Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?
Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu.
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim
Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas.
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga. Kaedah U pick ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?
No comments:
Post a Comment