Setiap kali musim buah itulah pemandangan yang biasa kita lihat di kampung- kampung. Melihat buah- buahan bermusim terjuntai -juntai di ranting dan dahan pokok terasa begitu banyak pembaziran di negara kita.
Teringat aku semasa kecil kadangkala semasa musim buah kami sekeluarga sempat singgah di rumah ustaz yang mengajar kami Al-Quran. Ustaz kami tinggal di Guar Perahu, Seberang Perai manakala kami tinggal di sebelah pulau. Hubungan antara kami dan keluarga ustaz agak akrab mungkin kerana ayah ku seorang guru besar manakala ustaz juga mengajar di sekolah.
Setiap kali kami berkunjung ke rumah ustaz, beliau tidak perlu bersusah payah menghidangkan apa-apa makanan yang di masak. Cukup dengan air teh dan beberapa talam besar buah- buahan dusun. Buah rambutan, manggis, duku, langsat, rambai- semuanya diletakkan penuh dalam talam-talam yang besar. Siap dengan besen untuk diisikan kulit dan biji yang hendak dibuang . Setiap kali dihidangkan buah itu setiap kalilah kami berasa seronok menikmati buah-buahan yang baru dipetik. Kesempatan itulah kami sekeluarga ambil untuk beramah mesra dengan keluarga Ustaz.
Bila difikir- fikir, mudahnya orang dulu-dulu menghidangkan juadah. Tak perlu berusah payah nak mencari bahan-bahan. Asalkan ada makanan terhidang cukup bagi pengunjung berasa selesa untuk bersembang sambil mengeratkan siratul rahim. Buah-buahan dusun atau ubi kayu rebus adalah antara makanan yang biasa dihidang.
Navel Oranges dari California Image source: |
Aku teringat sewaktu aku masih belajar di California tahun 80an dahulu, buah-buahan juga menjadi menu utama bagi tetamu rakan serumahku. Oleh kerana California beriklim Mediteanean, buah buahan sitrus amat sesuai di tanam di sana; musim panas ialah musim buah ceri, plums, prunes , apricot dan peach. Manakala musim dingin hingga musim bunga merupakan masa buah navel oranges dipetik. Oleh itu dapatlah kami membeli dan makan buah-buahan yang fresh sepanjang tahun semasa belajar di sana.
Aku masih ingat aku bersama rakan serumahku sering membeli navel oranges berkotak- kotak walaupun kami hanya bertiga dalam serumah. 2 minggu sekali kami akan berkunjung ke Farmer's Market(pasar tani) untuk membeli oranges tersebut dan juga sayuran. Harganya hanya 5 USD saja untuk satu kotak besar.Buahnya manis dan besar-besar!
Tentu ramai yang terkejut dan tertanya- tanya. Boleh habis ke berpuluh- puluh biji navel oranges tu? Ha! Kami buat seperti ustaz yang pernah mengajar aku mengaji dahulu. Setiap kali kami menerima kunjungan tetamu, kami keluarkan limau, pinggan dan pisau. Sambil duduk di atas lantai, kami letakkan pinggan di atas kotak itu. Siapa yang rajin, maka dialah yang memotong limau tersebut. Hmm...biasanya ada saja yang mahu memotongnya sebab nak ikut bersembang, hehehe. Mudah bukan?
Bila difikir-fikir mudahnya nak mengeratkan siratulrahim zaman 1980an dahulu. "Life was much more easier back then that it is now." Dulu kami masih berkesempatan untuk duduk berbual mesra dengan rakan-rakan. Bila tetamu datang, buah-buahan menjadi menu ringkas untuk dihidangkan.. Masa itu komputer baru saja di cipta dan kami tak mampu membeli alat yang canggih itu.
Zaman sekarang bila tetamu datang, kerapkali tuan rumah menghidangkan pelbagai makanan yang perlu disediakan terlebih awal. Ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Akhirnya tuan rumah mungkin terasa penat untuk melayan tetamu.
Kini internet dan alat komunikasi mudah alih telah menjadi tumpuan setiap rumah, masing-masing terkejar-kejar dengan tanggungjawab sendiri. Masa lebih banyak diluangkan dihadapan komputer atau smart phone. Kunjungan ke rumah rakan-rakan hanya bila ada perayaan atau aktiviti tertentu sahaja. Adakah teknologi memudahkan atau merenggangkan perhubungan?
Rasulullah saw bersabda:
"Sesiapa yang menziarahi saudaranyanya yang sakit atau mengunjungi saudaranya semata -mata kerana Allah, maka malaikat akan membuat seruan bahawa kamu bertuah dan langkah -langkah kamu membawa keberkatan dan kamu telah menyediakan sebuah mahligai dalam syurga."
Riwayat Al Tarmizi
No comments:
Post a Comment