam diri ini walaupun umur sudah melebihi separuh abad. Kanak-kanak sekarang mungkin tidak berminat lagi untuk bermain permainan yang mudah  dan murah ini. Punya permainan gajet yang canggih namun banyak membawa kesan negatif terutama di usia yang muda.

Allah telah mengilhamkan manusia untuk menggunakan teknologi untuk memudahkan pekerjaan manusia. Daripada sekecil-kecil sampan atau kolek hinggalah  kapal-kapal,besar yang dapat digunakan untuk perdagangan, pengangkutan dan peperangan. Kapa yang besar pula dapat memuatkan beribu-ribu orang  didalamnya.

Sejarah Islam telah memperlihatkan wujudnya Armada angkatan laut Islam pada zaman khalifah Uthaman bin Affan. Tentera laut ini diketuai oleh Muawiyah bin Abu Sufyan.  Baginda, Rasulullah sendiri pernah tertidur lalu bermimpi (dengan izin Allah) menyaksikan armada tentera laut Islam sedang belayar dilautan luas. Sedangkan ketika itu tentera Islam hanya berperang di daratan. Kejadian ini berlaku sewaktu baginda berkunjung ke rumah Ummu Haram dan Ummu Sulaim, ibu kepada Anas bin Malik.  Ummu Haram, ibu saudara Anas bin Malik termasuk dalam pasukan tentera laut yang pertama dalam Perang Qubrus  dimana tentera muslimin berjaya menakluk Cyprus. Ummu Haram meninggal dunia di Cyprus dan kerajaannTurki Uthmaniah telah membina sebuah masjid ditepi maqamnya. 

Kata para ustaz, bilamana kita bermain atau mengembara ke satu-satu tempat , eloklah  apa yang kita lakukan atau perhatikan dikaitkan  dengan Islam. Sejarah Islam atau sirah Rasulullah ialah salah satu cara kita dapat kaitkan Islam dengan satu-satu perbuatan atau pengembaraan. Agar apa yang kita lakukan  selalu mendekatkan kita kepada Allah, Insha Allah.

Popular Posts