Wednesday, March 12, 2014

Nasyid Boleh Menenangkan Bayi

Bulan November lalu Allah anugerahkanku seorang cucu perempuan. Syukur Alhamdulillah ia dilahirkan normal walaupun ia melalui saat-saat getir jantung yang kian lemah sehinggakan terpaksa dikeluarkan secara pembedahan Caesarian. 


Sudah lebih 15 tahun bunyi tangisan dan rengekan bayi tidak  kedengaran di rumahku. Dengan kehadiran cucuku ini, maka riuhlah juga rumah untuk seketika. 

Ketika memangku Aufa, cucuku yang sedang menangis,aku berfikir-fikir tentang cara menenangkannnya. Aku teringat semasa anak-anakku masih bayi, aku telah cuba menenangkan mereka dengan menyanyikan lagu-lagu nasyid. Lagu nasyid lebih banyak aku perdengarkan daripada lagu kanak-kanak yang biasa terdapat di pasaran.Bak kata lain, anak-anak aku membesar bersama-sama mendengar lagu nasyid. 

Lantas dengan Aufa berada di riba, aku cuba memperdengarkan lagu nasyid Zapin Kesyukuran dari kumpulan Hijjaz di youtube sambil mengikut liriknya. Maklumlah dalam usia sebegini banyak lirik lagu yang aku lupa. Berpandukan kepada youtube tersebut, aku mula menyanyikan nasyid tersebut kepada Aufa. Aufa yang ketika itu sedang merengek mula terdiam memerhati pergerakan mulut dan mimikku. 



Melihatkan Aufa yang mula senyap, anak-anakku (termasuk ibu Aufa)yang lain pun turut menyanyi bersama. Ya, walaupun mereka telah meningkat dewasa, mereka masih ingat lagi lirik nasyid yang mereka dengar semasa kecil. Alhamdulillah.

Kebanyakannya nasyid ini pula diselitkan dengan zikir. Maka dengan sendirinya zikir berkumandang di ruang rehat keluarga kami ketika itu. Syukur Alhamdulillah. Berkat nasyid yang diperdengarkan, mereka masih seronok menyanyikannya walaupun berpuluh tahun telah berlalu.

Semoga Aufa menjadi penggerak kepada generasinya agar ramai yang mencintai nasyid dan bukan lagu-lagu yang tidak berfaedah. 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts