Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang tentang memberi
pertolongan boleh merupakan satu proses yang memberi kesinambungan. Video yang dilakonkan oleh orang Barat itu memperlihatkan betapa dengan satu
pertolongan yang sangat kecil walaupun sekadar menolong orang melintas jalan
atau menolong mengangkat barang boleh menjadi motivasi bagi seseorang menolong orang lain pula.
Saya kurang ingat susunan pertolongan atau perbuatan baik dalam video tersebut. Ia mungkin bermula daripada seseorang buruh yang hanya membantu seorang budak yang jatuh semasa berbasikal. Kemudian, insaf dengan pertolongan tersebut, budak itu ternampak seorang tua sedang melintas jalan dan mengangkat barang yang berat. Lantas, dia cepat-cepat membantunya dengan mengangkat barang tersebut. Tak lama selepas itu, orang tua itu pula ternampak seorang perempuan sedang mencari-cari duit syiling di dalam beg tangannya untuk bayaran parkir kereta. Terus dia menghulurkan duit syilingnya. Terkejut lalu tersenyum perempuan tersebut menerima wang itu dengan syukur walaupun jumlahnya hanya beberapa sen.
Kemudian, perempuan itu ternampak seorang pemuda tampak lemah meminta sedekah, duduk tak jauh dari situ lalu dibelikannya frankfurter daripada sebuah gerai tidak jauh dari situ. Terkejut pemuda tersebut namun diterimanya dengan penuh kesyukuran. Pemuda itu ternampak pula seorang lelaki terjatuh sekeping kad sewaktu dia keluar dari sebuah kedai lalu dia berlari memulangkannya. Lelaki itu begitu gembira mendapat semula kadnya. Seketika, dia ternampak seorang pelayan perempuan dimarahi oleh bosnya lalu dia kelihatan sedih. Lantas sewaktu lalu di tepi sebuah gerai bunga dia membeli sejambak bunga dan menghadiahkan bunga tersebut kepada pelayan tersebut. Pelayan tersebut tersentak namun menerimanya dengan gembira. Semangat untuk bekerja kembali pulih.. Pelayan itu kemudiannya memerhatikan seorang buruh sedang bekerja dalam terik panas lalu menghadiahkan sebotol air kepadanya. Dan sungguh tidak sangka buruh itu ialah orang yang mula-mula sekali membuat kebaikan.
What goes around comes around. Hidup ini seperti putaran roda. Setiap kebaikan yang kita mulakan, Insha Allah akan dibalas oleh Allah sejak di dunia lagi. Sebagai orang Islam kita lebih beruntung kerana semua kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan di akhirat kelak, biar sekecil atom sekali pun. Bahkan kita disuruh berlumba lumba berbuat kebaikan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalang (menerima pahalanya) dan Allah Maha mengetahui orang yang bertakwa." [Ali 'Imran 3: 115]
Mungkin benar apa yang dintakan oleh Ust Umar Muhammad Noor dalam majalah Solusi isu 85
'Muslim yang terbaik bukanlah orang yang paling pandai berceramah, tetapi yang paling besar khidmatnya kepada manusia. Seorang muslim tidak mendiamkan kesusahan orang lain. Jiwanya selalu tergerak untuk membantu. Bahkan tidak sesekali dia menghampakan harapan orang lain kepadanya. Paling kurang memberi kata-kata semangat untuk meringankan kepedihan orang yang meminta pertolongannya.'Ibn Abbas berkata:" berbuat baik kepada manusia ialah suatu ibadah kepada Allah, menarik cinta manusia dan tanda kesyukuran yang kekal."
Contohilah tindakan Said bin Jubair. Tokoh tafsir yang merupakan anak murid Ibn Abbas ini sangat aktif dalam kerja-kerja sosial dan membela nasib umat. Umar bin Ziadah berkata: "Setiap kali melihat Said bin Jubair, aku melihat beliau bak rahib. Beliau selalu berpusing ke rumah orang tua-tua dan bertanya: 'Adakah hajat yang boleh saya belikan? Adakah kamu memerlukan bantuan?"'
Bersama-samalah kita berbuat kebaikan!
No comments:
Post a Comment