Wednesday, September 11, 2019

The Halal Guys- Zabihah, Halal dan Toyyiban

Bila berada di negara yang ramai bukan Islam seringkali makanan segera fast food memang bukan dalam senarai restoran yang boleh di singgah. Tak banyak kedai makanan segera (walaupun ada) yang menyediakan 100% halal.

Walau bagaimanapun rangkaian food truck dan restoran makanan segera 'The Halal Guys' memberi peluang pada orang Islam yang tinggal di Amerika Syarikat dan musafir yang singgah di sana menikmati makanan segera yang pasti halal. 

'The Halal Guys' memulakan perniagaan mereka 
di Bandaraya New York. Bandaraya New York? Tempat berlakunya tragedi Sept 11,2001? Ya di sinilah bermulanya perniagaan mereka! Hanya dengan sebuah gerai kecil! Kehadiran orang Islam yang begitu ramai di sini dan permintaan drebar-drebar teksi Islam yang menginginkan makanan panas yang halal menyebabkan lahirlah gerai 'The Halal Guys'. Mulanya dijual untuk memenuhi permintaan untuk orang Islam namun lama kelamaan makanan mereka mendapat sambutan dalam kalangan orang bukan Islam juga. Bukankah makanan halal ini sebenarnya baik untuk semua insan? Makanan di Halal Guys ini berasaskan gyro dan ayam. Mulanya kami tak pasti bagaimana rasa gyro tapi rupa-rupanya rasanya enak. Gyro di sini ialah campuran daging lembu dan biri-biri. Kesemua makanan mereka mendapat sijil halal daripada International Halal Food Council, IFANCC (Islamic Food and Nutrition Council Of Canada) dan AMCVH (sebuah agensi halal yang berpusat di Montreal, Canada) dan HalalCo (sebuah agensi halal di Atlanta Georgia). Insha Allah kita tidak was-was dengan makanan di sini dari segi sembelihan(zabihah) serta halal dan baik (Halalan Toyyiban).
Alhamdulillah, sempat juga kami merasa hidangan The Halal Guys bila berada di Nashville. Sebenarnya The Halal Guys mempunyai rangkaian restoran di seluruh Amerika Syarikat dan juga di luar negara. Satu kejayaan bagi orang Islam di Amerika Syarikat yang bermula dengan hanya satu gerai kecil di Manhattan New York! Satu motivasi bagi kita di Malaysia juga. Sekali sekala dapat juga kami menikmati masakan panas siap dimasak di restoran halal. Biasanya kami hanya makan nasi berlaukkan 'ringkas dan simple'  semasa bermusafir. Apa yang penting makanan itu halal dan tidak syubhah. 'Ibn Abbas r.a. memohon kepada Baginda Rasulullah SAW agar memohon kepada Allah SWT supaya apa sahaja permohonan doanya (Saad) dikabulkan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Wahai Saad, makanlah yang baik baik, pasti dimakbulkan doamu. Demi Tuhan yang jiwa
Muhammad berada dalam genggamanNya, sesungguhnya satu suapan daripada makanan yang haram yang di suap oleh seseorang ke perutnya maka tidak akan diterima amalannya selama empat puluh hari. Dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba maka api neraka lebih layak untuk daging tersebut." (Riwayat Ibnu Mardawiah)' Sumber:Rahsia Makanan Sunnah-Ust Fauzi Mustaffa


Semoga kita lebih berhati-hati dalam menentukan makanan mana yang halal khususnya bagi mereka yang bermusafir.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts