Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Monday, March 12, 2018

South Dakota - Badlands dan Sioux Falls Antara Sunyi dan Ketenangan Hati

Di kiri dan kanan kami pemandangannya hanya bukit berbatu semata-mata. Tiada pemandangan pohon-pohon berkayu ataupun menjalar mahupun bukit yang menghijau. Kawasan seluas 224,000 ekar ini dipenuhi dengan gunung-ganang berbatu yang gersang. Puncak-puncak bukit ada yang tajam dan ada yang mengondol seperti separa bola, membuatkan kami terasa seolah-olah berada di satu planet yang lain.  Ketiadaan tumbuhan dan bunga bunga liar melahirkan pemandangan lanskap yang agak janggal bagi kami. Namun jaluran pelbagai warna yang terdapat lereng bukit dan gondolan berwarna kuning, coklat dan kelabu berlatarbelakangkan langit biru  ini menghasilkan satu pemandangan yang memukau.

Badlands, satu nama yang agak menggerunkan bagi sesebuah tempat. Namanya di berikan oleh puak Lacota, salah satu puak American Indian yang pernah mendiami kawasan yang berhampiran sini.

Kawasan ini ada kalanya sunyi tanpa penghuni, adakalanya juga yang riuh dengan haiwan-haiwan  kecil seperti prairie dogs. Makhluk ciptaan Allah ini bukannya anjing namun sejenis tikus kecil yang comel di kawasan berumput (dipanggil prairie). Busut busut kecil memenuhi kawasan prairie menandakan kehadiran sarang haiwan kecil iras-iras chipmunks ini. Namun bukan mudah menghampiri mereka. Lincahnya pergerakan mereka seperti tikus tanah, terus menyerbu masuk ke dalam tanah.

Bagaikan susah nak dipercayai yang kawasan Badlands ini sebenarnya dulu sebuah laut yang cetek, kemudian bertukar menjadi hutan separa tropika setelah berlakunya pergerakan tanah dan letusan gunung berapi. Fosil-fosil yang ditemui oleh pihak arkeologi membuktikan kesemuanya. Daripada haiwan laut ke haiwan darat yang besar-besar, semuanya pernah menghuni tanah yang kini gersang dan seroi ini. Namun iman di hati ini harus meyakini bahawa Allah berkuasa menentukan segalanya. Dia yang menurunkan air hujan dan Dia jugalah yang berkuasa menghilangkannnya daripada tanah yang pernah dipenuhi flora dan fauna di sini.
Firman Allah.s.w.t:
"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya(hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran."
Al A'raf 7:57
Umumnya kita mengetahui, melancong merupakan satu hiburan yang mampu memberi ketenangan hati. Namun tidak  ramai yang menyedari bukan semua tempat sebenarnya sesuai untuk memberi ketenangan. Alam semulajadi antara destinasi sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

'Suara alam ialah muzik terindah  kerana keaslian dan kesucian tanpa dicemari oleh sebarang bunyi ciptaan manusia. Melihat, mendengar dan berfikir tentang alam sudah cukup bagi mereka untuk merasai keindahan Penciptanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. Laut, gunung, bukit, hutan ialah alam " semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah (alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'(1)

Namun, usah kita alpa. Melancong hanya memberi hiburan  sampingan sahaja. Hiburan asasi tetap apa yang kita wajib lakukan 5 kali sehari, yakni solat. 

'Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memebri kerehatan ada fizikal, mental, emosi dan jiwa.ia suatunkerehatan buat jiwa. 
Firman Allah" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjaditenang."
Surah al Ra'd 13: 28'(1)

Rujukan:
1. Tenang Ada di sini-Pahrol Mohd Juoi

Islamic Center of South Dakota juga salah satu destinasi dalam pengembaraan 'Islam of the Mountain West' kami ini. Terasa lebih selesa menunaikan solat di rumah Allah ini berbanding di luar dalam kesejukan yang mencengkam tulang. Alhamdulillah, sempat kami berbual sebentar dengan Imam Muhammad yang berketurunan Mesir  di Islamic Center ini. 

Thursday, November 9, 2017

Pertemuan Dengan Sahabat....Bermusafir

Pertemuan saya dengan seorang teman agak hambar. Berjumpa setelah lebih 30 tahun berpisah. Sewaktu berbual dengannya tempohari saya dapat merasakan dia kurang mengenali saya.

Tahun 80an dulu saya pernah bermusafir bersamanya ke konvensyen MISG  di bahagian tengah Amerika Syarikat. Perjalanan pergi saja mengambil masa beberapa hari. Kembara yang agak lama. Sudah semestinya timbul bibit-bibit persahabatan

Namun, selepas itu kami terputus hubungan. Maklumlah ketika itu saya masih bujang dan dia sudahpun berkeluarga, Punya anak seorang. Pastinya dia sibuk mengurus keluarga ketika itu. 

source: Google maps
Mungkin juga dugaan hidup selepas tamat pengajian di sana membuatkan dia ingin melupakan pengalaman pahit yang dilaluinya." Sorry, akak ni pernah memory loss," katanya ketika bersalam sebelum keluar dewan. Patutlah saya dapat rasakan dia tidak mengenali saya. Memang saya tidak tahu langsung dia telah mengalami liku-liku hidup sebegitu. Semoga Allah memberi ketenangan dalam meniti usia emasnya kini. 

Dalam menyusuri lebuhraya kehidupan ini, dugaan dan cabaran pastinya perlu ditempuhi oleh kita sebagai makhluk Allah. Adakalanya kita berjaya mengatasinya adakalanya tidak. Namun yang penting ialah apakah usaha kita lakukan untuk menempuhi segala dugaan dan halangan. Jerit perih, usaha yang istiqamah dan bersungguh-sungguh tetap ada ganjaran di akhirat kelak.

'Hidup ialah siri ujian yang berterusan dan berkesinambungan. Selagi hidup, selagi itulah diuji. Ini sangat memenatkan. Bukan sahaja anggota fizikal tetapi elemen dalaman kita juga . Jiwa fikiran dan emosi perlu direhatkan dan dirawat. Justeru, musafir kehidupan yang penuh ujian ini perlukan R n R( Rehat dan Rawat) 
Bagaimana jiwa, fikiran, emosi dan fizikal kita direhatkan dan dirawat? Jawabnya, dengan solat. Solat, kaedah yang paling efektif untuk merawat diri kita. Solat itu rehat. 

Dalam solat ada kerehatan kerana itulah masa hamba 'berkomunikasi' dengan Tuhannya, Yang Maha Pengasih dan Maha Berkuasa. Bayangkan seorang kekasih sedang berbisik dengan kekasihnya. Bukankah itu satu keindahan dan kemanisan? 
Firman Allah:" Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Al Ra'd 13: 28)

Dalam kehidupan yang sangat meletihkan ini, jangan sekali-kali mengabaikan solat. Solat ialah saat yang paling intim antara hamba dengan Tuhan. 
Jangan gopoh  dan tergesa-gesa dalam hidup, bertenang dan berehatlah selalu dengan solat.'
Ust. Pahrol Mohd Juoi- Solusi isu 68

Seketika, saya teringat perjalanan bermusafir ke Illinois yang pernah kami tempuhi bersama satu ketika dahulu. Melalui kawasan gurun berbatu yang pelbagai bentuk di New Mexico. Juga kawasan yang dipenuhi salji di Illinois. Dua keadaan alam yang yang amat berbeza. Subhanallah, amat unik dan indahnya ciptaan yang Maha Berkuasa. 

Popular Posts