Monday, November 30, 2009

Changyin Muslim Village, Beijing






Sebenarnya dalam itinerary syarikat yang mengendalikan pelancongan ini pada awalnya tidak memasukkan Changyin muslim Village satu tempat yang kami akan lawati. Oleh sebab kami tidak berminat dengan terlalu banyak agenda shopping dalam lawatan kami, pihak syarikat telah memasukkan Changyin Muslim Village sebagai satu tempat yang boleh dilawati.

Sebelum bertolak, apa yang kami gambarkan muslim village in i ialah satu perkampungan rumah beratap nipah atau paling tidak rumah kampung. Ketika sampai kami terkejut dan kecewa kerana rupa-rupanya orang kampung di situ tinggal di flat atau rumah pangsa. Apa yang membezakan kawasan itu dengan perkampungan yang lain ialah adanya sebuah masjid dan pusat Islam disana. Tapak masjid yang kami lawati ini ialah tapak masjid yang lama. Masjid Changyin mula di asaskan pada 1871.

Ketika melangkah masuk ke kawasan masjid, kami lihat adanya covered walk mengelilingi seluruh kawasan masjid. Di bahagian siling covered walk ini terdapat lukisan pemandangan negara China yang indah dan berwarna warni. Konsep lukisan covered walk ini sama saja dengan covered walk yang berada di Summer Palace. Cuma yang berbeza covered walk di sana dilukis dengan lagenda-lagenda China. Terlintas di hati ku kemungkinan covered walk ini mungkin dibina dalam era yang sama dengan era pembinaan summer palace. Ini membuktikan Islam telah bertapak sejak zaman dinasti Qing lagi.

Melangkah keluar dari covered walk ini kami masuk ke kawasan taman. Kebanyakan bangunan zaman dahulu biasanya dihisai dengan taman yang indah. Di sini terdapat sepohon pokok yang berusia lebih kurang 500 tahun. Ketika melangkah masuk ke dewan solat utama masjid ini,kami amat terpesona dan berasa seolah-olah masuk ke zaman silam China Islam. Bahagian siling dan tiang dalam kawasan ini dipenuhi dengan lukisan alam semulajadi yang indah dan berwarna warni. Wah, ini satu kesenian orang China Islam zaman dahulu yang sangat unik. Tak dapat aku gambarkan berapa ramai pelukis dan lama masa yang diambil untuk melukis lukisan yang begitu halus ini. Tiang juga bertatahkan cat emas. Keadaan yang menarik ini membuatkan aku teringat dengan masjid Tengkerah di Melaka. Dalam masjid Tengkerah terdapat juga siling dan tiang yang dilukis sedemikian rupa. Ini membuktikan masjid Tengkerah mempunyai pengaruh dari China Islam zaman dahulu.

Dibahagian belakang masjid ini terdapat juga bilik-bilik lain yang mungkin berfungsi sebagai stor dan pejabat. Bahagian belakang masjid ini mempunyai pintu gerbang seperti pintu di istana yang boleh ditutup rapat pada waktu waktu tertentu.

Ketika kami melangkah keluar dari masjid, kami ternampak beberapa orang pertengahan umur sedang mengayuh basikal. Pakcik-pakcik ini singgah sebentar apabila melihat kami diperkarangan masjid.Mungkin disebabkan tidak ramai orang luar yang singgah di situ menyebabkan mereka berasa hairan melihat kami. Malangnya faktor bahasa menjadi penghalang bagi kami untuk berkomunikasi dengan mereka. Mereka tidak faham langsung bahasa Inggeris dan kami tidak faham bahasa China. Oleh itu semua pertanyaan dan jawapan terpaksa diterjemah oleh Jessica, pemandu pelancong kami.Di fahamkan pakcik-pakcik ini kebanyakan dulunya adalah petani. Namun sekarang mereka telah bersara dan kebanyakan anak-anak mereka sekarang bekerja di pejabat. Lagipun kawasan pertanian mereka kini telah dimajukan.
Kawasan Changyin ini kami tinggalkan dengan pelbagai perasaan...gembira, simpati dan penuh kesyukuran.

Friday, November 20, 2009

FORBIDDEN CITY





















Forbidden City ialah istana utama bagi maharaja China zaman dahulu. Forbidden City ialah satu bandar larangan dimana rakyat awam dilarang masuk ke kawasan ini tanpa tujuan. Pintu masuk utama ke Forbidden City ini ialah melalui Tianamen Square. Kami dibawa oleh Jessica melawat kawasan Tianamen Square sebelum masuk ke Forbidden City. Tiananmen Square hampir samalah fungsinya dengan Dataran Merdeka iaitu tempat berkumpul rakyat beramai-ramai. Cuma rasanya Dataran Merdeka lebih cantik pemandangannya berbanding Tiananmen square. Tiananmen Square ini pada suatu ketika pernah mendapat liputan akhbar kerana berlakunya rusuhan anti pemerintah di sini. Di hujung Tiananmen Square kami melalui jalan bawah tanah untuk ke Forbidden City.

Dari segi sejarah, Forbidden City yang berkeluasan 720 000 meter persegi mengambil masa 14 tahun untuk dibina dan memerlukan 1 juta pekerja.Ia dikatakan kompleks Istana yang terbesar di dunia. Istana ini dikelilingi oleh parit besar(moat) yang mempunyai kedalaman 6 meter dan 5 meter lebar.Jangan terkejut....istana ini dikatakan mempunyai 9999 bilik. Bayangkan berapa banyak pekerja dan masa diperlukan untuk membersihkan bilik sebanyak itu.
Di khabarkan raja tidak boleh menggunakan angka 10 ooo kerana nombor itu melambangkan infiniti dan hanya boleh digunakan dikayangan sahaja. Nombor 9 pula hanya boleh digunakan oleh maharaja. Pintu-pintu utama dalam Forbidden City dihiasi dengan 9 baris melintang dan 9 baris menegak tombol besi.

Pintu luar Forbidden city sebenarnya bukan kawasan sebenar istana. Ianya hanya berfungsi sebagai tembok dan tempat rakyat berkumpul.Sebelum masuk kita dikehendaki membayar tiket dan beg terpaksa di Scan.

Pintu yang pertama ialah Meridien Gate. Meridien bermaksud di tengah. Maharaja China dahulu percaya bahawa Forbidden City terletak ditengah tengah dunia. Sebaik sahaja kami masuk melalui Meridien Gate, kami dapati ada 5 jambatan yang diukir indah merentasi sungai Inner Golden River.Selain daripada mempunyai pemandangan yang indah, sungai ini juga berfungsi sebagai alat pemadam bagi bangunan di Forbidden City sekiranya terdapat kebakaran. Kebanyakan bangunan yang terdapat di Forbidden City hampir 100% dibuat daripada kayu dan sudah semestinya memerlukan pengawasan yang rapi .

Pintu gerbang yang kedua ialah Gate of Supreme Harmony. Selepas melalui pintu ini, kita akan dapati satu kawasan lapang yang berfungsi sebagai tempat meraikan perkahwinan maharaja. Kawasan lapang ini merupakan kawasan lapang yang terbesar di Forbidden City. Upacara perkahwinan diadakan di Hall of Supreme Harmony.

The Gate of Celestial Purity ialah pintu masuk utama ke bahagian tengah Forbidden City. Di bahagian tepi pintu ini kami dapati pasu- pasu tembaga yang sangat besar yang dikatakan berfungsi sebagai tempat menyimpan air sekiranya terdapat kebakaran. Selepas melalui pintu ini kita akan melihat banyak bangunan seperti Palace of Celestial Purity dan Hall of Terestrterial Tranquility. Kedua-dua bangunan ini ialah tempat tinggal maharaja dan keluarganya.

Sebaik sahaja melangkah keluar daripada kawasan kediaman diraja ini kita akan melihat satu taman "Imperial Garden' yang amat mempersonakan . Dikelilingi oleh pokok yang berusia ratusan tahun, Imperial Garden ini ialah taman istirehat bagi maharaja. Taman ini dihiasi indah dengan pelbagai pohon yang menenangkan suasana. Terdapat juga bangunan rehat bagi maharaja disana. Perlu diingatkan kebanyakan maharani dan gundik-gundik raja tidak dibenarkan keluar daripada kawasan istana. Jadi tempat inilah mereka menghiburkan hati mereka.Imperial Garden ialah kawasan yang terakhir dalam Forbidden City. Kawasan ini dilindungi tembok dan moat yang mengelilingi istana ini.

Kini Forbidden City menjadi satu kenangan pemerintahan maharaja di negara China.Maharaja Pu yi iaitu maharaja yang terakhir telah gulingkan oleh puak anti imperialis dan akhirnya negara China berubah menjadi sebuah republik. Satu persoalan yang mungkin timbul bagi kita sebagai pelancong. Adakah ia sebenarnya satu kebanggaan rakyat China atau satu kenangan yang amat pahit bagi mereka?

Wednesday, November 4, 2009

Summer Palace



















Summer Palace merupakan istana musim panas bagi maharaja atau maharani bersama gundik-gundik dan anak-anak mereka. Dari luar, kita tak tahu wujudnya istana ini memandangkan kebanyakan bangunan di China zaman dahulu kebanyakannya dikellilingi tembok. Hanya kelihatan tembok dan bumbung dari luar. Melangkah masuk ke kawasan Summer Palace seolah -olah melangkah kembali ke zaman silam. Mula dibina dalam tahun 1150 keindahan Summer Palace ini telah diwartakan oleh pihak Unesco sebagai satu World Heritage. Istana ini mempunyai banyak lapisan pintu untuk sampai ke tempat yang sebenarnya. Sampai ke pintu yang terakhir, kami terpesona dengan suasana keindahan tasik Kunming yang begitu luas dan menakjubkan itu.Maharaja yang telah membina semula dalam tahun 1900an dan mengarahkan proses pembesaran Summer Palace ialah Maharani Dowager atau gelarannya Dragon Lady dari dinasti Qing.Maharani ini telah kematian suaminya ketika berusia 29 tahun.Anaknya ketika itu berusia 5 tahun. Oleh kerana beliau ialah seorang perempuan dan tidak boleh dilantik sebagai maharaja, anaknya yang kecil itu dilantik sebagai maharaja. Dibelakang anaknya, Dragon Lady telah memerintah China selama 48 tahun .Biasanya maharaja akan tinggal di Summer Palace dari bulan Jun hingga Ogos apabila musim panas.

Tasik ini mempunyai sebuah pulau di tengahnya iaitu pulau Nanhu. Dikatakan Marco Polo pernah berkhidmat di pulau itu. Sebuah jambatan yang panjang ,Sevenenteen Arch Bridge dibuat supaya senang untuk mereka sampai ke pulau itu.Oleh kerana cuaca sangat sejuk dan berangin kami tidak dapat berjalan lama di tepi tasik. Disatu sudut terdapat tambatan diraja tempat maharaja menaiki bot untuk menikmati kedinginan bayu tasik di musim panas. Deretan bukit mengelilingi yang menyebabkan suasana tenang di situ jauh dari hiruk pikuk suasana kota. Di tepi tasik ini ialah bilik penginapan diraja yang juga dikelilingi tembok. Persekitaran tasik ini terdapat pokok yang berusia ratusan tahun yang masih kukuh . Bersambung dengan bilik penginapan ialah satu jalan tertutup(covered walk) yang dihiasi dengan lukisan mural di atas siling yang menceritakan hikayat-hikayat dari agama Buddha. Lukisan mural ini dicatat dalam World Book of Records sebagai lukisan mural terpanjang di dunia. Dalam hati kami siapalah yang sanggup menahan sakit tengkok menyiapkan mural yang sebegitu panjang!Jalan bertutup ini dibina supaya maharaja dan keluraganya tidak terdedah kepada bahang matahari musim panas. Dikeliling kawasan tasik ini terdapat banyak pokok pokok besar yang berusia ratusan tahiun.

Kawasan penginapan diraja dikelilingi tembok khas dimana keindahannya hanya dapat dilihat dari dalam sahaja.Terdapat banyak bilik dalam kawasan penginapan . Kawasan penginapan ini berbentuk segiempat dimana bilik-bilik ini di tempatkan bahagian tepi dan di tengahnya ditempatkan Chinese Garden yang menarik. Rasanya tiada orang di Malaysia yang membuat bangunan sebegini yakni membuat taman di dalam bangunan dan bilik-bilik disekelilingnya. Mungkin faktor keluasan tanah yang menghalang mereka. Banyak privacy yang kita dapat jika kita mereka bangunan sedemikian. Namun ini boleh menghalang kita berbaik-baik dengan jiran sebelah. Juga merumitkan jiran mengawasi rumah sekiranya ada pencuri masuk.Bilik- bilik ini dilengkapi dengan sistem pemanas yang terus sampai ke katil masing masing. Di tepi kawasan penginapan ini terdapat lereng-lereng bukit khas yang disediakan untuk kawasan permainan anak-anak raja.
Tidak jauh dari kawasan tasik ialah pusat pentadbiran Diraja semasa musim panas,Kawasan ini ialah bahagian yang paling luar sekali Summer Palace. Rakyat biasa tidak boleh masuk ke kawasan penginapan raja tanpa hal mustahak. Pegawai-pegawai pentadbiran hanya boleh berada di bangunan ini sahaja. Pun begitu, bangunan pentadbiran in kelihatan sangat unik dengan pelbagai ukiran zaman dahulu.
Sememangnya Summer palace ini suatu kawasan yang memiliki keindahan dan suasana tenang yang sukar digambarkan. Namun satu persoalan yang bermain difikiranku berapa banyak kerahan tenaga yang diguna untuk membina istana sebegini besar. Berapa ramai rakyatnya yang menderita semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada hanya beberapa orang keturunan diraja. Cubalah kita fikirkan.
Seterusnya...Forbidden City

Popular Posts