Thursday, March 10, 2016

Dahulunya sebuah Masjid.....

Dari luar bangunan ini kelihatan seperti banglo setingkat atau setingkat setengah dan mempunyai garaj bertutup. Terletak di kawasan perumahan, bangunan ini kelihatan agak sesuai dijadikan masjid sementara.

Namun terasa agak janggal pula. Tidak kelihatan pula papan tanda masjid atau Islamic Center di sini. "Alamak, betul ke ini masjid?" tanya Muaz kepada saya. Suami saya membuat keputusan untuk keluar dan melihat betul atau tidak bangunan ini sebuah masjid.

Sudah ditakdirkan kami tidak dapat menunaikan solat di masjid yang kami telah singgah sebelum ini. Masjid yang kami singgah itu di dapati berkunci dan kami tidak dapat memasukinya. Dalam keadaan cuaca berangin dan sejuk menusuk hingga ke tulang kami reda dengan ketentuan Allah ini.

Semasa mengembara, solat ialah ibadah yang amat penting kita laksanakan. Seorang musafir sangat bergantung kepada Allah untuk perjalanan yang selamat dan selesa. Mana mungkin seorang Islam yang mengembara hanya semata-mata berdoa mengharapkan pertolongan Allah tanpa mengambil berat untuk mengerjakan solat. Solat menghubungkan diri kita dengan Allah. Selepas menghubungkan diri dengan Allah yang menciptakan diri kita, barulah kita boleh memohon pertolongannya.

Firman Allah yang bermaksud:
"Mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan solat. Sesungguhnya solat sangat berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Iaitu orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan kepadaNya mereka akan kembali." [Al Baqarah 2:45-46]

Dari jauh kami ternampak seorang perempuan sedang membasuh pinggan di sinki rumah tersebut.Saya pun melangkah keluar kereta dengan harapan untuk menanyakan wanita tersebut. Ketika memberi salam dan menanyakannya samada dia tahu di mana Islamic Center berdekatan, dia membuat isyarat tanda dia tidak memahami apa yang kami bicarakan. "Alamak, macamana nak tanya ni," tanya saya kepada suami.

Tidak jauh daripada rumah tersebut, kelihatan sekumpulan kanak kanak sedang bermain di halaman sebuah rumah. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka datang berjumpa kami. Alhamdulillah walaupun tampak dia berkulit sawa matang dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Terus kami menanyakan kepadanya tentang Islamic center yang  berdekatan. Lantas dia memberitahu tentang  Islamic Center yang telah kami singgah tadi . "Usually it's locked. But if you want to go there I can give you the code to unlock the door," katanya.

Lama berbual barulah kami tahu yang ibunya yang  memanggilnya supaya dapat berkomunikasi dengan kami. Kami memberitahunya yang kami sedang mencari masjid yang beralamat di situ. Sambil mengiakan itulah alamatnya, dia memberitahu kami itu rumahnya dan memang benar dulunya rumahnya itu sebuah masjid. Namun masjid ini tidak lagi digunakan dan hanya masjid di Layton tempat kami singgah sebelum itulah hanya satu-satunya masjid di kawasan itu. 

Agaknya menyedari  keletihan kami, tanpa berfikir panjang dia mempelawa kami untuk menunaikan solat di rumahnya sahaja. "You can pray at the prayer hall that was used before. Everything is the still there." Terus dia memanggil ayahnya yang berada di dalam rumah untuk memberitahu ayahnya tentang pelawaan tersebut.

Tak lama selepas itu  kelihatan seorang lelaki keluar daripada rumah tersebut. Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad (bukan nama sebenar) dan ayah kepada kanak-kanak tersebut, dia menjemput kami ke bahagian bawah rumah nya (basement) dimana terletakya dewan solat bagi masjid dahulu. Sambil turun dia memperkenalkan anak lelakinya, Zain yang telah mempelawa kami solat sebelum itu.

Betul kata Zain, dewan ini masih kelihatan seperti dewan solat. Permaidaninya sudah tersusun ke arah kiblat. Bilik air untuk menyucikan diri dan mengambil wudhuk juga terdapat di bahagian ini. Sambil menunggu kami bersiap-siap untuk solat, kami dihidangkan jus jambu batu oleh anak-anaknya. Muhammad dan anak-anaknya duduk menunggu kami menunaikan jamak solat zuhur asar  di situ.

Kami menggunakan peluang itu untuk berkenalan dengan keluarga Muhammad. Lelaki berketurunan Pakistan ini datang ke Amerika Syarikat untuk menyekolahkan anaknya di sana. Bukannya untuk menetap terus, namun memberi peluang bagi anaknya menimba ilmu di sana. Kemudian mereka bercadang akan kembali ke negaranya semula.

Muhammad memberitahu kami bahawa orang Islam di daerah itu tidak ramai. Jemaah solat Jumaat di Masjid Al Farooq, Layton itu hanya 30 orang. Mungkin sebab itu orang Islam di sana tidak mampu lagi membayar sewa bagi masjid yang lain.

Muhammad meminta maaf sebab isterinya tidak mahir berbahasa Inggeris. Maklumlah ketika itu tidak sampai setahun mereka berada di negara Uncle Sam ini. Namun beliau sentiasa mengawasi anak-anaknya agar tidak terpengaruh dengan budaya orang di sana dan memastikan mereka sentiasa bersolat. Syukur mempunyai seorang bapa seperti Muhammad yang sentiasa memastikan ibadah sentiasa terjaga dan diamalkan oleh ahli keluarganya walaupun jiran-jirannya ramai yang bukan Islam.

Usai solat, kami meminta diri untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami ke utara, iaitu di Teton Valley, Wyoming masih jauh lagi dan hari sudah semakin gelap.

Semasa bersalaman Muhammad berkata," You're always welcome to here anytime. We are muslims. We're brothers, right?" Terkedu mendengar kata tuan rumah yang tidak pernah pun mengenal kami sebelum ini. Atas dasar saudara seIslam, kami menjadi seperti sahabat. Besar hatinya untuk menjemput kami ke sana lagi.

Memang begitulah kebiasaannya jika bertemu sesama Islam di Amerika Syarikat ini, yang majoritinya bukan orang Islam. Bila bersua tetap memberi salam, bila susah tetap ada yang membantu dan bila mengembara tetap ada yang memastikan perjalanan kami selesa. Alhamdulillah. Orang Islam itu tetap bersaudara walau berada dimana saja.

Hayati lirik nasyid ini
"Pada arah yang sama kita berdiri
 Pada air yang sama kita bersuci
 Pada takbir yang sama jangan bertengkar
 Pada doa yang sama usah menyendiri
 Sebarkanlah..bersabarlah"
[Akhil Hayy, Salleh Brothers, Amir Pearl, Azahari Nowseeheart.]

No comments:

Post a Comment

Popular Posts