Friday, October 13, 2017

2 Kisah Pengembala- Sambungan

Kisah Si Pengembala Kambing dan Serigala hanya satu cerita rekaan yang  mempunyai pengajaran. Satu lagi kisah Sipengembala kambing merupakan sebuah cerita benar-benar berlaku. 

'Abdullah bin Dinar meriwayatkan bahawa suatu hari dia berjalan bersama Amirul Mukminin Umar alKhattab dari Madinah menuju Makkah. Di tengah perjalanan beliau bertemu dengan seorang budak pengembala. Budak pengembala ini menjaga kambing-kambing milik majikannya dengan baik dan amanah seolah-olah binatang itu kepunyaannya sendiri.  Dikhabarkan setiap hari dia mendaki bukit bukau dan merentasi padang rumput untuk membawa kambing- kambing milik majikannya dari satu lembah ke satu lembah.

Lalu timbul dalam hati Khalifah Umar untuk menguji sejauh mana kejujuran dan si budak pengembala. Khalifah Umar mendekatinya seraya berkata," Sungguh banyak kambing yang kamu pelihara, lagi pula sangat bagus dan gemuk-gemuk semuanya. Oleh kerana itu kamu juallah kepada ku. Saya menginginkan seekor darinya yang gemuk dan bagus."

Mendengar kata-kata demikian, pengembala tersebut menjawab: " Kambing-kambing ini bukanlah milik saya, tetapi milik majikan saya. Saya hanyalah seorang hamba dan pengembala yang mengambil upah saja. 
Umar  Al Khattab  berkata lagi, " Katakan saja nanti pada tuanmu, kambing itu dimakan serigala."

Anak gembala tersebut diam sejenak, di tatapnya wajah Amirul Mukminin, lalu keluar dari bibirnya perkataan  yang menggetarkan hati khalifah Umar,"Fa ainallah? " ...Fa ainallah?"( Kalau begitu, dimana Allah?) anak itu mengulang- ulang.

Umar gementar mendengar kalimah 'fa ainallah'. Seketika itu, beliau terus menangis dan mendakap anak itu. Kemudian beliau minta ditunjukkan rumah majikannya. Tak lama, Umar membeli budak pengembala itu dan kambing-kambingnya daripada majikannya. Lalu dia memerdekakan anak gembala itu dan menghadiahkan seluruh kambing itu sbagai balasan atas sifat amanah dan keimanannya.

Dua kisah anak gembala, kedua-duanya mempunyai pengajaran namun kisah budak pengembala dan Sayidina Umar al Khattab punya lebih banyak kelebihan terutama sekali dari segi akidah. Selain daripada amanah, budak pengembala yakin Allah itu ada dan Allah itu Maha Melihat.

'Yakin kepada Allah Yang Maha Melihat berbeza dengan hanya mengetahui Allah Maha Melihat. Mengetahui itu cukup dengan dalil dan hujah- kita peroleh dengan belajar. Tetapi  untuk merasai perlukan penghayatan dan pengamalan - kita peroleh dengan mujahadah dan ibadah
Untuk sah menjadi Muslim, cukup dengan beriman pada tahap percaya. Tetapi agar iman memberi impak kepada perlakuan dan kehidupan, kita perlukan iman pada tahap yakin. Hanya iman pada tahap yakin mampu meninggalkan kejahatan.'
Ust Pahrol Mohd Juoi- Tenang Di Hati  

Hanya pengembala yang merasai Allah itu Maha Melihat mampu untuk mengelakkan daripada mengambil sesuatu yang bukan miliknya, walaupun dia punya kesempatan untuk melakukanya.Cuba kita renung apa perkara positif yang mungkin berlaku sekiranya orang di sekitar kita dapat merasai  dan yakin Allah itu Maha Melihat. Usah renung perkara yang berskala besar dahulu. Disebabkan yakin Allah itu Maha Melihat, murid-murid tidak akan berani membuang sampah sebaik sahaja keluar daripada perkarangan sekolah. Para pekerja tidak akan leka dengan media sosial di waktu bekerja jika mereka yakin Allah itu Maha Melihat. Pekerja pengangkut sampah tidak sewenang-wenangnya mencuri buah buahan terjuntai di pokok-pokok penduduk taman jika yakin Allah itu Maha Melihat. Penunggang motosikal  dan kenderaan lain akan  mematuhi undang-undang jalanraya  jika yakin Allah itu Maha Melihat. 

Tampak perkara yang saya kemukakan ini remeh. Namun bermula dengan keyakinan Allah itu Maha Melihat kita akan lebih berhati-hati dengan semua perlakuan kita. Seterusnya itulah yang sebenarnya sedikit deni sedikit membina akhlak kita yang sepatutnya yakni akhlak yang dianjurkan oleh Islam.Dengan akhlak yang lebih baik, akan terbinalah masyarakat yang lebih jujur dan suasana lebih harmoni dan insyaAllah akan berkuranglah fitnah dan jenayah dalam kalangan masyarakat Islam di sini. 

Rujukan:
1. http://www.islamituindah.my/kisah-sayyidina-umar-dan-pengembala-kambing
2. http://www.masjidalamanah.com/2012/07/kisah-ibnu-umar-dan-penggembala-kambing/

No comments:

Post a Comment

Popular Posts