Thursday, October 27, 2016

Dikelilingi Asap Putih

Kawasan ini sangat besar dan penuh dengan asap putih.  Bukan asap daripada pembakaran terbuka . Bukan juga dari kilang kilang. Asap ini keluar dari permukaan bumi, celah-celah lubang tanah juga melalui rekahan batu-batu besar. Menakjubkan, sebab asap ini berada di merata-rata tempat samada jauh disebalik bukit, di tengah padang mahupun di tepi-tepi jalan. Seolah-olah hampir keseluruhan kawasan ini terbakar tapi tanpa bau asap yang menyengitkan.

Taman negara yang pertama di Amerika Syarikat, Yellowstome National Park meliputi kawasan seluas hampir 9000 km persegi. Sangat luas, sehinggakan ia  menjadi habitat semulajadi bagi hidupan liar yang terancam dan tumbuhan unik yang mampu menarik jutaan pelancong setiap tahun. Bison dan elk antara hidupan liar yang tidak kisah dengan kehadiran pelancong di sini.

Sukar nak dipercayai, namun berdasarkan kajian ahli geologi  sebahagian  besar kawasan ini sebenarnya berada di atas sebuah gunung berapi pendam (slumbering volcano) yang berkemungkinan boleh kembali meletus bila tiba masanya! Atas keadaan sebeginilah wujudnya geyser, mata air panas, lumpur panas dan kawah air panas. 

Subhanallah, Pelbagai pemandangan indah yang wujud hasil cetusan gunung berapi ratusan juta tahun dahulu. Dikatakan di sinilah juga tempat yang paling banyak geyser di dunia!Geyser ialah mata air panas yang menyembur secara berkala sambil  mengeluarkan air panas dan stim ke udara.   'Old Faithful' antara geyser yang  popular, boleh meletus sehingga ketinggian 140 m dengan suhu melebihi 110 darjah celcius! Walaupun bukan geyser yang tertinggi di sini, namun Old  Faithful antara yang paling kerap meletus. Alhamdulillah Teknologi canggih terkini membolehkan kita melihat secara 'live' letusan geyser ini  di https://www.nps.gov/features/yell/webcam/oldFaithfulStreaming.html

Taqdir Allah, sewaktu kami ke sana 'Old Faithful' baru saja habis meletus. Untuk menunggunya meletus kembali  mengambil masa, cukuplah sekadar melihat letusan-letusan kecil di kawasan tersebut. Kawasan untuk menyaksikan letusan 'Old Faithful' didirikan seperti melihat sebuah pertunjukkan. Bangku-bangku besi disediakan bagi mereka yang menunggu letusan 'Old Faithful'.  Atas sebab sebab keselamatan pengunjung tidak dibenarkan berada dekat  dengan geyser.

Panaroma di sini cukup menakjubkan.  Disebalik kesejukan salji yang mencengkam tulang, asap-asap putih dari geyser dan mata air panas menyamankan suasana . Kami meneruskan perjalanan untuk meneroka Taman Negara ini.

Tika teringat mata air panas yang berkepul-kepul asapnya berada di hadapan mata, ayat al Quran ini menjadi petunujuk tentang kekuasaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah engkau tidak memerhatikan, bahawa Allah  menurunkan air dari langit , lalu diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhkanNya tanaman-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian menjadi kering, lalu enkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikanNya hancur berderai-derai. Sesungguhnya terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai akal."
Az Zumar 39:21

Bersambung
Rujukan:
https://en.wikipedia.org/wiki/Yellowstone_National_Park
http://travel.nationalgeographic.com/travel/national-parks/yellowstone-national-park/#/gray-wolves-yellowstone-snow_92686_600x450.jpg
https://www.nps.gov/yell/index.htm

No comments:

Post a Comment

Popular Posts