Friday, October 21, 2016

Dataran Salji...

Kami terpaksa menukar laluan yang hendak kami tempuhi. Laluan yang dirancang terlebih awal telah
 di tutup kesan daripada ribut salji malam sebelum itu.

Merancang jalan-jalan yang hendak dilalui semasa pengembaraan sangat penting dalam pengembaraan. Bukan saja sebelum bermulanya keseluruhan pengembaraan, malah setiap malam atau setiap pagi sebelum bertolak ke satu-satu destinasi perlu juga dikenal pasti. 

Laluan alternatif ini agak jauh. Terpaksa menempuh 3 negeri, Idaho, Montana dan Wyoming. Walaupun sebenarnya kami bertolak dari Wyoming dan tempat yang dituju juga terletak di Wyoming yang jaraknya hanya lebih kurang 110 km sahaja kami redha dengan ketentuan Allah. Bagi pengembara, kita mesti sentiasa bersikap terbuka dengan kejadian alam sebegini.

Kami melalui satu kawasan berhutan, Targhee National forest. Tompok tompok putih salji menutupi lantai hutan serta pangkal pokok-pokok pain  Hutan ini agak besar. Sejuk mata menyaksikan pemandangan hutan sebegini indah. Disebalik kehijauan daunan pokok pain diwarnai pula salji yang memutih di bahagian bawah.

Keluar daripada hutan ini, kami terkejut apabila mendapati kami berada di padang yang luas dan memutih nun jauh mata memandang Salji? Tapi kami berada di tanah datar,bukannya di kawasan berbukit. Subhanallah ..memang menakjubkan.Setelah beberapa ketika barulah kamimpasti yang memutih itu salji.

Disekeliling kami 360 darjah, kesemuanya dataran salji yang luas. Agak tebal sebab sangat sedikit kelihatan tanah dibahagian bawah. Allah jua yang menurunkan titisan-titisan halus pepejal putih yang ringan ini agar manusia dapat menyaksikan kekuasaan Nya.

Terpesona dengan pemandangan ini kami berhenti sebentar untuk menikmati secara dekat pemandangan yang unik ini. Cuaca ketika itu sejuk namun kurang berangin,selesa kami berdiri di ladang salji itu.Alhamdullilah, itulah kali pertama menikmati ladang memutih sebegini.

Firman Allah yang bermaksud
" Mereka yang sentiasa berzikir(ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):' Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. "
(Surah Ali Imran 3: 191)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts