Friday, November 20, 2009

FORBIDDEN CITY





















Forbidden City ialah istana utama bagi maharaja China zaman dahulu. Forbidden City ialah satu bandar larangan dimana rakyat awam dilarang masuk ke kawasan ini tanpa tujuan. Pintu masuk utama ke Forbidden City ini ialah melalui Tianamen Square. Kami dibawa oleh Jessica melawat kawasan Tianamen Square sebelum masuk ke Forbidden City. Tiananmen Square hampir samalah fungsinya dengan Dataran Merdeka iaitu tempat berkumpul rakyat beramai-ramai. Cuma rasanya Dataran Merdeka lebih cantik pemandangannya berbanding Tiananmen square. Tiananmen Square ini pada suatu ketika pernah mendapat liputan akhbar kerana berlakunya rusuhan anti pemerintah di sini. Di hujung Tiananmen Square kami melalui jalan bawah tanah untuk ke Forbidden City.

Dari segi sejarah, Forbidden City yang berkeluasan 720 000 meter persegi mengambil masa 14 tahun untuk dibina dan memerlukan 1 juta pekerja.Ia dikatakan kompleks Istana yang terbesar di dunia. Istana ini dikelilingi oleh parit besar(moat) yang mempunyai kedalaman 6 meter dan 5 meter lebar.Jangan terkejut....istana ini dikatakan mempunyai 9999 bilik. Bayangkan berapa banyak pekerja dan masa diperlukan untuk membersihkan bilik sebanyak itu.
Di khabarkan raja tidak boleh menggunakan angka 10 ooo kerana nombor itu melambangkan infiniti dan hanya boleh digunakan dikayangan sahaja. Nombor 9 pula hanya boleh digunakan oleh maharaja. Pintu-pintu utama dalam Forbidden City dihiasi dengan 9 baris melintang dan 9 baris menegak tombol besi.

Pintu luar Forbidden city sebenarnya bukan kawasan sebenar istana. Ianya hanya berfungsi sebagai tembok dan tempat rakyat berkumpul.Sebelum masuk kita dikehendaki membayar tiket dan beg terpaksa di Scan.

Pintu yang pertama ialah Meridien Gate. Meridien bermaksud di tengah. Maharaja China dahulu percaya bahawa Forbidden City terletak ditengah tengah dunia. Sebaik sahaja kami masuk melalui Meridien Gate, kami dapati ada 5 jambatan yang diukir indah merentasi sungai Inner Golden River.Selain daripada mempunyai pemandangan yang indah, sungai ini juga berfungsi sebagai alat pemadam bagi bangunan di Forbidden City sekiranya terdapat kebakaran. Kebanyakan bangunan yang terdapat di Forbidden City hampir 100% dibuat daripada kayu dan sudah semestinya memerlukan pengawasan yang rapi .

Pintu gerbang yang kedua ialah Gate of Supreme Harmony. Selepas melalui pintu ini, kita akan dapati satu kawasan lapang yang berfungsi sebagai tempat meraikan perkahwinan maharaja. Kawasan lapang ini merupakan kawasan lapang yang terbesar di Forbidden City. Upacara perkahwinan diadakan di Hall of Supreme Harmony.

The Gate of Celestial Purity ialah pintu masuk utama ke bahagian tengah Forbidden City. Di bahagian tepi pintu ini kami dapati pasu- pasu tembaga yang sangat besar yang dikatakan berfungsi sebagai tempat menyimpan air sekiranya terdapat kebakaran. Selepas melalui pintu ini kita akan melihat banyak bangunan seperti Palace of Celestial Purity dan Hall of Terestrterial Tranquility. Kedua-dua bangunan ini ialah tempat tinggal maharaja dan keluarganya.

Sebaik sahaja melangkah keluar daripada kawasan kediaman diraja ini kita akan melihat satu taman "Imperial Garden' yang amat mempersonakan . Dikelilingi oleh pokok yang berusia ratusan tahun, Imperial Garden ini ialah taman istirehat bagi maharaja. Taman ini dihiasi indah dengan pelbagai pohon yang menenangkan suasana. Terdapat juga bangunan rehat bagi maharaja disana. Perlu diingatkan kebanyakan maharani dan gundik-gundik raja tidak dibenarkan keluar daripada kawasan istana. Jadi tempat inilah mereka menghiburkan hati mereka.Imperial Garden ialah kawasan yang terakhir dalam Forbidden City. Kawasan ini dilindungi tembok dan moat yang mengelilingi istana ini.

Kini Forbidden City menjadi satu kenangan pemerintahan maharaja di negara China.Maharaja Pu yi iaitu maharaja yang terakhir telah gulingkan oleh puak anti imperialis dan akhirnya negara China berubah menjadi sebuah republik. Satu persoalan yang mungkin timbul bagi kita sebagai pelancong. Adakah ia sebenarnya satu kebanggaan rakyat China atau satu kenangan yang amat pahit bagi mereka?

No comments:

Post a Comment

Popular Posts