Tuesday, September 24, 2019

Azadi-Istimewa daripada Arab Kurdish

Kedai Azadi di Nashville yang kami kunjungi ini milik sebuah keluarga Kurdish yang berhijrah ke 
negara ini akibat pergolakan politik di tempat mereka. Dugaan Allah yang terlalu berat untuk ditanggung menyebabkan mereka mengambil langkah yang sukar untuk sampai ke sini. Namun ini semua ketentuan Allah, yang sudah pastinya lebih baik bagi mereka sekeluarga. Orang Kurdish berasal daripada wilayah pergunungan Kurdistan, satu wilayah autonomi yang termasuk dalam 4 buah negara iaitu Turki, Iraq,Iran dan Syria. Pergolakan politik di sana menyebabkan ramai yang menjadi pelarian. Amerika Syarikat merupakan antara tempat pilihan kaum Kurdish untuk membina hidup baru. Mengikut Wikipedia, terdapat lebih kurang 17 000 orang Kurdish di Amerika Syarikat pada tahun 2014.  
Kebanyakan kaum Kurdish ini beragama Islam dan mengikut ajaran sunni(ahli sunnah wal jamaah).  Kenapa mereka memilih negara ini, tidak akan saya bincangkan. Namun semua perancangan dan ketetapan Allah pasti ada hikmah dan pengajaran buat mereka dan kita. Kedai Azadi ini menyediakan pelbagai jenis daging halal seperti ayam, kambing,biri-biri dan lembu. Makanan dalam tin dan dalam bentuk pek daripada negara Arab, India dan Pakistan begitu banyak tersusun di rak-rak di dalam kedai. Rempah ratus yang biasa digunakan untuk masakan Asia pun banyak di sini. Alhamdulillah amat mudah bagi mereka yang menggemari makanan Arab dan Asia mendapat bekalan di sini. Dijual pula oleh orang Islam sendiri. Lebih meyakinkan!
Istimewanya kedai ini mempunyai satu bakeri di bahagian belakang yang membolehkan kita membeli roti sebaik saja dikeluarkan daripada ketuhar batu mereka. 'Fresh from the oven!' Menarik! Kami mengambil peluang untuk melihat dan menunggu  mereka membuat roti Arab(flat bread). Rotinya terlalu panas nak dimakan terus ketika itu. Semasa bermusafir, ada diantara kita yang kurang mengambil berat tentang makanan halal. Selalunya yang hanya dititik beratkan ialah daging halal. Sedangkan banyak lagi kandungan bahan makanan yang perlu diteliti sebelum di makan. Contohnya, di dalam roti biasanya terdapat bahan mono and diglycerides dan whey yang mungkin bersumberkan binatang yang tidak disembelih.

Benar, sewaktu saya mula-mula belajar di Amerika Syarikat, ini adalah perkara yang paling sukar. Terpaksa teliti kandungan setiap makanan yang dijual. Tambah pula kebanyakan makanan yang kelihatan lazat tidak boleh di makan. Namun kami terpaksa ketepikan keinginan kami itu demi memastikan apa yang masuk ke dalam perut benar-benar halal.

Namun kini di Amerika Syarikat lebih mudah untuk mengenal makanan yang mana halal dimakan. Antara caranya ialah memerhatikan simbol U pada pek makanan tersebut.Selain itu senarai barang-barang yang halal dimakan amat mudah dilayari di internet.  Banyak lagi cara-cara untuk tahu samada makanan di sini halal dimakan atau tidak telah pernah saya bincangkan satu ketika dahulu. 
Tidak sempat untuk menunaikan solat  bila berada di sini? Tiada masalah. Sebenarnya terdapat sebuah masjid hanya beberapa langkah dari sini. Salahadeen Center yang merupakan sebuah pusat Islam mempunyai ruang solat yang besar. Selain daripada itu, mereka juga mempunyai bangunan-bangunan lain yang menempatkan kelas-kelas pengajian agama, perpustakaan dan kedai. Kami sempat untuk menunaikan solat zuhur di sini  sebelum pergi ke Azadi.
Alhamdulillah, dapatlah masyarakat Islam yang tinggal di kawasan ini menunaikan solat lima waktu dengan selesa. Para peniaga pula tidak perlu menyediakan ruang solat untuk pekerja muslim mereka. Sememangnya kami yang bermusafir ini lebih bersyukur dengan kewujudan masjid di kawasan kedai ini sebab ia memudahkan kami solat dengan selesa. Semoga Allah memberkati orang Islam yang menyediakan masjid ini buat kemudahan pengunjung dan pekerja.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts